Saya tidak ada masalah dengan gerakan #MigranJugaManusia. Ada inti dalam perjuangan mereka itu saya puji dan patut diangkat. Cumanya, bila percubaan untuk menyatakan bahawa Parameswara, yang merupakan bapa Tamadun Melayu sebagai pelarian demi mempertahankan golongan pelarian dalam negara kita adalah tidak kena sebenarnya.

Tidak ada yang salahnya pada mempertahankan nasib pelarian Rohingya di negara kita, tetapi setiap satu perkara harus diletakkan pada tempatnya. Misalnya menyamakan Parameswara dengan pelarian Rohingya.

Kenapa saya mengatakan sedemikian? Sebab sesungguhnya Parameswara, pengasas Kesultanan Melayu Melaka itu memiliki prestij tersendiri untuk disandingkan sebagai pelarian. Mana mungkin pengasas salah sebuah tamadun paling gemilang bangsa Melayu tiba-tiba diletakkan sebagai setaraf pelarian.

Pertama, kita perlu perhalusi definisi pelarian itu sendiri. Pertama, istilah refugee dari sudut sejarah itu sendiri datang daripada Bahasa Perancis Kuno, iaitu refuge yang bermaksud “tempat menyorok.” Dalam sejarah, terdapat beberapa buah undang-undang yang menepati seakan-akan undang-undang refugee moden, tetapi tidaklah setepat konvention 1951.

Antara undang-undang tersebut adalah apabila Aethelberht daripada England yang meletakkan gereja sebagai tempat untuk mendapatkan perlindungan bagi mereka-mereka yang tertindas pada abad ke-7 Masihi. Namun, ia masih belum cukup untuk menepati istilah refugee moden sebab sempadan geografi moden masih belum wujud. Kerana ketika itu, orang tidak perlukan pasport untuk masuk ke mana-mana wilayah sehinggalah sekurang-kurangnya pada lewat abad ke-18.

Definisi pelarian pada zaman moden hari ini ialah pada tahun 2011, seperti mana yang dinyatakan seperti berikut oleh UNHCR: “…who are outside their country of nationality or habitual residence and unable to return there owing to serious and indiscriminate threats to life, physical integrity or freedom resulting from generalized violence or events seriously disturbing public order.”

Jadi, Rohingya, pelarian Syria, Bosnia dan seumpama dengannya mendapat gelaran pelarian adalah kerana mereka terusir daripada negara mereka. Apakah Parameswara menepati istilah pelarian pada zaman moden apabila ada sesetengah pihak diluar sana cuba menyamakan raja ini dengan pelarian moden?

Untuk menyatakan bahawa Parameswara sebagai pelarian, apakah ketika itu sudah wujud sempadan geografi moden yang membentuk sebuah “country” di Kepulauan Melayu serta kalau benar sudah wujud, boleh berikan kepada saya keluasan “country” Parameswara yang dilanggar oleh Majapahit? Apakah ketika itu sudah wujud semangat kebangsaan (nationality) yang wujud seperti lewat zaman koloni yang membentuk istilah negara moden seperti hari ini?

Kedua, kalau kita tidak dapat membuktikan sempadan geografi ketika itu, adalah sukar untuk mengatakan seseorang itu “outside of his country” kerana macam yang saya perkatakan, mereka tidak melihat dunia seperti mana kita melihat dunia hari ini. Ketika itu tidak wujud sebarang kad identiti atau PASPORT yang mengatakan anda ialah rakyat Palembang atau Singapura Tua (tempat lain yang turut dibahaskan sebagai asal usul Parameswara).

PASPORT ini sangatlah penting dalam meletakkan identiti kebangsaan anda. Kalau ikut sejarah, sesuatu yang bentuknya seakan-akan pasport, atau permulaan kepada pasport moden adalah dimulakan oleh King Henry V of England yang menuntut rakyatnya mempunyai dokumen untuk membuktikan rakyat mereka sebagai rakyat England apabila berada di tanah asing. Boleh rujuk pada 1414 Act of Parliament England ketika itu. Ia hanya kemudian pada 1548 barulah diwajibkan untuk setiap rakyat England mempunyai dokumen rasmi ketika mengembara ke tanah asing.

Pasport pertama Jepun pada sekitar 1866
Contoh pasport Uthmaniyah.

Hanya pada Perang Dunia Pertama barulah kita dapat melihat bagaimana papsort diperlukan untuk memasuki sempadan kerana ketika itu apabila British cuba untuk mengawal populasi imigrant yang cuba masuk ke dalam negaranya. Hanya pada 1920 di mana PBB membuat persidangan membincangkan tentang pasport sebelum hanya pada 1980 setiap pasport setiap negara diseragamkan.

Oh bercakap tentang sempadan, ia sangatlah penting dalam hal ini. Apakah ketika itu Parameswara sudah mengenali istilah sempadan seperti mana yang kita kena kenali hari ini? Apakah apabila Parameswara menjejakkan kaki ke Tanah Melayu ketika itu, dia sudah memasuki negara baru di mana dia diminta untuk mempersembahkan pasportnya, menghadapi pemeriksaan sempadan oleh kastam dan tentera yang bertugas? Apakah ketika itu di Melaka sudah ada kerajaan sah atau negara yang sah seperti mana Rohingya lari dari Myammar lalu ke Malaysia yang merupakan negara bebas dengan undang-undang, sempadan geografi moden serta sama ada terikat pada perjanjian dengan UNHCR?

Atau apakah ketika itu Parameswara melihat Kepulauan Melayu ini bukanlah sebagai negara yang berasingan seperti kita hari ini kerana Malaysia, Tanah Melayu dan Indonesia tidak akan wujud tanpa Anglo-Dutch Treaty of 1824 di mana dua penjajah ini dengan tidak tahu malunya membahagikan sebuah wilayah yang dianggap satu ini kepada dua tempat yang berasingan, memisahkan adik-beradik, memisahkan keluarga, memisahkan tanah dan budaya yang sama menjadi dua entiti asing yang kemudian mewarisi sengketanya sehingga hari ini. Kalau ya, bagaimana tiba-tiba Parameswara boleh mendirikan sebuah kerajaan secara tiba-tiba?

Sebelum wujud perjanjian ini, wilayah di Nusantara ini dianggap sebuah wilayah yang satu. Kebudayaan, bahasa, genetik, semuanya adalah sebuah keserumpunan. Jadi, Parameswara ketika itu tidaklah lari ke negara lain untuk menepati definisi refugee dalan Konvensyen 1951 kerana ketika itu, wilayah Nusantara ini adalah satu. Buktikan pada 1400 atau tarikh lebih awal 1262 kononnya Melaka terbentuk, betapa setiap orang di Kepulauan Melayu menganggap bahawa Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Pulau Jawa sebagai sebuah negara yang berasingan.

Dalam sejarah raja-raja Melayu, bukan Parameswara seorang sahaja yang “lari” akibat kalah perang, tewas dalam perebutan takhta politik dan sebagainya. Balaputradewa, seorang Maharaja Melayu Srivijaya yang tersingkir ke Sumatera dari Pulau Jawa selepas kalah dalam permainan politik takhta Sailendra.

Ohh dia bukan refugee kerana kalian melihat Sumatera dan Pulau Jawa ialah sebuah wilayah Indonesia bukan? Samalah juga macam kalian melihat Sultan Mahmud lari ke Johor selepas Melaka ditakluk oleh Portugis dan membina Kesultanan Johior di sana? Oh Sultan Mahmud bukan refugee ya pada pandangan kalian semua sebab ikut sempadan geografi moden, Melaka dan Johor dalam satu negara iaitu Malaysia?

Ini sangat penting sebab istilah refugee yang dilekatkan pada pelarian Rohingya adalah berdasarkan konvensyen 1951, di mana istilah nationality dan country di dalamnya adalah berdasarkan definisi moden. Perlu kita ingat bahawa Parameswara itu sendiri ialah Putera Empayar Melayu Srivijaya. Empayar Srivijaya ini merangkumi sebahagian pulau Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan juga sebahagian Borneo. Jadi, ketika peristiwa Majapahit menyerang sama ada Temasik atau Palembang (bergantung kepada mazhab sejarah yang anda anuti mengenai asal-usul Parameswara), Parameswara masih bergerak dalam wilayah kekuasaan Dinasti Srivijaya itu sendiri.

Wilayah kekuasaan keluarga pemerintah Srivijaya Parameswara.

Justeru, saya nak tegaskan di sini bahawa Parameswara tidaklah melarikan diri dari negaranya, untuk menepati definisi paling asas seorang refugee itu sendiri, tetapi Parameswara adalah sekadar bergerak dalam wilayah kekuasaan dan wilayah tempat tinggalnya. Ia seperti hari ini apabila Kedah ditakluk oleh Siam, lalu kau membawa diri ke Perak. Atau mungkin ketika Lahad Datu dilanggar Sulu, kau ke kawasan yang berhampiran dengan Lahad Datu untuk menjamin keselamatan kau.

Lagipun kebiasaan dalam sejarah, bukan dalam sejarah Melayu sahaja, seorang raja itu tidaklah menabalkan dirinya sahaja. Ia adalah peranan pembesar dan rakyat sendiri menabalkan mereka. Demang Lebar Daun yang menabalkan Sang Sapurba sebagai raja berdasarkan perjanjian antara mereka masih diingati sehingga ke hari ini. Demang Lebar Daun dianggap mewakili suara ribuan rakyat berjanji dengan Sang Sapurba sebelum Sang Sapurba menjadi raja. Sang raja haruslah berlaku adil manakala rakyat haruslah setia selagi raja adalah seorang yang adil, atau itulah bentuk perjanjian antara mereka berdua.

Dalam karya fiksyen yang boleh memudahkan gambaran kita, House Stark dalam Game Of Thrones ditabalkan sebagai raja. Robb Stark mahupun Jon Snow ditabalkan oleh para bangsawan untuk menjadi raja. Para bangsawan sendiri melutut dihadapan Stark, sambil menjulang pedang dan memanggil Stark sebagai raja.

King in The North!

Kalau taraf Parameswara itu seperti pelarian zaman moden yang cuba disamakan dengan Parameswara, nescaya bangsawan-bangsawan Melayu tidak akan menabalkannya sebagai raja ketika di Melaka. Nescaya rakyat Melaka tidak akan menyatakan taat setia mereka kepada Parameswara. Ini juga bermaksud Parameswara mempunyai claim sendiri ke atas Melaka seperti keturunan raja, daulat empayarnya yang pernah sampai ke sana yang dianggap kukuh oleh rakyat dan orang Melaka sendiri. Kalau tak rakyat dan pembesar setempat tersebut tak akan akur dari segi politik.

Kesimpulannya, saya tidak merasakan Rohingya dan juga Parameswara ialah satu perbandingan yang tepat seperti mana yang diperkatakan oleh netizen kerana situasi antara dua entiti sendiri sudah berbeza seperti mana yang saya bahaskan di atas. Mereka dari zaman yang berbeza yang memandang dunia dari sudut yang berbeza daripada kita hari ini.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.