Apabila berbicara suatu topik tentang bahasa di mana-mana ruangan media sosial, pasti kita akan temui kebanjiran komen-komen oleh satu kelompok yang kita selalu temui setiap hari, iaitu Ultra-Nasionalis Tamil. Baru-baru ini di sebuah saluran YouTube yang berbincang tentang bahasa tertua di dunia, penulis membaca beribu-ribu komen yang mempersoalkan mengapa pengendali saluran tersebut tidak memasukkan sekali bahasa Tamil sebagai bahasa tertua di dunia
Yang pasti, teorinya adalah, mereka mendakwa bahawa bahasa Tamil bukan sahaja merupakan bahasa tertua yang masih hidup dan masih dituturkan pada zaman moden hari ini, tetapi ia juga merupakan bahasa yang pertama dan paling terawal yang pernah digunakan oleh manusia untuk berkomunikasi.
Dalam erti kata yang lain, dari mana jua asal usul manusia menurut teori ini, sama ada manusia moden adalah dari keturunan yang berevolusi, diciptakan oleh Tuhan, atau dibawa ke bumi oleh makhluk asing, teori ini berpegang bahawa bahasa Tamil adalah bahasa paling pertama yang muncul terlebih dahulu semenjak planet Bumi dan alam semesta ini tercipta. Tetapi, sejauh mana kebenarannya?
Artikel ini tidak bertujuan untuk memprov.okasi mana-mana pihak, sebaliknya hanya mahu berkongsi perbahasan yang dirumuskan secara saintifik dalam mencari kebenaran. Lebih lebih lagi penulis merasakan tindakan membanjiri ruangan komen sebuah perbahasan ilmiah dengan kepercayaan mitologi adalah satu perbuatan yang kurang beradab. Ketaksuban akan membawa kepada kejahilan.
Pengenalan Bahasa Tamil
Bahasa Tamil adalah bahasa Dravidian yang dituturkan oleh 70 juta orang penutur yang kebanyakannya adalah berpopulasi di India Selatan dan Sri Lanka, termasuk Malaysia. Pada hari ini, bahasa tersebut merupakan bahasa rasmi yang diiktiraf untuk wilayah Tamil Nadu di India dan juga dijadikan sebagai bahasa rasmi kedua negara Sri Lanka selepas bahasa Sinhala.
Jadi, Tamil adalah salah satu dari bahasa-bahasa Dravidian dan, ia tentulah akan ada perkaitan dengan bahasa-bahasa Dravidian yang lain, seperti bahasa Telugu, Malayalam, dan Kannada.
Mitologi Lagenda Tamil
Kisah mengenai sejarah dan asal-usul kaum Tamil, lebih kurang sama saja seperti kisah-kisah sejarah permulaan kebanyakan bangsa dan bahasa lain, iaitu sentiasa akan diselubungi oleh mitos lagenda. Menurut legenda, bahasa Tamil diciptakan oleh dewa Tamil Thai lalu dibawa kepada penduduk di Bumi oleh dewa Murugan, dewa pe.ra.ng dan kemenangan.
Malah, menurut sarjanawan R. Mathivanan, bekas ketua editor Tamil Etymological Dictionary Project of the Government of Tamil Nadu, bahasa Tamil pertama kali muncul pada sekitar tahun 200,000 SM. Sekiranya dakwaan teori Mathivanan ini tepat dan benar, maka tidak syak lagi bahawa sebenarnya ini telah menjadikan bahasa Tamil sebagai bahasa yang paling tertua di dunia.
Teori juga turut menyatakan bahawa seluruh umat manusia pada zaman dahulu adalah bertutur menggunakan bahasa Tamil pada satu ketika. Menurut Alex Collier, bahasa Tamil adalah bahasa asal manusia, tetapi apabila manusia semakin berkembang, kita menjadi terlalu kuat. Dian.cam oleh manusia, maka makhluk asing dari angkasa lepas datang dan mengajar nenek moyang kita berbagai-bagai bahasa asing untuk memecahkan kesatuan dan mengelirukan seluruh umat manusia.
Perlu diingat, bagaimanapun, Alex Collier bukanlah seorang ahli atau pakar linguistik dan tidak mempunyai latar belakang saintifik yang sebenarnya. Sebaliknya, dia mendakwa dia telah berkali-kali berhubung dengan makhluk asing biru yang disebut Andromeda. Juga adalah penting untuk diingatkan bahawa dia sudah lama melakukan penipuan amatur sebegini selama beberapa dekad, dan Alex Collier mungkin bukan nama sebenarnya.
Apa Pandangan Sains Tentang Bahasa Tamil
Tetapi apakah sebenarnya bukti yang telah pun dinyatakan secara saintifik mengenai status sebenar bahasa Tamil dan usianya? Malangnya, tak terlalu banyak pun. Itu pun memandangkan kita semua tahu bahasa Tamil adalah bahasa Dravidian, maka, disimpulkan bahawa bahasa Tamil berasal dari bahasa nenek moyangnya iaitu Proto-Dravidian yang mungkin dituturkan sekitar 5000 tahun yang lalu pada sekitar tahun 3000 SM. Ia kemudiannya berkembang menjadi Proto-Dravidian Selatan, nenek moyang bahasa Tamil dan Malayalam, berusia sekitar 2500 SM, ini bermaksud bahasa proto-Tamil hanya muncul pada sekitar tahun 500 hingga 300 SM.
Proto-Tamil ya tuan-tuan, bukan bahasa Tamil yang dituturkan hari ini ya.
Apa yang dimaksudkan apabila kita menyebut “proto-Dravidian” atau “proto-Tamil”? Baiklah, bahasa dan bangsa proto adalah bahasa dan bangsa yang dihipotesiskan telah dan pernah wujud pada suatu ketika dahulu yang menjadi permulaan kepada bahasa dan bangsa yang berkaitan pada hari ini. Namun dalam kes bahasa Tamil, masih tidak ada bukti jelas yang berkaitan dengan bahasa proto-Tamil. Istilah proto-Tamil ini hanya satu kemungkinan dalam konteks bahasa, bukan bangsa.
Jika orang-orang Xiongnu atau Hun yang menye.ra.ng Dinasti Han suatu ketika dahulu serta empayar Khamag-Mongol, mereka dianggap sebagai bangsa proto-Mongol yang melahirkan bangsa Mongol dari zaman Genghis Khan hingga generasi Mongolia hari ini. Manakala di Malaysia, proto-Melayu selain untuk Bahasa Melayu Proto, adalah istilah merujuk kepada orang asal untuk bangsa Melayu yang masih lagi hidup ke hari ini iaitu Orang Asli yang merangkumi etnik seperti Jakun dan Temuan.
Dan berkenaan dengan proto-Tamil, di situ lah bermulanya komplikasi. Apabila sesuatu itu merupakan bahasa proto, seperti dalam kes proto-Dravidian atau proto-Tamil, kita membuat hipotesis mengenai bahasa yang mungkin wujud tetapi kita tidak mempunyai bukti catatan bertulis atau penuturnya yang masih hidup, tidak sama seperti proto-Melayu meskipun bahasa proto-Melayu dijangka hanya bermula sezaman dengan bahasa Inggeris.
Oleh itu, menurut penyelidikan, bagi kes bahasa proto-Tamil masih tidak ada sebarang bukti seperti teks bertulis tentang proto-Dravidian atau proto-Tamil, kita hanya mempunyai apa yang dihipotesiskan oleh pakar dan penyelidik linguistik sebagai bahasa yang memiliki pertuturan dengan bunyi yang hampir mirip. Ini adalah kenyataan yang harus diterima jika orang-orang Tamil mahukan jawapan berfakta, melainkan jika mereka memilih mahu berpegang kepada kepercayaan kuno, itu pilihan mereka.
Menurut fakta, catatan bertulis yang pertama menggunakan bahasa Dravidian memang sebenarnya adalah bahasa Tamil, tetapi catatan bertulis ini hanya bermula pada sekitar tahun 500 hingga 300 SM. Ianya berasal dari contoh penulisan aksara Tamil-Brahmi yang terdapat pada dinding di sebuah gua di wilayah Tamil Nadu, selatan India. Aksara ini juga berperanan menjadi bukti kesusasteraan Tamil Sangam yang didalilkan telah wujud dalam bentuk lisan selama beratus-ratus ribu tahun. Namun, walaupun begitu, kita hanya boleh membuat kesimpulan berikut:
- Catatan bertulis dalam bahasa Tamil yang pertama bermula antara tahun 300 SM. Ini bermaksud bahawa bahasa Tamil hanya boleh dibuktikan secara paling kukuh telah wujud pada sekitar tahun 300 SM.
- Catatan bertulis ini tidak bermaksud bahawa bahasa Tamil itu sendiri telah dituturkan pada tahun 300 SM. Bahasa Tamil mungkin benar adalah lebih tua. Faktanya adalah, kita semua tahu bahawa bahasa yang dituturkan secara lisan akan muncul sebelum penulisan, jadi, bahasa Tamil mungkin lebih tua dari tahun 300 SM. Tetapi kita tidak mempunyai catatan penulisan dalam bahasa Tamil yang lebih awal dari waktu yang dinyatakan.
- Walaupun kesimpulan kedua bermaksud bahawa bahasa Tamil mungkin masih ada kemungkinan untuk diiktiraf sebagai bahasa lisan tertua di dunia, tetapi masih terdapat banyak lagi bahasa-bahasa lain yang muncul dalam bentuk penulisan dan berasal dari tarikh yang jauh lebih awal daripada bahasa Tamil. Sebagai contoh:
- Bahasa Sumeria yang bertulis bermula pada tahun 3500 SM.
- Hieroglif Mesir bermula pada tahun 3300 SM.
- Akkadia, Hitti, Yunani Mikenai, China, Aramaic, Ibrani, Phoenicia, Parsi, dan juga bahasa Latin yang bermula pada zaman sebelum catatan bertulis pertama dalam bahasa Tamil bermula.
Oleh itu, adakah bahasa Tamil merupakan bahasa tertua di dunia?
Walau apa jua yang dikatakan oleh sains, mungkin ada sebabnya mengapa kita tidak mempunyai catatan bertulis dalam bahasa Tamil yang lebih awal. Menurut kesusasteraan Sangam, pernah wujud sebuah benua Tamil kuno yang agung bernama Kumari Kandam yang wujud antara tahun 30,000 dan 16,000 SM. Malangnya, Kumari Kandam ditenggelami oleh Lautan Hindi.
Mungkin ia turut menenggelamkan sekali segaLa catatan bertulis bahasa Tamil kuno bersamanya. Sekiranya Kumari Kandam benar-benar pernah wujud, ia menambahkan lagi akan kemungkinan bahasa Tamil telah ditulis sebelum tahun 300 SM, tetapi, jangankan catatan bertulis, Kumari Kandam juga tidak ditemui.
Oleh itu, dengan apa yang telah dijelaskan di atas, adakah bahasa Tamil merupakan bahasa tertua di dunia? Tiada sesiapa pun yang tahu, segalanya bergantung kepada hujah mana yang paling menarik. Walaupun dengan catatan bertulis, kita masih tidak pasti apakah kita boleh mengetahui bahasa manakah yang paling tua di dunia ini kecuali jika kita berjaya membina mesin masa dan kembali ke zaman dahulu untuk mengetahuinya.
Dalam bidang sejarah dan sains arkeologi purba, dunia moden hari ini hampir bergantung sepenuhnya kepada teori dan kesimpulan berdasarkan penemuan dan perkiraan tertentu yang boleh disandarkan secara saintifik, bukan melalui kisah-kisah mitologi.
Tidak ada cara lain untuk menentukan bahasa apakah sebenarnya yang diucapkan oleh manusia buat kali pertamanya, terutamanya kerana teori manusia mula bercakap bermula di mana-mana sahaja, di setiap pelusuk bumi antara 200,000 hingga 100,000 tahun yang lalu.
Jika pembaca ada pendapat yang lain, kita boleh raikan bersama, tetapi ianya haruslah hujah yang dibahaskan secara saintifik terlebih dahulu, kemudian barulah boleh dicari kemungkinan ada beberapa titik persamaan dengan kisah-kisah mitologi.
RUJUKAN:
The Polyglot Files: Is Tamil the Oldest Language in the World?
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih