Bagi yang biasa menonton francais filem James Bond, pasti tahu peranan Q sebagai pembekal peralatan dan kenderaan canggih untuk perisik tersebut. Antara kenderaan dan peralatan yang dibekalkan Q ialah Aston Martin DB5 (Sean Connery dan Daniel Craig), Lotus Esprit yang boleh bertukar sebagai kapal selam (Sir Roger Moore) dan pen mele.t.up (Pierce Brosnan). Tetapi di dunia sebenar, Q tidak akan perkenalkan ini: pen air mani!
Semasa tahun-tahun Pe.ra.ng Dunia Pertama (WWI), ketua Biro Perkhidmatan Rahsia (BPR) (kemudiannya dikenali sebagai MI6) ketika itu Sir Mansfield Smith-Cumming mencari kaedah terbaik untuk komunikasi rahsia dengan para perisiknya. Lantas pada 1915, beliau mengarahkan sekumpulan saintis dari Universiti London untuk mengkaji dan menghasilkan pen halimunan terbaik untuk BPR.
Jadi, mengapa usaha ini digerakkan? Ini untuk mencari alternatif lemon sebagai dakwat halimunan. Ini kerana walaupun berkesan sebagai dakwat, ia boleh dikesan menerusi larutan iodin. Dan pihak musuh juga tahu cara terbaik mengesan surat ini ialah menerusi bau lemon pada surat yang digunakan.
Sementara kajian sedang dijalankan di London, salah seorang perisik BPR mendapati air mani tidak boleh dikesan oleh iodin. Lantas, si polan melihatnya sebagai dakwat halimunan terbaik untuk komunikasi rahsia sesama perisik. Penemuan tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Smith-Cumming.
Bagi para perisik lain, ramai menyangka ianya merupakan satu gurauan. Untuk mengelak ia berterusan menjadi bahan ketawa, ketua BPR itu mengarahkan sampel air vagina wanita diuji untuk perkara sama. Dan siapa sangka, ia berfungsi sebagai dakwat halimunan.
Walaupun berfungsi dengan baik sebagai dakwat halimunan, ia mempunyai satu kelemahan besar. Surat yang ditulis dengan air mani perlu dihantar kepada penyelia mereka dalam tempoh sehari. Jika melebihi tempoh yang dinyatakan, maka ia boleh menyebabkan surat yang dihantar berbau busuk. Justeru, sebarang surat yang dihantar mestilah menggunakan dakwat air mani baru dan segar untuk setiap penghantaran.
Disebabkan isu ini dan hakikat ia mendiskriminasi perisik wanita, idea menggunakan air mani sebagai dakwat halimunan ditinggalkan. Menjelang 1940. pasukan Eksekutif Operasi Khas (SOE) British menyenaraikan kriteria dakwat halimunan terbaik untuk digunakan di lapangan. Kriteria tersebut ialah:
- Mudah dicampurkan dengan air
- Kaedah mudah dan tidak rumit
- Tidak menghasilkan bau aneh (maaf, air mani tidak diterima)
- Tidak dikesan oleh iodin atau apa-apa bahan yang boleh mengesan dakwat halimunan
- Tidak kelihatan bila disuluh lampu ultraungu.
- Tidak menukar warna kertas apabila mesej ditulis di atasnya
- Tidak kelihatan bila didedahkan kepada haba
- Bahan mudah didapati dan mempunyai sekurang-kurangnya satu fungsi asas
- Bukan bahan yang tidak stabil.
RUJUKAN
White, C. (2019, 13 Mac). Yes But Did British Spies REALLY use Semen as Invisible Ink?. W.a.r History Online.
Felton, J. (2021, 22 September). “Every Man Has His Own Stylo”: British Spies Used To Have A Very NSFW Way Of Communicating. IFLScience.




No comments yet