Sepanjang pengalaman saya membuat kajian di lapangan, pernah dua kali saya terjumpa masjid Syiah secara tidak sengaja. Sekali di Indonesia dan sekali lagi di selatan Filipina. Saya masuk kedua-dua masjid tersebut bagi tujuan mencari manuskrip.
Ada beberapa sejarawan yang mendakwa bahawa kedatangan Islam ke Nusantara dibawa oleh orang-orang Syiah. Antaranya ialah Dr Mahyuddin Yahya dan Ali Hasymi. Asas dakwaan mereka ialah berdasarkan kandungan kitab Izharul Haq Fi Mamlakatil Firlak karangan Abu Ishaq al-Makarani Sulaiman al-Pasi.
Dalam kitab ini menyatakan bahawa pada abad ke-9, satu rombongan dakwah yang dianggotai oleh cucu Imam Jaafar as- Siddiq iaitu Ali bin Muhammad bin Jaafar As Siddiq telah sampai ke Perlak. Dari fakta ini, mereka terus membuat kesimpulan bahawa kumpulan ini adalah orang-orang yang berfahaman Syiah.
Fakta ini pada saya salah dan fatal sama sekali. Dakwaan ini muncul dari kekeliruan sejarahwan dalam membezakan antara Syiah dan Ahli Bait (keturunan Rasulullah SAW).
Dakwaan bahawa pendakwah Syiah yang membawa Islam ke Nusantara telah ditolak oleh ramai sejarawan yang lain seperti Prof Azyumardi Azra, Buya Hamka, Prof Syed Naquib al-Attas dan lain-lain. Jelas sekali yang membawa Islam ke Nusantara ialah golongan ulama dan pedagang Arab yang berakidah ASWJ Asya’irah dan bermazhab Syafie.
Banyak bukti yang menguatkan dakwaan ini. Antara bukti yang paling jelas ialah dari sumber primier iaitu catatan Ibnu Battutah dan Batu Bersurat Terengganu.
Ibnu Battutah jelas sekali mencatatkan bahawa umat Islam di Samudera Pasai kukuh berpegang dengan Mazhab Syafie. Dalam risalah Rihlah Ibnu Battutah dicatatkan seperti berikut:-
“Baginda ialah Sultan Al Malik Al Zahir iaitu salah seorang raja yang memiliki kelebihan di samping seorang yang dermawan. Baginda bermazhab Syafie dan mengasihi fuqaha’….Rakyat baginda juga bermazhab Syafie.”
Pada Batu Bersurat Terengganu pula tercatat sedemikian:-
“Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka. Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam.” Perkataan ‘arwah santabi’ adalah perkataan Melayu kuno yang diterjemahkan sebagai sekalian para sahabat dan tabi’in.
Di samping itu, penulisan ulama-ulama silam di Nusantara juga membuktikan keseluruhan mereka berfahaman ASWJ dan bermazhab Syafie. Ulama besar Aceh abad ke-17 iaitu Syeikh Nuruddin Al Raniri telah mengarang syair yang menyatakan bahawa ulama Nusantara sepakat tentang kemuliaan Sayyidina Ali dan Muawiyah bin Abu Sufyan رضي الله عنهما . Syair tersebut berbunyi:-
Muafakat ulama sekalian syaikh,
Begini dikatakan kalam ceritera,
Saidina Ali dan Muawiyah,
Pada Allah pangkat besar,
Siapa yang mencerca keduanya itu,
Dari Tuhan mendapat murka.
Dengan itu, berdasarkan kajian saya, pertapakan Syiah di Nusantara (kewujudan masjid Syiah dan kemunculan agamawan Syiah) bermula pasca revolusi Iran. Berdasarkan pengalaman di lapangan, saya ada menemui manuskrip tulisan ulama ASWJ bermazhab Syafie abad ke-19 dalam simpanan seorang tokoh Syiah. Rupanya manuskrip itu ditulis oleh datuknya. Beliau mengaku beliau mula berpegang dengan Syiah setelah menetap di Iran.
Ada yang serkap jarang mendakwa penamaan tumbuhan Nusantara iaitu tongkat ali dan kacip fatimah bukti masyarakat Nusantara beramal dengan Syiah. Dakwaan sebegini sangat lucu dan hanya membuktikan sifat buta sejarah. Saya akan kongsikan tentang hal ini dalam ‘posting’ yang akan datang.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih