Sepanjang separuh pertama abad ke-16, kerajaan-kerajaan Eropah sentiasa merasa khuatir setiap kali menghantar kapal-kapal mereka membelah samudera. Mana tidaknya, kapal-kapal ini dilihat sasaran terbaik oleh seorang laksamana tentera laut Uthmaniyyah untuk menjejaskan kedudukan ekonomi musuh empayar berkenaan. Jika mereka cuba menyerang, ada saja helah yang digunakan laksamana itu untuk mengalahkan mereka. Laksamana yang dimaksudkkan ialah Hayreddin Barbarossa.

Hayreddin merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik dilahirkan pada akhir 1470-an atau awal 1480-an di perkampungan Palaiokipos, Pulau Midilli (kini Lesbos). Bapanya Yakup merupakan seorang penghantar barang yang kemudiannya membeli sebuah kapal untuk digunakan untuk menjual barang dagangan di pulau dan kawasan sekitarnya.

Manakala ibunya Katerina merupakan seorang Yunani beragama Kristian. Ketiga-tiga putera Yakup belajar berlayar di laut hasil didikan bapa mereka dengan abang-abang Hayreddin, Ilyas dan Aruj (Oruc) mengendalikan kapal mereka sementara beliau membeli sebuah kapal sendiri. Kapal-kapal ini kemudiannya digunakan untuk aktiviti privatir mereka.

Rajah 1: Aruj (Oruc).

Antara tahun 1504 hingga 1510, kapal-kapal Aruj digunakan untuk mengeluarkan pelarian-pelarian Islam yang melarikan diri daripada tekanan kerajaan Sepanyol pasca-kejayaan kempen Reconquista mereka. Pelarian-pelarian yang sampai ke kapal memanggil Aruj sebagai Baba Aruj. Tetapi bila nama itu diketahui pihak Kristian, mereka menyebutnya sebagai Barbarossa yang bermaksud Janggut Merah.

Kebetulan kedua-dua Aruj dan Hayreddin mempunyai janggut merah yang sama. Tidak mustahil nama Barbarossa juga timbul selepas Aruj ditahan oleh Knights of St. John, sebuah organisasi tentera Kristian yang berpangkalan di Rhodes dengan dia ditahan selama beberapa tahun sebagai hamba sebelum berjaya melarikan diri.

Apabila Hayreddin dan Aruj bertemu semula, mereka berlayar ke Djerba, sebuah kawasan di luar pesisir pantai Tunis. Kawasan tersebut penuh dengan l4nun dan ramai menyertai armada mereka. Ini membolehkan mereka melaksanakan aktiviti menjarah dengan meny3rang kapal-kapal Kristian terutama dari Sepanyol.

S3rangan-s3rangan ini membolehkan mereka meraih lebih banyak harta dan perhatian dari pihak pemerintah yang terganggu dengan ancaman kerajaan Kristian Eropah. Harta tersebut digunakan untuk membeli lebih banyak kapal dan kemudiannya digunakan untuk menyerang kubu-kubu Sepanyol di Afrika Utara.

Namun, Aruj tidak mahu dikenali sebagai l4nun tetapi mahu dikenali sebagai pemerintah. Peluang itu muncul apabila Emir Algiers meminta bantuan mereka menghalau gerombolan tentera Sepanyol yang berpangkalan di Penon Algiers pada tahun 1516. Gerombolan tentera tersebut berjaya ditewaskan dan dihalau keluar dari Algiers dengan Aruj bergelar Sultan Algiers selepas membvnvh emir berkenaan.

Aruj terus meluaskan jajahan kekuasaannya ke Tenes dan Tlemcen, sekaligus menimbulkan kegusaran Raja Charles V. Untuk mengukuhkan kekuasaannya, Aruj menyerahkan Algiers kepada kerajaan Uthmaniyyah sebagai jajahan dengan dia sendiri bergelar Bey Algiers. Charles V kemudiannya menghantar armada lautnya merampas semula Tlemcen pada tahun 1518 dan mem3nggal Aruj.

Untuk memastikan apa yang berlaku kepada abangnya itu tidak berulang, Hayreddin yang kini bergelar Bey Algiers menawarkan khidmatnya kepada pemerintah Uthmaniyyah ketika itu, Sultan Suleiman al-Qanuni dengan tawaran pengukuhan kuasa maritim Uthmaniyyah di Mediterranean.

Perjanjian itu menyaksikan Hayreddin menggerakkan aktiviti penjarahan yang aktif sekitar Mediterranean sehingga membuatkan kerajaan-kerajaan Kristian yang bermusuhan dengan Empayar Turki Uthmaniyyah terkencing-kencing memikirkan nasib-nasib kapal mereka.

Sudah tentu kerajaan yang paling terasa dengan aktiviti penjarahan Hayreddin ialah Raja Charles V dari Sepanyol. Bukan satu rahsia kapal-kapal mereka yang diisi dengan harta berharga dari Dunia Baru termasuk emas menjadi sasaran utama armadanya. Pada tahun 1522, armada kapal Hayreddin menjadi duri dalam daging kepada armada Knights of St John yang membawa kepada kejatuhan Rhodes ke tangan kerajaan Uthmaniyyah.

Jika tidak dipanggil untuk menyertai ekspedisi ket3nteraan Uthmaniyyah, armada kapalnya akan menyerang kawasan pesisir pantai Eropah dari Itali hingga Sepanyol atau membantu pelarian-pelarian Muslim yang melarikan diri dari kempen Spanish Inquisition pada tahun 1529.

Tetapi pada tahun 1534, tahap ketakutan kerajaan-kerajaan Eropah naik ke tahap maksimum apabila armada Hayreddin berlayar hingga ke Sungai Tiber. Kempen tersebut sebenarnya untuk mengalihkan perhatian pihak Eropah dari sasaran sebenar Hayreddin: Tunis. Tetapi penguasaan beliau di Tunis tidak bertahan lama selepas Charles V menghantar angkatan p3rangnya merampas semula bandar pelabuhan itu.

Sebagai tindak balas, Charles V melantik Laksamana Andrea Doria dari Genoa dan mengarahkan armada lautnya meny3rang bandar-bandar Uthmaniyyah di selatan kawasan pesisir pantai Greece. Serangan Doria langsung tidak menakutkan Hayreddin yang bertindak merampas pulau-pulau yang dikuasai Venice pada tahun 1537.

Sedar satu-satunya cara untuk mengalahkan angkatan Hayreddin, Paus Paul III membentuk sebuah liga terdiri daripada kerajaan-kerajaan Eropah dan pertubuhan ketenteraan Kristian yang memusuhi Uthmaniyyah pada tahun 1538. Sekali lagi, Doria diberi kepercayaan mengetuai 157 buah kapal untuk menghadapi 122 ghali yang diketuai Hayreddin di Preveza. Bagi mana-mana pemimpin tentera, bilangan sebegini sudah pasti akan menimbulkan rasa gelisah dalam hati.

Tetapi tidak bagi Hayreddin. Hayreddin tahu armada laut Doria akan cuba menyerangnya lalu mengarahkan kapal-kapalnya meny3rang mereka dengan agresif. Hasilnya, 10 kapal pakatan ini karam, 36 lagi ditawan dengan tiga lagi dibakar hangus sementara armada laut Uthmaniyyah tidak mengalami kehilangan kapal. Angkatan laut Uthmaniyyah juga berjaya menawan 3,000 anak kapal pakatan Kristian itu. Walaupun didesak oleh kapten-kapten lain untuk terus berlawan, Doria memilih untuk berundur.

Rajah 2: Lukisan Pert3mpuran Preveza yang menyaksikan Hayreddin menang tanpa kehilangan sebuah kapal.

Berikutan jasanya itu, Sultan Suleiman mengurniakan gelaran Kapudan-i Derya (Laksamana Agung) dan Beylerbey (Gabenor kepada semua gabenor) di Afrika Utara serta pentadbiran di Rhodes kepadanya. Kejayaan di Preveza membolehkan Empayar Turki Uthmaniyyah berkuasa di Mediterranean tanpa sebarang gangguan selama lebih tiga dekad. Ketiadaan gangguan musuh-musuh Uthmaniyyah membolehkan Hayreddin membersihkan pulau-pulau Mediterranean terutama sekitar Aegean dan Ionian.

Pada tahun 1540, Venice menghantar permohonan perjanjian damai antara mereka dengan Uthmaniyyah. Sebagai tukaran kepada perjanjian damai, Venice membayar ganti rugi pep3rangan dan mengakui kekuasaan Turki Uthmaniyyah ke atas kawasan yang pernah dikuasai mereka.

Mantera ‘kalau tak boleh kalahkan, sertai mereka’ cuba digunakan oleh Charles V untuk memujuk Hayreddin berpaling tadah dan menjadi laksamana angkatan lautnya pada tahun 1540. Tetapi beliau tidak termakan pujukan baginda sekaligus mendorongnya mengetuai sendiri armada laut Sepanyol menyerang Algiers pada musim luruh 1540.

Namun, serangan tersebut gagal apabila ribut membadai armada laut Sepanyol dan memaksa mereka berundur. Sebagai tindak balas, Hayreddin bukan saja mer0mpak kapal-kapal Sepanyol tetapi juga membantu sekutu Turki Uthmaniyyah, Perancis dari serangan armada laut Sepanyol. Dari tahun 1540 hingga 1544, armada laut pimpinan Hayreddin membantu pihak Perancis menghalau keluar armada laut Sepanyol yang mengintai bahagian selatan Perancis.

Rajah 3: Armada laut Perancis dan Uthmaniyyah bergabung mengepung Nice pada tahun 1543.

Kempen agresif yang digerakkan Hayreddin akhirnya memaksa Charles V berputih mata dan memohon agar perjanjian damai diadakan antara kedua-dua pihak. Hasilnya, Perjanjian Adrianople 1547 dimeterai antara Sultan Suleiman dengan Charles V yang menyaksikan penguasaan Turki Uthmaniyyah di Hungary diiktiraf oleh Sepanyol. Sepanyol juga bersetuju membayar ufti tahunan sebanyak 30,000 emas florin setahun untuk wilayah-wilayah mereka di utara dan barat Hungary kepada baginda. Perjanjian tersebut dianggap detik paling memalukan dalam era pemerintahan Charles V.

Selepas dipanggil pulang ke Istanbul pada tahun 1544, Hayreddin akhirnya bersara dari ekspedisi lautnya dan menyerahkan jawatan Bey Algiers kepada puteranya pada tahun 1545. Untuk mengisi masa lapangnya, Hayreddin yang turut mendapat gelaran Pasha menulis sebuah memoir pengalamannya yang terdiri daripada lima jilid buku bertulis tangan.

Beliau kembali ke hadrat Penciptanya pada tahun 1546 dengan makamnya kini terletak bersebelahan dengan Muzium Tentera Laut Turki dan Monumen Barbaros. Untuk tahun-tahun selepas itu, armada laut Uthmaniyyah merupakan angkatan laut yang disegani kawan dan digeruni oleh pihak musuh. Semua ini tidak akan berlaku tanpa jasa yang ditabur Hayreddin Si Janggut Merah.

Rajah 4: Makam Hayreddin di Besiktas, Istanbul.

RUJUKAN:

  1. Sanchez, Juan Pablo. (2019). This 16th-century corsair was the most feared pirate of the Mediterranean. National Geographic. https://www.nationalgeographic.com/history/magazine/2015/06-07/barbarossa-pirate/
  2. Szczepanski, Kallie. (2018). Admiral Hayreddin Barbarossa. ThoughtCo. https://www.thoughtco.com/admiral-hayreddin-barbarossa-195756

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.