Bertitik tolak daripada komen seorang pelakon popular berkenaan Dunkirk dan melihat komen-komen dalam artikel Dunkirk, saya ingin melihat sejauh minat orang kita terhadap sejarah dan saya dapati masih ramai yang meminati genre tersebut. Dari satu segi, ini satu perkembangan yang bagus kerana orang kita sudah mula menunjukkan minat pada filem-filem sejarah. Tetapi pada masa sama, saya rasa sedih bila mana filem atau drama televisyen sejarah masih dipandang sepi oleh sesetengah pihak. Semua rasa bercampur baur bila memikirkan nasib filem atau sejarah ini.
Kalau diikutkan, filem-filem sejarah ini tidak ada elemen penceritaan biasa yang mendapat tempat di hati peminat. Yalah, filem yang berdasarkan fakta tidak ada rencah konflik percintaan seperti yang dipaparkan dalam drama fenomena seperti Suri Hati Mr. Pilot, Hero Seorang Cinderella, 7 Hari Mencintaiku dan Love You Mr. Arrogant. Sebenarnya, ada satu filem yang saya fikir bersesuaian dengan konflik sebegini iaitu Lembing Awang Pulang ke Dayang (Majed Salleh) yang menampilkan Farid Kamil dan Siti Elizad. Ia berdasarkan peristiwa tragis yang berlaku pada hujung abad ke-18. Tetapi filem tersebut gagal mendapat sambutan di pawagam kerana dianggap tidak bersesuaian dengan selera peminat pada ketika itu. Lucu, elemen sama yang ditolak pada tahun 2009 kini menjadi kegilaan dalam kalangan peminat filem atau drama tempatan dan antara elemen biasa yang meningkatkan populariti filem atau drama tersebut.
Satu perkara yang harus disedari peminat ialah pembikin filem sejarah mahu fokus filemnya berkisar kepada peristiwa atau tokoh-tokoh berpengaruh. Mereka tidak mahu penonton dikelirukan dengan plot penceritaan kurang penting atau watak bersifat tempelan semata-mata. Contoh paling mudah, filem Dunkirk (Christopher Nolan) yang sedang ditayangkan ketika ini. Ketika sesetengah artis mempertikai kualitinya, perlu diingat fokus Nolan ialah peristiwa pemindahan keluar tentera-tentera Pasukan Ekspedisi Britain (BEF) dari Dunkirk semasa perlaksanaan Operasi Dynamo. Dan apa yang berlaku dalam durasi dua jam itu hanyalah secebis tentang apa yang berlaku sepanjang lapan hari operasi tersebut berlangsung.
Nolan boleh saja mengembangkan lagi watak askar-askar muda yang terperangkap di situ termasuk Harry Styles tetapi beliau tidak melakukannya kerana bimbang pengembangan watak tersebut mengganggu fokus penonton pada Dunkirk. Begitu juga dengan filem Hacksaw Ridge (Mel Gibson) dan Leftenan Adnan (Aziz M. Osman). Kedua-dua pengarah, Gibson dan Aziz mengembangkan kedua-dua watak utama filem mereka, Desmond Doss (Andrew Garfield) dan Leftenan Adnan Saidi (Hairie Othman) yang menjadikan mereka wira dan patriot di Amerika Syarikat dan Malaysia amnya. Bila mana sesebuah filem terutama filem sejarah ada hala tuju yang betul, ia membantu penonton memahami emosi yang dialami protagonis dan kesan peristiwa yang dialami mereka. Maka tidak hairanlah, filem-filem yang mengangkat prinsip penceritaan yang tepat mendapat sambutan hangat di pawagam, ada sampai dilaung-laungkan punya potensi menggondol anugerah utama. Bagi yang meminati filem bertemakan Perang Dunia Kedua (WWII), pasti nama Saving Private Ryan (Steven Spielsberg), Hacksaw Ridge, Fury (David S. Goyer) dan terkini, Dunkirk meniti di bibir masing-masing. Bagi industri kita sendiri, kita boleh berbangga dengan kejayaan Sarjan Hassan (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) dan 1957: Hati Malaya (Datuk Shuhaimi Baba). Tapi orang kita lebih memandang kepada nilai komersial, bukan nilai penceritaan yang ditawarkan.
Pelik benar bila sesetengah orang kita masih terperangkap dengan stereotaip populariti boleh menarik penonton datang ke panggung. Kalau kualiti penceritaan bersifat rendah, sehebat mana nama yang diambil untuk menarik minat penonton, ia takkan ke mana. Populariti tersebut harus seiring dengan kualiti penceritaan yang ditawarkan. Contohnya, Saving Private Ryan. Kualiti penceritaan yang bagus ditambah dengan lakonan mantap Tom Hanks sebagai ketua unit Kapten John H. Miller menyebabkan filem tersebut mendapat banyak pencalonan dan anugerah di peringkat antarabangsa seperti Anugerah Oscar untuk Pengarah Terbaik dan Sinematografi Terbaik dan kutipan pecah panggung $481 juta. Bagi kita sendiri, kita pernah menyaksikannya satu masa dulu. Filem Sarjan Hassan mendapat sambutan hangat sebaik ditayangkan di panggung.
Lucu bila ada mengatakan filem sejarah hanya berkisar kepada perang semata-mata. Hakikatnya, banyak lagi filem bergenre sejarah tetapi mengambil latar masa dan tempat berbeza. Tak perlu pandang jauh-jauh, tengok saja Ola Bola yang ditayangkan tahun lepas. Mengambil inspirasi daripada kejayaan pasukan bola sepak negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, ia menggamit nostalgia para peminat terutama peminat bola sepak yang merindui pencapaian silam dapat diulangi oleh generasi sekarang. Bagi peminat sukan ragbi terutama pasukan Afrika Selatan, pasti anda takkan melupakan kejayaan Springboks menjulang Piala Dunia 1995 seperti yang digambarkan dalam Invictus (Clint Eastwood) lakonan Morgan Freeman dan Matt Damon.
Kita sebenarnya ada banyak peristiwa sejarah yang boleh diadaptasi dalam pelbagai medium cuma adakah kita mampu ubah stereotaip masing-masing? Sebab saya tahu, sesetengah menolak filem kita kerana menganggap ia tidak meliputi semua atau pandangan mereka dipandang sepi. Atas sebab itu, ada yang terbitkan versi alternatif dengan niat menunjukkan peranan mereka dalam sesebuah peristiwa. Tapi berbaloikah ia berbuat demikian atas sebab nak kukuhkan hujah masing-masing? Contoh, tidak lama dahulu, ada satu produksi menerbitkan sebuah filem yang mengangkat komunis memainkan peranan membebaskan negara dari penjajahan Jepun. Namun, kerajaan mengambil keputusan mengharamkan filem tersebut atas sebab menjaga sensitiviti orang ramai. Ini kerana seperti semua sedia maklum, keganasan Parti Komunis Malaya (PKM/CPM) semasa negara menuju ke arah kemerdekaan amat menggugah perasaan terutama veteran tentera yang berjuang semasa era Darurat. Keganasan mereka seperti yang dipaparkan dalam filem Bukit Kepong (Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin) bukan boleh dipadamkan seumpama memadam tulisan pen marker pada papan putih, dan siapa tak boleh lupa bantahan sebuah parti politik tentang satu adegan dalam filem Tanda Negara (Datuk Shuhaimi Baba) yang mengatakan adegan tersebut memfitnah pemimpin parti tersebut. Padahal rekod sejarah menyatakan apa yang berlaku dalam adegan tersebut memang betul berlaku.
Dan satu perkara yang membuatkan orang enggan melayan filem sejarah ialah lesen artistik yang digunakan semasa pembikinan filem. Ya, ini bukan sesuatu yang asing dan ia menjadi sumber kekecewaan ramai. Tetapi ada sebab lesen artistik ini digunakan iaitu menambah kesan dramatik dalam sesebuah filem selain menguatkan lagi kesan penceritaan kepada penonton. Memang diakui sesetengah filem menggunakan lesen artistik secara keterlaluan tetapi secara tidak langsung, bukankah itu mendorong peminat belajar dan mengetahui fakta sebenar? Contoh paling mudah, Kingdom of Heaven (Ridley Scott). Terlalu banyak kesalahan fakta dalam filem tersebut seperti hubungan Sibylla dengan Balian dan kaitan Guy de Lusignan dengan Knights Templar. Begitu juga dengan Leftenan Adnan di mana banyak kontra adegan dengan fakta sebenar. Dalam adegan terakhir, Jeneral Tomoyuki Yamashita (mendiang Rambo Chin) memuji keberanian Allahyarham kerana begitu gigih mempertahankan kubunya. Namun kalau ikut rekod sebenar, Yamashita atau Harimau Malaya amat berang dengan Allahyarham kerana membunuh terlalu ramai askar Jepun semasa mempertahankan Bukit Candu dan Bukit Pasir Panjang. Perkara sama turut berlaku bila mana membabitkan cara Allahyarham dibunuh. Dalam filem tersebut, Allahyarham dikatakan diikat pada pokok dan ditikam sampai mati oleh pihak Jepun. Namun, rekod British dan Jepun menyatakan Allahyarham sebenarnya dipenggal dan mayatnya digantung secara terbalik pada sebatang pokok kerana kedegilan Allahyarham yang enggan mengaku kalah semasa berlawan.
Akhir kalam, bila mana kita melihat minat penonton tentang filem atau drama bergenre sejarah, minat itu sentiasa ada. Tetapi apakah minat tersebut dapat diterjemah dalam bentuk minat mempelajari dan mengaplikasikan pelajaran sejarah itu dalam kehidupan seharian? Jujurnya, minda orang kita masih melihat filem sebagai hiburan dan bukan sebagai batu loncatan untuk terus memperbaiki setiap aspek kehidupan masing-masing. Mungkin atas sebab itu, kita masih mengejar filem, drama atau sitkom yang bersifat picisan dan murahan daripada mengambil endah filem, drama atau sitkom yang bersifat membina minda. Pahit tapi benar.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih