yang diraih boleh membawa kepada penamatan konflik seperti kempen peperangan pihak Bersekutu dalam Perang Dunia Kedua (WWII). Dan ada kemenangan membawa kepada kekalahan teruk seperti dialami pemimpin Carthage, Hannibal selepas berjaya mengalahkan tentera Rom di Cannae. Atas sebab itu, kedua-dua pihak yang bertelagah memilih untuk mengadakan gencatan senjata dan seterusnya, perjanjian damai untuk mengelak kerosakan lebih teruk pada kedua-duanya. Tidak semua gencatan senjata berakhir dengan penamatan permusuhan.
- RUSIA DAN JEPUN
Permusuhan kedua-dua negara ini ada naik dan turun. Kekalahan Rusia dalam Perang Rusia-Jepun merupakan satu babak hitam dalam sejarah Rusia dan ia membawa kepada kejatuhan Tsar Nicholas II dari Dinasti Romanov. Selain itu, ini mengakibatkan Rusia kehilangan bahagian selatan Pulau Sakhalin kepada pihak Jepun menerusi Perjanjian Portsmouth yang dimeterai pada tahun 1905. Walaupun Jepun menduduki sebelah kawasan Timur Jauh Rusia pada tahun 1920-an untuk menyokong kepimpinan White Rusia terhadap kelompok Bolshevik selepas Perang Saudara Rusia tercetus, mereka tidak mengilhak kawasan tersebut dan keluar pada pertengahan 1920-an.
Permusuhan kedua-dua negara ini tiada selepas Pertempuran Khalkin Gol yang menamatkan Perang Sempadan Rusia-Jepun pada tahun 1939. Ini mendorong kedua-dua pihak memeterai Pakatan Neutral Jepun-Rusia pada 13 April 1941 oleh Menteri Luar Jepun, Yosuke Matsuoka dan Menteri Luar Rusia, Vyachezlav Molotov. Bila WWII hampir ke penghujungnya, pihak Soviet memenuhi janji yang dibuat kepada pihak Amerika Syarikat selepas Deklarasi Potsdam dengan mengisytiharkan perang ke atas Jepun. Tentera Soviet menduduki Kepulauan Kuril melalui satu operasi antara 18 Ogos hingga 3 September 1945 dengan penduduk Jepun dipindahkan keluar secara berperingkat-peringkat dalam tempoh dua tahun.
Jadi pada zaman aman ini, adakah ada perjanjian damai antara Jepun dengan Rusia pasca-WWII? Jika anda merujuk kepada Perjanjian San Francisco yang dimeterai pada tahun 1951, jawapannya tidak. Ini kerana satu perkara yang menimbulkan kemarahan Jepun ialah keengganan Rusia melepaskan Kepulauan Kuril berdasarkan Persidangan Yalta dan Deklarasi Kaherah. Dalam kedua-dua perjanjian tersebut, Jepun diarah melepaskan semua tanah jajahan yang diambil secara ganas dan tamak. Jepun berhujah Kepulauan Kuril tidak termasuk dalam wilayah-wilayahnya yang dirampas secara ganas dan tamak, maka ia seharusnya dipulangkan kembali kepada Jepun dan bukannya terus dikawal pihak Rusia.
Kedua-dua pihak cuba menamatkan ketegangan dengan menamatkan pengisytiharan perang dan pemulihan hubungan diplomatik pada tahun 1956. Malah Jepun bersedia menerima tawaran Soviet memulangkan Pulau Shikotan dan Pulau Habomai sebagai pertukaran kepada melepaskan tuntutan ke atas Pulau Iturup dan Kunashiri. Bagaimanapun, tindakan Amerika Syarikat masuk campur dengan enggan melepaskan Okinawa kepada Jepun memaksa negara Matahari Terbit itu menolak tawaran yang dibuat Moscow. Pertikaian berkenaan Pulau Sakhalin ini menyebabkan kedua-duanya sukar menyempurnakan perjanjian damai itu.
- PIHAK BERSEKUTU DAN NAZI JERMAN
Selepas rejim Nazi Jerman yang dipimpin Laksamana Karl Donitz menyerah kalah kepada pihak Bersekutu pada Mei 1945, negara tersebut menyaksikan ia dipecahkan kepada empat bahagian di mana ia ditadbir oleh Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Kesatuan Soviet berdasarkan Persidangan Potsdam. Malangnya, keempat-empat negara berkenaan gagal memenuhi terma Potsdam dan mula memburu agenda mereka sendiri.
Dan untuk merumitkan lagi keadaan, tiada entiti yang diiktiraf sebagai wakil rasmi Jerman untuk menamatkan situasi perang dengan negara-negara berkenaan lebih-lebih lagi dengan kemunculan Perang Dingin. Kecurigaan dan permusuhan terhadap Soviet lebih-lebih lagi menerusi pengenalan Doktrin Truman pada tahun 1947 ini akhirnya membawa kepada penubuhan Jerman Timur yang pro-Soviet dan Jerman Barat yang pro-Barat. Penamatan perang hanya berakhir selepas kedua-duanya kembali disatukan sebagai satu negara pada tahun 1990. Situasi ini juga membolehkan Amerika Syarikat meletakkan tenteranya di Jerman Barat.
- MONTENEGRO DAN JEPUN
Apabila Perang Rusia-Jepun tercetus pada tahun 1904, Montenegro yang merupakan sekutu Rusia ketika itu turut sama mengisytiharkan perang ke atas Jepun. Bagaimanapun, negara tersebut tidak menghantar tentera berperang dalam peperangan tersebut. Sebaliknya, ramai warga Montenegro menawarkan diri bertempur dengan menyarung uniform tentera Rusia dan terlibat dalam kempen mereka di Manchuria. Selepas Rusia dan Jepun memeterai Perjanjian Portsmouth, Montenegro dikecualikan daripada perjanjian tersebut dan situasi perang terus hangat antara kedua-dua negara.
Selepas Montenegro diserap dan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Diraja Yugoslavia pada tahun 1911 dan Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia pasca-WWII, isu tersebut dilihat semakin dilupakan. Isu ini kembali timbul selepas Montenegro berjaya mendapat kemerdekaan dari Serbia melalui satu referendum yang dijalankan pada tahun 2006. Isu tersebut dianggap selesai apabila Tokyo mengiktiraf kemerdekaan Montenegro dan mengisytiharkan perang antara kedua-dua negara sudah berakhir.
- BELANDA DAN PULAU SCILLY (GREAT BRITAIN
Sesetengah perang mungkin berlaku selama beberapa tahun atau paling lama berdekad-dekad. Tapi ada satu perang yang digelar perang paling lama di dunia dan ini membabitkan Belanda dan sebuah pulau kecil yang dikawal Britain iaitu Pulau Scilly. Ia sebenarnya sebahagian daripada konflik Perang Saudara Inggeris membabitkan kelompok penyokong Raja Charles II dengan penyokong gerakan Parlimen yang diketuai Oliver Cromwell. Belanda memutuskan untuk menyokong Cromwell, satu keputusan yang menimbulkan kemarahan penyokong Raja Charles II. Akibatnya mereka mengganggu pergerakan kapal Belanda sekitar Selat Inggeris.
Menjelang tahun 1651, kebanyakan kawasan sudah ditawan oleh pasukan Cromwell kecuali Cornwall dan Scilly yang masih berada di bawah Charles II. Dalam kekecohan tersebut, Belanda mengambil kesempatan dengan mendesak baginda membayar kos ganti rugi kapal dagang mereka yang hilang akibat serangan yang dilancarkan di Selat Inggeris. Mereka enggan melayan permintaan Belanda dan sebagai tindak balas, Amsterdam menghantar Laksamana Maarten Tromp ke Pulau Scilly pada 30 Mac tahun sama. Sesetengah mendakwa Tromp bertindak mengisytiharkan perang ke atas pulau tersebut selepas mendapat lampu hijau dari Amsterdam atau mengepung Scilly semasa menunggu pengisytiharan perang rasmi dari kerajaan Belanda.
Pada Jun 1651, pasukan Cromwell berjaya menguasai keseluruhan Britain dan menghantar Laksamana Robert Black untuk mendesak penyerahan kalah pasukan Charles II. Menyedari situasi tidak lagi menyebelahi mereka, pasukan tentera laut baginda menyerah kalah dan kepungan ke atas Scilly ditarik balik. Semasa Tromp berangkat pulang, beliau lupa menarik balik pengisytiharan perang ke atas Scilly dan situasi ini berlarutan lebih tiga abad.
Pada tahun 1985, seorang sejarawan Scilly bernama Roy Duncan merasa ingin tahu dengan situasi ini dan berhubung dengan Kedutaan Belanda di London. Selepas mendapat tahu pertanyaan berkenaan, beberapa dokumen yang didedahkan mendapati wujud situasi perang antara Belanda dengan Pulau Scilly. Setahun selepas itu, Duta Belanda ke Britain, Jonkheer Huydecoper menandatangani perjanjian damai antara Belanda dengan pulau tersebut. Huydecoper turut bergurau dengan berkata, “Untuk tahu kisah ini bermakna kami boleh menyerang pada bila-bila masa.”
- ROM DAN CARTHAGE
Semua penggemar sejarah Rom pasti arif berkenaan Perang Punic, tiga siri peperangan membabitkan dua kuasa maritim ketika itu iaitu Rom dan Carthage. Perang tersebut bukan saja menyaksikan kemerosotan Carthage sebagai kuasa maritim tetapi juga kebangkitan Rom sebagai empayar paling berkuasa di Laut Mediterranean. Dan semua sedia maklum, tiada sebarang perjanjian damai dimeterai antara kedua-dua belah pihak selepas Rom memutuskan memusnahkan pelabuhan Carthage yang juga ibu kota kerajaan tersebut, membunuh populasi rakyat dan menjadikan mana-mana yang terselamat sebagai hamba.
Pada akhir abad ke-20 atau lebih tepat tahun 1985, satu perjanjian damai dimeterai secara rasmi membabitkan Datuk Bandar Rom, Ugo Vetere dengan Datuk Bandar Tunis, Chedli Kilbi. Perjanjian tersebut disusuli dengan perjanjian persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua bandar tersebut. Jika anda rasa perang antara Scilly dengan Belanda mengambil masa lebih tiga abad, situasi perang antara Rom dengan Carthage ini pula mengambil masa dua milenia iaitu 2,000 tahun!
SUMBER
- South China Morning Post. (1993). Division of Germany after WWII. http://www.scmp.com/article/19696/division-germany-after-wwii
- Winston, George. (2015). War History Online. After 335 Years Of War Between the Netherlands & the Tiny Isles of Scilly: No Casualties! http://www.warhistoryonline.com/war-articles/the-335-year-war-between-the-netherlands-and-the-tiny-isles-of-scill.html
- Realm of History. (2016). The Peace Treaty For The Third Punic War Was Apparently Signed After More Than 2,000 Years, In 1985. https://www.realmofhistory.com/2016/03/02/the-peace-treaty-for-the-third-punic-war-was-apparently-signed-after-2131-years-in-1985/
- BBC. (2018). Korea summit: when war ends but peace is out of reach. http://www.bbc.com/news/world-43933745
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih