Rakyat Malaysia yang sering mengikuti perkembangan semasa negara pasti akan mengenali sebuah stesen janakuasa elektrik yang pernah beroperasi menggunakan bahan sumber arang batu tapi kini ia sudah lama tak aktif. Lokasinya terletak di tebing selatan Sungai Thames di London, dan dikenali dengan nama rasminya, Battersea Power Station.
Di kemuncak tempoh perkhidmatannya sebagai sebuah pusat janakuasa yang membekalkan sumber kuasa elektrik, Battersea Power Station membekalkan seperlima sumber elektrik untuk seluruh kota London termasuklah mercu tanda London yang paling terkenal, seperti Dewan Parlimen dan Istana Buckingham.
Selepas berdekad lamanya ia menjadi bangunan yang terbiar, sebelum dunia dilanda bencana wabak Covid-19, ia sedang menjalani proses pembangunan semula yang agak pesat sebagai salah satu destinasi yang menarik dan bakal dijadikan sebagai sebuah pusat penempatan sekaligus daya tarikan pelancongan.
Ia kerana pada tahun 2012, Battersea Power Station mula dijual secara lelongan di pasaran terbuka buat julung kalinya dalam sejarah. Pelbagai pihak cuba menawar harga yang terbaik dan mereka datang dari seluruh dunia termasuklah Roman Ibrahimovich, politikus Rusia dan pemilik kelab bolasepak Chelsea FC.
Beliau mahu membeli tanah di Battersea Power Station untuk tujuan membina sebuah stadium Chelsea. Selain itu, Ibrahimovich juga terkenal dengan isu kontroversi kerana dia dipercayai telah menyumbangkan dana untuk membina penempatan haram Yahudi di tanah Palestin.
Namun, berkat dari dasar politik diplomasi yang baik antara bekas perdana menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd razak dengan Britain, akhirnya pada bulan Jun 2012, Knight Frank, ejen hartanah komersil yang mengendalikan urusan lelongan Battersea mengumumkan badan pentadbirannya, Ernst & Young telah mengikat satu perjanjian secara eksklusif bersama dengan pihak pemaju iaitu S P Setia dan Sime Darby dari Malaysia, dan projek ini dijalankan oleh KWSP dan PNB.
Beberapa bulan selepas perjanjian ditandatangani iaitu pada bulan September, urusan jual beli hartanah tersebut kepada pemaju Malaysia telah disempurnakan.
Keunikan Battersea Power Station ini terletak pada nilai sejarah dan corak seni binanya, ia diiktiraf di seluruh dunia sebagai salah satu ikon kebudayaan dan seni bina yang berada tepat di tengah-tengah pusat kota London.
Saksi Peristiwa Bersejarah Yang Penting
Sejak dari tahun 1930-an hingga 1980-an, Battersea Power Station sebagai sebuah stesen janakuasa yang penting, telah menjadi saksi penting untuk pelbagai peristiwa-peristiwa menarik yang pernah berlaku dalam sejarah.
Menjelang Pera.ng Dunia Kedua pada sekitar awal 1940-an, para juruterbang Tentera Udara Diraja Britain memanfaatkan wap putih tebal yang keluar dari menara cerobong stesen itu sebagai alat navigasi ‘GPS’ semulajadi atau penanda arah yang membantu mereka menentukan arah penerbangan untuk pulang ke tanah air.
Juruterbang Luftwaffe dari tentera Jerman turut menggunakan wap dari stesen yang sama sebagai penunjuk arah mereka. Justeru, ini sekaligus memberikan penjelasan tentang mengapa Battersea Power Station tidak dijadikan sasaran pengeb.oman semasa tentera udara Jerman menceroboh ruang udara dan mengeb.om kota London.
Apabila pera.ng mula mencapai kemuncaknya pada tahun 1944-1945, Battersea B, atau Battersea Power Station fasa kedua mula beroperasi untuk menjana kuasa elektrik. Ia menjadi pelopor kepada proses pencucian gas untuk mengurangkan kadar pelepasan sisa bahan sulfur.
Lebihan haba yang dihasilkan akan mengalir ke dasar Sungai Thames yang boleh meningkatkan haba di sebahagian daerah untuk memanaskan lebih kurang 1,600 buah rumah di Pimlico.
Battersea Dan Babi Terbang Pink Floyd
Imej seekor ‘babi terbang’ berwarna merah jambu yang terapung di antara dua cerobong selatan Battersea Power Station diabadikan sebagai hiasan untuk kulit album kumpulan rock Pink Floyd yang dilancarkan pada tahun 1977 dengan judul Animals.
Dikatakan, babi (sebenarnya ia adalah belon udara buatan Jerman) yang ditambat dengan tali pada salah satu cerobong selatan itu terlepas dari tambatannya dan terus terbang melayang mengikut arus angin.\
Menurut keterangan seorang juruterbang pesawat yang menyaksikannya, dia mendakwa ‘babi terbang’ itu betul-betul terbang mengikut laluan penerbangan Lapangan Terbang Heathrow. Helikopter polis mengejar hingga akhirnya ia mendarat di pesisir pantai Kent.
Album Pink Floyd membawa mesej kritikan yang simbolik terhadap masalah korupsi dan ketidakadilan sosial yang berlaku pada tahun 1970-an di Britain, manakala, babi, anjing, dan biri-biri masing-masing mewakili simbol kelas bangsawan, tentera, dan pekerja.
Walaupun album ini dipengaruhi dari sebuah karya novel satira politik yang mengkritik budaya ‘haiwan ternakan yang melawan peladang’ (komunisme) semasa kebangkitan era Stalinisme, album ini sebenarnya mengkritik dominasi kuasa kapitalisme dan jauh berbeza dari sumber yang menjadi inspirasinya sendiri.
Ia turut mengkritik perkembangan budaya Punk Rock yang meluas kerana prinsip-prinsip anarkis yang menentang hukum fitrah sifat manusiawi yang perlu ada pemimpin dan perlu dipimpin (anarkis cenderung menolak sistem masyarakat terpimpin).
Battersea Power Station mula menghentikan operasi dan tidak lagi menjana bekalan elektrik pada tahun 1983. Ia kemudian dibeli pada tahun 1987 oleh Battersea Leisure untuk dibangunkan sebagai taman tema, dan sekali lagi pada tahun 1993 oleh Parkview.
Infrastruktur bersejarah ini kemudian dibeli oleh pemegang saham semasa, SP Setia, Sime Darby Property dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, sekaligus menamatkan tempoh terbengkalainya selama beberapa dekad.
Berdasarkan perancangan asal, ruang hadapan stesen janakuasa yang bersejarah itu akan dibangunkan sebagai tapak kebudayaan yang dinamakan Malaysia Square, iaitu sebuah dataran yang akan menyediakan pelbagai keunikan budaya yang menarik dibawa khas dari Malaysia,
Ia juga akan membabitkan proses transformasi terhadap bekas kawasan perindustrian yang seluas 16.8 hektar itu untuk dijadikan sebagai sebuah pusat bandar baharu yang maju di London, projek ini merangkumi lot kediaman baharu, kedai, kafe, restoran, pejabat, dewan aktiviti dan ruang awam seluas lebih 7.6 hektar termasuk taman rekreasi seluas 2.4 hektar.
Walaupun proses pembangunan Battersea Power Station kini agak terhad kerana kekangan akibat Covid-19, namun kedai-kedai sudah mula dibuka dan sudah ada beberapa pembeli apartment yang boleh mula berpindah masuk ke rumah baru mereka di sana. Bahkan, ibu pejabat syarikat Apple juga dilaporkan akan dibuka di sana.
Sejarah Battersea Power Station mungkin tidak ada kena mengena dengan Malaysia, tetapi Malaysia telah mencipta sejarah baru yang tersendiri dengan memiliki stesen bersejarah tersebut.
RUJUKAN:
The History – Battersea Power Station official website; https://batterseapowerstation.co.uk/about/heritage-history?filter=1983
Watts, Peter (2016). Up in Smoke: The Failed Dreams of Battersea Power Station. Paradise Road.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih