Baru-baru ini, seorang personaliti TV di Taiwan bernama Li Zheng Hao menjadi sasaran amukan “Tentera Bawang Malaysia” berikutan kelancangannya memberikan gambaran buruk terhadap Malaysia.
Tindakan Li Zheng Hao menggunakan maklumat yang tidak tepat dan memetik imej dari Indonesia untuk memburukkan negara menyebabkan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa bersatu-padu sekaligus memaksa Li memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.
Tapi tahukah kita semua yang Taiwan adalah negara Asia yang paling efisyen dalam menangani penularan wabak ini?
Terlebih dahulu, perlu ditegaskan bahawa artikel ini bukanlah bertujuan untuk merendahkan usaha pencegahan di negara kita. Tetapi sekadar untuk kita berkongsi ilmu dan membuat penambahbaikan pada masa hadapan.
Ketika artikel ini ditulis, Taiwan hanya mencatatkan 348 jumlah jangkitan dan 5 kematian, walaupun ianya terletak sangat berhampiran China. Justeru, apakah rahsia Taiwan yang menyebabkannya begitu efektif dalam mencegah merebaknya virus yang berbahaya ini?
1 Warga, 3 Topeng Seminggu
Antara individu penting yang memastikan Taiwan sebegitu pantas dalam langkah pencegahan adalah Menteri Digital mereka Audrey Tang, seorang pemprogram pengisian berusia 38 tahun yang berperanan membangunkan aplikasi yang membolehkan warga Taiwan mengetahui lokasi yang berisiko dicemari virus.
Taiwan telah mengenakan larangan eksport kepada industri pembuatan topeng sejak Januari lagi. Industri topeng Taiwan sendiri dianggarkan mampu menghasilkan 10 juta keping topeng dalam sehari. Di samping itu, pembelian topeng oleh setiap rakyat Taiwan dihadkan kepada 3 keping seminggu. Warga Taiwan dimestikan mengemukakan kad pengenalan sebelum membuat pembelian, supaya mereka tidak dapat membeli lagi dalam minggu yang sama.
Bukan itu saja, malah rakyat Taiwan juga boleh memuat turun dan menggunakan aplikasi masa sebenar untuk menjejaki farmasi yang mempunyai stok topeng. Tang sendiri telah memastikan pembangunan aplikasi ini mendapat sumber yang sewajarnya. Pembelian terus juga boleh dibuat menggunakan aplikasi ini, dan rekod pembelian akan dimasukkan ke dalam sistem insurans nasional mereka!
Aplikasi ciptaan Taiwan ini kemudian diadaptasi ke versi Korea untuk digunakan warga Korea. Malah, Taiwan juga sudah mula mendermakan bekalan topeng
Pendek kata, tiada konsep free market dalam industri topeng kerana kerajaan Taiwan mengawal dan memantau segalanya, daripada pembuatan, pengedaran hingga kepada penjualan.
Faktor WHO dan China
Ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih lagi berdegil dan enggan menerima bahawa krisis coronavirus sudah memasuki tahap pandemik, dan kebanyakan negara masih terus menerima kehadiran pelancong China, Taiwan telah pun mengawal kemasukan warga China sejak Januari.
Seperti yang diketahui ramai, China mengangap Taiwan sebagai salah satu wilayahnya, sekaligus menyebabkan Taiwan tidak dapat menganggotai WHO, ekoran tekanan oleh China. Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus yang berasal daripada Ethiopia sememangnya dikenali sebagai sekutu kuat China.
Kegagalan menjadi negara anggota WHO dan tekanan China adalah blessing in disguise kepada Taiwan, kerana ia memaksa Taiwan untuk menjadi lebih inovatif dalam memastikan survival mereka.
Sistem Pengesanan
Warga Taiwan yang baru pulang daripada luar negara akan diminta mengisi borang untuk menentukan tahap kesihatan mereka. Mereka yang berpotensi telah dijangkiti atau mempunyai bacaan suhu yang tidak normal akan terus menjalani ujian saringan di lapangan terbang. Keputusan ujian direkodkan dan mereka diwajibkan mendaftarkan nombor telefon mereka ke dalam sistem penjejakan yang membolehkan pihak berkuasa mengesan pergerakan mereka.
Beg penumpang berkenaan akan dinyahkuman. Seterusnya, mereka dilarang menaiki pengangkutan awam dan hanya dibenarkan menggunakan teksi khas yang disediakan kerajaan. Dengan adanya sistem pengesanan sebelum ini, kerajaan berupaya memastikan mereka yang berisiko ini mematuhi arahan kuarantin 14 hari.
Terdapat suara-suara khususnya di Barat yang memberikan amaran bahawa sistem seperti mana digunakan Taiwan akan memudahkan kerajaan mengetahui pergerakan rakyat, sekaligus membawa ancaman kepada demokrasi dan kebebasan. Walau bagaimana pun, langkah-langkah ekstrem sememangnya tidak boleh dielakkan dalam menangani penularan wabak yang bahaya seperti coronavirus.
Kesimpulan
Kerajaan Malaysia juga dilihat berada pada landasan yang baik dalam usaha pencegahan virus ini. Meskipun kita masih belum mencapai tahap seperti dikecapi Taiwan, sekiranya dibandingkan dengan negara-negara lain, rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dan komited mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan.
Walau bagaimana pun, kita wajar mencontohi Taiwan dalam aspek kebersediaan, self-sufficiency dan penekanan terhadap teknologi. Kepercayaan juga harus lebih diberikan kepada golongan muda untuk terlibat dan memberikan sumbangan, khususnya pada waktu genting sebegini.
Akhir kata, semoga Malaysia dan semua negara dapat mengatasi krisis ini dengan segera dan berkesan. Terima kasih diucapkan kepada semua petugas barisan hadapan atas pengorbanan dan usaha sepanjang cabaran ini.
Kita mesti menang!
RUJUKAN
COVID-19 map: Tracking the coronavirus outbreak worldwide. (n.d.). Channel News Asia. Retrieved April 4, 2020, from https://infographics.channelnewsasia.com/covid-19/map.html
[DW News]. (2020, April 2). How Taiwan overcame it’s face mask shortage [Video file]. Retrieved from https://www.youtube.com/watch?v=R-VHZ1-wqfY&fbclid=IwAR2Gv5_Xrj5uIw2iXPqJsgk52m-CLGZUSBkEVTnKuMteZQAPK0W74H47AIo
Schifrin, N. (2020, April 1). Taiwan’s aggressive efforts are paying off in fight against COVID-19. PBS News Hour. Retrieved April 4, 2020, from https://www.pbs.org/newshour/show/taiwans-aggressive-efforts-are-paying-off-in-fight-against-covid-19
Taiwan’s digital minister draws praise in Japan for mask app. (2020, March 31). Nikkei Asian Review. Retrieved April 4, 2020, from https://asia.nikkei.com/Spotlight/Coronavirus/Taiwan-s-digital-minister-draws-praise-in-Japan-for-mask-app
Artikel dikirimkan oleh Muhammad Azraiel untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih