Baru-baru ini, istilah ‘new normal’ atau kebiasaan baru menjadi popular di kalangan masyarakat. Kebiasaan baru ini bertujuan untuk mengawal jangkitan virus yang sedang merebak. Hal ini kerana, wabak ini dijangka tidak akan tamat sepenuhnya selagi vaksin tidak ditemukan. Oleh itu, kebiasaan baru perlu dilakukan oleh masyarakat dalam rutin harian mereka.

Seperti di China, walaupun perintah berkurung telah tamat, kerajaan menguatkuasakan prosedur piawaian (SOP) yang ketat dan sistematik bagi mengelakkan penyebaran virus secara tidak terkawal.

Antara kebiasaan baru yang dipraktiskan masyarakat China ialah semua orang memakai topeng muka. Kata seorang warga China, Gao, ketika mana dalam perjalanan ke tempat kerja, ramai orang berada di laluan kereta api bawah tanah. “Semua memakai topeng muka” katanya. Urusan perniagaan berjalan seperti biasa dengan orang ramai sibuk dengan telefon bimbit mereka.

Gao yang bekerja di bahagian pengurusan operasi pusat beli belah di Chuha Hanjie menganggarkan penurunan bilangan peniaga yang berada dikawasan itu dari 60,000 orang pada tahun 2019 kepada 10,000 orang pada tahun ini.

Banyak peniaga tidak mampu untuk membayar sewa kerana tidak cukup wang lalu menutup perniagaan mereka. Manakala pusat perniagaan yang beroperasi pula mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan berlakunya jangkitan virus.

Ketika perintah berkurung, jutaan pekerja China bekerja dari rumah yang mana menjadi pengalaman baru bagi majoriti mereka. Namun kini, sebahagian pekerja telah kembali bekerja seperti biasa.

Syarikat-syarikat yang sedang bergelut dengan masalah ekonomi mengurangkan gaji dan masa bekerja buat pekerja mereka. Manakala, ada pekerja yang diarahkan bekerja lebih masa bagi memulihkan ekonomi syarikat.

Selain itu, banyak tempat di China telah menetapkan cuti hujung minggu selama dua setengah hari bermula Jumaat petang , Sabtu dan Ahad berbanding sebelum ini hanya Sabtu dan Ahad. Antara tujuan utamanya ialah untuk menggalakkan rakyat membeli belah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Miss Zhao, yang bekerja di bahagian pelancongan berkata: “Sekiranya ia betul terjadi, saya sangat gembira. Dua setengah hari adalah cukup untuk menikmati percutian pendek!” Dia menegaskan bahawa dengan bergerak keluar pada Jumaat petang, mereka yang ingin bercuti tidak perlu lagi bergerak awal pagi pada hari Sabtu. Pihak hotel juga akan mendapat tempahan tambahan satu malam pada Jumaat malam.

Manakala kerajaan giat mempromosi supaya para masyarakat bercuti pada hujung minggu.Hal ini kerana, menurut Institut Kajian Pelancongan China, pelancongan domestik dijangka akan berkurangan sebanyak 56 peratus pada permulaan suku tahun ini.

Namun begitu, tidak semua yang memilih untuk bercuti. Rata-rata masyarakat memilih untuk menutup dompet mereka dan berpendapat ‘kami tidak perlu percutian, kami perlukan wang’. ‘Kami boleh belanja duit  sekiranya kami mendapat duit’, kata mereka.

Amal Liu, 26 tahun bekerja di syarikat insurans di Selatan Shenzhen. Di pejabatnya, seperti di tempat lain juga, semua orang wajib memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial. ‘Di kantin, kami perlu duduk berjauhan antara satu sama lain” katanya. Katanya lagi, ramai broker dari luar negara yang berkomunikasi dengannya merasakan kesan dari perintah berkurung di tempat mereka.

Ariel Zhong, 25, bekerja di platform permainan video bersiaran langsung, Hu Ya. Dia bertanggungjawab dalam membangunkan pemasaran dan sering mengembara ke luar negara antara benua Asia dan Amerika Latin. Katanya, sebelum Tahun Baru Cina, waktu bekerjanya tetap.

“Namun kini, kami mempunyai  jam masuk dan jam keluar yang fleksibel, dengan syarat kami bekerja selama sembilan jam termasuk waktu makan tengahari’ katanya, Antara sebab waktu bekerja tidak menentu ini adalah bertujuan untuk mempraktiskan penjarakan sosial di pengangkutan awam dan bagi mengelakkan ramai orang masuk atau keluar bangunan pejabat dalam masa yang sama.

Walaupun tidak dapat ke luar negara, Zhong gembira dapat kembali bekerja di pejabat, kerana rutin kerja yang lebih efisien, terutamanya kerana dia memerlukan internet yang laju dan stabil. Namun begitu, gajinya berkurang secara drastik, kerana 60 peratus dari gajinya merupakan insentif perjalanan ke luar negara.

He Kunfang, 75 tahun, merupakann doktor perubatan Tradisional China yang telah bersara. Dia tinggal di Kumning, daerah Yunnan.’Kami tidak terlalu terkesan dengan virus itu’katanya. ‘ Bekalan makanan dan sayuran mencukupi, tetapi dahulu kami sering ke kolam mandi awam tiga kali seminggu, tetapi kini kami tidak lagi dibenarkan.

Sekolah-sekolah juga mula dibuka di kebanyakan kawasan walaupun ada yang masih ditutup. Langkah pencegahan yang sama diambil seperti di tempat kerja iaitu masa mula yang tidak menentu, pemeriksaan suhu, pemakaian topeng muka dan penjarakan sosial. Setiap kelas akan dibersihkan dan didisinfeksikan terlebih dahulu. Setiap kelas dibenarkan bersurai pada waktu yang berlainan bagi mengelakkan perhimpunan berkumpulan.

Selain itu, ada juga sekolah mengambil inisiatif meletakkan rak-rak di luar pintu kelas bagi menyediakan penyembur disinfeksi, pakaian untuk aktiviti pembersihan dan keperluan lain.Setiap tingkatan dibahagikan sebanyak 11 dan 12 kelas dengan purata 30 orang setiap kelas bagi mengelakkan kepadatan pelajar.

Para pelajar yang akan menghadapi peperiksaan bertungkus lumus supaya dapat mengulang kembali dan menamatkan silibus selepas sebulan pembelajaran atas talian.Platform atas talian juga disediakan buat para pelajar berkomunikasi dengan guru setelah waktu persekolahan. Ada juga sekolah yang mengadakan sesi latihan dan simulasi oleh guru mengenai prosedur memasuki sekolah, menghadiri kelas, membasuh tangan dan makan.

Mereka menetapkan tiga laluan masuk yang berasingan untuk tingkatan yang berbeza seterusnya dilakukan pemeriksaan suhu. Sekiranya suhu pelajar tidak normal, dia akan dibawa dengan segera berjumpa doktor di kawasan pengasingan.

Ketika waktu makan pula, aktiviti membasuh tangan dilakukan mengikut tingkatan. Di sebuah sekolah di Xishan, meja-meja kantin telah ditanda dengan nombor bersiri, dan setiap pelajar perlu duduk mengikut nombor yang ditetapkan.

Sekolah Wuxi Meili pula menetapkan sebahagian pelajar makan di kelas dan sebahagian lagi makan di kafeteria dengan meja berasingan. Keadaan psikologi pelajar juga diambil perhatian khusus kerana kebanyakan mereka menghadapi tekanan untuk menjalani peperiksaan di waktu yang sukar ini.

Bagi Yun Tao, yang bekerja di syarikat kejuruteraan di Beijing, dan anak perempuannya yang berumur 16 tahun, kehidupan harian mereka menjadi agak sukar dari biasa. “ Saya berasa letih memasak tiga hari sekali untuk anak’ katanya.

“Selain perlu menjaga aktiviti sehariannya, saya juga perlu meluangkan masa yang banyak untuk menyelia pelajarannya pada masa yang sama saya perlu menguruskan pekerjaan harian saya. Saya berasa tidak begitu produktif seperti di tempat kerja.”

Selain itu, berlaku pertambahan masalah psikologi. Terdapat peningkatan yang mendadak dalam keganasan rumah tangga yang sememangnya sudah menjadi masalah serius di China sejak dahulu lagi.

Dari segi teknologi pula, teknologi pengesanan muka bertambah baik. Syarikat perisian pengesanan muka di China kini mendakwa boleh mengesan muka walaupun dengan pemakaian topeng muka.

Eksport dari China juga jatuh sebanyak 17.2 peratus pada Januari dan Februari tahun ini. Kerajaan berharap terdapat pemulihan pada bulan Mei, namun mungkin tidak terjadi disebabkan negara-negara lain juga mengalami kemerosotan ekonomi.

Kebanyakan negara sedang melihat China untuk mendapat tahu bagaimana kehidupan setelah perintah duduk di rumah dihentikan. Namun begitu, masyarakat China juga masih berasa risau dan berpendapat mereka belum habis menghentikan virus serta tidak boleh berasa selamat dalam keadaan sekarang.

Masyarakat kita seharusnya perlu berseedia untuk menjalankan tanggungjawab dalam mematuhi prosedur yang ditetapkan sekiranya perintah berkurung ditarik balik bagi mengawal jangkitan wabak ini.

RUJUKAN:

1) Huaxia (30 March 2020). Schools begin to reopen in China amid strict measures. Retrieved 4 May 2020 from http://www.xinhuanet.com/english/2020-03/30/c_138931813.htm

2) Huaxia (28 March 2020). China’s Wuhan reopens subway, railway station. Retrieved 4 May 2020 from http://www.xinhuanet.com/english/2020-03/28/c_138926565.htm

3) Emilia Jang (16 April 2020). China proposes 2.5 day weekend to encourage people to shop following the coronavirus crisis. Retrieved 4 May 2020 from https://www.google.com/amp/s/www.dailymail.co.uk/news/article-8220759/amp/China-proposes-2-5-day-weekend-encourage-people-shop-following-coronavirus-crisis.html

4) Frank Hossack (16 April 2020). You Must Spend Money If You Want 2.5 Day Weekend, That its. Retrieved 4 May 2020 from https://www.thenanjinger.com/news/nanjing-news/you-must-spend-money-if-you-want-a-2-5-day-weekend-that-is/

5) James Palmer (11 March 2020). China’s New Normal. Retrieved 4 May 2020 from https://foreignpolicy.com/2020/03/11/china-new-normal-coronavirus-pandemic-quarantine-ai-fen-propaganda/

6) Lu Hai Liang (1 May 2020). Life After Lockdown: How China Went Back to Work. Retrieved 4 May 2020 from https://www.bbc.com/worklife/article/20200430-is-china-going-back-to-normal-coronavirus-covid-19


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadith) dari Universiti Sultan Azlan Shah. Sangat berminat dalam penulisan isu-isu semasa.

Comments are closed.