Kalau kita sembang pasal loghat Pahang, ramai yang ingat orang Pahang cakap sama macam orang KL.
Tapi ada juga pendapat kata loghat Pahang ikut daerah. Pekan lain, Temerloh lain, Kuala Lipis lain. Tapi kajian tunjuk, loghat Pahang ni bukan semata-mata ikut sempadan daerah, sebaliknya ikut aliran sungai.
Kenapa sungai? Dari dulu, sungai memang jadi nadi kehidupan orang Melayu. Sebelum adanya lebuh raya atau jalan kereta api, sungailah yang jadi laluan utama orang berpindah, berdagang dan membentuk pusat pemerintahan.
Sejarah banyak negeri Melayu boleh dibaca melalui sungai. Pahang misalnya, pusat pemerintahannya sejak dulu berada di Pekan, tepi Sungai Pahang yang besar.
Melaka pula bangun di tebing Sungai Melaka. Johor juga pernah berpangkalan di Sungai Muar. Bahkan sempadan negeri-negeri pun banyak ditentukan oleh sungai.
Pada awal abad ke-19, Sungai Bernam jadi garis sempadan Selangor dengan Perak, Sungai Linggi jadi sempadan Selangor dengan Negeri Sembilan dan Sungai Endau jadi sempadan Pahang dengan Johor. Jadi bila sungai boleh jadi sempadan politik, tak hairan ia juga jadi sempadan budaya dan bahasa .
Selama ini, ahli bahasa selalu pecahkan loghat Pahang kepada lapan subdialek ikut daerah iaitu Pekan, Temerloh, Kuala Lipis, Raub, Bentong, Rompin, Hulu Tembeling dan sebagainya.
Tapi pembahagian tu sebenarnya lebih dipengaruhi oleh cara kita tengok peta moden yang ikut garisan daerah dan negeri.
Realitinya, bahasa orang kampung dulu tak ikut sempadan pejabat daerah, tapi ikut lembangan sungai. Bila ahli linguistik buat kajian lapangan dan analisis bunyi dengan teliti, mereka dapati Pahang sebenarnya cuma ada dua subdialek besar iaitu Hulu Pahang dan Hilir Pahang .
Hulu Pahang merangkumi loghat yang ditutur di sepanjang Sungai Jelai dan Sungai Lipis, kawasan yang dalam sejarahnya dikenali sebagai Hulu Pahang.
Kawasan ni dulu diperintah oleh Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai, pembesar berpengaruh yang menguasai seluruh Sungai Jelai dan sebahagian Sungai Lipis.
Dalam dokumen sejarah Pahang, kawasan Hulu ni memang disebut sebagai wilayah tersendiri, penting dari segi politik dan ekonomi.
Hilir Pahang pula merujuk kepada loghat di kawasan sekitar Sungai Pahang, khususnya Temerloh yang berada di tengah-tengah negeri dan jadi titik pertemuan utama penduduk.
Perbezaan antara dua loghat ni mungkin tak ketara pada telinga biasa, tapi bila diperhalusi jelas nampak beza.
Contoh, perkataan “tulang”. Orang Hulu di Jelai atau Lipis sebut ringkas [tula]. Orang di Hilir Sungai Pahang sebut [tulɔŋ] atau [tulɔa], ada tambahan bunyi sengau atau gabungan vokal di hujung.
Perkataan “sungai” pula kalau di Jelai bunyinya [suŋɛ], manakala di Temerloh jadi [suŋɛɛ], hujungnya dipanjangkan.
Ada juga beza dalam bunyi diftong. Di Jelai, bunyi “kerbau” jadi [kəbɔ], tapi di Temerloh jadi [kəba] atau [kəbaː] dengan hujung vokal yang lain.
Kajian juga dapati sebutan di Lipis kadang-kadang lebih dekat dengan Hilir berbanding dengan Jelai, jadi ada kawasan “peralihan” yang menunjukkan pengaruh silang antara hulu dan hilir .
Kalau ditarik balik ke sejarah, perbezaan ni masuk akal. Hulu Pahang dulu memang kawasan pedalaman yang lebih tertutup, jadi bahasa yang ditutur lebih terjaga dan homogen.
Hilir Pahang pula khususnya Temerloh jadi titik perdagangan penting di sungai. Orang dari pelbagai daerah datang berkumpul, berdagang, berkahwin dan bergaul, lalu bahasa di situ lebih mudah bercampur dan berubah.
Sebab tu loghat Hilir Pahang ada ciri yang berbeza, malah ada pengaruh daripada loghat Terengganu di sepanjang pesisir pantai contohnya di Beserah.
Kesimpulannya, loghat Pahang tak boleh lagi dilihat semata-mata ikut daerah macam dalam buku teks lama. Hakikatnya, sungai yang menentukan sempadan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami untuk mempopularkan ilmu dan kebenaran kepada masyarakat umum.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham bahawa tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih





