Pada bulan Jun yang lepas saya telah menjumpai sebuah artikel (baca disini) yang diterbitkan oleh newsrescue.com, menyatakan bahawa biji aprikot mampu mengubati kanser, dan kanser bukanlah sebuah penyakit, tetapi simptom kekurangan nutrien. Jadi, pada kesempatan kali ini, saya ingin membincangkan mengenai dakwaan artikel tersebut.
Pertama sekali, saya rasa adalah perlu, untuk menjelaskan perkara perkara yang terlibat dalam perbincangan ini. Artikel newsrescue mendakwa bahawa kanser bukan sebuah penyakit:
You might not believe this but cancer is not a disease; it is a business.
Know this: there is no disease called cancer. Cancer consists of only a deficiency of vitamin B17. It is nothing else.
Fikiran saya apabila membaca mengenai dakwaan ini ialah, kepala hotak dia kanser bukan penyakit! Malah, penulis artikel tersebut meneruskan dakwaan dengan mengatakan bahawa kanser hanyalah kesan daripada kekurangan vitamin B17. Ini menunjukkan bahawa penulis mempunyai pengetahuan yang sangat kurang, malah salah mengenai penyakit kanser.
“Kanser bukanlah sebuah penyakit”; jika ditafsirkan daripada suatu perspektif, ya ia bukan sebuah, malah sejenis kumpulan penyakit. Masyarakat lazim menafsir bahawa kanser merupakan satu jenis penyakit, tetapi sebenarnya, kanser merangkumi pelbagai jenis penyakit dengan satu persamaan dalam ciri kemunculannya, iaitu mutasi terhadap gen sel badan.
Gen boleh dianggap sebagai pelan rumah ataupun kod perisian komputer, dan jika terdapat kesalahan atau perubahan yang tidak diingini (mutasi), sel tersebut akan bertindak di luar kawalan badan (sama seperti jika pelan rumah menunjukkan bumbung dipasang di bahagian tepi atau rumah tidak mempunyai tiang, semuanya akan jadi serabut dan di luar kawalan. Dan jika memakai analogi perisian komputer, boleh jadi ia akan bertindak di luar algoritma, dan tidak menamatkan perkiraan seperti virus trojan).
Lalu sel sel kanser akan bertindak di luar kawalan badan, bertindak seperti ia mengutamakan kemandiriannya sendiri. Ia mula membiak tanpa had, dan menarik salur darah ke arahnya agar dia mempunyai keutamaan dalam mendapat nutrien. Sel sel yang membiak akan membesar dan menghasilkan ketumbuhan (tumor). Tumor ini pula terbahagi kepada 2 jenis, benigna (tidak merebak) dan malignan (merebak)2.
Vitamin B17, atau nama sebenarnya amygdalin, bukanlah sejenis vitamin. Vitamin adalah bahan yang diperlukan dalam kuantiti yang sangat sedikit dalam usaha untuk melakukan proses fisiologi badan. Oleh sebab itu, nama vitamin berasal daripada singkatan “vital amine”. Tetapi mengikut konvensi terkini, vitamin tidak terhad kepada sebatian amina sahaja. Manusia boleh hidup sihat tanpa pengambilan amygdalin, oleh itu amygdalin tidak dikelaskan sebagai vitamin.
Terma vitamin B17 diperkenalkan oleh Ernst T.Krebs untuk melabelkan amygdalin dan laetril sebagai makanan tambahan dan bukannya bahan farmaseutikal. Hal ini mungkin bertujuan untuk mengelak peraturan bahan farmaseutikal yang ketat dikenakan oleh pihak kerajaan.
Amygdalin merupakan sebatian glikosida sianogenik. Glikosida adalah kumpulan sebatian yang mempunyai molekul atau rantaian karbohidrat terikat dengannya. Terma sianogenik digunakan untuk menunjukkan sebatian ini mempunyai kumpulan berfungsi nitril, -C≡N.
Masalah dengan amygdalin dan laetril berpunca dari kumpulan berfungsi nitril tersebut. Bahan bahan nitril akan ditukarkan kepada hidrogen sianida (bahan beracun) di dalam usus manusia3. Laetril, bahan kimia sintetik yang digunakan sebagai pengganti amygdalin juga bertindak sedemikian dalam usus manusia. Mengikut nilai dos kematian amygdalin (LD50), 50-80 biji diperlukan untuk membawa kematian kepada lelaki4 dewasa dan bilangan maksimum paling selamat ialah 3 biji untuk lelaki dewasa. Untuk kanak kanak pula ialah setengah biji5. Tetapi kandungan amygdalin dan hidrogen sianida mungkin berbeza beza dalam setiap sampel biji aprikot, dan mungkin ada biji aprikot yang mengandungi bahan ini secara berlebihan. Jadi pengambilan biji aprikot adalah sangat tidak digalakkan. Kerana ia merupakan sesuatu yang tidak perlu malah memudaratkan.
Badan manusia akan menguraikan sebatian sianida menggunakan enzim rhodanes. Bagi individu yang dilahirkan kurang berkebolehan untuk mengurai sianida, pengambilan biji aprikot akan menjadi sangat bahaya. Pengambilan vitamin C bersama biji aprikot pula akan memburukkan lagi keadaan, kerana vitamin C meningkatkan penukaran amygdalin dan laetril kepada sianida dan mengurangkan tahap cystein yang diperlukan untuk membuat enzim rhodanes. Hasilnya, lebih banyak sianida akan terkumpul di dalam badan pesakit yang mengambil vitamin C bersama-sama biji aprikot6.
Terdapat beberapa kes keracunan amygdalin dan laetril yang popular, antaranya kes melibatkan manusia dewasa7,8,9 dan beberapa kanak kanak10,11. Kanak kanak berisiko untuk mati, walaupun dengan pertolongan medikal yang rapi 10,11. Lasch & Shawa (1981) mendokumenkan 3 orang kanak kanak Gaza mati akibat keracunan sianida hasil pengambilan biji aprikot. Seorang wanita Australia menghidap penyakit diabetes insipidus selepas mengalami keracunan sianida, dipercayai hasil tindak balas badan untuk membuang amygdalin yang diambil olehnya24. Semua kes keracunan amygdalin dan laetril serupa dengan keracunan sianida.
Sebenarnya Ernst T.Krebs mengharapkan bahawa amygdalin menjadi bahan yang mampu mengubati kanser. Tetapi pelbagai kajian oleh saintis lain membuktikan amygdalin tidak berkesan dalam merawat kanser, malah menyebabkan keracunan sianida. Sebenarnya banyak bahan yang mempunyai potensi untuk membunuh sel kanser ditemui, tetapi bahan tersebut tidak sesuai kerana cirinya yang beracun. Seorang pensyarah saya di UIA dalam tesis masternya12, mengenal pasti beberapa bahan yang berpotensi mengubat kanser daripada pokok medang ketukur/balong, namun bahan tersebut juga tidak sesuai atas sifatnya yang toksik.
Amygdalin, seperti yang saya bincangkan pada perenggan di atas, menunjukkan potensi untuk merawat sel kanser dengan cara membataskan tumbesaran tumor14,15,16,17 dan membunuh sel kanser13,18 dalam keadaan in vitro (kultur makmal). Namun , tiada satu kes in vivo (sel di dalam organisme hidup) yang menunjukkan amygdalin dan laetril berjaya dalam melawan sel kanser23. Sebuah kajian hampir membuktikan amygdalin berjaya merawat kanser, namun, rupanya genom kuman pada tikus tersebut telah mempengaruhi metabolisme amygdalin, oleh itu kesan antitumor di dalam kajian ini telah dipersetujui bukan disebabkan oleh amygdalin19.
Atas sebab sebab yang telah dibincangkan di atas, saintis telah memutuskan bahawa amygdalin dan laetril yang boleh didapati di dalam biji aprikot tidak membawa apa apa manfaat perubatan20,21 malah menghalang kajian terperinci dilakukan terhadap manusia kerana sifat racun dan toksik bahan tersebut telah dibuktikan22.
Penulisan artikel newsrescue telah dipengaruhi oleh buku “A World Without Cancer” hasil penulisan G. Edward Griffin. Beliau mempunyai kelulusan peringkat ijazah dalam syarahan dan komunikasi. Beliau terkenal dengan penyebaran teori konspirasi. Antara penipuan lain yang disebarkan oleh Griffin selain amygdalin boleh mengubati kanser ialah penyakit AIDS bukan penyakit sebenar tetapi kesan ubat HIV. Tahniah Griffin, darah mereka yang tergadai disebabkan pengambilan amygdalin dan laetril di tangan awak.
Saya seru mereka yang mengambil biji aprikot untuk hentikan pengambilannya. Berhenti meracuni diri anda. Khabar yang menyatakan biji aprikot boleh mengubati bukan daripada saintis dan doktor, tetapi daripada seorang ahli konspirasi tanpa latar belakang sains dan perubatan.
Akhir kalam, saya tampar G. Edward Griffin dengan 24 rujukan saya.
Rujukan:
- Zehir, A., Benayed, R., Shah, R., Syed, A., Middha, S., & Kim, H. et al. (2017). Mutational landscape of metastatic cancer revealed from prospective clinical sequencing of 10,000 patients. Nature Medicine, 23(6), 703-713.
- King, R. (2000). Cancer biology(2nd ed.). Essex: Pearson Education.
- George Mann, Frederick; Charles Saunders, Bernard (1975). Practical Organic Chemistry (4th ed.). London: Longman. pp. 509–517.
- Adewusi, S., & Oke, O. (1985). On the metabolism of amygdalin. 1. The LD50 and biochemical changes in rats. Canadian Journal Of Physiology And Pharmacology, 63(9), 1080-1083.
- Taylor J, Roney N, Harper C, Fransch, M, Swarts S. (2006). Toxicological Profile for Cyanide. US Department of Health and Human Services, Agency for Toxic Substances and Disease Registry. Washington, DC.
- Bromley, J., Hughes, B., Leong, D., & Buckley, N. (2005). Life-Threatening Interaction Between Complementary Medicines: Cyanide Toxicity Following Ingestion of Amygdalin and Vitamin C. Annals Of Pharmacotherapy, 39(9), 1566-1569.
- Smith, F., Butler, T., Cohan, S., & Schein, P. (1977). Laetrile Toxicity: A Report of Two Cases. JAMA: The Journal Of The American Medical Association, 238(13), 1361.
- Vogel, S., Sultan, T., & Ten Eyck, R. (1981). Cyanide Poisoning. Clinical Toxicology, 18(3), 367-383.
- Morse, D., & et al. (1979). More on Cyanide Poisoning from Laetrile. New England Journal Of Medicine, 301(16), 892-892.
- Sahin, S., Kırel, B., & Carman, K. (2011). Fatal cyanide poisoning in a child, caused by eating apricot seeds. American Journal Of Case Reports. 12, 70-72.
- Lasch, EE. Shawa, RE. (1981). Multiple Cases of Cyanide Poisoning by Apricot Kernels in Children from Gaza. American Academy of Pediatrics. 68(1).
- Anissuhailin Zainal Abidin. (2010). Chemical constituents of Litsea Machilifolia (Postgraduate). University of Malaya. ❀
- Chen, Y., Ma, J., Wang, F., Hu, J., Cui, A., & Wei, C. et al. (2012). Amygdalin induces apoptosis in human cervical cancer cell line HeLa cells. Immunopharmacology And Immunotoxicology, 35(1), 43-51. ❀
- Qian, L., Xie, B., Wang, Y., & Qian, J. (2015). Amygdalin-mediated inhibition of non-small cell lung cancer cell invasion in vitro. International Journal Of Clinical And Experimental Pathology, 8(5), 5363-5370.
- Juengel, E., Thomas, A., Rutz, J., Makarevic, J., Tsaur, I., & Nelson, K. et al. (2015). Amygdalin inhibits the growth of renal cell carcinoma cells in vitro. International Journal Of Molecular Medicine, 37(2), 526-532.
- Juengel, E., Afschar, M., Makarević, J., Rutz, J., Tsaur, I., & Mani, J. et al. (2016). Amygdalin blocks the in-vitro adhesion and invasion of renal cell carcinoma cells by an integrin-dependent mechanism. International Journal Of Molecular Medicine, 37(3), 843-850.
- Makarević, J., Tsaur, I., Juengel, E., Borgmann, H., Nelson, K., & Thomas, C. et al. (2016). Amygdalin delays cell cycle progression and blocks growth of prostate cancer cells in vitro. Life Sciences, 147, 137-142.
- Lee, H., & Moon, A. (2016). Amygdalin Regulates Apoptosis and Adhesion in Hs578T Triple-Negative Breast Cancer Cells. Biomolecules & Therapeutics, 24(1), 62-66.
- Yamshanov, V., Kovan’ko, E., & Pustovalov, Y. (2016). Effects of Amygdaline from Apricot Kernel on Transplanted Tumors in Mice. Bulletin Of Experimental Biology And Medicine, 160(5), 712-714.
- Milazzo, S., Ernst, E., Lejeune, S., & Schmidt, K. (2015). Laetrile treatment for cancer. Cochrane Database Of Systematic Reviews, (4). ❀
- Moertel CG, Fleming TR, Rubin J, Kvols LK, Sarna G ,Koch R, et al. A Clinical Trial of Amygdalin (Laetrile) in the Treatment of Human Cancer. Journal of Medicine. 306(4):201–6. ❀
- Kapoor, S. (2014). Safety of studies analysing clinical benefit of amygdalin. Immunopharmacology And Immunotoxicology, 36(1), 87-87. ❀
- PDQ Integrative, Alternative, and Complementary Therapies Editorial Board. Laetrile/Amygdalin (PDQ®): Health Professional Version. 2017 Mar 15. In: PDQ Cancer Information Summaries [Internet]. Bethesda (MD): National Cancer Institute (US); 2002 ❀
- O’Brien, B., Quigg, C., & Leong, T. (2005). Severe cyanide toxicity from “vitamin supplements”. European Journal Of Emergency Medicine, 12(5), 257-258.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
2 Comments
Hujjah yg sgt bagus bsama bukti yg mantap. Tahniah.
Sy pun bkira2 hendak mbeli vitamin berunsurkn buah aprikot utk mengelakkn penyakit yg dtakuti itu. Syukur dgn artikal anda itu. Thanks
Sy dah mkn kapsul biji aprikot ni sbb resdung.betul ke beracun.tolong jelaskan