Program Apollo telah melahirkan inspirasi luar biasa sambil meninggalkan legasi yang tidak dapat ditandingi. Kejayaannya yang menghubungkan langit dan bumi pada ketika dunia bergolak sememangnya harus dikagumi. Pendaratan di permukaan Bulan mengharumkan nama Amerika Syarikat di serata dunia. Daripada sinilah, bangsa ini mula berazam untuk mengunjungi Marikh pula.

Namun sama seperti kejayaan kecil-kecilan, tentu sekali akan ada suara-suara sumbang yang wujud hanya untuk mempertikaikan. Pendaratan Neil Armstrong dan Buzz Aldrin dikatakan salah satu konspirasi, setaraf dengan pembunuhan John F. Kennedy. Ramai dalam kalangan Melayu sendiri berpihak kepada individu-individu yang tidak pernah langsung memberikan apa-apa sumbangan dalam bidang astronomi. Tetapi hujah-hujah mereka sebenarnya ketinggalan, ataupun sekadar memetik daripada pohon yang sudahpun ditanam.

Sebenarnya warga-warga Barat lebih cenderung kepada teori-teori konspirasi misi Apollo. Hujah mereka sememangnya lantang, menghubungkan perkaitan antara Perang Dingin dan prestij Amerika Syarikat. Kata Marcus Allen, NASA sekadar menghantar robot kerana tahap radiasi di luar angkasa sebenarnya sangat bahaya. Beliau juga berpendapat bahawa NASA tidak dapat cari solusi untuk menjelaskan kemusnahan Apollo 1 serta kematian ketiga-tiga kru kapal tersebut. Maka solusi terbaik untuk tewaskan Kesatuan Soviet dalam usaha ke Bulan sepertimana yang diidamkan John F. Kennedy adalah pemalsuan.

Ada juga yang mempunyai mentaliti seperti rakyat Malaysia. Pendaratan di Bulan membantu kerajaan Amerika Syarikat alihkan pemerhatian rakyat daripada Perang Vietnam. Perkara ini mungkin mempunyai sedikit kerelevenan, kerana misi-misi pendaratan dibatalkan sebaik sahaja Amerika Syarikat menarik diri daripada peperangan. Sungguhpun begitu, istilah bahawa kerajaan Amerika Syarikat tiba-tiba tarik bajet daripada program Apollo tidak mempunyai asas. Ini kerana, perhatian aeroangkasa mula teralih kepada penubuhan stesen angkasa pula.

Dakwaan seterusnya menyentuh tentang gambar-gambar yang diambil pula. Terdapat pertikaian sini sana, mengenai langit Bulan yang ketandusan bintang dan bendera. Realitinya kembali kepada sebuah empayar komunisme yang sentiasa tersedia untuk membaham Amerika Syarikat. Kesatuan Soviet mempunyai rangkaian data Bulan lebih awal daripada Amerika Syarikat. Tentu sekali mereka akan mendedahkan jika program Apollo sememangnya palsu, terutamanya sekali apabila program mereka gagal dengan teruk. Bukti pemalsuan akan menjadi kemenangan dahsyat buat mereka dalam perlumbaan angkasa.

Hakikatnya, Kesatuan Soviet telah menghantar kapal-kapal tanpa-kru ke Bulan sejak 1959. Tiga tahun kemudian, mereka sudahpun mampu menjejak keadaan di Bulan dengan penubuhan IP-15 dan IP-16. Mereka menjejak setiap saat semasa misi-misi Apollo berlangsung, sambil berharap akan berlaku kegagalan. Sebaik sahaja Neil Armstrong dan Buzz Aldrin pulang, program Bulan Kesatuan Soviet lantas terhenti. Tiada siapa yang akan mengingati pelumba yang dapat tempat kedua.

Antara hujah golongan skeptis adalah ketiadaan bintang yang kata mereka jelas sekali bukti penggambaran studio. Pertama sekali, harus diingati bahawa pendaratan Apollo 11 berlaku ketika siang di Bulan. Maka bintang akan dimalapkan cahaya Matahari, lebih-lebih lagi memandangkan sinaran Matahari dipantulkan permukaan Bulan. Perkara yang sama berlaku di Bumi pun yang mana tiada bintang dapat dilihat semasa siang.

Sinaran Matahari yang menghilangkan Bintang dari fokus kamera. (Bumi dan Mir | Jun 1995)
Gambar Stesen Angkasa Antarabangsa yang diambil pada Februari 2009. Tiada bintang kelihatan oleh kerana sinaran Matahari.

Para angkasawan juga tidak terdedah kepada kesan radiasi. Kapal Apollo melepasi lingkaran radiasi ini dalam masa dua jam. Sepanjang masa tersebut, mereka dilindungi kemas oleh bahan aluminum kapal tersebut. Malah, perjalanan program Apollo juga dirancang dengan rapi. Pihak yang mempertikaikan kejayaan ini atas faktor radiasi lingkaran Van Allen akhirnya diberikan tamparan hebat apabila Dr. James Van Allen sendiri menempelak hujah mereka.

Antara yang paling popular adalah bendera yang dipacak Neil Armstrong dikatakan berkibar. Umum diketahui bahawa Bulan tidak mempunyai tiupan angin. Apa yang tidak diketahui ramai adalah bendera ini sebenarnya dipasang pada rod yang berbentuk L agar fabrik bendera ini tidak tergantung.

Animasi dua gambar jelas menunjukkan pergerakan Buzz Aldrin, tetapi bendera masih kekal statik tanpa kibaran.

Terdapat banyak lagi pertikaian sebenarnya. Setiap satunya telahpun dijelaskan. Namun penjelasan ini peliknya tidak pula digunapakai sepertimana hujah pertikaian diulang pada setiap masa sehingga merosakkan fikiran umat manusia. Lebih keruh lagi apabila golongan ilmuwan menggunakan platform ceramah untuk menyebarkan teori konspirasi tanpa asas sebegini. Ada pula yang bertanya, kenapa hanya dua orang sahaja yang diutuskan ke Bulan? Sedikit bacaan pun sudah cukup untuk membuktikan bahawa seramai 12 angkasawan berjalan di permukaan Bulan.

Namun satu pertikaian sahaja yang boleh dijulang sebagai persoalan yang wajar. Dengan teknologi yang lebih maju, kenapa tiada agensi angkasa memulakan semula langkah ke Bulan? Teknologi boleh berkembang pesat. Namun keupayaan manusia kekal seperti biasa. Manusia masih lagi terhalang dengan keperluan asas seperti makanan, minuman, pernafasan dan sebagainya. Dengan teknologi robotik dan komunikasi kian maju, lebih relevan bagi agensi-agensi angkasa menggunakan robot yang menjaminkan kejayaan lebih baik. Pada 14 Disember 2013, 37 tahun selepas pendaratan terakhir di Bulan, China telah mendaratkan Yutu di permukaan Bulan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply