Jakarta hari ini merupakan ibu kota Indonesia yang pesat membangun. Tetapi tidak ramai tahu, ia menyimpan kisah lampaunya dari era penjajahan Belanda dalam bentuk monumen seperti Stadthuis. Bagi orang Belanda, Jakarta atau Batavia merupakan simbol kekejaman imperialisme negara mereka yang terus menghantui mereka sehingga hari ini.

Jadi, bagaimana Batavia ditubuhkan? Ia sebenarnya ada kaitan dengan aktiviti perdagangan rempah ratus yang lumayan pada ketika itu. Pada abad ke-16, aktiviti itu dimonopoli oleh Portugal dan mana-mana kuasa Eropah yang mahukan komoditi itu perlu membayar pada harga yang tinggi. Hal ini tidak disenangi Belanda lalu mereka merancang mahu merampas monopoli daripada negara yang terletak di Semenanjung Iberia itu.

Pada 1595, satu rombongan dagang dihantar ke Kepulauan Melayu bagi mendapatkan rempah ratus. Tetapi sebaik tiba, rombongan diketuai Cornelis de Houtman berdepan masalah: Portugal menghasut pemerintah tempatan agar menolak kehadiran mereka. Di Banten, hasrat mereka untuk mendapatkan rempah ratus gagal disebabkan harga yang tinggi ditetapkan oleh pemerintah kerajaan itu.

Rajah 1: Cornelis de Houtman

Berang mereka diperlakukan sebegitu rupa, de Houtman mengarahkan anak-anak kapal menyerang kapal-kapal dagang yang datang dari Borneo dan Banda. Beliau turut mengarahkan bedilan meriam bertubi-tubi ke atas kota berkenaan. Di Madura, de Houtman mengarahkan salah satu kapal membedil kapal pemerintah tempatan mengakibatkan putera dan beberapa orang pembesar kerajaan itu terbunuh.

Walaupun ekspedisi berkenaan hampir gagal akibat kepimpinan buruk de Houtman, ia masih berupaya membawa pulang sejumlah besar rempah ratus termasuk asam jawa dan lada hitam. Ini membawa kepada penubuhan syarikat pertama di dunia iaitu Syarikat Hindia Timur Belanda/Vereenigde Oost Indische Compagnie (VOC).

Tetapi ini bukan bermakna usaha merampas monopoli rempah ratus Portugal mudah. Selain bersaing dengan England yang turut mahukan komoditi berkenaan, Belanda juga harus berdepan tentangan sengit kerajaan-kerajaan tempatan. Selepas berurusan dengan Portugal, sudah pasti kerajaan-kerajaan Melayu ketika itu bersikap waspada bila berurusan dengan orang-orang Eropah.

Enggan membiarkan usaha mereka dilewatkan oleh kerajaan-kerajaan tempatan, Belanda mula bertindak. Pada tahun 1619, selepas mendapat tahu pemerintah Jayakarta membentuk pakatan dengan England, ini mendorong wakil Belanda diketuai Jan Pieterszoon Coen melancarkan serangan ke atas kota berkenaan.

Walaupun Coen mendapat kebenaran daripada kerajaan Banten untuk merampas kota itu, skala kekejaman Belanda ke atas penduduk tempatan amat dahsyat. Mengikut catatan Belanda ketika itu, ratusan penduduk tempatan dibunuh dan diusir dengan Jayakarta dibakar hangus.

Selepas usaha menakluk Jayakarta selesai, Coen pada mulanya berharap menamakan petempatan itu sebagai Nieuw-Hoorn sempena tempat kelahirannya. Bagaimanapun, usul tersebut ditolak oleh ahli lembaga pengarah VOC. Sebaliknya, mereka bersetuju menamakan Jayakarta sebagai Batavia/Betawi sempena nama kaum nenek moyang orang Belanda iaitu Batavi-Jerman.

Selepas itu, Betawi mula mengalami transformasi termasuk penambahan kubu pertahanan, terusan-terusan, jalan-jalan dan gudang-gudang. Tetapi Belanda sedar mereka berada di tanah asing dan tidak semua kerajaan tempatan mahu menerima kehadiran mereka. Sesetengah seperti kerajaan Banda lebih rela berdagang dengan England daripada berjual beli dengan pesaing Eropah mereka itu.

Dua tahun selepas Jayakarta dibakar hangus oleh pihak Belanda, perkara sama menimpa kerajaan Banda. Tindakan kejam itu dibuat sebagai ingatan kepada mana-mana kerajaan tempatan bahawa padah menanti sekiranya mereka enggan berdagang dengan pihak Belanda. Daripada 10,000 penduduk Banda, hanya 1,000 orang sahaja yang dibenarkan hidup.

Kekejaman Belanda tidak terhenti kepada penduduk tempatan sahaja tetapi turut dihalakan kepada golongan imigran. Pada tahun 1740, Belanda terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai membabitkan orang Cina Indonesia mencapai kemerdekaan pada 1945.

Kesan kekejaman mereka boleh dilihat sehingga hari ini terutama di bahagian bandar lama Jakarta. Kawasan itu pada asalnya merupakan pusat bandar semasa Jakarta dikenali sebagai Betawi. Tidak ramai tahu, kolam pancuran air yang berhampiran dengan Stadthuis atau Dewan Bandaraya merupakan salah satu tempat penyeksaan pihak Belanda. Di sini, pesalah akan diletakkan dalam air paras peha. Mereka boleh duduk tetapi risikonya ialah mereka mati lemas jika cuba berbuat demikian.

Di Stadhuis pula, jangan sangka bangunan pentadbiran lama Belanda ini tiada rahsia kepada para pengunjungnya. Di ruang bawah tanah bangunan, terdapat ruang penjara dan penyeksaan untuk tahanan. Antara seksaan yang menanti mereka ialah dipaksa duduk di atas kuda kayu dengan kaki mereka dipasang pemberat.

Ramai penduduk tempatan percaya Stadhuis merupakan kawasan keras dan berhantu terutama di ruang bawah tanahnya. Malah, ia turut menjadi subjek program I Would’nt Go In There terbitan National Geographic beberapa tahun lepas.

Selama 330 tahun, Betawi kekal dalam pemilikan Belanda kecuali beberapa tahun di mana ia diserahkan kepada Britain akibat Perang Napoleon. Tetapi semua itu berubah apabila Jepun melancarkan Blitzkrieg versi mereka di Asia Tenggara pada akhir tahun 1941. Sebahagian besar Asia Tenggara termasuk Betawi kekal dalam penguasaan Jepun sehingga tamat Perang Dunia Kedua.

Selepas perang, Belanda cuba kembali ke Betawi tetapi gagal. Ini kerana pada ketika itu, Indonesia sudah mengisytiharkan kemerdekaan mereka. Akibatnya, Belanda melancarkan kempen ketenteraan dan diplomatik untuk merampas semula jajahan mereka. Tetapi selepas semua usaha mereka gagal, Belanda terpaksa beralah dan mengiktiraf kemerdekaan negara itu. Nama Betawi dikembalikan semula sebagai  Jakarta dan ia terus digunakan sehingga hari ini.

Di Belanda, ramai warganya tidak menyenangi masa silam Betawi yang terus menghantui negara mereka. Bagi mereka, Betawi bukanlah simbol kehebatan imperialis tetapi lambang kekejaman dan kezaliman yang dibina berasaskan darah dan penderitaan. Dan orang yang patut dipersalahkan ialah Coen.

Di bandar kelahirannya Hoorn, penduduk tempatan menggesa pihak berkuasa agar mengalihkan patung figura VOC itu daripada pandangan mereka. Walaupun usaha tersebut gagal, pihak berkuasa bersetuju meletakkan plak pada patungnya yang menceritakan rekod ganas beliau semasa di Pulau Jawa khususnya di Betawi.

Rajah 3: Patung Coen di Hoorn. Plak yang menerangkan perilaku ganasnya di Kepulauan Melayu semasa bersama VOC dipasang pada 2012.

Bagi sejarawan Profesor Gert Oostindie, beliau percaya Coen sebenarnya dihantui oleh nyawa-nyawa yang diragutnya di Jayakarta pada 1619. Ini turut disokong oleh hakikat ahli-ahli lembaga pengarah VOC menegurnya atas apa yang berlaku di situ.

Dan khabarnya, wujud khabar angin mayat Coen dicuri dari kuburnya di Jakarta agar diletakkan di bawah tangga yang menuju ke kawasan makam diraja Imogiri. Walaupun kisah ini tidak dipastikan kesahihannya, ia lebih kepada memalukan maruahnya selepas beberapa kali menafikan pemerintah agung Mataram, Sultan Agung daripada menakluk Betawi semasa hayatnya.

RUJUKAN

Fraga, K. (2022, 10 Januari). The Story Of Batavia, The Indonesian City Violently Colonized By The Dutch. All That’s Interesting.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply