Populariti Keluarga Rockefeller berputik susulan kejayaan John D. Rockefeller dalam perniagaan penapisan minyak. Beliau meninggalkan pengaruh luar biasa dalam industri petroliam, tidak lupa juga pada macam-macam inovasi teknologi yang diimarahkan.
Pada zaman kemuncak, John D. Rockefeller dianggarkan mempunyai harta sebanyak AS$300 bilion. Turun temurunnya boleh tahan berjaya juga. Cucunya Nelson Rockefeller menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat, dan membentuk kerajaan bersama Presiden Gerald Ford.
Nelson pula mempunyai tujuh orang anak. Dan anak kelimanya Michael sampai hari ini hilang tanpa ditemui.
Minat Membuak-buak
Michael Rockefeller mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam bab Sejarah dan Ekonomi daripada Universiti Harvard. Kemudian beliau menumpahkan bakti sebagai anggota tentera sebelum menyertai ekspedisi ethnologi di Indonesia.
Kira Michael sangat suka menjelajah sana sini untuk mengenali suku-suku pribumi luar Amerika. Memang ramai orang Amerika begini. Mereka adalah golongan yang tidak bermentaliti “Amerika adalah segala-galanya. Dan satu dunia kena pandai cakap Inggeris.”
Minat ini malangnya mengundang padah besar terhadap Michael. Pada 17 November 1961, beliau menaiki sebuah sampan panjang bersama pakar antropologi Rene Wassing. Ikut kiraan, kanu ini berada enam kilometer daripada pesisiran pantai apabila sampan tersebut tiba-tiba terbalik. Dua hari mereka berpaut pada sampan ini… sebelum Michael memberitahu Rene yang beliau akan cuba berenang ke pesisiran.
Tinggallah Rene seorang diri sampai esok hari apabila tibanya pasukan penyelamat. Disangka pasukan ini bergegas ke lokasi mereka selepas diberitahu Michael. Rupa-rupanya tidak. Michael tidak sampai persisiran langsung.
Spekulasi Menggila-gila
Dengar saja seorang Rockefeller hilang di Indonesia, memang bergegarlah media Barat. Zaman 1961 memang zaman media cetak. Hampir setiap syarikat akhbar bercerita tentang kes kehilangan Michael. Macam biasa, liputan-liputan ini mendatangkan banyak spekulasi kononnya Michael dibaham jerung atau buaya tembaga. Itu tidak apa lagi. Tiba-tiba datang dakwaan Michael menjadi mangsa pancungan pemburu kepala (headhunter) dan kanibal.
Memang pada masa itu, pemburu kepala dan kanibal ada di sekitar kawasan kaum Asmat (the Asmat people). Cerita begini menjadi sensasi betul. Rockefeller dimakan pribumi Indonesia. Faham-faham sajalah masa itu – asal libatkan Asia Tenggara saja, mesti ada unsur-unsur “ketidaktamadunan”. Tetapi sejauh manakah kebenaran di sebalik tuduhan rambang ini?
Siasatan Lapan Tahun Kemudian
Seorang juruberita bernama Milt Machlin pergi mencari kaum Asmat untuk menyiasat kehilangan Michael Rockefeller (Hoffman, 2014). Siasatan Machlin menutup cerita yang kononnya Michael masih hidup bersama “orang-orang hutan”. Akan tetapi, beliau menutup siasatan dengan dakwaan yang Michael memang dibunuh.
Kenapa Michael dibunuh? Sebab waktu itu pihak Belanda membunuh beberapa ketua suku di kampung berdekatan. Jadi mereka menuduh balik kononnya suku-suku tempatan membalas darah dengan “darah seorang kulit putih” (McNearney, 2021). Dengan erti kata lain, sensasi berita Michael berdiri di atas pentas “kemungkinan”. Mungkin itu. Mungkin ini. Atau dalam bahasa mudah, fitnah bukan main melampau kerana tiada bukti kukuh.
Siasatan Penutup
Pada tahun 1979, 18 tahun selepas kehilangan, penulis Paul Toohey membuat dakwaan terhadap ibu Michael. Katanya si ibu ada upah penyiasat peribadi untuk cuba selesaikan misteri gila ini. Dan penyiasat tersebut berjaya mendapatkan tiga tengkorak. Menurut ketua tempatan, tiga tengkorak ini adalah daripada lelaki kulit putih yang dibunuh suku terbabit. Dan si ibu yakin salah satu adalah Michael.
Sama ada betul atau tidak, perkara tersebut didiamkan. Tetapi berbalik pada persoalan asal: apakah Michael dimakan kaum Asmat? Persoalan ini dijaja antara mulut tanpa sebarang bukti. Mungkin kerana namanya Rockefeller itu yang disiasat habis. Kalau nama Zabedah, silap-silap dilupakan buat selamanya.
RUJUKAN:
Hoffman, C. (2014). What really happened to Michael Rockefeller? The Smithsonian Magazine.
McNearney, A. (2021, Jun 19). Rockefeller heir Michael Rockefeller disappeared in 1961. Some believe he drowned. Others say he was eaten by cannibals. The truth may be more complex and mysterious. The Daily Beast.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih