Burma, atau nama rasminya, Republik Kesatuan Myanmar, merupakan sebuah negara berdaula di Asia Tenggara yang bersempadan dengan Bangladesh, India, Cina, Laos dan Thailand.  Dalam sebahagian besar sejarah modennya, Myanmar terpencil dari dunia, diperintah oleh kententeraan junta yang memegang kuasa penuh walaupun dicemuh oleh badan antarabangsa kerana kezalimannya terhadap kemanusiaan. Walau bagaimanapun, di kala permasalahan-permasalahan masa kini yang dialaminya, Burma memiliki sejarah lampau yang berwarna-warni dan warisan yang kaya. Salah satu contoh yang paling mengagumkan adalah biara Taung Kalat.

Taung Kalat (bermaksud bukit berlapik) terletak di barat daya Gunung Popa (bahasa Pali/Sanskrit bagi bunga), sebuah gunung berapi yang terletak di Banjaran Pegu di tengah-tengah Burma, kira-kira 50km arah tenggara dari kota Bagan purba. Taung Kalat sendiri merupakan leher gunung berapi (satu ciri semula jadi yang terbentuk dari pengerasan magma di dalam lubang gunung berapi aktif semasa ia bergerak ke atas), walaupun kini gunung berapi tersebut dipercayai telah tidak aktif. Lebih memeningkan, Taung Kalat kadangkala disebut sebagai Gunung Popa. Untuk mengelakkan kekeliruan tersebut, gunung berapi itu dipanggil oleh penduduk tempatan sebagai Taung Ma-gyi, yang bermaksud ‘ibu bukit’.

Pandangan Gunung Popa dari jauh


Tepat di puncak Taung Kalat, dibina sebuah biara agama Buddha sekaligus menghidangkan pemandangan indah kepada para pelancong yang berupaya menggagahi 777 anak tangga untuk tiba di puncak gunung berapi tersebut. Tidak hanya menjadi tarikan pelancong, biara itu juga merupakan tapak penziarahan suci (
pilgrimage).

Dipercayai bahawa Taung Ma-gyi yang terletak berhampiran dihuni oleh Nat-Nat Agung. Menurut kepercayaan agama Buddha-Burma, nat adalah kumpulan roh yang sifatnya pelbagai, dari pelindung individu secara peribadi hinggalah roh hutan. Pemujaan nat lahir lebih awal berbanding ketibaan agama Buddha di Burma, walaupun amalan tersebut diserap masuk ke dalam ajaran Buddha-Burma semasa ia tiba dari India pada kurun ke3SM.

Nat-Nat Agung adalah kumpulan khusus 37 nat yang kepentingannya diperakui di seluruh negara. Hampir kesemua nat ini adalah manusia yang menemui kematian tragis. Kisah-kisah hidup para nat ini mungkin dianggap sebagai legenda, akan tetapi terdapat kemungkinan bahawa manusia di sebalik legenda tersebut benar-benar wujud. Walaupun kesemua 37 Nat Agung ini dipuja di Taung Ma-gyi, hanya empat daripada mereka sahaja memiliki persemayaman di gunung tersebut. Mereka adalah Maung Tint Dai, Saw Me Yar, Byatta dan Mai Wunna. Setiap satu figura ini memiliki kisah tersendiri bagaimana mereka menjadi nat.

Yokkaso (roh pelindung pokok) dalam gambaran masyarakat Burma

Menurut legenda, Maunt Tint Dai merupakan seorang tukang besi yang hidup pada zaman pemerintahan kerajaan semi-legenda, Tagaung pada abad ke-6SM. Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat kuat lagi gagah hinggakan raja sendiri menyimpan rasa takut terhadapnya. Akibat keadaan itu, raja memutuskan untuk menghapuskannya dengan suatu helah.

Raja mengumumkan bahawa beliau ingin memperisterikan saudara perempuan Maung Tint Dai yang bernama Saw Me Yar lalu menjadikannya ratu. Untuk itu, si raja pun menjemput tukang besi itu datang ke kota diraja. Apabila Maunt Tint Dai tiba untuk mengucapkan tahniah kepada saudara perempuannya, beliau langsung sahaja diberkas dan diikat pada sebatang pokok champa emas lalu dibakar sehingga mati.

Apabila saudara perempuannya mendengar berita tersebut, beliau terus sahaja melompat ke dalam api dan ikut terbvnuh. Kedua beradik itu kemudiannya menjadi nat dan hidup di dalam pokok yang telah separuh terbakar itu. Memandangkan orang-orang yang berjalan di bawah pokok tersebut dikhabarkan telah terkena sumpahan, maka si raja memerintahkan agar pokok berkenaan ditebang dan dihanyutkan ke Sungai Irrawaddy.

Dicatatkan bahawa pokok tersebut hanyut sehingga tiba di Bagan semasa pemerintahan Raja Thigyang. Raja Thigyang menyelamatkan pokok itu dan kayu-kayunya diukir sehingga membentuk patung Maung Tint Dai dan saudara Saw Me Yar. Patung ini disimpan di Taung Ma-gyi.

Kuil suci Nat, terletak di tapak puncak Gunung Popa, mengandungi patung 37 pengemuka nat Burma. Sebahagiannya adalah dewa Hindu, sementara selebihnya dibina dari legenda tempatan

Legenda Byatta dan Mai Wunna pula berlaku pada zaman yang lebih terkemudian, iaitu di kurun ke-11 Masehi, semasa pemerintahan Raja Anawrahta. Byatta dicatatkan merupakan seorang pelari yang laju dari India. Beliau bekerja sebagai pemetik bunga buat Raja Anawrahta. Byatta dikatakan mampu berlari dari Bagan ke Taung Ma-gyi (berjarak kira-kira 50km) dan berulang-alik sebanyak 10 kali dalam sehari demi membekalkan bunga-bunga yang segar buat raja.

Dalam salah satu perjalanannya ke Taung Ma-gyi, Byatta terserempak dan jatuh cinta dengan Mai Wunna, si makhluk pemakan bunga yang hidup di gunung. Mereka berdua dikurniakan dua orang putera. Apabila si raja mendengar hal ini, beliau langsung sahaja memancung Byatta. Berita kematian Byatta sampai ke pengetahuan Mai Wunna yang lantas meninggal dunia akibat dukacita. Pasangan kekasih ini kemudiannya menjadi nat yang menghuni Taung Ma-gyi bersama Maunt Tint Dai dan Saw Me Yar.

Mitologi Gunung Popa masih menjadi sebahagian dari kebudayaan Burma terutama dengan berlangsungnya festival dan keraian tahunan yang terus diadakan. Ribuan manusia turut melakukan ziarah-suci ke gunung berkenaan untuk memberi sembah korban kepada para nat serta memanjatkan doa agar meraih tuah di tahun mendatang. Melihat kemasyhuran yang masih dikecapi Gunung Popa mencerminkan hakikat bahawa masyarakat Burma masih mengamalkan secara aktif tradisi purba dalam kehidupan seharian. Tradisi-tradisi purba sebeginilah yang memberikan ciri kebudayaan yang unik, termasuk di wilayah sekitar.

Pandangan kuil di puncak Gunung Popa – Taung Kalat yang lebih luas

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (22 November 2014). Mount Popa Monastery and the Mythology of the Thirty-Seven Spirit Guardians. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/mount-popa-monastery-and-mythology-thirty-seven-spirit-guardians-002350


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.