Mathnawi, divan syair Mevlana Jalaluddin Rumi menghimpunkan sekian prosa cinta. Bait-bait tersebut tidaklah dirampai melainkan bagi memperkenalkan Allah ﷻ yang esa. Tiada pula kita sampai makrifat kepada Allah ﷻ, melainkan dengan pintu Rasulullah ﷺ.

Rindu, cinta dan kasih sayang Rumi mewangi di segenap 6 jilid Matsnawi. Walupun jarang ditonjolkan orientalis barat, sisi Rumi yang patuh menapaki jalan Muhammadiah tidak bisa disangkal. Tanpa mengenali Nabi ﷺ, puisi Rumi tidak bererti.

“Akulah khadam al-Quran sepanjang hayatku. Akulah debu di bawah telapak kaki Nabi Muhammad ﷺ, utusan Allah. Andainya sesiapa menafsir perkataanku dengan jalan lain, aku menyanggah sosok tersebut dan aku menganggah perkataannya”, kata Rumi.

Hadrat Maulana Asadullah telah menterjemah bait di bawah:

Puisi 1

Mevlana Jalaluddin Rumi berpujangga;

“(Ya Nabi Allah!) Segala-galanya di alam ini berasa amat pilu di atas perpisahanmu. Kasihanilah kami, wahai Nabi yang akhir.

Dikaulah rahmat sekalian alam, janganlah berpaling daripada kami, yang bernasib malang.

Wahai bunga yang mempesonakan! Gembiralah kami dengan baumu yang harum semerbak, bangunlah daripada mimpi enakmu dan sinarilah hati-hati kami.

Bukalah mukamu (yang mulia) daripada balutan kain Yaman (kapan), kerana wajahmu adalah sumber kehidupan.

(Wahai Nabi Allah!) Pakailah pakaianmu yang indah menawan dan ikatlah serban hijaumu di atas kepalamu (yang suci).

(Wahai Nabi Allah!) Jurailah rambutmu yang harum daripada kepalamu dengan cara diaman bayang-bayang mereka menimpa kakimu. (Perhatian: Rasulullah tidak ada bayang-bayang. Dari bait ini penyair ingin ianya berlaku)

(Wahai Nabi Allah!) Sarungkanlah kakimu dengan kasut buatan kulit Thaif, dan ikatlah dengan tali kasut buatan kulit dan nyawa kami.

(Wahai Nabi Allah!) Seluruh dunia menanti penuh gelisah terhadapmu, manusia mahukan diri mereka ini bumi di mana dikau dapat berjalan.

(Wahai Nabi Allah!) Muncullah keluar daripada kubah hijau di halaman dan berjalanlah dengan kakimu, di atas kepala kami (yang seumpama butir-butir debu).

(Wahai Nabi Allah!) Tolonglah kami kerana kami hina dan tidak berdaya, dan hiburkanlah hati-hati kekasihmu.

(Wahai Nabi Allah!) Sungguhpun kami tenggelam di dalam lautan dosa-dosa kami, tetapi kami masih dahaga (cemas) melihat wajahmu.

Wahai dikau hujau yang dirahmati! Basahilah kedahagaan kami.”

Mafhum:

Dunia tidak lagi sama setelah Rasulullah ﷺ wafat.

Rindu kepada Nabi Muhammad ﷺ begitu mencengkam jiwa. Hari kewafatan baginda ﷺ ialah saat yang paling menyedihkan bagi semua sahabat. Saidina Umar bahkan merah mukanya, marah kepada sesiapa yang mengatakan Rasulullah ﷺ telah tiada, sehinggakan ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar. Gundah-gulana menyelubungi setiap hati pecinta. Apakah yang lebih menyedihkan daripada berpisah dengan kekasih.

Rindu kepada Rasulullah ﷺ yang menjadi bekal para sahabat setelah kewafatan baginda ﷺ. Saidina Abu Darda, meskipun fakir miskin menjelang ajalnya, terlihat ceria gembira di wajahnya. Mengapa? Jawabnya, kerana inilah hari aku bertemu semula dengan teman akrabku, Nabi Muhammad ﷺ.

Allah berfirman:

“Ingatlah, sungguh para kekasih Allah itu, tidak ada kekhawatiran bagi mereka dan tidak (pula) bersedih. (Mereka adalah) orang-orang yang beriman dan selalu bertakwa. Mereka akan mendapat berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Tidak ada perubahan pada janji-janji Allah itu. Dan itulah kesuksesan yang besar” (QS. Yunus [10]: 62-64)

Imam Tirmizi menyusun kitab Syamail Muhammadiah dengan meletakkan bab pertama ialah fizikal Rasulullah ﷺ. Kerana manusia lazimnya jatuh cinta pandang pertama pada luaran terlebih dahulu. Bagi insan kamil seperti Nabi ﷺ, bukan sahaja luaran, bahkan dalaman Nabi ﷺ juga cantik dan mempesonakan. Orang apabila melihat Nabi ﷺ, akan jatuh cinta. Makin mengenalinya ﷺ, semakin bertambah sayang.

