Jumaat lepas, COP26 melabuhkan tirai. Beberapa persetujuan melibatkan 197 buah negara juga dicapai.

Antara yang paling utama adalah; memastikan pemanasan global tidak melebihi 1.5 darjah Celsius, beralih dari penggunaan arang sebagai bahan api fossil, mencapai sifar pengeluaran karbon menjelang 2050, dan menyuntik dana pemulihan cuaca sebanyak $100 billion setahun kepada negara-negara kurang membangun. (BBC, 13 November 2021)

Kalau diikutkan, sebilangan persetujuan bukanlah benda baru. Ia sekadar lanjutan dari persidangan lepas, terutama Perjanjian Paris 2015 (COP21).

Contohnya macam suntikan dana $100 billion. Ia sebenarnya sudah dipersetujukan sejak di Copenhagen lagi (semasa COP15 pada tahun 2009). Perihal had pemanasan global pada kadar 1.5 darjah Celsius pula sudah diperingatkan sejak 2010 di Cancun (COP16).

Cuma kali ini, liputan jadi agak menggalakkan kerana beberapa faktor. Pertama, ia acara yang tertangguh (sepatutnya diadakan tahun lepas). Kedua, ia kali pertama isu bahan api fossil seperti arang diberi keputusan serius.

Ketiga, ia kali pertama diadakan di UK sejak Brexit. Dan keempat (untuk Malaysia), delegasi negara diwakili oleh menteri dari kerajaan baru – sebelum ini delegasi pada zaman PH diketuai oleh YB Puan Isnaraissah Munirah, Timbalan Menteri MESTECC (ringkasan pembentangan di COP26 boleh dibaca di sini).

Tambahan, liputan bagi tahun ini lebih tertumpu. Tidak seperti dalam persidangan lalu (2019 di Madrid), di mana perhatian banyak ditumpahkan pada Greta Thunberg. Tahun ini, tumpuan lebih jelas.

Infografik ringkasan tentang COP26 (Sumber: BBC)

China lebih terbuka untuk bertanggungjawab bersama Amerika sebagai pengeluar karbon terbesar dunia. Negara-negara kurang membangun juga makin garang dalam membuat gesaan, diterajui Bhutan, Suriname, dan Panama. Tiga negara ini adalah satu-satunya negara negatif-karbon. Yakni, kapasiti penyerapan karbon mereka lebih besar berbanding jumlah pelepasan.

Ambil Bhutan sebagai contoh. Ia melepaskan 2.2 juta tan karbon setahun, tetapi mampu menyerap tiga kali ganda dari jumlah itu (Rao, 2016). Sebagai perbandingan, Malaysia melepaskan sebanyak 422 juta tan karbon pada 2016. Pelepasan per kapitanya pula adalah 7.2 tan, berbanding Bhutan yang hanya 1.83 tan.

Memang benar, Bhutan negara kecil dan kurang membangun. Saiznya cuma sepersepuluh dari Malaysia. Populasi pun tidak cecah sejuta. Nilai KDNK per kapita pula kurang tiga kali kanda. Indeks Kebahagiaannya juga di belakang kita – tangga ke-95 berbanding 81.

Tetapi, ada sebab mengapa ia dikaitkan sebagai negara bahagia dan mesra cuaca, sekali gus dipilih untuk mengetuai 46 buah negara kurang membangun di COP26.

Segalanya bertitik tolak daripada dasar yang diambil oleh Jigme Singye Wangchuck, raja Bhutan keempat (Chakravarty, 2019). Sejurus dimahkotakan, baginda enggan menggunakan GDP bagi mengukur indeks kemakmuran negara. Sebaliknya, apa yang dipakai ialah Gross National Happines (GNH).

Motivasi di sebalik dasar ini ringkas. Pertama, kemakmuran adalah tentang kesejahteraan menyeluruh. Bukan hanya sekadar pendapatan. Kedua, baginda mahu mengimbangkan antara pemodenan dan pemeliharaan.

Justeru dalam indeks GNH, ada empat tiang utama – iaitu pembangunan sosio-ekonomi yang setara dan berdaya tahan, pemeliharaan alam sekitar, pemupukan budaya, dan pentadbiran yang cekap. Setiap satu kemudian dipecahkan kepada sembilan elemen, dan setiap elemen dipecahkan lagi kepada 33 petanda (rujuk gambar).

Bhutan menjadikan GNH sebagai ukuran kemakmuran negara, berbanding GDP

Indeks ini diukur setiap lima tahun, melalui Centre for Bhutan Studies and GNH Research. Prosesnya berjalan sama seperti bancian. Cuma, dalam borang yang diberi ada soalan-soalan terperinci.

Antaranya, “Berapa kerap anda sembahyang?” “Berapa banyak masa dan wang yang anda luang untuk masyarakat?” “Berapa lama anda tidur dan bekerja?” “Berapa kerap anda berteng.kar dengan keluarga?” “Adakah anda percayakan jiran tetangga?” dan sebagainya. (McCarthy, 2018)

Ini baru sedikit contoh. Ikutkan, ia mengandungi sehingga 300 soalan. Lengkap segala aspek. Mahu jawab pun ambil masa sampai tiga jam.

Sebab itu, walaupun kurang maju, Bhutan sinonim dengan kebahagiaan (atau lebih tepat, kebercukupan). Kerana ia mementingkan banyak aspek kehidupan dan tidak bersikap keterlaluan – tidak terlalu moden dan tidak terlalu mundur.

GDP negara itu cuma $2.4 billion (2020). Majoritinya dijana oleh eksport tenaga hidro (70% dari penghasilan). Dengan jumlah itu, ia mampu memberi pendidikan dan khidmat kesihatan percuma kepada rakyat. Bekalan elektrik juga tersedia hatta di kawasan terpencil; percuma dengan akses 100%. Sampai tidak perlu lagi mereka ambil kayu api dari hutan (Rao, 2016).

Bercakap pasal hutan, Bhutan memang terkehadapan dalam soal penjagaan. Lebih 72% dari negara itu dipenuhi hutan, dengan 42.7% daripadanya diwartakan sebagai hutan simpan (Gawel, 2016). Mereka malah ada perlembagaan khusus yang menetapkan supaya kadar litupan hutan negara adalah 60%. Di Malaysia, tetapannya adalah 50% dengan nilai litupan negara pada 2018 ialah 55.3% – yakni hanya bertambah 2.6% sepanjang 2005-2018. (Rodzi, 2021)

Eksport kayu balak pula usahlah dicerita. Ia memang diharamkan (walaupun ironi, Bhutan juga mengimport kayu balak dari India). Apa yang digalakkan, adalah penanaman semula hutan. Sampaikan pada tahun 2015, Bhutan pernah memecah rekod dunia dengan menanam hampir 50,000 batang pokok dalam masa sejam –melibatkan hanya 100 orang sahaja.

Dengan penjagaan hutan dan penjanaan tenaga hidro yang cemerlang, Bhutan jelas memberi teladan baik sebagai negara negatif-karbon. Ini bagaimana pun tidaklah bermaksud Bhutan bebas dari pence.maran dan menolak pembangunan.

Malahan pada 2019, nilai import gas petroleum cecair (LPG) mereka meningkat sebanyak 339 metrik tan. Bekalan petrol juga meningkat dari 46,932 kilo liter (KL) pada 2018 kepada 50,882 KL pada 2019. Yakni, nilai tertinggi dalam tempoh sembilan tahun (Wangmo, 2020). Cuma, semua nilai ini dipastikan dapat diserap kembali oleh dasar pelestarian yang diamalkan.

Infografik tentang Bhutan sebagai negara negatif-karbon (Sumber: Modern Surfaces)

Apapun, agak ironi apabila negara yang paling kurang membuat pence.maran dan kurang melepaskan karbon perlu menerima impak paling buruk dari perubahan cuaca. Dalam tempoh 50 tahun, lebih dua dari tiga kema.tian yang disebabkan cuaca – banjir, kebakaran hutan, dan kemarau – adalah melibatkan 47 buah negara kurang membangun. (Kramer, 2021)

Bukan setakat kematian, ia juga menjejaskan negara yang bergantung penuh pada sektor pertanian. Bagi negara-negara pulau, kenaikan paras laut sentiasa merisaukan.

Tuntas, wajar jika perkara yang paling digesa oleh negara-negara kurang membangun di COP26 adalah berkaitan suntikan dana $100 billion. Ia penting supaya mereka dapat menambah baik sistem anti-banjir dan menaik taraf teknologi penjana tenaga boleh diperbaharui. Sebab, tidak semua boleh mengikuti jejak Bhutan dalam menjana tenaga hidro.

Memetik Presiden Malawi, “Ini bukan kerja kebajikan. Jadi, laksanakan janji (untuk beri dana) atau mari bina.sa bersama kami.”

RUJUKAN:

Kramer, Daniel. (2021, 3 November). COP26: What do the poorest countries want from climate change? BBC.

BBC. (2021, 13 November). What is COP26 and what is being agreed at Glasgow climate conference?

Gawel, Antonia. (2016, 3 May). 4 lessons from Bhutan on the pursuit of happiness above GDP. We Forum.

McCarthy, Julie. (2018, 12 February). The Birthplace of ‘Gross National Happiness’ is Growing a bit Cynical. NPR.

Chakravarty, Rashmi. (2019, 12 October). Lessons We Can Learn From Bhutan; The Happiest Country In The World. ED Times.

Rao, Kavitha. (2016, 24 September). How Bhutan became the world’s greenest country. Live Mint.

Rodzi, Tuty Haryanti Ahmad. (2021, 4 May). Litupan kawasan berhutan negara bertambah 2.6 peratus. Berita Harian.

Wangmo, Choki. (2020, 18 November). Bhutan’s electricity export grows but fossil fuel import rises. Kuensel.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.