Batu Rosetta merupakan salah sebuah penemuan yang paling signifikan dalam sejarah arkeologi. Artifak ini dihasilkan pada Zaman Ptolemaik dan ditemukan semula pada lewat kurun ke-18. Berkat penemuan Batu Rosetta, hieroglif Mesir purba dapat difahami dan diterjemahkan sekaligus mendedahkan banyak rahsia yang disimpan oleh tamadun Mesir purba.

Walaupun kisah penemuan dan penyelidikan ke atas batu ini melibatkan ilmuwan-ilmuwan lain, individu yang diberi kredit utama ialah Jean-Francois Champillion dari Perancis sehingga mereka yang lain dilupakan dan dibayangi oleh Champillion. Jika kita melihat daripada sudut yang berbeza, kisah seputar Batu Rosetta juga mengandungi unsur dramatik dek perseteruan Perancis-Belanda pada era Napoleon. Rentetan perseteruan ini, artifak berkenaan pada akhirnya jatuh ke tangan Muzium British walau ianya ditemui oleh Perancis.

APAKAH ITU BATU ROSETTA?

Batu Rosetta merupakan sebuah bongkah batu granodiorit berwarna hitam. Ia diandaikan sebagai sebuah pecahan dari sebuah stele yang saiznya lebih besar, namun hancur pada zaman silam. Walau bagaimanapun, pecahan-pecahan lain bagi stele berkenaan masih belum ditemui sehingga kini. Batu Rosetta berukuran kira-kira satu meter tinggi dan 0.75 meter lebar.

Batu ini mengandungi tiga jenis tulisan yang berbeza – iaitu hieroglif Mesir purba (bahagian atas), aksara demotik (bahagian tengah) dan bahasa Yunani (bahagian bawah). Ketiga-tiga teks ini menceritakan kisah yang sama. Justeru, dengan memahami satu tulisan memadai untuk menafsir tulisan yang lain. Berkat kewujudan tiga jenis tulisan inilah makanya Champollion berjaya memecahkan rahsia hieroglif Mesir purba.

Batu Rosetta (Muzium British)

SIAPAKAH YANG MENEMUKAN BATU ROSETTA?

Kisah penemuan semula Batu Rosetta bermula pada tahun 1798, tahun di mana Napoleon Bonaparte menyerang Mesir. Perancis berhasrat mahu menakluki Mesir yang pada masa itu merupakan wilayah naungan Empayar Uthmaniyah (walau pada hakikatnya ia dikawal oleh Mamluk). Hasrat sebenar Napoleon adalah untuk menggunakan Mesir sebagai pangkalan bagi menjejaskan laluan British ke India.

Perancis dengan mudah berjaya merebut Iskandariah dan Kaherah dari tangan Mamluk. Pada tahun berikutnya, Perancis melancarkan ekspedisi ketenteraan ke Palestin dan Syria, namun berakhir apabila mereka gagal menakluki Acre. Pada tahun inilah Batu Rosetta ditemui.

Memasuki pertengahan bulan Julai 1799, Perancis membaiki sebuah kubu usang (yang mereka namakan semula sebagai Kubu Julien) yang terletak berhampiran kota pelabuhan Rashid, pantai utara Mesir. Perancis memanggil kota tersebut sebagai Rosetta. Semasa kerja pembinaan semula kubu tersebut dijalankan, seorang jurutera tentera yang bernama Pierre-Francois Bouchard menyedari bahawa sebongkah batu yang ditemui di kubu tersebut dipenuhi dengan tulisan.

Lantaran menyedari signifikan yang dimiliki oleh artifak berkenaan, maka beliau pun menghantar batu itu ke Institute d’Egypte (Institusi Keilmuan Mesir) yang terletak di Kaherah. Dicatatkan bahawa Napoleon sendiri turun bagi memeriksa Batu Rosetta sebelum beliau kembali ke Perancis pada bulan Ogos tahun sama.


Gambaran stele penuh Rosetta (Muzium British)

MENGAPA BATU ROSETTA AKHIRNYA BERADA DI MUZIUM BRITISH?

Bagi Perancis, Batu Rosetta dianggap sebagai trofi kemenangan mereka. Namun, artifak berharga itu sama sekali tidak berkesempatan pulang ke Paris. Keberadaan Perancis di Mesir tidak berlangsung lama, memandangkan mereka menyerah kalah kepada British dan Uthmaniyah pada tahun 1801. Salah satu rampasan yang diambil oleh British ialah Batu Rosetta.

Oleh kerana itu, artifak berkenaan dibawa ke England. Tambahan, orang British meninggalkan jejak, atau boleh juga kita sebut sebagai vandalisme, ke atas Batu Rosetta. Dua tulisan berwarna putih boleh dilihat dengan jelas pada bahagian hujung Batu Rosetta yang rosak, satunya di sebelah kiri dan satu lagi di sebelah kanan. Tulisan yang di sebelah kiri berbunyi, “Captured in Egypt by the British army in 1801” sementara tulisan yang lain pula berbunyi, “Presented by King George III”.

Bahagian kiri dan kanan Batu Rosetta, mengandungi tulisan Inggeris yang berbunyi, (Kiri) ‘Captured in Egypt by the British Army in 1801’ dan (kanan) ‘Presented by King George III’

KESUKARAN DALAM MEMAHAMI DAN MENTERJEMAH HIEROGLIF

Pada akhirnya, Batu Rosetta pun disimpan di Muzium British, Londok. Semenjak itu, artifak berkenaan dipamerkan di sana, kecuali pada era Perang Dunia Pertama di mana ia dipindahkan secara sementara ke kawasan bawah tanah untuk tujuan keselamatan. Tidak lama kemudian, kapur putih digunakan bagi mewarnakan inskripsi pada batu berkenaan untuk membuatkannya lebih mudah dibaca.

Di samping itu, salinan demi salinan dan transkripsi demi transkripsi prasasti purba itu dikeluarkan supaya ia dapat dikaji oleh ilmuwan di seluruh dunia. Pada waktu itu, tulisan hieroglif dan demotik pada Batu Rosetta masih belum difahami. Justeru, ramai ilmuwan memilih untuk memulakan usaha dengan tulisan Yunani.

Pun begitu, walaupun bahasa Yunani sudah pun dikuasai secara meluas dalam kalangan ilmuwan Barat pada masa itu, usaha menterjemahkan teks merupakan satu cabaran yang berbeza memandangkan bahasa Yunani yang digunakan pada Batu Rosetta merupakan variasi yang kurang difahami oleh mereka. Apapun, terdapat beberapa orang ilmuwan yang berhasil menterjemahkan teks Yunani pada Batu Rosetta sekaligus mendorong kepada penterjemahan dua teks lain.

Walaupun Champoillion diberi kredit atas penterjemahan hieroglif Mesir purba, usaha untuk memahami dan menterjemah tulisan itu sudah pun bermula sebelum kurun ke-19. Seorang ahli kaji Mesir purba di Institusi Arkeologi UCL, Okasha El Daly pernah membentangkan sebuah kertas kajian tentang minat orang Arab pada zaman pertengahan terhadap hieroglif serta usaha mereka dalam menterjemahkannya. Pada waktu itu, hieroglif dan demotik sudah tidak lagi digunakan. Kedua-dua tulisan ini digunakan buat kali terakhir pada kurun ke-5M. Inskrispi terakhir yang diketahui menggunakan tulisan tersebut adalah dari Philae, sebuah pulau yang terletak berhampiran sempadan selatan Mesir.

Grafiti demotik pada Kuil Philae

Satu contoh yang diutarakan oleh El Daly bagi menyokong dakwaannya itu adalah beberapa buah masjid yang dibina di atas tapak kuil Mesir purba yang ditinggalkan, di mana hal ini tentunya akan menimbulkan persoalan tentang maksud simbol-simbol yang ada pada runtuhan purba itu dalam kalangan orang-orang Islam yang beribadah di masjid berkenaan.

Minat mereka terhadap hieroglif juga dapat dilihat menerusi motif ukiran yang mereka hasilkan. Tambahan lagi, menurut El Daly, Mesir sejak zaman purba lagi masyhur sebagai bumi ilmu. Oleh kerana itu, orang Islam yang menguasai Mesir pada kurun ke-7 meyakini bahawa dengan memahami dan menterjemah tulisan hieroglif, mereka akan dapat mengakses gudang keilmuan Mesir purba.

Keilmuan ini menggamit minat khusus golongan ahli alkimia (alkemis). Dalam Kitab al-Aqalim karya Abu al-Qasim al-Iraqi, sebagai contoh, kita dapat menemukan simbol-simbol alkimia yang berinspirasikan tulisan hieroglif. Beberapa ahli alkimia lain malah cuba menafsir hieroglif, seperti Jabir ibn Hayyan yang hidup pada kurun ke-8 Masihi.

Menurut ilmuwan pada zaman terkemudian, Jabir pernah menulis sebuah karya ensiklopedia tentang penterjemahan pelbagai tulisan purba, termasuklah hieroglif. Cuma malangnya, karya tersebut musnah. Ahli alkimia Muslim lain yang turut melakukan hal yang sama ialah Ibnu Wahishiya, ilmuwan dari Iraq pada kurun ke-10. Memandangkan buku beliau tentang penterjemahan hieroglif terselamat sehingga sekarang, maka Ibnu Wahishiya dianggap sebagai ilmuwan pertama yang cuba menterjemah hieroglif.

Terjemahan Ibnu Wahishiya ke atas alfabet hieroglif Mesir purba pada tahun 985


Apapun, beliau memberikan sumbangan baru dengan mengemukakan bahawa beberapa simbol hieroglif memainkan kefungsian yang lain, iaitu sebagai satu penegasan.  Simbol-simbol sebegini lazimnya diletakkan di penghujung perkataan dan digunakan bagi menegaskan maksud sebenar perkataan tersebut.

Menurut El Daly, karya Ibnu Wahishiya menunjukkan betapa beliau memahami bahawa simbol-simbol hieroglif mempunyai nilai fonetik dan bukan hanya sekadar gambar atau simbol semata-mata. Walau bagaimanapun, pengetahuan ini sebenarnya telah pun diperoleh oleh ilmuwan-ilmuwan Muslim lain selain Ibnu Wahishiya.

Di Eropah sendiri, usaha untuk menterjemah hieroglif Mesir purba jauh mendahului penemuan Batu Rosetta. Misalnya, ahli kaji Mesir purba dari British, E.A. Wallis Budge mendapati usaha menyelidiki hieroglif di era moden sudah pun bermula sejak tahun 1556, tahun di mana Giovanni Piero Valeriano Bolzani menerbitkan Hieroglyphica, iaitu sebuah karya rasmi tentang sistem tulisan Mesir purba dan bangsa-bangsa lain. Pada kurun-kurun berikutnya, ramai ilmuwan cuba melanjutkan usaha menterjemah tulisan purba itu, namun tiada yang berjaya.

Kegagalan mereka, yang masing-masing sememangnya mempunyai latar belakang keilmuan yang tinggi, boleh diandaikan berpunca daripada aksara-aksara hieroglif dan cara simbol-simbol digunakan yang masih belum mereka fahami. Oleh kerana itu, penting bagi mereka untuk memahami terlebih dahulu sifat tulisan hieroglif sebelum memulakan sebarang usaha untuk menterjemahkannya.

Pakar menyelidiki Batu Rosetta semasa Kongres Orientalis Antarabangsa 1874


BERMULA DARIPADA TEKS YUNANI KE DEMOTIK DAN SETERUSNYA KE HIEROGLIF MESIR

Berbalik semula pada Batu Rosetta, sebaik sahaja teks Yunani selesai diterjemah, ilmuwan berupaya mengusahakan penterjemahan teks hieroglif dan demotik. Salah seorang ilmuwan yang menyelidiki teks pada artifak tersebut ialah Silvestre de Sacy, orientalis Perancis. Beliau berusaha menterjemah teks demotik dengan merujuk pada teks Yunani pada tahun-tahun awal kurun ke-19.

De Sacy cuba mengenal pasti nilai fonetik yang terkandung dalam setiap simbol. Namun, selain daripada mengenal pasti beberapa nama Yunani yang ada pada teks berkenaan, beliau sama sekali tidak berhasil melakukan sebarang progres. Sesudah melihat usahanya itu tidak membawanya ke mana-mana, de Sacy pun akhirnya berputus asa.

Ilmuwan pertama yang benar-benar berjaya menemukan sesuatu tentang Batu Rosetta adalah polimath dari British, Thomas Young. Pada tahun 1814, Young memulakan penyelidikan ke atas Batu Rosetta. Walaupun beliau menumpu pada teks demotik, Young juga cuba menyelidiki teks hieroglif.

Empat tahun kemudian, beliau menerbitkan artikel-artikel tentang penemuannya itu di dalam Encyclopaedia Britannica. Sewaktu Young menjalankan kajian, tersebar andaian yang mengatakan bahawa simbol-simbol hieroglif yang ditutup dalam cartouche (satu bujur yang disertai garis melintang pada satu hujung simbol) pada hakikatnya merupakan ejaan fonetik bagi nama-nama kerabat diraja. Young menerapkan hipotesis ini dalam kajiannya dan menyedari bahawa ia berhasil. Selain itu, dengan melihat hala pandangan haiwan dan burung dalam teks berkenaan, Young menemui arah pembacaan yang betul.

Thomas Young dan surat yang ditulis olehnya pada 1818 tentang hieroglif

Pun begitu, walau dengan segala penemuan signifikan ini, hieroglif pada Batu Rosetta masih tidak berhasil diterjemahkan. Sebahagian kegagalan ini berpunca daripada keraguan Young berkenaan nilai fonetik pada simbol-simbol hieroglif. Walaupun beliau tahu yang simbol bagi nama-nama asing mempunyai nilai fonetik, beliau enggan menerapkan kaedah tersebut pada keseluruhan teks.

Pandangannya ini dibantah oleh Jean-Francois Champollion yang memulakan kajian terhadap Batu Rosetta pada 1820an. Pada tahun 1822 hingga 1824, Champollion mengemukakan bahawa beberapa simbol hieroglif sememangnya mempunyai nilai fonetik, sementara simbol lain mempunyai nilai ideografik dan simbol yang lain lagi berfungsi sebagai penegasan. Champollion juga mengutarakan bahawa teks hieroglif itu merupakan terjemahan kepada teks Yunani dan bukannya sebaliknya.

Walaupun penterjemahan teks hieroglif kini mencapai keberhasilan, ia masih belum memadai lantaran banyak teks yang perlu dikaji dengan lebih lanjut sebelum hipotesis Champollion itu boleh diterima. Penyelidikan lanjut ini berlangsung sepanjang dekad-dekad berikutnya, dan akhirnya meraihkan Champollion gelaran ‘Bapa Egyptologi’.


Jean-Francois Champollion dan perbandingan yang beliau lakukan terhadap penterjemahannya dan penterjemahan Young tentang surat bermohor Ptolemy

KANDUNGAN BATU ROSETTA

Berkenaan kandungan pada teks Batu Rosetta, ia secara asas bercerita tentang pengisytiharan yang mengesahkan pemerintahan Ptolemy V. Berdasarkan teks berkenaan, ahli-ahli kaji Mesir purba berupaya meletakkan usia teks itu pada 196SM, iaitu ulang tahun pertama pemahkotaan firaun Ptolemy V yang mewarisi takhta Mesir pada tahun 205M ketika berusia enam tahun.

Pun begitu, beliau hanya dimahkotakan setelah berkuasa selama beberapa tahun lantaran berlaku sejumlah pemberontakan di seluruh kerajaannya. Apapun, pengisytiharan yang dikeluarkan pendeta-pendeta Mesir (mungkin dari Memphis) itu bertujuan sebagai simbol pemahkotaan firaun dan penyerahan status dewa kepada Ptolemy. Sebagai ganjaran, mereka diberikan sejumlah kurniaan seperti pelepasan cukai dan kebenaran untuk berhimpun secara tahunan di Memphis, bukannya Iskandariah seperti kebiasaan.

Syiling yang dikeluarkan oleh Ptolemy V Epiphanes

KISAH BATU ROSETTA MASIH BERTERUSAN…

Kisah Batu Rosetta mungkin hanya bermula pada kurun ke-2SM. Namun, kisahnya masih terus berlanjutan dan mengandungi banyak babak. Bermula daripada tujuan asal penghasilannya sebagai pemasyhuran Ptolemy V (dan kurniaan firaun kepada kelas pendeta), babak penceritaan berpindah kepada kisah penemuan semula batu berkenaan sekaligus memerikan perseteruan antara Britain dan Perancis pada era Napoleon, serta peranan yang ia mainkan dalam usaha penterjemahan hieroglif Mesir purba. Pada hari ini, kisah seputar Batu Rosetta masih berlanjutan dan memasuki babak yang baru.

Walaupun pada masa kini ia ditempatkan di Muzium British, kerajaan Mesir menyuarakan tuntutannya ke atas artifak tersebut. Batu Rosetta dianggap sebagai artifak yang dicuri, namun menurut konvensyen moden, anggapan tersebut tidak terpakai pada awal kurun ke-19.

Akan tetapi, kerajaan Mesir tetap jua bertegas dan berkeras mahu Batu Rosetta (dan artifak-artifak lain dari negara terbabit) dipulangkan semula kepada mereka. Muzium British juga menunjukkan kebulatan tekad dalam mengekalkan artifak berharga itu di dalam simpanannya. Konflik ini masih berlanjutan sehingga kini dan hanya masa sahaja yang dapat menentukan hala tuju penceritaannya.

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (31 Mei 2020). The Rosetta Stone: One of Archaeology’s Greatest Treasures. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/rosetta-stone-0013790


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.