Saya tergerak untuk menulis artikel ini kerana terdapatnya tohmahan dari sesetengah pihak atau individu tertentu dari negara jiran yang mengatakan bahawa bangsa Malaysia tiada pejuang atau penentang terhadap penjajahan British. Mereka beranggapan bahawa negara Malaysia ini lemah dan lembik kerana Malaysia merdeka dengan cara yang aman dan tidak berlakunya konflik yang menumpahkan darah anak watan seperti negara mereka. Ternyata dakwaan bahawa kita tiada pejuang ini adalah spekulasi rambang semata-mata. Kita sebagai rakyat Malaysia sudah sedia maklum bahawa memang wujud penentangan terhadap pendudukan British di Tanah Melayu ini sejak awal lagi. Seharusnya orang seberang harus peka dengan sejarah negara serantau dan tidak membuat tuduhan melulu bagaikan orang tidak bersekolah.

Apa yang tidak difahami oleh masyarakat luar seperti dari negara seberang adalah mereka menganggap penjajahan Brtish di negara ini adalah penjajahan total sepertimana yang dilaksanakan oleh pemerintah Belanda di negara mereka. Di Malaysia British pada awalnya hanya meletakkan seorang residen yang bertindak sebagai penasihat kepada sultan dan tidak menggantikan sultan itu sendiri. Walaupun British menguasai ekonomi tempatan, namun mereka masih memelihara Institusi Kesultanan di Tanah Melayu. Hal inilah yang menyebabkan penjajahan British di Tanah Melayu lebih unik dan terkecuali berbanding dengan jajahan-jajahan kolonial yang lain di seluruh dunia.

Oleh sebab itu penentangan yang berlaku di Tanah Melayu dilihat sedikit berbeza dan terpencil berbanding dengan tanah-tanah jajahan yang lain contohnya Indonesia. Hanya apabila British mahu menubuhkan Malayan Union barulah berlakunya penentangan secara bersepadu dan menyeluruh oleh orang Melayu kerana institusi beraja mahu dihapuskan. Namun demikian, penentangan yang dibangkitkan orang Melayu tetap secara aman kerana pemimpin Melayu tahu bahawa perjuangan dengan cara kekerasan pasti akan merugikan semua pihak terutamanya orang Melayu sendiri.

Bagi membuktikan bahawa wujudnya penentangan terhadap penjajajahan British di Tanah Melayu maka kali ini saya akan menulis mengenai salah seorang pejuang nasional yang terkenal iaitu Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, atau lebih dikenali sebagai Dato’ Bahaman yang merupakan Orang Besar atau golongan bangsawan yang menentang penjajah British di Semantan, kawasannya di negeri Pahang, Tanah Melayu, yang merupakan tempat dimana saya dibesarkan.

Beliau telah diangkat sebagai salah seorang Orang Besar Berlapan dan dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan kerana telah menunjukkan sikap serta kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda baginda Wan Mutahir serta memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Selepas kematian Orang Kaya Indera Segara, Dato’ Bahaman telah dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya Temerloh. Dengan pangkat tersebut, kedudukan Dato’ Bahaman adalah sedarjat dengan Orang Besar Berempat dan seringkali diajak berunding oleh baginda Sultan Ahmad.

Perang Semantan

Punca utama Perang Semantan ialah ketidakpuasan hati Orang-orang Besar Pahang terhadap campur tangan British ke atas kawasan mereka. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan Dato’ Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato’ Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato’ Bahaman enggan ke Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan. Namun demikian tindakan ini sebenarnya bukanlah kehendak Sultan Ahmad sendiri kerana Dato Bahaman adalah rakan karib Baginda. Sebenarnya sultan telah dipaksa oleh pihak British dan diugut.

Tindakan itu menyakitkan hati Dato’ Bahaman. Keadaan ini menyebabkan beliau dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough di Sungai Semantan pada 15 Disember 1891 ketika beliau menyangka Desborough datang untuk menangkapnya. Dalam serangan tiba-tiba itu, pihak Desborough telah kalah dan mereka melarikan diri ke bandar Temerloh. Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai British Pahang menyediakan tentera untuk melawan penentang-penentang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato’ Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato’ Bahaman tetapi pihak British sekali lagi ditewaskan.

Bahaman juga mempunyai pembesar atau ketua tempatan sendiri untuk membantunya dalam urusan penentangan di daerah-daerah tertentu kekuasaannya ,seperti Penglima Besar Abd Majid ( Rantau Panjang ),Imam Perang Yaman ( Kuala Kaung ), Penglima Raja Awang Sabak ( Mempateh ) Imam Perang Weh ( Chempaka ), Tok Muda Bidin ( Teris ) , Tok Pemangku Din ( Bolok ). Dikatakan bahawa Imam Perang Weh dan Khatib Bidin telah syahid dalam peperangan di Kelubi, Batu Lima.

Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap.

Terdapat sumber yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu dalam pasukan British ini sebenarnya sengaja membawa tentera dan pasukan mereka ke arah yang bertentangan dengan tempat sebenar Dato Bahaman dan para pengikutnya berada. Hal ini kerana mereka dan juga Sultan Ahmad dengan senyap-senyap ingin membantu Dato Bahaman. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.

Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris. Pada Mei 1892, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.

Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Dato Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.

Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan operasi secara besar-besaran yang menelan belanja yang sangat banyak untuk memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan. Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1895 apabila Dato Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1896, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu. Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun dari 1891-1894 telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Memandangkan keadaan tidak selamat di Kelantan, Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah mengambil keputusan pergi ke Siam. Sebelum itu satu persetiaan telah dilakukan di Kg. Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah, dimana para pejuang bersumpah akan menggunakan nama lain dan tidak akan mendedahkan siapa diri mereka sebenarnya. Seramai 7 orang terlibat dalam sumpah persetiaan itu, iaitu Dato’ Bahaman (Panglima Kakap), Mat Kilau (Mat Siam, Mat Dahan, Mat Dadu, Mohamed Ibrahim), Mat Lela (Kilat Senja, Gong Poh), Mamat Kelubi (Tok Janggut).

Pada tahun 1911, Dato’ Bahaman telah ke Kelantan semula manakala Mat Lela pergi ke Indonesia, sementara 2 orang pejuang lagi telah meninggal dunia di Patani, Siam. Pada tahun 1920, Dato’ Bahaman balik ke Kuantan dan tinggal di Kg. Paya Lalang dengan memakai nama Lebai Deraman. Pada tahun 1926, Dato’ Bahaman berpindah ke Kg. Peramu dan dikenali sebagai Tok Guru Peramu. Mat Kilau pula dikatakan berpindah ke Kg Aur Rompin, Tanjung Medang, Kg. pasir Panjang, Kg. Batu Tering Pekan, Kg. Batu Lima Jalan Gambang. Mamat Kelubi dan Panglima Hitam tidak diketahui kisahnya. Dato’ Bahaman tinggal di Kg. Peramu sehinggalah kematiannya.

Jelas melalui penulisan ini bahawa tohmahan busuk individu tertentu dari seberang yang mengatakan bahawa orang Malaysia tiada pahlawan atau pejuang nasional adalah satu tuduhan yang tidak berasas. Dato Bahaman hanyalah salah seorang daripada ramai lagi pejuang-pejuang nasional Tanah Melayu yang telah bersusah payah memimpin rakyat tempatan untuk menentang ketamakan dan kerakusan penjajah mengaut hasil mahsul bumi Tanah Melayu ini untuk kepentingan mereka. Ramai dikalangan pengikut-pengikut Dato Bahaman yang juga terdiri dari orang biasa dan pemimpin masyarakat, yang syahid dibedil senapang British laknatullah.

Adakah mereka ini bukan pejuang yang mempertahankan tanah air mereka dan menumpahkan darah mereka? Ya, mungkin benar bahawa Indonesia mempunyai lebih ramai pejuang nasional yang menentang Belanda, namun hal tersebut tidak boleh disamakan dengan Malaysia atau Tanah Melayu kerana Indonesia wilayahnya lebih luas, lebih bermacam dan lebih banyak penduduknya. Adalah tidak adil untuk membandingkan kedua-dua negara ini kerana latar geopolitiknya juga adalah sangat berbeza. Sekian. Wallah hu a’lam.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) UKM. Bukan pakar sejarah tetapi peminat seumur hidup.

Leave A Reply