Naratif tentang ‘Melayu malas’ telah banyak kali dicabar di dalam Mitos Peribumi Malas oleh Syed Hussein Alatas.
Malam ini aku petik satu darinya; tulisan beliau ada merujuk kepada Robert K. Merton (1969) di dalam Social Theory and Social Structure, Bab 1, “Manifest and Latent Functions”, New York Free Press yang menulis tentang bagaimana ‘Inggeris memperkecilkan hak dan peluang orang Melayu untuk mengusahakan getah ketika zaman kolonial’.
Akan tetapi, tuan-tuan putih kolonial ini bagaimanapun sanggup pula ketika itu untuk melabur sebanyak mungkin untuk urusan logistik, kapal laut untuk mengangkut pekerja-pekerja dari India, mengupah broker-broker, menanggung risiko bencana di laut, ancaman lanun dan merentas jarak pelayaran yang jauh semata-mata mahu membawa para pekerja dari India ini bekerja untuk mereka di Tanah Melayu.
Ini adalah perkara biasa untuk tuan-tuan ladang Inggeris ketika itu hinggakan pada tahun 1908, direkodkan ada sejumlah 43,515 orang buruh India di ladang-ladang getah di Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Sedangkan mereka boleh sahaja menggaji orang Melayu yang pastinya lebih murah, mudah dan ramai terdapat di Tanah Melayu, sedia untuk bekerja (atau diperhambakan).
Jadi, mengapa mereka tidak menggaji pekerja Melayu ketika itu?
Alasannya mudah, ia kerana mereka mahu mengekalkan industri getah dalam lingkungan kolonial Inggeris. Jika Melayu diajar atau dibiar bekerja di ladang mereka, lambat laun Melayu ini pasti berhasrat untuk mengusahakan getah sendiri.
Apabila Melayu asal di tanah sendiri mengerjakan getah, pastinya ia berpotensi mengancam monopoli getah oleh Inggeris di Tanah Melayu yang akan mengancam monopoli pasaran getah dunia.
Apabila tidak mampu memonopoli, Inggeris pastinya tidak dapat mengawal pengeluaran getah yang sejak awal rakus dikerjakan oleh mereka dan dikaut mewah labanya.
Ini sekaligus bakal mendatangkan ketidakstabilan harga getah yang kemudiannya pasti menjejaskan kempen kolonisasi Inggeris serta Empayar British secara keseluruhannya.
Ia pastinya akan menggagalkan pendekatan ‘Colonial Capitalisme’, iaitu satu pendekatan para kolonial memastikan kesinambungan kolonial, yang asalnya dibawa oleh empayar masing-masing mengawal hasil ekonomi, sosio budaya dan politik tanah jajahan mereka. Dalam kes ini, kesinambungan koloni British dan empayar mereka ke atas hasil bumi dan sosio budaya, politik Tanah Melayu.
Getah diperkenalkan di Tanah Melayu pada 1888 oleh H.N Ridley, dan ia antara sumber paling penting menjana letusan industri 2.0 seperti industri automotif di Eropah dan Amerika yang memerlukan getah untuk tayar selain kegunaan bidang industri yang lain.
Perlu difahamkan, ketika itu juga Empayar British masih lagi bersaing dengan Empayar Uthmaniyyah dan Empayar Belanda untuk masing-masing terus kekal relevan di dalam era pasca Napoleon.
Warga Inggeris dan Scotland (masih di dalam Empayar British) memaksa gelaran Tuan Besar dan Tuan Kecil untuk mereka selaku pemilik-pemilik ladang, kerana pada zaman tersebut, hanya tuan berkulit putih sahaja boleh memiliki atau menjawat jawatan di atas jawatan kerani pejabat. Ia adalah polisi perkauman yang bertujuan mengecilkan potensi Melayu dan lain-lain bangsa di Tanah Melayu ketika itu untuk lebih maju di dalam pekerjaan masing-masing.
British menguasai pengeluaran getah di Tanah Melayu sepanjang tempoh sejak getah diperkenalkan di Tanah Melayu sehinggalah beberapa tahun selepas Merdeka. Amalan pecah dan perintah yang mereka terapkan ketika mula menjajah Tanah Melayu mengesankan hingga hampir tiada pekerja Melayu di ladang-ladang getah seluruh negata ketika itu dan bekalan pekerja masih dari kalangan pekerja India yang dibawa dari India.
Perlu diingat, pekerja India ini juga tidaklah digaji dengan lumayan atau mereka memilih sendiri untuk datang ke Tanah Melayu pada ketika itu. Ianya kerana kesempitan hidup di India lebih menakutkan, malah ramai yang kebuluran. Inggeris bertuan di India dengan kejam dan zalim sekali.
Ini disampaikan sendiri oleh penulis dan ahli politik India, Sashi Tharoor di dalam bukunya bertajuk Inglorious Empire: What the British Did to India yang menulis bahawa pada 1900, persaingan antara empayar dan cabaran letusan industri dunia menurunkan hasil British di dalam ekonomi dunia sekitar 2% sahaja. Namun katanya Revolusi Industri British dibina atas keruntuhan industri pembuatan di India. Beliau juga menulis tentang kezaliman British yang berterusan ke atas masyarakat India tentang apa yang beliau gelar sebagai ‘British colonial holocaust’ di India.
Ternyata, ‘Capitalist Colonialism’ lebih mengesankan India dan rakyatnya di bawah penguasaan British.
Ia mengorbankan sehingga 35 juta rakyat India mati dalam kebuluran, kebanyakannya terkorban dalam polisi dan dasar penjajah British ke atas mereka.
Malah ketika ‘Kebuluran Bengal’ pada 1943, Perdana Menteri Winston Churchill bukan sahaja tidak mengendahkan rayuan bantuan kemanusiaan kepada India, malah mengarahkan kapal yang mengangkut beras keluar dari Bengal dengan alasan supaya ia dijadikan bekalan, ‘buffer stock’ bagi tentera Eropah dalam kempen Perang Dunia Kedua.
Sehingga ianya berakhir, kebuluran tersebut telah membunuh empat juta orang Bengali, apa yang Chruchill sebutkan sebagai kesilapan atas bahu India kerana ‘breeding like rabbits’ (membiak seperti arnab).
Di Tanah Melayu sebenarnya enggan dikerah dan diperah di tanah sendiri. Melayu ketika zaman kolonial ‘malas’ disuruh-suruh dan jelek dipaksa-paksa oleh orang asing untuk bekerja dan ‘dimiliki’ oleh tuan-tuan putih.
Sebenarnya, sikap keras kepala inilah yang membawa kepada terciptanya naratif ‘Melayu malas’ itu tadi sedangkan malas adalah sifat universal yang berpotensi wujud mana-mana manusia tanpa mengira ras dan bangsa.
Sekiranya Melayu semulajadi bersikap malas, masakan Melayu sudah lama rajin mengerjakan bidang sawah dan kebun masing-masing, belayar meredah ombak dan lautan untuk membawa pulang hasil selepas seharian malah berminggu-minggu di laut demi hasilnya. Malah lama sebelum penjajah tiba, melalui kerajinan inilah Melayu mampu mencapai puncak ketamadunan yang agung; Empayar Langkasuka, Empayar Srivijaya dan yang kita semua kenal sebagai Empayar Kesultanan Melayu Melaka
Ini belum dikira kerajinan dan ketelitian mengerjakan kerja kayu pertukangan logam dan besi menghasilkan senjata, hasil ukiran, fabrikasi logam dan tekstil.
Melayu terkenal dengan keanggunan di dalam anyaman, tekad halus dan tenunan juga kegigihan menghasilkan makanan, ubatan dari sumber alam semulajadi yang pastinya tidaklah datang tanpa kerajinan berusaha tanpa henti dan kegagalan yang mendorong Melayu untuk berusaha dengan lebih kuat lagi.
Sememangnya, Inggeris melalui pendekatan ‘Capitalist Colonialism’ mereka berulangkali menggunakan naratif ‘Melayu malas’ untuk mengelakkan Melayu dari bekerja di ladang-ladang mereka. Supaya terus mudah diperlekeh dan diperkecil, dinafikan hak atas tanah sendiri oleh orang lain.
Supaya Melayu jauh dari ladang getah milik mereka, dalam masa yang sama terus mengerah dan memerah India yang tiada pilihan, jauh dari tanah asalnya, mudah dikawal untuk akur pada arahan dan telunjuk mereka mengabdikan diri pada ketuanan Inggeris ketika itu.
Supaya ianya kekal menjadi kekang yang akhirnya menjadikan ada Melayu yang bahkan percaya sehingga kini mereka malas dan tidak mampu berdikari.
*Empat gambar pertama ialah empat siri komik bertajuk ‘What Is Colonialsm?’ karya Zig Zag, terbitan asal di dalam majalah Broken Pencil (2015)
Gambar terakhir pula ialah gambaran ‘Mercantilist Argument’ iaitu konsep bagaimana koloni yang dikuasai pedagang-pedagang dan pengusaha yang terdiri dari para kolonial bersatu untuk membawa kekayaan dan kemakmuram sumber dari segenap koloni demi kepentingan negara atau empayar. Ia memberi juatifikasi mengapa pengembangan kolonial penting untuk kesinambungan empayar ini. Karya oleh Philip Dorf, Ancient and Medieval History, Oxford Book Company
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih