Bahasa Arab merupakan bahasa Mukjizat kerana dengannyalah diturunkan wahyu al-Quran. Ulama mengkaji, menghurai dan menyusun disiplin bahasa Arab secara sistematik sehingga membentuk 13 cabang ilmu bagi mendalami bahasa Arab aras tinggi. Ilmu tersebut adalah Lughah (filologi), Nahu (grammatika), Sarf (morfologi), Badi’ (balaghah), Bayan (balaghah), Ma’ani (balaghah), Isytiqaq, Arudh, Qawafi, Qardhus Syi’ri, Khat, Insyak dan Mukhodarat.
Penulisan kali ini fokus kepada ilmu Nahu. Ilmu Nahu ini secara ringkasnya bermaksud ilmu tatabahasa Arab. Perbezaan mazhab sistem Nahu ini berkait rapat dengan Qiraat bacaan al-Quran dan juga menyebabkan berbezanya hukum Fiqh terbentuk. Perbezaan mazhab Fekah kadangkala juga adalah disebabkan perbezaan ulama dalam menggunakan sistem Nahu dalam memahami al-Quran dan Hadis.
Sumber penyusunan ilmu Nahu adalah al-Quran, al-Hadis, Syair Arab Jahiliyyah dan Mantiq. Terdapat 5 mazhab Nahu dalam sejarah peradaban Islam. Dua mazhab yang terawal adalah mazhab induk manakala tiga selebihnya adalah penerus legasi mazhab induk. 5 mazhab tersebut adalah :-
1) BASRI (BASRAH)
2) KUFI (KUFAH)
3) Baghdadi (Baghdad)
4) Andalusi (Andalusia)
5) Misri (Mesir)
Dua mazhab induk tersebut iaitu Basrah dan Kufah menjadi kota tumpuan para ulama bagi membahas ilmu Nahu. Ini kerana kedudukan kota-kota tersebut yang amat strategik sebagai sebuah pusat ilmu. Kedua-dua kota ini terletak di Iraq yang dikelilingi oleh dua sungai yang masyhur iaitu Euphrates (Furat) dan Tigris (Dajlah). Ulama di kedua-dua kota ini menyusun teori dan kaedah-kaedah ilmu Nahu tersendiri.
BASRI
Basrah terletak sekitar 545 km dari tenggara kota Baghdad. Basrah merupakan kota kedua terbesar di Iraq. Kota ini merupakan tempat permulaan berkembangnya ilmu Nahu. Para ulama Nahu aliran Basrah mengutamakan sumber aqal iaitu Mantiqi (logika) bagi membentuk mazhab Nahu Basri. Mereka menggunakan argumen akal dan falsafah bagi membentuk disiplin Nahu.
KUFI
Kufah terletak sekitar 170 km selatan kota Baghdad. Kufah sedikit lewat perkembangan ilmu Nahunya kerana ulama disana lebih fokus dalam bidang ilmu Islami lain seperti Qiraat, Tafsir, Hadis dan Fiqh. Kota ini lebih masyhur dalam bidang Syair. Para ulama Nahu aliran Kufah mengutamakan sumber deria iaitu Simaie (pendengaran) bagi membentuk mazhab Nahu Kufi. Mereka memerhatikan ucapan fasih kabilah Arab asli bagi membentuk disiplin Nahu.
TOKOH-TOKOH NAHWI (ULAMA NAHU)
– Saiyidina Ali Karamullahu Wajha
Ketika pemerintahan Saiyidina Ali, beliau melihat percampuran antara orang Arab dan Ajam (non-Arab) telah menyebabkan kerosakan bahasa di merata-rata. Oleh itu, Saiyidina Ali mula menyusun kaedah asas bahasa Arab secara sistematik. Kemudian, beliau memanggil dan mengarahkan Abu al-Aswad ad-Duali untuk menyambung usaha mengkodifikasikan bahasa Arab. Beliau berkata, “انح هذا النحو; unhu hadzan nahwa! (ikutilah yang semisal ini)”. Dari ucapan Saiyidina Ali inilah munculnya istilah ‘Nahu’.
– Abu al-Aswad ad-Duali
Beliau adalah dari Bani Kinanah yang dilahirkan pada zaman kerasulan Nabi Muhammad. Beliau pernah menjadi Qadhi di Basrah. Setelah mendapat perintah dari Saiyidina Ali, beliau bertambah semangat untuk mengembangkan disiplin ilmu Nahu apabila melihat anak perempuan beliau sendiri pernah tersalah sebut perkataan Arab sehingga merubah makna. Beliau juga orang yang bertanggungjawab dalam meletakkan titik-titik pada huruf Hijaiyyah dalam al-Quran.
– Khalil bin Ahmad al-Farahidi
Beliau merupakan mahaguru kepada ramai ulama Nahu. Beliau merupakan ahli Sufi dan pakar Syair. Suatu ketika, ramai anak muridnya sudah tidak hadir ke majlisnya kerana mereka pergi belajar kepada Sibawayh pula yang juga merupakan anak muridnya yang paling cerdas. Sedih akan hal ini, al-Farahidi pergi membawa diri sambil berdoa agar beliau dikurniakan satu ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Ketika berseorangan, beliau terdengar desiran pantai, kicauan burung dan lain-lain bunyi alami yang mensyahdukan jiwa. Dari bunyi-bunyi itu, beliau mengodifikasikan irama-irama Syair lalu terbentuklah Ilmu Arudh yang belum pernah dilakukan oleh ulama lain.
– Sibawayh
Sibawayh merupakan seorang yang berketurunan Parsi. Suatu hari, dalam pengajian Hadis, beliau telah ditegur oleh gurunya kerana tersalah faham dan salah sebut kalimah Arab dalam Hadis. Sejak itu, beliau berazam, “Aku tidak akan mempelajari ilmu apapun selagimana aku tidak menguasai bahasa Arab”. Oleh itu, beliau pergi ke wilayah Arab untuk mempelajari secara bersungguh-sungguh ilmu bahasa dari kabilah-kabilah asli yang fasih. Kini, sesiapa yang ingin mempelajari ilmu bahasa Arab aras tinggi (muntahi), pasti pengakhirannya akan mempelajari kitab karya Sibawayh. Orang kita kini baru belajar sedikit hadis tanpa belajar bahasa Arab asas, sudah memandai-mandai berfatwa hanya berdasarkan terjemahan Hadis.
– Ali bin Hamzah Kisaie
Suatu ketika, pemerintah Bani Abbasiyyah menjemput tokoh Nahu mazhab Kufah yang diketuai oleh al-Kisaie manakala mazhab Basrah diketuai oleh Sibawayh untuk berdebat. Ramai ulama Nahu turut serta dalam perdebatan itu antaranya al-Farra’. Sibawayh tidak pernah kalah berdebat walaupun dengan gurunya sendiri iaitu Khalil bin Ahmad al-Farahidi. Namun, apabila bertemu dengan al-Kisaie, Sibawayh pertama kali mengalami kekalahan. Ini kerana para hakim telah memberi kemenangan kepada al-Kisaie memandangkan al-Kisaie merupakan pegawai kanan Khalifah. Kecewa dengan campur tangan politik dalam hal ehwal keilmuan, Sibawayh membawa diri lalu meninggal dunia di usia 30-an, usia yang masih sangat muda.
– Al-Zamakhsyari
Beliau merupakan mufasir (ahli Tafsir al-Quran). Bagi penuntut ilmu Tafsir yang ingin mempelajari kitab Tafsir aliran ar-Ra’yi, sudah pasti mereka akan mempelajari kitab Tafsir al-Kasyaf karya al-Zamakhsyari. Ini merupakan kitab aras tinggi (muntahi). Al-Zamakhsyari merupakan seorang pakar Nahu dan Bahasa Arab yang dengan ilmu tersebut beliau menafsirkan al-Quran dengan begitu mantap sekali. Beliau sebenarnya merupakan seorang penganut mazhab akidah Muktazilah. Walaupun begitu, karyanya tetap dipelajari oleh kaum Sunni seperti di al-Azhar dan lain-lain institusi pendidikan masyhur.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih