Melayu dan Arab mempunyai sedikit persamaan. Mungkin banyak juga, tetapi kalau berkaitan kasut, kedua-dua bangsa ini disulami dengan tanggapan sama. Oleh kerana ajaran Islam menekankan tentang najis sekaligus mendidik penganut supaya tidak berkasut (dari luar) dalam rumah, maka kasut pun dianggap “tidak bersih”.

Peristiwa bersejarah kasut yang berlaku pada 14 Disember 2008 sememangnya sangat unik. Dalam masa 10-15 saat, seorang juruakhbar bernama Muntadhar al-Zaidi telah memberikan kesimpulan paling tepat tentang dasar luar negara Amerika Syarikat di Iraq iaitu “tidak bersih”.

Menghadiri sidang akhbar bersama Perdana Menteri Iraq Baharu, George W. Bush disangka memberikan retorik-retorik kebebasan seperti biasa. Tempoh pemerintahannya pun semakin menghampiri kesudahan, yang akan digantikan dengan Barack Obama. Maka tiada siapa sangka apa yang bakal berlaku. Berdiri dengan penuh amarah, Muntadhar menjerkah dalam bahasa Arab:

(Kasut pertama) – “Inilah ciuman perpisahan daripada orang Iraq, (wahai) anjing!”

(Kasut kedua) – “Ini pula demi balu dan yatim serta semua yang terkorban di Iraq!”

Kedua-dua kasut saiz 10 tersasar dari Bush. Andainya kena, betapa malunya Bush kelak. Muntadhar pun ditolak juruakhbar lain, sebelum diberkas, disepak dan dikeluarkan pengawal-pengawal Nouri al-Maliki. Semasa kekecohan, jurucakap White House iaitu Dana Perino (2007-2009) bermata lebam akibat terkena batang mikrofon.

Menurut Bush, ramai dalam kalangan juruakhbar Iraq memohon maaf. Beliau menegaskan kepercayaannya demi kebangkitan masyarakat bebas yang berdiri di atas piagam keamanan dan keselamatan.

Asalnya Muntadhar ditahan pengawal-pengawal kerajaan. Tidak lama kemudian, beliau dibawa ke pengawasan ketenteraan di Baghdad, yang melompatkannya kepada bidangkuasa keadilan. Entah berapa ramai di sebalik tabir memegang tangannya dan mencium pipinya dengan ikhlas. Tetapi di luar, ratusan orang membanjiri dataran dengan desakan supaya beliau dibebaskan. Asalnya Muntadhar dituduh menghina pemimpin luar dan memalukan kerajaan. Jika disabitkan kerajaan, beliau atas kertas boleh dikenakan empat tahun pun – tetapi atas statusnya seakan-akan hero di seluruh Dunia Arab, semua tahu perkara tersebut sangatlah mustahil.

Pada 17 Disember 2008, Muntadhar berdepan dengan seorang hakim selepas menolak tawaran guaman daripada Khalil al-Duleimi. Beliau tidak inginkan Khalil yang merupakan peguam Saddam Hussein. Sebaliknya Dheyaa al-Saadi memperjuangkan nasibnya yang berakhir dengan penjara tiga tahun (tetapi dibebaskan selepas sembilan bulan di sebalik tirai besi).

Meskipun dipenjarakan, Muntadhar dari awal lagi dipuji ramai. Salah seorang daripadanya ialah majikannya sendiri iaitu Awn Hussain al-Khashlok. Malah rakyat Iraq secara keseluruhan, termasuk juga rakyat Syria pun, serta segelintir rakyat Amerika Syarikat (terutamanya penyokong-penyokong Demokratik) sangat menyukainya. Nouri al-Maliki pula bertindak “profesional” tetapi tidak popular. Beliau mengecam Muntadhar dan menuntut maaf daripada stesen televisyen Al-Baghdadia yang membalas bagaikan jari tengah secara diplomatik.

Dalam masa yang singkat, rakyat Tikrit mendirikan sebuah tugu peringatan kuprum dalam bentuk kasut setinggi tiga meter. Terukir pada tugu tersebut ialah sebuah pantun. Tetapi tugu ini diruntuhkan tidak lama kemudian. Sebuah stesen televisyen di Lubnan memberikan Muntadhar kerja bersertakan janji gaji bermula sejak hari kasut dibaling. Malah “troll” dalam kalangan rakyat pun boleh tahan juga: apabila Nouri al-Maliki dipanggil untuk memasuki pasukan bolasepak negara sebagai penjaga gol untuk menepis “kasut”.

Kecaman juga mula melanda apabila Muntadhar didapati tercedera semasa dalam tahanan. Satu demi satu suara timbul misalnya daripada Amnesty International, Reporters Without Borders dan International Federation of Journalists. Keluarga Muntadhar juga terpaksa menolak undangan daripada Venezuela dimana Hugo Chavez menjemput mereka sebagai penduduk tetap. Dan Rais Yatim dari Malaysia pun menjulang Muntadhar sebagai wira yang membalas dengan baik.

Rezeki tidak terhenti di situ. Muntadhar diberikan sebuah Mercedes, dilagukan dan dipinang pun kerana seorang gadis 20 tahun bernama Amal Saad Gumaa berasa teruja dengan seseorang bermaruah sepertinya. Rezeki juga melimpah ruah kepada pengeluar kasut tersebut. Ramazan Baydan dari Turki terkejut menerima pesanan sebanyak 300,000 pasang dalam masa seminggu. Peniaga Saudi ingin membeli kasut dibaling pada harga AS$10 juta, sampai ada yang menyuruh kasut tersebut disimpan di muzium.

Semua ini ditawarkan pada ketika kedua-dua kasut tersasar. Sekarang bayangkan – apa akan berlaku jika terkena pada muka Bush?


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.