“Sekiranya Alexander itu seorang wanita, nescaya aku akan menjadikan dia sebagai perempuan simpananku.” — Napoleon Bonaparte
Begitulah bunyinya baris rangkap yang telah mencemarkan imej Maharaja Napoleon Bonaparte dan Tsar Alexander I dalam sejarah. Namun apa sebenarnya kebenaran di sebalik baris ayat ini tiada siapa yang tahu.
Tapi tak salah kalau kita membuat kesimpulan, namun haruslah kita fahami latar belakang di sebalik peristiwanya dahulu. Ia bermula dengan kekalahan tentera Rusia dalam menentang pencero.bohan Perancis pada tahun 1807.
Napoleon Bonaparte, Maharaja Empayar Perancis, melakar kejayaan dalam siri kemenangan yang megah dari Austerlitz ke Jena dan Friedland di mana dia telah mengalahkan tentera Austria, Prusia dan Rusia.
Pada bulan Jun 1807 setelah tentera Rusia dikalahkan di Friedland, pasukan tentera berkuda Perancis menduduki Tilsit (kemudian Sovetsk) di Sungai Nieman, yang bersempadan antara wilayah Prusia dan Rusia di Poland.
Tentera Rusia tidak mampu lagi untuk meneruskan pertem.puran dan Tsar Alexander I mengusulkan rundingan damai diadakan antara dia, Napoleon dan Raja Frederick William dari Prusia.
Melihat usul ini sebagai satu peluang untuk menstabilkan kedudukannya yang dominan di Eropah barat dan tengah, dan peluang untuk memencilkan Britain, Napoleon akhirnya bersetuju untuk mengadakan rundingan damai.
Alexander memerintahkan utusannya untuk memberitahu Napoleon bahawa hubungan sekutu antara Perancis dan Rusia “akan menjamin kebahagiaan dan keamanan seluruh dunia”.
Bagi memastikan rundingan itu berlangsung secara neutral, maka tapak lokasi rundingan ini diadakan di atas rakit besar yang dibina dengan tergesa-gesa oleh pihak Perancis yang menempatkan dua khemah besar berwarna putih dan lokasinya tepat di tengah-tengah sungai yang menjadi sempadan Prusia dan Rusia.
Khemah utama tertera huruf ‘N’ yang besar berwarna hijau di atasnya menghadap ke pinggir sungai bahagian Perancis dan huruf ‘A’ menghadap ke bahagian Rusia. Malang bagi Prusia kerana tidak ada persediaan ruang untuk raja mereka, dan mereka mendapat layanan kelas kedua. Para peserta rundingan dibawa menaiki sampan menuju ke rakit untuk pertemuan pertama pada 25 Jun.
Sampan Perancis dikayuh sepantas mungkin agar Napoleon boleh sampai ke rakit terlebih dahulu dan boleh menyambut Tsar Alexander ketika ketibaannya. Alexander dilaporkan berkata, “Yang Mulia, saya juga membenci orang Inggeris sama seperti kamu dan saya bersedia membantu dalam sebarang usaha menentang mereka.”
Napoleon menjawab, “Jika begitu, semuanya boleh diselesaikan dengan cepat antara kita dan keamanan boleh dicapai segera.”
Rundingan ini berlanjutan selama beberapa hari, disulami dengan acara hiburan pada waktu malam, dengan Napoleon dan Alexander menginap di Tilsit, makan bersama setiap hari dan sering berbual berdua-duaan sahaja hingga tengah malam.
Bukan itu saja, mereka berdua juga dilihat saling berpelukan setiap kali mereka bertemu, berjalan sambil berpegangan tangan dan bertukar-tukar cravat (tali leher abad ke-19) dan sapu tangan.
Alexander bahkan memerintahkan Gereja Ortodoks Rusia untuk menarik balik anatematisasi (salah satu bentuk pengucilan dengan melabel sasaran tertentu) terhadap Napoleon pada tahun 1806 yang melabelkan Napoleon sebagai seorang Anti-Christ (Dajjal).
Manakala Napoleon dilaporkan pernah menulis surat kepada Ratu Josephine yang merupakan isterinya dengan baris ayat berbunyi: “Sekiranya Alexander itu adalah seorang wanita, nescaya aku akan jadikan dia sebagai perempuan simpananku.”
Sesetengah pihak percaya pada ketika itu Napoleon merancang untuk menceraikan Josephine demi mengahwini seorang ratu dari Austria sekaligus memberikan dia harapan untuk memiliki pewaris (dia dikatakan mencintai Josephine, tetapi dia sudah tua dan perlu memiliki pewaris yang sah).
Lagipun kedua-dua suami isteri ini dalam diam-diam masing-masing ada hubungan sulit dengan orang lain berulang kali di belakang masing-masing sebelum itu, jadi ia tak dianggap sebagai satu isu yang besar.
Turut dilaporkan pada tahun 1801. Napoleon menulis surat kepada Ratu Josephine bahawa Ratu Louise dari Prusia adalah sangat menawan dan sering menggoda dia, tetapi ia langsung tidak mempengaruhi emosi Josephine.
Secara peribadinya Napoleon dan Alexander memang benar-benar akrab, mereka sering bertemu dan berbual begitu lama, adakalanya mereka menemui titik pandangan yang serupa dalam pelbagai isu politik dan sejarah dunia.
Namun kerana keperluan politik, Rusia terpaksa juga melepaskan hubungannya dengan Perancis dan tidak membatalkan sekatan sebagai langkah menarik sokongan terhadap Sistem Kontinental yang akhirnya mengakibatkan malape.taka pada tahun 1812 berlaku.
Tetapi terdapat satu lukisan yang memaparkan Napoleon dan Alexander sedang ‘bercomolot’ semasa pertemuan di atas rakit itu. Ini menambahkan lagi persoalan, adakah mereka berdua memiliki orientasi se.ksual yang songsang?
Gambar di atas adalah lukisan tersebut yang tidak diketahui asal usulnya, mungkin dibuat pada suatu ketika selepas Napoleon dan Tsar Alexander I bertemu untuk menandatangani Perjanjian Tilsit yang bersejarah tapi hanya buat sementara menyatukan Eropah setelah pencero.bohan Napoleonic pertama.
Walau bagaimanapun, maksud yang hendak disampaikan melalui lukisan ini masih tidak jelas, mungkin ianya satu bentuk propaganda yang memang bertujuan mahu meningkatkan populariti idea perjanjian itu atau Sistem Kontinental di kalangan orang Rusia.
Walaupun sejarawan secara umum melihat sifat saling bersama-sama menghargai ini sebagai proses pembinaan karakter kepahlawanan terhadap Alexander di mata rakyatnya, para warganet yang pertama kali mengetahui sejarah ini terus menyimpulkan ini sebagai budaya se.ksual yang tersirat.
Namun kesimpulan mereka itu membawa kepada penemuan budaya pop romantik yang setara dengan budaya politik RPF. RPF, atau Real Political Fiction adalah bentuk fiksyen peminat (fanfiction) yang sering dianggap sebagai budaya yang keji atau pemecah belah masyarakat kerana ramai yang menganggap ia mengganggu dan merosakkan kehidupan dan karakter figura sejarah yang sebenar.
Tetapi, budaya mencipta spekulasi mengenai kehidupan selebriti, artis, dan tokoh politik sebenarnya adalah salah satu tradisi yang sudah lama wujud dalam sejarah yang panjang.
Di antara pengagum Napoleon dan Alexander adalah adalah Tolstoy, di mana karyanya Wa.r and Peace yang terkenal itu dipenuhi dengan banyak kisah fiksyen berkaitan kedua-dua maharaja bersejarah itu dengan kemesraan hubungan persahabatan mereka yang sukar difahami.
Mencium pipi tanpa kecenderungan se.ksual atau cinta sebenarnya sudah lama menjadi tradisi dalam pelbagai budaya, ia adalah tanda kasih sayang ketika memberikan salam atau ketika hendak berpisah. Ia diamalkan di Eropah, Timur Tengah (Dunia Islam) dan lain-lain.
Di Perancis, budaya ini dikenali sebagai faire la bise yang berasal dari budaya Rom. Ia merupakan tanda kasih sayang yang tak terhad hanya untuk keluarga dan rakan-rakan tetapi juga sebagai tanda persekutuan antara pemimpin, terutamanya pada saat yang tegang.
Napoleon dan Alexander masing-masing ingin menamatkan pe.rang yang merosakkan mereka, oleh itu ciuman Tilsit mungkin menandakan perdamaian mereka berdua.
Kadang-kadang budaya ini membuatkan seseorang akan merasa janggal, contohnya Mao Zedong yang dilihat selalu gelisah dan rasa serba salah untuk membalas pelukan Nikita Khruschev.
Pera.ng Napoleon berlaku pada sekitar 200 tahun yang lalu, dan pandangan masyarakat terhadap amalan ‘ciuman keamanan’ telah banyak berubah. Walaupun mungkin ciuman itu datang dari rasa kasih sayang (Napoleon dan Alexander amat akrab ketika tidak berp.erang), kemungkinan besar ianya lahir dari rasa menghormati.
Napoleon kelihatan lebih menghormati Tsar Alexander berbanding kebanyakan pemimpin Eropah yang lain pada waktu itu, dan dengan itu mungkin menjadi logik dalam budaya mereka jika lelaki mencium sesama lelaki. Namun, budaya ini amat asing di kalangan orang Inggeris.
Walau bagaimanapun, hanya mereka berdua yang lebih mengetahui niat masing-masing. Ia mungkin lambang keamanan, mungkin juga propaganda, mungkin juga ia adalah templat meme lawak semata-mata.
Walau sejauh mana pun hubungan mereka berdua, ia masih tidak mampu mengatasi kepentingan politik empayar masing-masing kerana semuanya akan berakhir dengan pepe.rangan sekali lagi.
Perjanjian damai antara Perancis dan Rusia di atas rakit di Tilsit itu telah ditandatangani pada 7 Julai dan perjanjian antara Perancis dan Prusia pada 9 Julai. Rusia dan Prusia akan menyertai Sistem Kontinental.
Sistem Kontinental adalah satu gagasan sekutu yang akan melaksanakan sekatan yang bertujuan untuk meruntuhkan sektor perdagangan British, dengan menutup pelabuhan mereka terhadap kapal-kapal Inggeris dan kapal-kapal neutral yang terlibat dalam perdagangan dengan Inggeris.
Prusia menerima layanan yang penuh penghinaan dan memalukan, terpaksa menyerahkan wilayah untuk menubuhkan Grand Duchy of Warsaw yang baru untuk sekutu Napoleon, Raja Saxony, dan untuk Kerajaan Westphalia bagi adik bongsu Napoleon, Jerome Bonaparte.
Prusia juga terpaksa mengurangkan kapasiti tenteranya kepada 40,000 orang dan membayar nilai pampasan yang besar kepada Perancis sementara membenarkan pendudukan tentera Perancis hingga wang pampasan itu diserahkan.
Ratu Prusia yang miang itu dikatakan sangat tertekan dengan dasar ini sehingga dia pernah berlutut di depan Napoleon dan merayu diberikan hak konsesi, tetapi Napoleon dilaporkan menolak begitu saja.
Ramai tokoh Rusia dan Prusia yang berpengaruh menganggap perjanjian itu sebagai penyerahan yang memalukan, dan perjanjian itu tidak bertahan lama.
Pada penghujung tahun 1810 Alexander membuka kembali pelabuhan Rusia kepada kapal-kapal yang neutral kerana kerosakan yang dihadapi ekonomi Rusia akibat kesan dari tindakan menyertai Sistem Kontinental. Napoleon kemudian menye.rang kembali Rusia pada bulan Jun 1812.
RUJUKAN:
Hubert Zawadzki. (2009). Between Napoleon and Tsar Alexander: The Polish Question at Tilsit, 1807. Central Europe.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih