Semenjak ia ditemukan pada tahun 1999, Batu Dashka yang turut dikenali sebagai Peta Si Pencipta membuatkan para penyelidik kebingungan hingga sebahagian pakar dari Russia bahkan mendakwa ia berusia sehingga 120 juta tahun lamanya.

Batu Dashka dianggap kontroversi bukan hanya kerana ia menggambarkan peta Pergunungan Ural, akan tetapi ia turut memerincikan beberapa batang sungai yang mengalir sepanjang 7457 batu, sejumlah empangan, dan catatan-catatan hieroglif yang masih belum diketahui kandungannya. Ketika artikel ini ditulis, tulisan-tulisan hieroglif tersebut masih belum difahami namun diandaikan mempunyai kaitan dengan hieroglif dari tamadun China purba.

Batu Dashka

Ahli-ahli arkeologi dari Universiti Negeri Bashkir menjumpai Batu Dashka di Pergunungan Ural, timur Russia, pada tanggal 21 Julai 1999. Saiz tablet batu berkenaan cukup mengagumkan, iaitu berukuran 58 inci tinggi, 42 inci lebar, 6 inci tebal, dan beratnya pula sekitar satu tan. Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, para penyelidik dikejutkan dengan ketepatan Batu Dashka dalam memetakan topografi Bashkiria pada skala 1:1.1 km.

Batu tersebut dinamakan sebagai Dashka oleh ketua arkeologis merangkap profesor di Universiti Negeri Baskhir, Alexander Chuvyrov, bersempena nama cucunya yang kebetulan lahir pada hari yang sama dengan hari penemuan batu itu. Batu Dashka terdiri daripada tiga lapisan, justeru membuktikan lagi bahawa ia tidak terbentuk secara semula jadi sebaliknya merupakan buatan manusia.

Lapisan pertamanya setebal 18 cm, dan diperbuat daripada campuran batu dolomit. Lapisan kedua pula dengan ketebalan 2.5 cm, diperbuat daripada campuran diopsida dan silikon. Sementara itu, lapisan ketiga yang hanya beberapa milimeter tebal dihasilkan daripada campuran kalsium-porselin, sama ada sebagai perlindungan tambahan buat tablet batu berkenaan atau hanya sekadar medium pencahayaan bagi menerangi batu tersebut.

Memetik laporan Chuvyrov, “Pada mulanya, kami tidak menjangkakan bahawa batu tersebut mengandungi peta purba. Mujur, rupa bumi Bashkiria tidak banyak berubah. Kami dapat mengenal pasti yang batu tersebut menggambarkan peta Pergunungan Ufa, manakala Ngarai* Ufa pula kami ambil sebagai titik tumpuan bagi menjalankan kajian lanjut memandangkan di situlah kami temukan kesamaan paling ketara antara rupa bumi sebenar dan peta pada Batu Dashka.

Sememangnya, berlaku sedikit anjakan pada kedudukan ngarai akibat pergerakan plat tektonik. Namun, pasukan penyelidik yang terdiri daripada pakar-pakar dari Russia dan China dalam bidang kartografi, fizik, matematik, geologi, kimia, dan bahasa China Lama bersepakat mengatakan bahawa Batu Dashka mengandungi peta Ural, lengkap dengan sungai Belya, Ufimka, dan Sutolka.”

Alexander Chuvyrov bergambar di sebelah Batu Dashka

Pembuatan Batu Dashka dikaitkan dengan sebuah tamadun yang wujud di Ural. Namun, dakwaan kononnya ia dihasilkan pada 120 juta tahun dahulu agak tidak munasabah. Tarikh tersebut hakikatnya diperoleh daripada sepasang cengkerang purba yang melekat pada Batu Dashka. Cengkerang pertama, Navicopsina munitus dari keluarga Gyrodeidae, dianggarkan berusia 500 juta tahun. Cengkerang kedua pula, Ecculiophalus princeps dari subkeluarga Ecculiomphalinae, berusia sekitar 120 juta tahun.

Bagaimanapun, pihak penyelidik tidak dapat menjelaskan mengapa cengkerang-cengkerang tersebut masih utuh, bagaimana ia melekat pada Batu Dashka, atau adakah sememangnya ia sengaja dilekatkan pada batu berkenaan. Saintis menganggarkan Batu Daskha itu sendiri dihasilkan kira-kira 3000 tahun yang lalu, usia yang cukup mengagumkan jika dilihat pada ketelitian yang diperlukan dalam menghasilkan peta tersebut.

Tanpa dapat dinafikan, wujud sebilangan pihak yang bersikap skeptik terhadap Batu Dashka dan mendakwa bahawa rekahan-rekahan pada Batu Dashka terbentuk secara semula jadi dan kebetulan sahaja ia memiripi peta Ural.

TERJEMAHAN:

Kerry Sullivan. (4 Ogos 2020). The Controversial Dashka Stone: 120 Million-Year-Old Map? Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/dashka-stone-006589


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.