Menurut kajian yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi agensi ‘Food and Agriculture Organization’ (FAO), dunia merekodkan pembuangan sisa makanan (food waste) sebanyak 1.3 Bilion tan atau 1.3 Trilion kilogram (kg) pada setiap tahun.
Daripada jumlah itu, kira-kira 670 juta tan sisa makanan terhasil di negara-negara berpendapatan tinggi (high-income), manakala baki 630 juta tan pula disumbangkan oleh negara berpendapatan rendah, berdasarkan pemerhatian FAO.
Dari sudut sosio-ekonomi pula, peradaban manusia telah pun membazirkan wang sehingga $990 Bilion USD atau RM4.029 Trilion setahun melalui pembuangan 1 per 3 daripada keseluruhan jumlah makanan yang terhasil di seluruh pelosok dunia.
Walau bagaimanapun, FAO turut mendapati bahawa jumlah kumulatif keseluruhan pembaziran wang berkaitan dengan aktiviti pembuangan sisa makanan adalah berjumlah $2.6 Trilion USD pada setiap tahun. Angka ini adalah dapatan daripada ‘Full-Cost Accounting’ (FCA) yang dilaksanakan oleh FAO terbitan tahun 2014.
Menerusi rangka kerja (framework) FCA, FAO melaporkan kos keseluruhan makanan yang dibuang adalah sebanyak $1 Trilion USD, selain tambahan tanggungan kos ke atas alam sekitar (environmental cost) sebanyak $700 Bilion dan $900 Bilion lagi merangkumi kos sosial (social cost).
Ironinya di sini, dalam pada sebahagian besar masyarakat dunia galak membuang lebihan sisa makanan pada setiap hari, seramai 820 juta penduduk bumi hidup melarat dalam keadaan berlapar dan kekurangan nutirisi (under-nourished) setakat tahun 2018.
Sebagai info, aktiviti pembuangan sisa makanan bukan hanya dilakukan oleh kelompok pengguna akhir seperti pengguna isi rumah (household), ianya turut melibatkan kesemua rantaian perbekalan makanan (food supply chain) yang merangkumi golongan pengeluar (pengilang & peladang), pemborong dan juga peruncit.
Selain daripada pembaziran wang dan merugikan sahabat-sahabat kita yang tidak cukup makan di luar sana, tabiat pembuangan sisa makanan yang berlebihan turut membawa risiko ke atas alam sekitar, yang mana kajian terbaharu menunjukkan bahawa 8% perlepasan Gas Rumah Hijau telah disumbangkan oleh pembuangan sisa makanan sahaja.
Pencemaran alam sekitar berlaku ekoran daripada pertambahan jumlah tapak perlupusan sampah (landfill) di bawah pengurusan ‘Municipal Solid Waste’ (MSW). Sisa-sisa makanan yang terkumpul di atas tapak perlupusan sampah kemudiannya akan melepaskan gas ‘Methane’ (CH⁴), selain daripada perlepasan sejumlah kira-kira 3.3 Bilion tan gas ‘Carbon Dioxide’ (CO²) ke dalam ruang lingkup atmosfera bumi.
Perbezaan ketara di antara kedua-dua kelompok negara ‘kaya’ dan ‘miskin’ adalah, negara berpendapatan tinggi khususnya negara di benua Amerika Utara dan Oceania ‘membuang’ 32% sisa makanan mereka di peringkat awal (earlier stage) iaitu dalam peringkat pengeluar, pemborong, peruncit, termasuk rangkaian restoran dan hotel, diikuti 61% pembuangan menerusi pengguna akhir (end consumer).
Berbeza dengan senario yang berlaku di negara ‘miskin’ seperti negara-negara di kawasan ‘sub-saharan’, yang mana 83% makanan terbuang adalah menerusi peringkat awal iaitu produksi, penyimpanan (storage) dan juga pemprosesan. Hanya 5% sahaja lebihan sisa makanan yang dibuang oleh pengguna akhir di kawasan ini menurut kajian ‘World Resources Institute’.
Antara punca-punca paling ‘common’ berlakunya pembuangan sisa makanan adalah; sikap pembeli yang suka membeli makanan melebihi keperluan sendiri (dibaca; tamak & membazir). Selain itu, terdapat juga sesetengah pasar raya yang kerap menyimpan stok makanan ‘grade’ tinggi bagi memenuhi kehendak pasaran yang kemudiannya berlaku lambakan stok dan terbuang.
Malahan, sebuah kajian yang dilaksanakan oleh ‘European Commission’ telah mendapati bahawa 10% daripada 88 juta tan sisa makanan terbuang di benua Eropah adalah disebabkan oleh kekeliruan penglabelan tarikh luput. Ramai pengguna dikatakan terkeliru dengan label-label seperti; ‘best before’, ‘best by’, ‘sell by’ atau ‘use by’.
Senario pembuangan sisa makanan di Malaysia juga amat membimbangkan, setelah statistik terkini menunjukkan bahawa 60% sisa sampah di bawah MSW tergolong di dalam kelas makanan, termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran. Secara ‘total’, jumlah anggaran sisa sampah di Malaysia pada tahun 2020 adalah sebanyak 10.9 Juta tan, yang mana 6.54 Juta tan daripadanya adalah makanan.
Dalam pada itu, pada tahun 2016, jumlah purata sampah yang dibuang rakyat Malaysia pada setiap hari adalah sebanyak 15000 tan, termasuk 3000 tan sisa makanan yang boleh dimakan (edible food) berdasarkan laporan kajian yang dilaksanakan oleh ‘Food Aid Foundation’.
Di peringkat global, negara Australia mengungguli carta ‘Top 10 Per Capita Food Waste’ berdasarkan laporan ‘Food Sustainibility Index’ terbitan tahun 2017, dengan rekod purata sebanyak 371 kilogram sisa makanan per penduduk. Diikuti Amerika Syarikat (278 kg), Turki (168 kg), Sepanyol (165 kg), Jepun (157), Jerman (154 kg), Mexico (149 kg), Itali (145 kg), Morocco (135 kg) dan Portugal di tangga ke-10 dengan 135 kg.
Negara yang paling kurang penghasilan sampah per kapita adalah negara China dan Greece, masing-masing dengan 44 kg untuk setiap penduduk, diikuti India (51 kg), Russia (56 kg), Colombia (63 kg), Brazil (71 kg), Mesir (73 kg), dan United Kingdom (74.7 kg).
Dari segi penghasilan sisa makanan mengikut berat (kilogram) pula, Amerika Syarikat adalah negara penghasil ‘food waste’ terbesar di dunia pada tahun 2017 dengan jumlah sebanyak 90.8 Bilion kg, diikuti India (67.7 Bilion kg), China (61.1 Bilion kg), Jepun (19.8 Bilion kg), Mexico (18.4 Bilion kg), dan Brazil (14.8 Bilion kg) menurut indeks global.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih