Seringkali kita dapati hujah – hujah berbentuk sindirin yang mendakwa
“bangsa tidak penting”
“Al Quran tidak bercakap tentang bangsa”
Apatahlagi apabila isu bangsa kembali di gembar gemburkan dalam media selepas DYMM Sultan Selangor murka dengan seorang tokoh politik yang menghina bangsa Bugis. Saya tidak mahu komen panjang hal ini kerna dalam politik, banyak mayanya dan memang sifat politikus suka mensasikan suatu isu agar suasana politik itu meriah hingga isu sebenar tidak kelihatan. Maka, katakan lah ucapan penghinaan itu tidak berlaku. Saya ‘declare’ awal-awal supaya pendirian saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik kepartian adalah jelas.
Apa yang saya nak sentuh disini ialah bagaimana respon jelata dalam isu bangsa. Apabila melihat di ruangan komen, banyak yang memberi komentar dengan penuh yakin tahap dewa bahawa bangsa itu langsung tidak penting, yang lebih parah mendakwa tiada nas bercakap tentang bangsa. Yang penting Islam.
Konsep Bangsa Dalam Quran dan Hadis
Allah Taala berfirman dalam Surah Al Hujurat ayat 13 :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” AL HUJURAT : 13
Allah SWT menciptakan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar mereka saling kenal mengenal.
Allah Taala berfirman lagi dalam Surah Ar Rum ayat 22:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan”. AR RUM : 22
Allah SWT menciptakan manusia berlainan bahasa dan kulit sebagai tanda-tandaNya, yang mana kita sebagai hambaNya yang beriman perlu bertafakkur atas penciptaan-penciptaannya termasuk penciptaan bangsa-bangsa manusia yang mempunyai banyak rahsia-rahsia, serta iktibar dan tauladan.
Kejadian pelbagai bangsa adalah ciptaan Allah dan tiada Allah mencipta sesuatu dengan sia-sia melainkan ada hikmah dan pelajaran samada kita sedar atau tidak sedar. Mengatakan bangsa tidak penting adalah menolak hikmah kejadian Allah dan menghina bangsa lain juga adalah menghina ciptaan Allah.
Dari Wathilah bin al Asqa’ bahawa Rasulullah bersabda :
إن الله اصطفى من ولد إبراهيم إسماعيل و اصطفىى من ولد إسماعيل بني كنانة واصطفى من بني كنانة قريشا و اصطفى من قريش بني هاشم واصطفني من بني هاشم
“Sesungguhnya Allah telah memilih keturunan Nabi Ibrahim a.s akan Nabi Ismail dan Allah memilih keturunan Nabi Ismail a.s akan Bani Kinanah. Dan Allah telah memilih dari Bani Kinanah itu akan bangsa Quraisy dan Allah memilih dari bangsa Qurais itu akan Bani Hasyim dan Allah memilih aku dari Bani Hasyim”. (HR Imam Ahmad dan Imam Muslim)
Diriwiyatkan daripada bapa saudara, al Abbas r.anhu bahawa Nabi pernah bersabda:
إن الله خلق الخلق فجعلني من خيرهم من خير فرقهم و خير الفريقين ثم تخير القبائل فجعلني من خير قبيلة ثم تخير البيوت فجعلني من خير بيوتهم فأنا خيرهم نفسا و خيرهم بيتا
“Sesungguhnya Allah Taala telah mencipta makhluk, lalu Allah menjadikan aku paling terbaik dari kalangan mereka (makhluk Allah) dan zaman yang terbaik. Kemudian Allah Taala juga memilih kabilah-kabilah dan menjadikan aku dari kabilah yang terbaik. Kemudian Allah Taala memilih rumah tangga, lalu menjadikan aku dari rumah tangga yang terbaik. Sesungguhnya aku adalah paling terbaik dari sudut jiwa dan rumah tangga (berbanding orang lain)”. (HR Imam Ahmad dan Imam Tirmizi)
Baginda juga bersabda dalam satu hadis :
الأئمة من قريش
“Para pemerintah itu mestilah dari bangsa Quraisy” (Jami’ al Ahkamul Fiqhiyah Imam Qurtubi)
لا يزال هذا الأمر في قريش ما بقي من الناس
“Urusan pemerintahan akan terus berada di tangan Quraisy, selagi ada manusia di atas muka bumi ini”. (HR Imam Muslim)
Jelas dalam Al Quran dan Hadis mengiktiraf peranan bangsa sebagai satu nikmat yang wajib di syukuri. Nabi Muhammad berbangga dengan darah Quraisnya, maka adakah salah seseorang itu berbangga dengan bangsa nya? Maka berbangga dengan bangsa sendiri tidak salah kerana memang fitrah sesorang akan mencintai bangsa dan tanah airnya. Hanya yang salah apabila menghina bangsa lain. Nah, ini baru ‘racist’. Sebelum terlupa, dalam Al Quran ada surah yang namanya Surah Quraisy.
Terdapat pelbagai bangsa di atas dunia ini yang tidak dapat saya sebutkan kesemuanya disini. Ala Kulli Hal sampai maksud.
Allah melihat taqwa bukan bangsa?
Baik, kita kembali melihat firman Allah Taala yang disebutkan sebelum ini dalam Surah Al Hujurat ayat 13 dan tambahan ayatnya :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. AL HUJURAT : 13
Pada ayat di atas, Allah menyentuh perihal bangsa dan Allah juga menyebut tentang taqwa. Maka kedua-duanya adalah aspek yang tidak diabaikan oleh Allah. Berbangga dengan bangsa tidak menafikan sifat taqwa asalkan kita tahu hakikatnya yang paling mulia disisi Allah adalah orang paling taqwa di antara kita.
Usulnya, dalam konteks hubungan manusia dengan Allah, taqwa tidak mengenal bangsa tetapi tidak lah ternafi taqwa apabila bercakap tentang bangsa. Ini lah kasih sayang Allah kepada semuanya hambaNya agar setiap mereka merasakan penting disisi Allah walau berbeza warna kulit, bangsa dan tempat. Ini jelas. Taqwa tetap ukuran teratas.
Oleh kerana itu, Nabi juga bersabda:
اسمعوا و أطيعوا وإن استعمل عليكم عبد حبشي كأن رأسه زبيبه
“Dengar dan taatilah walaupun yang memerintah kamu itu merupakan seorang hamba habsyi, seolah-olah kepalanya seperti pelepah kurma”. (HR Imam Bukhari)
Memahami Hadis ‘Para Pemimpin adalah dari Bangsa Quraisy
Rasulullah pernah bersabda:
الأئمة من قريش
“Para pemerintah itu mestilah dari bangsa Quraisy”
Hadis ini menurut sebahagian Ulama’ adalah hadis sahih begitu juga hadis – hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim tentang khilafah bagi Quraisy. Berlaku kesepatakan di zaman sahabat dan para ulama’ bahawa jawatan Imam (pemerintah) hendaklah dipilih dari Quraish.
Hinggakan di dalam Kitab Al Ahkam Al Sulthoniyah karangan Imam Mawardi meletakkan salah satu syarat pemerintah ialah Nasab dan nasab Quraisy lebih menjadi pilihan.
Maka datang Ibn Khaldun menerusi kitabnya Al Mukaddimah yang mensyarahkan makna (roh) hadis tersebut. Menurut beliau, ketua Negara atau pemerintah itu mestilah seseorang yang mempunyai kekuatan. Dalam masyarakat Arab ketika itu, bangsa Quraisy adalah puak arab yang paling kuat, berpengaruh dan dihormati (asobiah gholibah). Mereka mempunyai kelompok dan keluarga yang besar. Dengan kelompok yang besar serta berpengaruh, keputusan yang diambil akan mudah diterima dan dihormati. Ini akan membawa kepada kesatuan dan mengelakkan perpecahan dalam masyarakat dan umat. Memang di antara cara musuh memecah belahkan masyarakat ialah dengan menaikkan pemimpin dari bangsa minoriti dalam satu negara. Akibatnya negara tersebut berterusan dalam ketidakstabilan. Adakah Baginda racist ketika menuturkan pepimpin mesti dari Quraisy? Sudah tentu tidak. Hadis ini menunjukkan kebijaksaan Baginda dalam interaksi politik di zaman Baginda dan budaya arab itu sendiri.
Ucapan Baginda ini dipanggil siyasah amaliah (praktikal politik) Baginda pada realiti ketika itu dan tidak berlawan dengan prinsip Islam itu yang meletakkan ketaqwaan lebih utama.
Allah dan Rasul juga lebih mengetahui maksud hadis tersebut. Namun dalam konteks dunia moden hari ini, pendapat Ibn Khaldun lebih harmoni untuk diguna lantaran bukan semua tempat mempunyai bangsa Quraisy untuk diangkat menjadi pemimpin. Jika berpegang secara literal, akan menghadapi kesukaran melantik ketua. Maka lihat kepada ruh hadis yakni seorang pemerintah mesti mempunyai kekuatan dan kekuatan utama adalah dominasi bangsa pemerintah itu sendiri (asobiah gholibah) dan asobiah gholibah bukan asobiah yang tercela.
Ketuanan Melayu sebagai Asobiah Gholibah
Dalam konteks di tanah air kita, Asobiah Gholibah (Bangsa yang dominan) di Malaysia adalah bangsa melayu. Para Sultan sebagai pemilik asal tanah melayu adalah melayu, para pemimpin yang dominan adalah melayu bahkan Malaysia itu sendiri dari tanah melayu. Apatahlagi di Malaysia, termaktub dalam perlembagaan Melayu itu adalah beragama Islam yang boleh memenuhi syarat menjaga agama Islam. Maka, kekuatan dominanisasi itu ada pada bangsa melayu. Pada ramalannya, akan berlaku kucar kacir jika pemerintah tertinggi dari bangsa lain yang datang minoriti. Ketaatan sukar diterjemahkan namun tiada yang mustahil disisi Allah Taala. Saya serahkan jawapan ini kepada pembaca, adakah anda sebagai bangsa melayu sanggup bertuankan bangsa lain walhal tanah ini asalnya tanah anda? Ambo Tak se boh!
Perasaan kecewa atau tidak mencintai bangsa adalah kerana tidak tahu sejarah bangsanya. Tak kenal maka tak cinta. Ada pepatah berbunyi:
“Jika hendak rosakkan tanaman, racunilah akarnya, jika hendak merosakkan bangsanya, racunilah sejarahnya..”
Di dalam buku Architects of Deception : Secret History of Freemasonry, TIGA CARA melemahkan dan menjajah suatu negeri yang diperanankan oleh orientalis dalam perang saraf iaitu :
1. Kaburkan sejarahnya
2. Hancurkan bukti-bukti sejarah bangsa itu hingga tidak mampu diteliti dan dibuktikan kebenarannya
3. Putuskan mereka denga leluhur dengan mendakwa nenek moyang mereka itu bodoh lagi primitif.
Saya tidak berhajat memanjang tulisan berhubung sejarah dan kehebatan bangsa melayu yang sudah banyak tertulis. Pesan bonda saya,
“mereka yang tidak pedulikan sejarah, tunggulah nescaya putaran sejarah akan datang kembali menghukumnya”
“hatta di dalam Al Qur’an sendiri, banyak cerita sejarah sebagai iktibar dan tauladan bagi umat”
Asobiah Yang Tercela
Rasulullah ketika ditanya tentang asobiyah (semangat bangsa / kaum),
يا رسول الله , أ من العصبية أن يحب الرجل قومه ؟
Wahai Rasulullah! Apakah kecintaan kami kepada kaum itu dikatakan al-asabiyyah?
لا ، ولكن من العصبية أن يعين الرجل قومه على الظلم
Sabda Baginda : “Tidak, sebaliknya asabiyah itu ialah apabila kamu menolong kaummu atas kezaliman”. HR Imam Ibnu Majah
Jika seseorang itu meletakkan bangsanya sendiri sebagai asas perjuangan melebihi kepentingan agamanya sendiri, lebih mengutamakan bangsanya sendiri melebihi persaudaraan Islam dan meletakkan bangsanya di tempat yang paling tinggi walaupun bangsanya melakukan kezaliman dan ketidak adilan kepada bangsa-bangsa lain, maka seseorang itu sudah menganuti asobiah yang tercela oleh syara’. Asabiyyah ini (asobiah jahiliah) yang ditentang oleh Baginda yakni semangat bangsa atau perkauman yang berlaku penindasan dan perbuatan zalim, membuta tuli membela bangsa atau kaumnya yang terang berlalu zalim dan menafikan hak bangsa lain.
ليس منا من دعا إلى عصبية
“Bukan termasuk ummatku bagi sesiapa menyeru kepada asabiyah”. (HR Abu Daud).
Saya percaya jika para pembaca menjumpai hadis di atas atau semisal maksudnya, akan memahami apakah asobiah yang dimaksudkan oleh Baginda dalam hadis tersebut.
Seperti mana ada asobiah yang tercela, di sana ada Asobiah yang terpuji yakni semangat permuafakatan dan persefahaman yang terbentuk dalam struktur sosial masyarakat hingga membudaya sikap tolong-menolong dan bekerjasama antara satu sama lain. Menurut Ibn Khaldun, Asabiyah ini (berdasarkan semangat perpaduan sosial atau kesetiakawanan) amat penting untuk menciptakan perpaduan dan etika sosial yang mengikat hubungan manusia dalam sesuatu bangsa.
Kesimpulan
Fenomena yang berlaku pada hari ini, wujud sebahagian kita yang ghairah yang memisahkan perjuangan melayu dan Islam. Kata mereka, mereka hanya perjuangkan Islam. Bangsa tiada tempat dalam perjuangan. Mereka berpandangan perjuangan melayu adalah bersifat perkauman sempit yang diharamkan oleh Islam. Tiada penghargaan kepada sejarah, asal usul kerana merasakan tiada kepentingan. Lebih parah, mereka mempunyai persepsi negatif dan naïf kepada sejarah dan warisan leluhur umat melayu Islam di tanah air.
Sementara di sana ada juga puak yang memperjuangkan melayu tetapi bersikap acuh tidak acuh akan nilai Islam. Apakah makna melayu tanpa jati diri Islam.
Allah menyentuh perihal bangsa dan Allah juga menyebut tentang taqwa. Maka kedua-duanya adalah elemen yang tidak diabaikan oleh Allah. Berbangga dengan bangsa tidak menafikan sifat taqwa asalkan kita tahu hakikatnya yang paling mulia disisi Allah adalah orang paling taqwa di antara kita dan tidak menghina bangsa lain.
Bersyukur dilahir satu bangsa tertentu ialah dengan membangunkan kekuatan ciri bangsa itu untuk membangunkan peradaban dan ketamadunan yang berteraskan syariat dan hakikat yang dibawa oleh Rasulullah .
Sekian,
Angah Sunan
Rujukan:
1. Imam Abu Hasan Al Mawardi, Al Ahkam Al Sulthoniyah, Musthofa al Bab al Halabi, Mesir
2. Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, Dar Ibn Khaldun, Iskandariah
3. Syaikh Khalid Ali Muhammad Al Anbariy, Fiqh As Siyasah As Syar’iyah Fi Dhau Al Qur’an Wa As Sunnah Wa Aqwal Salaf al Ai’mmah
4. Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir Al Jarumi, Fikh Kenegaraan Siyasah Syariah Negara Kontemporari, Pelima Sdn Bhd (2012)
5. Tun Suzana Tun Othman, Asobiah & Perjuangan Melayu, Pertubuhan Kesedaran Melayu & Islam (KEMUDI)
6. Imam Ibnu Majah, Sunan Ibn Majah, Cetakan Maktabah Ludhyanvi Pakistan
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih