Bagi sesiapa yang pernah menonton filem The Legend of Tarzan (2016) arahan David Yates, pasti sedia maklum premis filem berkenaan. Premis filem ini menggunakan kisah benar Raja Leopold II dari Belgium dan kekejaman baginda terhadap Congo di mana sumber bumi negara itu dijarah manakala rakyatnya dilayan seperti hamba abdi. Dan dalam satu artikel The Patriots, pasti para pembaca mengetahui keinginan Leopold mendapatkan bumi Sarawak dari James Brooke. Tahukah anda, baginda juga turut mengintai Filipina sebelum beralih kepada Congo?
Apabila Leopold menaiki takhta Belgium pada tahun 1865, antara cita-cita baginda ialah memperluas pengaruh Belgium di Timur Jauh dan mahu memulakannya dengan Filipina. Filipina menjadi pilihan kerana kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk ke China dan Jepun. Tetapi cita-cita Leopold tidak dikongsi oleh Parlimen Belgium atas beberapa alasan. Pertama, untuk merealisasikan aspirasi baginda itu, Brussels perlu mewujudkan pasukan tentera darat dan tentera laut yang kuat untuk mempertahankan kawasan koloni mereka.
Kedua, Perjanjian London yang dimeterai pada tahun 1839. Perjanjian yang membuka peluang kepada kemerdekaan Belgium daripada Belanda turut menyertakan artikel yang memerlukan Belgium kekal neutral dan tidak menyebelahi mana-mana negara ketika itu. Jika mereka cuba bersaing dengan kuasa-kuasa besar seperti Britain, Perancis dan Jerman, sudah pasti mereka akan dianggap melanggar perjanjian dan ini sudah tentu akan menggugat kedaulatan negara yang mencapai kemerdekaan hampir tiga dekad sebelumnya.
Tetapi pada Leopold, alasan hanyalah alasan dan baginda bertekad meneruskan projek rahsianya itu. Pada tahun 1866, baginda mengarahkan duta Belgium ke Sepanyol menghadap Ratu Sepanyol ketika itu, Ratu Isabella II untuk membincangkan penyerahan Filipina kepada Belgium. Tetapi duta berkenaan tidak meneruskan rancangan baginda kerana sedar rancangan tersebut pasti akan ditentang Parlimen Belgium dan jika dapat dibawa ke pengetahuan Ratu, sudah pasti baginda akan mengetawakan Leopold dan menolak mentah-mentah rancangan itu. Bila kegagalan duta itu diketahui Leopold, baginda segera menggantikan duta tersebut dengan duta lain yang bersimpati dengan rancangan rahsia baginda itu.
Tanpa pengetahuan dan kebenaran kerajaannya, Leopold II sudah menyediakan 150 juta franc Belgium sebagai dana operasi Filipina. Tetapi baginda tidak tahu kos berkenaan tidak akan mencukupi untuk kos perbelanjaan di Filipina selama setahun. Menyedari masalah ini, Leopold cuba mengisi kelompangan rancangannya itu dengan meminjam dari bank-bank Britain. Bagaimanapun, rancangan itu segera ditolak bank-bank berkenaan atas alasan ia direalisasikan mengikut kehendak baginda dan tiada sebarang jaminan dari Brussels untuk menyokong projek baginda.
Selepas Ratu Isabella II disingkirkan oleh para pemberontak yang melancarkan Glorious Revolution pada tahun 1868, Leopold melihat inilah peluang keemasannya mendapatkan Filipina. Mengambil kesempatan dari situasi kucar-kacir yang melanda Madrid ketika itu, baginda cuba berunding dengan kerajaan baru yang dipimpin pemangku raja, Francisco Serrano berkenaan pembelian Filipina. Tetapi rundingan tersebut berakhir dengan kegagalan kerana Leopold kekurangan dana untuk menyempurnakan pembelian Filipina.
Sekitar dekad 1860-an ini juga, baginda turut mengintai Sarawak yang ketika itu dipimpin Raja Putih Pertama Sarawak, James Brooke. Melihat potensi sama seperti Filipina, Leopold turut mengatur perjanjian penjualan Sarawak dengan nilai 130,000 paun sterling (nilai terkini 11 juta paun sterling) dengan Brooke tetapi gagal kerana ketidakhadiran beliau di Brussels. Alasan lelaki Inggeris ini sama dengan kebimbangan kerajaan Sepanyol ketika itu: isu kolonisasi.
Ini kerana Leopold merancang mahu menjadikan Sarawak/Filipina sebagai sebuah negara merdeka tetapi diuruskan oleh sebuah syarikat luar yang memegang konsesi pemilikan sementara selama 90 tahun. Manakala Brussels pula bertanggungjawab untuk urusan luar dan kewangan negeri. Selepas tempoh konsesi tamat, ia akan diserahkan kepada Belgium yang menjadikan proses kolonisasi atau pengilhakan sah di sisi undang-undang. Taktik sebegini nyata tidak menggembirakan Brooke dan Madrid, maka tidak hairanlah mengapa kedua-duanya enggan melayan tawaran Leopold.
Dan itu yang membawa kepada Afrika menerusi pembentukan Negara Bebas Congo atau secara tersirat, koloni peribadi Leopold pada tahun 1885. Disebabkan ini kawasan koloni peribadi baginda, tidak hairanlah aktiviti eksploitasi dan penindasan berleluasa di Congo. Anggaran statistik kematian di negara berkenaan akibat tindakan kejam Leopold II antara sejuta hingga 15 juta orang tetapi berdasarkan rekod bancian pada tahun 1924 menunjukkan 10 juta penduduk mati di Congo semasa tempoh pemerintahan baginda. Selain mati akibat penindasan dan penderaan, ramai rakyat Congo turut mati akibat epidemik cacar dan penyakit tidur. Pada tahun 1896 saja, 5,000 penduduk Afrika di perkampungan Lukolela mati akibat penyakit tidur.
Kekejaman baginda di Congo mendapat perhatian masyarakat antarabangsa termasuk tokoh-tokoh terkenal. Penulis-penulis seperti Joseph Conrad, Sir Arthur Conan Doyle dan Mark Twain menyelar kekejaman Leopold menerusi karya-karya mereka seperti Heart of Darkness dan King Leopold’s Soliloquy. Selain itu, laporan-laporan dari Congo yang dibawa tokoh-tokoh seperti George Washington Williams dan William Shepard turut mendedahkan situasi sebenar yang berlaku di negara berkenaan. Tentangan keras ramai memaksa Leopold menyerahkan Congo di bawah penguasaan Parlimen Belgium dan dikenali sebagai Belgian Congo. Selepas mencapai kemerdekaan pada pertengahan abad ke-20, Congo mengalami pertukaran nama sebanyak tiga kali. Pertama sebagai Republik Congo, kemudian Zaire semasa pemerintahan diktator Mobutu Sese Seko dan akhir sekali sebagai Republik Demokratik Congo (DRC).
Tidak diketahui apa yang berlaku terhadap aspirasi Leopold terhadap Filipina. Ini kerana kebanyakan nota dan surat baginda dimusnahkan selepas kemangkatan baginda pada tahun 1909 untuk memastikan nama baik baginda tidak terjejas gara-gara tindakan semasa hayatnya. Tetapi berdasarkan laporan rahsia duta Sepanyol di Berlin kepada Menteri Dalam Negeri Sepanyol yang tersimpan dalam arkib Kementerian Luar Sepanyol, ada satu kejutan yang tidak disangka-sangka. Laporan tahun 1888 ini menceritakan walaupun selepas perletakan jawatan ketua perunding Leopold, Jules Greindl dan kepercayaan bahawa impian memiliki Filipina sudah berakhir, ia masih menjadi obsesi baginda. Ini mendorong seseorang bertanya apa yang mencetuskan obsesinya untuk menguasai Filipina. Leopold menjawab, “Projek yang beta kerjakan ini bersifat mustahil sekarang tetapi ada kemungkinan boleh direalisasikan pada masa lain.”
SUMBER
- Ocampo, Ambeth. (2016). Inquirer.net. The Philippines under Belgium? http://opinion.inquirer.net/95340/the-philippines-under-belgium
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih