Seperti
semua sedia maklum, Captain Marvel merupakan filem terbaru Marvel Cinematic
Universe (MCU) sebelum munculnya sekuel yang dinantikan semua: Avengers:
Endgame. Selepas Endgame, ramai menganggap Carol Danvers/Captain Marvel sebagai
tunjang utama MCU menggantikan dua tunjang utama fasa Infinity Saga iaitu Tony
Stark/Iron Man dan Steve Rogers/Captain America. Diharap apa jua hala tuju yang
dibawa MCU berkenaan Captain Marvel, ianya masih ke arah heroisme dan
kemanusiaan yang ditonjolkan Rogers. Ini kerana ada dua komik yang menunjukkan
Danvers bukanlah seorang wira seperti yang didakwa.
Seperti
yang didedahkan ketua Marvel Studios Kevin Feige, Captain Marvel dianggap
antara individu paling kuat dalam dunia MCU sekaligus mengatasi watak MCU lain
seperti Dr Bruce Banner/The Hulk, Thor dan Thanos. Ini kerana selain mempunyai
fisiologi manusia-Kree, Danvers turut didedahkan kepada tenaga Space Stone
selepas enjin eksperimen yang dibangunkan oleh mentornya Dr Wendy Lawson
dimusnahkan beliau. Ini menjadikan Danvers mempunyai tenaga dan kekuatan kosmik
yang luar biasa. Maka tidak hairanlah mengapa pengarah Endgame Joe dan Anthony
Russo serta Feige melihat beliau sebagai antara pemain utama dalam Endgame
selain Scott Lang/Ant-Man dan Avengers sendiri.
Tetapi
dalam komik, ada dua kisah yang memperlihatkan sisi gelap Captain Marvel iaitu
Civil War yang dinukil oleh Mark Millar dan Civil War II hasil karya Brian
Michael Bendis. Dalam komik, Akta Pendaftaran Manusia Luar Biasa digubal
sebagai respon kepada insiden di Stanford iaitu pertembungan antara kumpulan
adiwira dengan penjenayah yang mengorbankan 200 orang awam. Dalam konteks MCU
pula di mana Captain America: Civil War menggunakan ia sebagai asas, Perjanjian
Sokovia (versi MCU untuk akta itu) digubal sebagai tindak balas kepada insiden
seperti serangan makhluk asing di New York (The Avengers), amukan The Hulk di
Afrika Selatan dan serangan robot-robot Ultron (Avengers: Age of Ultron) dan
serangan pengganas di Lagos, Nigeria (Captain America: Civil War).
Semua sedia maklum, akta ini memerlukan mana-mana individu berkuasa luar biasa menandatangani akta berkenaan bagi membolehkan mereka kekal aktif sebagai adiwira. Jika mereka enggan berbuat demikian, mereka akan diburu seperti penjenayah dan ditahan dalam penjara khas seperti The Raft yang ditunjukkan dalam Civil War versi filem. Kita tahu idea akta ini bukan saja mengarut bahkan tidak berhasil seperti ditonjolkan dalam Avengers: Infinity War.
Tetapi dalam komik, pendukung utama gerakan pro-pendaftaran ialah Danvers dengan beliau turut berperanan sebagai penguatkuasa gerakan ini. Civil War ini hanya berakhir selepas Rogers memilih menyerah diri dengan harapan dapat menyelamatkan nyawa orang yang tidak berdosa termasuk adiwira yang tidak berdaftar. Tetapi ianya tidak berhasil dengan jatuhnya Asgard (The Siege), kehadiran Stark dan Norman Osborn sebagai pengarah SHIELD/HAMMER (Secret Invasion dan Dark Reign) dan kematian Rogers di tangan kekasihnya sendiri, Sharon Carter (The Death of Captain America).
Jika
dalam komik Civil War, Captain Marvel hanya berperanan sebagai watak sokongan
kepada kumpulan pro-pendaftaran. Tetapi Civil War II pula menjadikan Danvers
sebagai watak utama dan dilema berkenaan caranya mengendalikan krisis. Selepas
perlancaran semula All New, All Different Marvel, beliau merupakan ketua
organisasi Alpha Flight yang bertanggungjawab melindungi bumi dari serangan
makhluk asing. Benih Civil War II mula bercambah apabila seorang pelajar
bernama Ulysses Cain mengalami proses perubahan untuk menjadi Inhuman dengan
keupayaan melihat masa depan dengan salah satunya ialah makhluk asing menyerang
bumi. Bagaimanapun, serangan tersebut berjaya dipatahkan hasil kerjasama semua
hero Marvel Universe.
Semasa pertemuan pertama Danvers dengan Cain, Inhuman itu mendapat satu lagi visi iaitu Thanos menyerang bumi. Ini mendorong beliau mengeksploitasi apa saja maklumat yang diberi Cain untuk menangani mana-mana ancaman yang datang. Namun, rancangan ini kurang disenangi Stark dan mahu melihat sejauh mana kemampuan pelajar itu sebelum melakukan apa-apa perkara.
Tetapi kedegilan Danvers menyerang hendap Thanos sambil dibantu She-Hulk/Jennifer Walters dan War Machine/James Rhodes memakan diri dengan rakan baik Stark itu mati dan She-Hulk pula cedera parah semasa menahan Thanos. Ini mendorong Stark menculik Cain untuk mengkaji kuasanya yang sebenar dan mendapati masa depan yang digambarkan Cain bukanlah sudah tertulis tetapi pelbagai kemungkinan masa depan yang terhasil daripada pengiraan semua faktor.
Ini
yang mendorong Stark mengemukakan soalan ini kepada Danvers, “Kalau Ulysses
kata kau ialah ancaman kepada masa depan kami, apakah kami harus menghentikan
kau sebelum kau melakukan sesuatu yang kau mungkin lakukan, walaupun kau
sendiri tak tahu apa yang kau lakukan?” Respon Danvers seterusnya dilihat
menyakitkan hati Stark, “Bergantung.” Beliau seterusnya menyelar sikap jutawan
yang menggelar dirinya futurist tetapi enggan melakukan apa-apa untuk mengubah
masa depan. Di sinilah masalah sebenar Captain Danvers yang sentiasa yakin
bahawa dirinya sentiasa benar dalam semua perkara walaupun wujud bukti yang
menyatakan sebaliknya dan tidak mengendahkan proses undang-undang yang wujud.
Kerana
terlalu percayakan keupayaan meramal masa depan Cain, lebih ramai mati atau
berpecah akibat ‘ramalan’ itu dari Banner dibunuh (di tangan Clint
Barton/Hawkeye), komuniti adiwira berbelah-bahagi tentang peramal dan akhir
sekali, ramalan Spiderman (Miles Morales dan bukan Peter Parker) membunuh Rogers.
Tetapi ramalan terakhir berkenaan pembunuhan Rogers ini yang mendorong Danvers
mahu menahan Morales atas jenayah yang tidak dilakukannya walaupun dia hanyalah
seorang remaja. Sekali lagi, beliau tidak mempedulikan proses undang-undang dan
prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya’ atas nama keselamatan
dan keamanan. Namun, kekecohan ini dihentikan oleh Rogers yang memilih
melepaskan Morales walaupun dibantah Danvers kerana berpotensi mengancam nyawa
Cap.
Danvers
memerlukan keyakinan bahawasanya keselamatan semua orang dapat dijamin tanpa
mengira akibat dari segi moral dan kehilangan nyawa. Beliau tidak sedar proses
undang-undang dalam masyarakat yang bebas hari ini wujud kerana kita tidak tahu
semuanya. Walaupun kita cuba berlagak dengan menganggap kita tahu semuanya
hakikatnya tiada siapa yang tahu kemungkinan masa depan kerana kita tidak tahu
faktor-faktor yang mempengaruhi manusia untuk bertindak.
Sejarah
menyaksikan banyak serangan awal ini bukanlah mencegah kemungkinan berlaku insiden
keganasan/jenayah tetapi memarakkan lagi api permusuhan. Satu serangan awal
yang dianggap ikonik ialah serangan Jepun ke atas Pearl Harbor pada tahun 1941.
Serangan yang dirancang Laksamana Isoroku Yamamoto bertujuan untuk melumpuhkan
armada laut Amerika Syarikat dan menjejaskan sebarang usaha penyertaan AS dalam
Perang Dunia Kedua. Tetapi itu tidak berlaku dan memarakkan lagi keinginan
Washington menyertai perang berkenaan. Dan sebagai respon kepada serangan itu
juga, Franklin Roosevelt menandatangani Perintah Eksekutif 9066 yang
menyaksikan 120,000 orang Jepun-Amerika ditahan tanpa sebarang perbicaraan atas
sebab mereka merupakan perisik asing dan berdarah Jepun.
Oleh sebab itu, melihat kepada kecenderungan Danvers ini, tidak hairanlah jika ada yang berpandangan beliau bukanlah seorang wira seperti yang didakwa dalam komik. Tetapi perlu diingat, filem membenarkan watak sepertinya berevolusi menjadi individu yang lebih matang, proses sama yang diharungi Rogers dan Stark sepanjang tempoh Infinity Saga. Di sinilah, penulis-penulis boleh saja mencorak perwatakannya menjadi kompas moral MCU dan sekaligus mengisi ruang yang ditinggalkan Rogers pasca-Infinity Saga.
Siapa tahu, ia bukan saja menjadikan Danvers tunjang utama MCU tetapi juga sebagai kompas kemanusiaan dengan menggunakan sisi manusiawinya. Bagi orang biasa seperti kita pula, kita mungkin tiada sut perisai canggih, perisai yang diperbuat daripada vibranium atau tukul yang boleh kembali bila dipanggil. Tetapi kita juga ada kuasa yang dipanggil sikap berhemah dan hormat kepada orang lain. Kuasa sebegini yang seharusnya digunakan sebaik-baiknya untuk menjadikan dunia lebih indah.
SUMBER
W.
Malone, Sean. (2019). YouTube. Foundation for Economic Education. Is Captain Marvel
Actually a Hero? https://www.youtube.com/watch?v=LJO-PkPk4W4




No comments yet