Kucing adalah satu spesies haiwan yang begitu akrab dengan manusia bukan sekadar menjadi haiwan peliharaan tetapi juga menjadi sebagai seorang kawan dan sahabat bagi manusia. Malahan kucing berupaya memupuk nilai kasih sayang dan empati dalam diri manusia.

Alkisah yang berbeza sehingga menimbulkan kehairanan di mana letaknya hati, naluri dan perikemanusiaan bagi orang-orang yang menzalimi haiwan yang secomel ini. Menurut Berita Harian 8 Mei 2020, polis sedang menyiasat perbuatan kejam sekumpulan wanita yang memijak-mijak kucing sehingga mati dan rakaman video berdurasi tiga minit yang tular itu memaparkan tiga wanita bergilir memijak anak kucing sehingga mati..

Susulan video ini harus dijelaskan bahawa perkara tersebut bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh Islam. Islam menganjurkan umatnya untuk berbuat ihsan kepada setiap sesuatu. Sabda Nabi Muhammad ﷺ:

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu”.

(HR Muslim:1955).

Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di  menyebutkan bahawa berbuat ihsan itu termasuklah kepada semua kategori manusia, bahkan merangkumi kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut berbuat ihsan.

Bahkan seekor kucing mempunyai keutamaan tersendiri di dalam Islam sehingga dirinya tidaklah dianggap sebagai najis kerana merupakan haiwan peliharaan yang berkeliaran di dalam rumah  dan sudah sebati dengan kehidupan manusia.

Kabshah binti Ka‘ab bin Malik meriwayatkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah kemudian dia telah menyediakan sebekas air untuk dijadikan tempat mengambil wudhu’. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut lalu Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya : “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab : “Ya” . Lalu, Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulluah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

(HR Abu Daud:75).

Kezaliman terhadap haiwan bernama kucing ini juga telah dipertontonkan balasannya sepertimana yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Umar bahawasanya Rasulullah ﷺ bersabda:

Maksudnya: “Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia (kucing itu) m4ti kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.”

Dapat difahami bahawa perempuan itu telah dimasukkan ke dalam api neraka oleh kerana perbuatannya terhadap kucing. Namun sambungan hadis ini menceritakan perbuatan zalim perempuan tersebut terhadap kucing iaitu dikatakan kepadanya yang bermaksud:

“Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Dan kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah”.

(HR Bukhori: 2365).

Sesungguhnya ada suatu pelajaran yang perlu diambil iktibar daripada hadis ini kerana perbuatan wanita yang hanya tidak memberi makan dan minum kepada kucing tersebut ketika mengurungnya mengundang dirinya menjadi makanan api neraka.

Apatah lagi perbuatan zalim dengan memijak-mijak tanpa peri kemanusiaan, membunuh dengan sengaja tanpa sebab, menyakiti tubuh badannya dan lain-lain lagi sudah tentu menerima balasan yang lebih dahsyat.

Sesekali kita jangan begitu kerana perbuatan tersebut bukanlah menunjukkan kita sebagai makhluk yang punya akal dan punya timbang rasa hati. Jangan pernah kita menzalimi kucing atau haiwan yang lain kerana datang mereka bukan tanpa sebab tetapi datang mungkin menjadi asbab pembawa rezeki dan rahmat buat kita sekeluarga.

Sesekali jangan kita pernah berbuat demikian dan kalau pernah maka pohonlah keampunan dan mulalah berazam bersikap baik terhadap kucing dan segenap haiwan. Malahan perbuatan bersikap baik ini turut dijanjikan pahala sebagai ganjaran.

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah bahawasanya baginda telah ditanya oleh para sahabat: “Wahai Rasulullah, apakah kami mendapat pahala berbuat baik kepada haiwan?”. Rasulullah menjawab: “Ya, (berbuat baik) kepada semua makhluk bernyawa akan mendapatkan pahala.”

(HR Bukhori: 6009).

Kalau tidak mampu untuk memberi sedikit makanan kepada mereka atau tidak mampu menjaga mereka lagi maka perlakukanlah dengan baik dan cara yang betul. Usahlah ditendang dan dicederakan dengan sengaja kerana apa perasaan seandainya kita yang berada di tempatnya.

RUJUKAN:

Lihat Shahih Bukhori, Bab Fil Shirbi, Bab Fadhl Saqyi Al-Ma’, Hadith No. 2365 dam Kitab Al-Adab, Bab Rahmat An-Nas Wal Baha’im. Hadith No:6009.

Raja Noraina Raja Rahim, Polis Siasat Wanita Pijak Anak Kucing, BH Online, https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/05/686469/polis-siasat-wanita-pijak-anak-kucing

Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3937-al-kafi-1503-adakah-sah-solat-jika-kucing-bermain-main-di-kaki


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Universiti Malaya. "Cinta kepada Tamadun diiringi kebenaran Sejarah."

Comments are closed.