Sehensem-hensem Nabi Yusuf, hensem lagi Nabi Muhammad ﷺ. Keindahan fizikal Nabi ﷺ dilindungi rahmat Allah ﷺ, yang mana kalaulah dibuka hijab kecantikan hakiki baginda ﷺ, orang bukan sahaja terpotong jari bahkan boleh terbunuh diri.

Saidina Ali bin Abi Thalib menjelasakan;

“Rasulullah tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Baginda bertubuh sederhana dalam kalangan kaumnya. Rambutnya tidak kerinting dan tidak juga lurus kaku, melainkan ikal beralun. Badanya tidak gemuk, bentuk tubuhnya tidak bulat tetapi bujur telur. Kulitnya putih kemerah-merahan. Matanya hitan pekat dan bulu matanya lentik. Tulang sendinya gagah, bahunya bidang. Badanya bersih dari bulu dan rambut, tetapi baginda mempunyai bulu lebat memanjang dari dada sampai ke pusat. Telapak tangan dan kakinya terasa tebal.

Apabila Rasulullah berjalan, pergerakkanya kelihatan tegap (kakinya diangkat dengan kekuatan), seolah-olah baginda sedang turun di lereng yang curam. Apabila baginda berpaling, kedua-dua bahunya berpaling serentak (seluruhnya badanya turut berpaling). Di antara kedua-dua bahunya, terdapat khatam nubuwah iaitu tanda kenabian bagi para nabi. Rasulullah merupakan seorang manusia yang hatinya paling pemurah (Rasulullah tidak pernah berkeluh kesah atas sikap tidak bertimbang rasa dan penyeksaan kaumnya).

Beliau adalah orang yang kata-katanya paling jujur. Manusia yang yang perangainya paling lembut, dan paling ramah dalam pergaulan, sesiapa yang melihatnya kali pertama, pasti akan menaruh hormat padanya. Sesiapa yang berkenalan dengan baginda tentu nanti akan mencintainya. Orang yang menceritakan sifat Rasulullah, tentunya akan berkata “Belum pernah akau melihat sesorang yang standing dengan baginda, sama ada sebelum kelahirannya ataupun sesudah baginda meninggal dunia.” (HR Tirmizi)

Mata yang berdosa ini tidak layak memandang Nabi ﷺ. Meskipun begitu, rindu tidak mampu menipu. Jikalau Nabi ﷺ kembali berjalan di atas bumi, mata ini akan terpaku dan tubuh ini akan berlari mahu memeluk baginda ﷺ. Bak kata Rumi, biarlah kepala yang tidak bernilai ini menjadi alas pijak kaki Rasulullah ﷺ yang mulia.

Law kana bainana Habib ﷺ.

Puisi 2

Mevlana Jalaluddin Rumi berpujangga;

“Untuk menziarahimu dan untuk menggunakan debu lorong-lorongmu sebagai serbuk mata (surmah-celak).

Semoga Allah membawa kita ke Madinah, agar kita dapat menggunakan debu lorong-lorong Rasulullah sebagai celak.

Dan mendirikan dua rakaat solat sebagai kesyukuran dan menjadikan diri kami umpama serangga mengelilingi cahayamu yang terang (iaitu kuburan suci).

Dan mengelilingi pusara mulia dan kubah hijau seperti orang gila, dan menangis hiba.

Dan untuk menangis dengan sebanyak-banyaknya supaya air mata, daripada mata yang mengantuk dapat digunakan merenjis kuburan yang suci itu.

Dan untuk menyapu halaman Harammu (Masjid Nabawi) dan untuk mencuci debu serta habuknya.

Sungguhpun debu dan habuk berbahaya bagi mata tetapi (kerana kesuciannya) kami mahu menjadikannya ubat untuk mata.

Kami mahu pergi ke mimbar suci dan menggosok-gosokkan muka kami yang pucat di kakinya supaya ia menjadi cerah dan berwarna emas.

Akan kami dirikan solat di atas tempat solatmu di atas Mihrab untuk mendapatkan kejayaan setelah sempurnanya hajat-hajat kami. Kami akan membasuh tempat di mana dikau telah meletakkan kakimu yang suci di dalam solat dengan airmata kami yang penuh darah.

Kami akan berdiri dengan penuh hormat berhampiran dengan setiap tiang masjidmu yang suci dan akan berdoa di sana untuk mendapatkan darjat siddiq (orang yang benar).

Kami akan menyalakan (mencerahkan) dian-dian hati kami dengan keriangan daripada apa-apa hasrat yang ada di dalam hati mu.

Walaupun jasadku tidak bersama di dalam taman yang menggembirakan dan indah (Madinah Haram) tetapi sesungguhnya ruhku ada di sana.

Daku keletihan dengan seleraku yang tidak terkawal; (wahai Nabi Allah!). Kasihanilah dan sayangilah hamba yang hina ini.

Jikalau dikau tidak mempedulikan hamba-hamba yang lemah dan tidak berdaya ini maka mereka akan menjadi orang yang rugi.

Kami sedang tersesat daripada jalan yang benar kerana nasib malang kami; (wahai Nabi Allah!) Doakanlah untuk kami.

(Wahai Nabi Allah!) Doakan kami agar Allah mengurniakan kami iman yang teguh dan yakin yang sempurna serta menjadikan kami tetap (istiqamah) di dalam agama.

Semoga Dia menyelamatkan kami daripada kesengsaraan yang menggerunkan pada hari Kiamat dan daripada menjadi orang yang tersesat. Semoga dia mengurnikan dikau keizinan untuk mensyafaati kami walaupun kami bergelumang dengan dosa-dosa besar dan bertindak menurut nafsu kami.

Semoga dikau mensyafaati kami dengan memanggil; Wahai umatku! Wahai umatku! Semoga dikau tidak merasai malu di atas dosa-dosa kami dan berkata, “Wahai diriku! Wahai diriku! (sebagaimana Nabi-nabi lain akan berkata).

Semoga Allah menganugerahkan juga kejayaan kepada Jami kerana usaha-usahamu, dan kerana keberkatan daripada hamba-hamba Allah yang soleh.”

Mafhum

Sebahagian berpendapat bait ini bermakna menziarahi pusara yang mulia di masa yang lalu. Syeikhut Hadis Maulana Muhammad Zakariyyah pula mengambil pandangan yang Rumi berhasrat untuk menziarahi lagi di masa akan datang.

Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidak boleh melakukan safar (menuju tempat yang dianggap berkah) kecuali safar menuju tiga masjid yaitu Masjidil Haram, Masjidku ini dan Masjidil Aqsha.” (HR. Imam Bukhâri & Muslim)

Imam Malik berpendapat, bahagian bumi yang paling mulia ialah Madinah al-Munawwarah, kerana di situ ada jasad Rasulullah ﷺ. Sampaikan al-Imam turun dari kuda menghormati empunya kota Thaybah ini. Tidak lengkap ziarah ke Mekah tanpa menjenguk maqam Nabi.

Habib Umar Bin Hafiz berkata, “Kalaulah engkau mengetahui betapa Nabi ﷺ mencintai dan merisaukan dirimu, engkau akan sanggup merangkak ke Madinah untuk menghulurkan salam kepada baginda ﷺ.”

Maqam Nabi ialah destinasi setiap pecinta. Raudhah, taman melepaskan rindu. Beratus ribu manusia berpusu-pusu datang melantunkan selawat dan qasidah, tidak putus-putus. Meskipun cuba dipadam Saudi, ukiran bait qasidah masih tersisa di dinding Masjid Nabawi. Setiap yang duduk di sini, merasai ketenangan dan kedamaian hati.

“Ummati..Ummati!” inilah kalimat terakhir diulang-ulang Nabi ﷺ yang didengar puterinya Saidatina Fatimah sebelum kewafatan baginda ﷺ. Sampai ke hujung nyawa pun, bukan diri sendiri yang menjadi kerisauan baginda ﷺ. Umat ini yang Nabi ﷺ risaukan.

Begitu jualah di padang mahsyar kelak, Nabi ﷺ rela lama menunggu umatnya agar semua terselamat daripada azab neraka. Berkat cinta & rindu kepada Nabi Muhammad ﷺ, janganlah kita terlerai daripada rangkulan kasih sayang baginda ﷺ di kampung akhirat kelak.

Ya Rasulullah ﷺ, kami rayu syafaatmu!

RUJUKAN:

  1. Mathnawi. Mevlana Jalaluddin Rumi.
  2. Maulana Muhammad Zakariah. 2011. Kelebihan Selawat. Inteam publishing.
  3. Kenali fizikal Nabi melalui hadis, suburkan cinta. https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/11/624579/kenali-fizikal-nabi-melalui-hadis-suburkan-cinta

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Comments are closed.