Boris Spassky bangun dari tempat duduknya. Dia diam, dan terus berdiri. Hadirin di dalam dewan kesemuanya diam, menunggu apa yang bakal terjadi seterusnya.
“Clap, clap”, bunyi tepukan tangan dari Spassky.
Di hadapannya, Bobby Fischer, yang merupakan lawannya dari Amerika Syarikat, melihat dengan penuh tidak percaya. Jarang sekali dalam Kejohanan Dunia, seorang Juara Dunia kalah dalam perlawanan, dan bertepuk tangan atas kemenangan pihak lawannya.
Fischer berasa agak terharu.
Hadirin yang ada di dewan turut meraikan kemenangan Fischer dalam perlawanan ke enam Kejohanan Catur Dunia 1972 (World Championship 1972). Baru perlawanan ke enam, ada berbaki 15 lagi perlawanan bakal dihadapi oleh Fischer dan Spassky, namun kekaguman Spassky terhadap kejayaan Fischer adalah satu bentuk sportsmanship yang Fischer amat hargai.
Bobby Fischer bukanlah biasa-biasa. Semenjak umur 6 tahun, dia diajar bermain catur oleh kakaknya. Sekiranya kakaknya sibuk, Fischer akan mengajak ibunya bermain catur bersamanya. Minatnya terhadap catur amat mendalam, sehinggakan satu ketika Fischer berjumpa dengan satu buku catur dan menelaah segala isinya.
Keluarganya sendiri tidak punya banyak masa untuk melayan Bobby dan caturnya. Sampai satu tahap, ibu Bobby menghantar iklan ke akhbar, bertanya kalau-kalau ada anak lain yang sebaya umur dengan Bobby yang ingin bermain catur bersama anaknya. Pihak akhbar bingung mendapat iklan sedemikian rupa. Iklan apa ini? Bagaimana patut kita klasifikasikan? Mencari pekerja? Bukan. Mencari orang? Nampak macam tidak sesuai.
Iklan yang dihantar oleh ibu Bobby kemudian diberikan kepada “orang kuat” catur di Amerika, yang kemudiannya menjemput Bobby bermain dalam kejohanan bersama dengan seorang Master catur terkemuka Amerika, Max Pavey. Sudah tentulah Bobby kalah.
Masakan seorang budak baru berusia lingkungan 10 tahun menang melawan seorang Master dalam permainan catur? Namun, Bobby Fischer member saingan sengit kepada Max, dan hal ini menarik perhatian seorang guru catur, Carmine Nigro, yang kemudiannya menjemput Bobby menyertai Kelab Catur Brooklyn.
Bakat Fischer kemudiannya digilap, dan Fischer menunjukkan tanda-tanda bahawa dia sememangnya seorang Genius dalam dunia Catur. Dia berjaya menang Kejohanan Catur Amerika Syarikat (US Championship) pada tahun 1957/58, menjadikan dirinya juara US termuda pada usia 15 tahun. Kemenangan Bobby juga menjadikan dia seorang International Master, gelaran yang agak tinggi bagi mereka yang menganggap bermain catur sebagai satu kerjaya professional.
Sebagai seorang International Master pada usia yang muda, Fischer juga dilihat sebagai seorang yang mempunyai IQ yang tinggi. Namun begitu, pada usianya 16 tahun, Fischer berhenti sekolah kerana baginya, tidak ada apa-apa yang dia belajar dari sekolah. Fischer mula serius bermain catur sebagai atlet professional, memenangi banyak pertandingan di peringkat US dan antarabangsa, hingga melayakkan Fischer menjadi salah seorang Candidates yang cuba merebut Kejuaraan Dunia pada tahun 1962.
Catur di Russia pula, dianggap sebagai satu permainan buat golongan elit. Russia (yang pada itu dikenali sebagai Soviet Union) mempunyai barisan pemain catur yang hebat dan terkenal di peringkat antarabangsa, dan mereka mengungguli banyak pertandingan catur di peringkat dunia. Catur, dalam erti kata lain, adalah satu bentuk ideologi yang ditanamkan ke dalam minda warga Soviet, “kita hebat bermain catur, dan catur merupakan permainan yang menggunakan strategi dan ketajaman akal, maka kita, bangsa Soviet, adalah bangsa yang bijak dan hebat.”
Pada tahun 1962, Fischer merupakan salah seorang Candidates yang bakal bertarung untuk merebut tempat untuk berlawan dengan Juara Dunia pada tahun berikutnya. Format kejohanan adalah seperti ini: Beberapa orang calon (Candidates) akan berlawan sesama sendiri untuk mendapatkan tempat sebagai lawan (Challenger) kepada Juara Dunia (World Champion). Juara Dunia akan berusaha untuk mempertahankan kejuaraan yang disandangnya, manakala lawan atau Challenger akan cuba untuk menjadi Juara Dunia yang baru.
Maka Bobby Fischer berhasrat untuk menjadi Challenger, namun terdapat beberapa halangan. Menurut Fischer, terdapat beberapa orang pemain catur Russia yang sengaja seri sewaktu awal permainan untuk mendapatkan ½ mata. Hal ini mengganggu Fischer kerana untuk memenangi Kejuaraan Candidate adalah berdasarkan kepada point, dan sekiranya pemain Russia berpakat sesama mereka, Fischer tidak mungkin berpeluang untuk menang. Perkara ini menyebabkan kemarahan Fischer sehingga Fischer menulis satu artikel mengkritik sikap pemain Russia di Sports Illustrated, dengan tajuk artikel “The Russians Have Fixed World Chess“. Fischer berjanji dia tidak akan kembali bermain sebagai Candidates pada tahun selepas itu, selagi mana perkara ini tidak diatasi.
Meskipun tidak berpeluang untuk berlawan dengan Juara Dunia, Fischer terus bermain catur secara professional sepanjang tempoh 1960 – 1970. Dia memenangi banyak kejohanan bertaraf dunia, sehingga ke satu tahap dia menjadi selebriti masyarakat US dan profilnya diletakkan dalam majalah terkenal, Life.
Pada tahun 1970, Fischer sekali lagi ingin cuba merampas kejuaraan dunia. Kalau sebelum ini pada 1962, dia tidak berpuas hati dengan sistem kejuaraan, pada tahun 1970, Fischer berhempas pulas menjuarai pelbagai kejohanan utama sehinggalah Fischer berjaya memasuki Kejohanan Candidate pada tahun 1971. Dalam Kejohanan Candidate tersebut, Fischer ternyata mendominasi kejohanan itu dan berjaya memperoleh tempat pertama dalam kejohanan terbabit. Fischer dijadualkan akan menjadi Challenger kepada Juara Dunia, Boris Spassky.
Pertarungan Bobby Fischer menentang Boriss Spassky merupakan sebahagian manifestasi perang dingin. Bagi Soviet, mereka wajib mempertahankan kejuaraan yang telahpun didominasi oleh mereka sejak sekian lama. Jadi, tanggungjawab Spassky adalah berat. Pertahankan kejuaraan dunia yang dia pegang, dan harumkan nama Soviet. Iyalah, takkan Soviet nak kalah dengan US kan?
Pada 1972, perlawanan antara Boriss Spassky dan Bobby Fischer berlangsung. Ini adalah pertarungan antara Amerika dan Russia!
Oh dan btw, perlawanan dunia ini bukan calang-calang.
Format perlawanan ini adalah sama seperti perlawanan catur yang lain. 1 mata sekiranya menang, ½ mata sekiranya seri, dan 0 mata sekiranya kalah. Perlawanan akan berlangsung sebanyak 24 pusingan, dengan satu hari satu perlawanan, dan tiga hari perlawanan dalam masa seminggu. Perlawanan kejohanan dunia ini berlangsung selama 7 minggu, dengan perlawanan berlangsung setiap hari Ahad, Selasa dan Khamis. Hari Sabtu adalah hari cuti, dan sekiranya pertarungan tidak habis pada hari berkenaan, ia akan dibawa pada hari berikutnya.
Bobby Fischer terkenal sebagai seorang yang schizophrenia dan paranoid. Sebelum perlawanan berlangsung pun, pihak penganjur mempunyai masalah untuk menghubungi Fischer, dan Fischer sendiri terlepas upacara pembukaan World Championship. Fischer juga dilihat paranoid apabila mengatakan kepada media bahawa pihak Russia meletakkan pepijat (bug) atau alat pengintip untuk mengintip persiapan dia sepanjang kejohanan berlangsung.
Fischer terkenal sebagai seorang pemain catur yang handal. Dia bahkan dipuji oleh pemain catur sezaman dengannya sebagai antara yang terbaik abad itu (Greatest of the Century). Gaya permainan Fischer adalah lebih kepada sharp tactical play, di mana Fischer akan menyerang dengan penuh teliti sambil cuba mendominasi papan catur dengan taktikal yang sukar dibaca.
Spassky pula adalah seorang yang lebih flexible. Taktikal Spassky lebih kepada bertahan dan menunggu masa yang sesuai untuk menyerang, dengan kelebihan psikologi berpihak kepada Spassky kerana bermain di laman sendiri dan Fischer sendiri tidak pernah menang menentang Spassky sepanjang 3 kali mereka bertarung di arena antarabangsa.
Pada perlawanan pertama, Fischer kelihatan tidak mampu untuk fokus. Banyak alas an yang diberikan oleh Fischer. Kamera mengganggu. Bunyi kipas. Pada perlawanan pertama, masalah paranoid Fischer terserlah, sehingga Fischer terbuat kesalahan (blunder) pada pergerakan ke 29 nya, menyebabkan dia kehilangan buah Bishopnya. Dia cuba untuk menebus kesilapannya, namun Spassky, lawan yang lebih berpengalaman, mengambil kesempatan itu dan terus menghukum Fischer atas kesalahannya.
Pada perlawanan kedua, Fischer meminta agar tiada kamera merakam perlawanan mereka, kerana katanya, “bunyi kamera itu bising”. Disebabkan pihak penganjur tidak mahu melayan karenah Fischer, Fischer menarik diri dari pusingan kedua, dan member kemenangan mudah kepada Spassky, 2-0.
Pada perlawanan ketiga, Spassky bersetuju dengan syarat Fischer untuk bermain tanpa kehadiran kamera di satu bilik tertutup di bahagian belakang dewan. Hanya dengan 3 orang di dalam bilik tersebut (Fischer, Spassky dan pengadil pertandingan), Fischer berjaya memperoleh kemenangan pertama menentang Spassky sepanjang kariernya, apabila Spassky tersilap langkah dalam merangka stratergi.
Pertarungan pusingan ke empat berlangsung di dewan utama, atas permintaan Spassky, namun tiada kamera dibenarkan, atas permintaan Fischer. Perlawanan ini berkesudahan seri apabila kedua-dua pihak buntu menyerang satu sama lain. Pusingan kelima pula dimenangi oleh Fischer, apabila Spassky membuat kesilapan (blunder) yang mengakibatkan salah kira (miscalculation). Selepas pusingan kelima, keputusan pertandingan adalah 2 ½ – 2 ½ .
Pusingan ke enam, pertarungan antara Fischer dan Spassky, merupakan pertarungan Match of the Century. Ada beberapa sebab kenapa pusingan ini dipanggil sedemikian rupa. Sebab pertama adalah – Bobby Fischer terkenal sebagai seorang pemain yang selalu bermula dengan opening 1. e4. Sewaktu pertandingan berlangsung, pihak lawan boleh mempersiapkan beberapa balasan terhadap opening yang biasa dilakukan oleh pihak lawan, dalam erti kata lain, Spassky boleh mempersiapkan diri bagi menghadapi 1. e4 yang selalu digunakan oleh Fischer.
Namun dalam pusingan ke enam, satu keajaiban berlaku. Fischer, yang mendapat buah putih, memulakan perlawanan dengan opening 1. c4, satu opening yang jarang sekali Fischer guna dalam pertandingan besar. Sepanjang kariernya, hanya 2 kali Fischer pernah menggunakan opening 1.c4, dan hal ini amat memeranjatkan Spassky.
Dalam pusingan ini juga, teserlah kehebatan Fischer yang sebenar. Dia perlahan-lahan merangka stratergi, meletakan buahnya di posisi yang stratergik, dan membuatkan Spassky sendiri takjub dengancorak permainan elegan yang ditunjukkan oleh Fischer. Di akhir perlawanan, Spassky sendiri bangun dari tempat duduk, dan menepuk tangan bersama hadirin yang hadir, menunjukkan rasa hormat kepada Bobby Fischer.
Selepas pusingan keenam, Fischer meneruskan kejohanan dengan beberapa lagi kemenangan dan seri, sebelum kalah satu pusingan kepada Spassky di pusingan ke-11. Meskipun pada asalnya perlawanan ini sepatutnya berlangsung sebanyak 24 pusingan, Spassky mengaku kalah melalui telefon pada pusingan ke 21, sekaligus menjadikan Fischer pemenang dan Juara Dunia baharu 1972. Fischer kemudian diangkat ikon Amerika kerana berjaya mengalahkan wakil Rusia, dan terus mengekalkan kejuaraan dunia selama tiga tahun, sebelum melepaskannya.
RUJUKAN:
theVintageNews. https://www.thevintagenews.com/2017/11/30/fischer-vs-spassky/
TheQuietMove. http://www.thequietmove.com/classic-game-fischer-spassky-1972-6/
chesshistory.com. http://www.chesshistory.com/winter/extra/spasskyfischer.html
newsweek.com. https://www.newsweek.com/bobby-fischer-i-knew-67937
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih