Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahi Rahmani Rahim

MUKADIMAH

Segala puji milik Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang telah menentukan tugas dan tanggung jawab di kalangan makhluk Nya. Ya Allah, Tuhan yang menguasai semesta alam, hamba Mu melafazkan kalimah kesyukuran atas anugerah rahmat Mu, memungkinkan hamba Mu, menjejak kaki di Majlis ini. Di pohonkan dari Mu jua Ya Allah akan petunjuk dan bimbingan, membolehkan hamba Mu ini, menyempurnakan satu tanggung jawab sebaik mungkin, berpandukan pengetahuan yang masih cetek – bersandarkan pengalaman yang masih terbatas, dengan segala kesedaran – dengan penuh keinsafan bahawa masih begitu banyak kekurangan yang terdapat pada diri Hamba Mu ini. Kepada Mu jua Ya Allah, dipohonkan segala panduan dan bimbingan.

2. Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, semulia-mulia kejadian. Demikian juga atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan. Semoga memperoleh ihsan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sehingga ke hari kebangkitan.

3. Beta bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan rahmat dan inayat dari Nya juga, Beta dapat berangkat ke Kongres Pendidikan Melayu Kedua yang berlangsung pada hari ini untuk menzahirkan Titah Utama atas tema ‘Bangsa Melayu: Mencanai Minda – Membentuk Sikap’

KEGEMILANGAN BANGSA

4. Alam Melayu itu dapat dikenal pasti dari perspektif sejarah, dari perspektif geografi, dari perspektif politik serta dari perspektif budaya dan bahasa[1]. Melayu itu adalah satu rumpun bangsa, terdiri dari komponen-komponen manusia, lokasi dan budaya. Di negara ini, takrif bangsa Melayu diperkemas secara diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama, dimaktub secara perundangan[2]. Budaya bangsa Melayu itu mencerminkan perspektif fizikal, kerohanian, minda, emosi dan estetika. Perspektif kerohanian, minda, emosi dan estetika Melayu itu kuat dipengaruhi oleh agama Islam dan adat yang diwarisi dari zaman ke zaman.

5. Budaya Melayu merangkumi adat istiadat, seni bina, seni ukir, bahasa, pakaian dan makanan; keseluruhannya membina satu identiti bangsa yang mencerminkan nilai murni – memperlihatkan sikap unggul, akan satu rumpun bangsa yang menghargai perdamaian, bersifat harmonis dan tinggi budi perkerti; bangsa yang terbuka lakunya dalam menjalin hubungan berlandaskan sifat menghormati serta sifat toleransi kepada keperluan dan hak insan lain. Bangsa yang bijaksana, laksana jauhari mengenal manikam, berupaya menilai antara intan dan kaca, mengambil yang jernih – menolak yang keruh, tangkas kederiaan – dengan sekilas pandangan mata dapat mengenal ikan di air.

6. Bangsa Melayu telah mewarisi satu tamadun – telah membina satu identiti, hatta diiktiraf sebagai satu rumpun bangsa di dunia. Bangsa Melayu adalah bangsa yang berkembang ke serata dunia dalam kelangsungan menguasai bumi yang dikelilingi lautan luas dan selat yang panjang. Nusantara Melayu dalam sejarah pra penjajah adalah satu kuasa, satu kesatuan maritim, dengan segala kemegahannya.[3] Pengaruh laut telah menjadikan manusia Nusantara ini mempunyai minda terbuka dan jiwa yang luas, bebas daripada kedangkalan, bebas dari fahaman fanatik, dan bebas dari rasa kekerdilan.[4]

7. Sikap keterbukaan telah membolehkan bangsa Melayu memilih nilai-nilai terbaik untuk diasimilasikan dalam budaya bangsa – membina satu tamadun unggul – membina daya tahan yang berakar kepada kekuatan rohani – menguasai kearifan mentadbir negara – memiliki kebijaksanaan mengurus perdagangan. Bangsa tidak gentar berinteraksi dengan dunia luar kerana bangsa memiliki tahap keyakinan diri dan menguasai kekuatan dalaman. Lalu alam Melayu menjadi tempat bertemu dan bertautnya pelbagai tamadun besar dunia.

8. Zaman Kesultanan Melayu Islam Melaka adalah manifestasi puncak perkembangan tamadun Melayu. Melaka adalah pelabuhan perdagangan bertaraf dunia yang terbesar di rantau ini dengan kekayaan yang tidak ternilai[5]. Di puncak kegemilangannya, terdapat 80 bahasa yang dipertuturkan di Melaka. Melaka adalah kota pertemuan pedagang timur dan barat – budaya timur dan barat – ilmu timur dan barat. Sikap keterbukaan minda Melayu membolehkan berlakunya perkembangan ilmu, perkembangan seni bina, perkembangan seni sastera yang keseluruhannya mencerminkan sifat inovatif dan sifat kreatif bangsa. Nyatalah bangsa Melayu di era pra penjajah telah membina satu tamadun maritim – tamadun perdagangan, bersifat global, kaya dengan hasil seni, diperindah dengan khazanah sastera, diperkukuhkan dengan pegangan Islam.

KEJATUHAN BANGSA

9. Malang sekali, kegemilangan Melaka tidak kekal selamanya. Kini ia tinggal sebagai cermin lama untuk memperlihatkan wajah tua. Setelah berada di singgahsana kejayaan, pelbagai kepincangan berlaku. Kepincangan yang menjejas keharmonian rakyat dan menggugat kestabilan negara. Ianya berpunca dari kalangan para pembesar yang memiliki kuasa – memiliki pengaruh. Hasad dengki, tamak haloba, kepentingan diri, mencetus pelbagai karenah. Raja menjadi leka setelah dipagari oleh individu yang tidak memiliki kekuatan sejati. Budaya mengampu menjadi subur. Kebenaran tidak dihargai. Lalu Raja mendapat nasihat yang salah. Maka tenggelamlah keadilan dalam arus kepura-puraan. Apabila rakyat mentafsirkan takhta mengamalkan sikap ‘Beraja di mata – Bersultan di hati’, maka terputuslah talian kesetiaan di antara Raja dengan rakyat dan terungkailah ikatan perpaduan di antara rakyat sesama rakyat. Raja dan rakyat semakin terpisah. Rakyat pula berpecah-pecah berdasarkan kesetiaan kekelompokan. Fikiran dan tenaga lebih terhala untuk menjatuhkan sesama sendiri. Urusan negara – urusan bangsa makin tersisih. Akhirnya takhta jatuh – bumi hilang – bangsa tergadai.

10. Titik hitam dalam sejarah bangsa bermula ketika Melaka tewas kepada Portugis. Selepasnya bangsa Melayu melalui sejarah penjajahan yang panjang – bersilih dari Portugis kepada Belanda; dari Belanda kepada Inggeris; dari Inggeris kepada Jepun dan kembali semula kepada Inggeris. Selama 446 tahun nasib bangsa tidak lagi ditentukan oleh bangsa. 446 tahun melibatkan hampir sepuluh tangga generasi; satu tempoh yang cukup lama untuk mempengaruhi orientasi pemikiran bangsa. Majoriti bangsa Melayu disisihkan dari pusat penentuan kuasa. Melayu ditindas dalam sistem kapitalis kolonial. Menindas golongan pedagang dan pertukangan Melayu adalah sebahagian dari agenda ekonomi Portugis dan Belanda. Pedagang Melayu terpaksa berhijrah ke pulau-pulau lain. Pada awal abad kesembilan belas golongan pedagang Melayu hampir pupus keseluruhannya[6]. Motivasi bangsa dibunuh secara mengurung masyarakat Melayu dalam sektor pertanian tradisi luar bandar, sektor yang merupakan sarang kemiskinan.[7] Mereka tinggal di kawasan pendalaman yang serba mundur, miskin harta – miskin modal – miskin ilmu – miskin pengetahuan. Mobiliti sosial masyarakat Melayu menjadi begitu terbatas. Bangsa Melayu diperkecil dan dihina.

11. Dalam keadaan yang di pinggir dan disisih, bangsa Melayu menghadapi pelbagai tekanan dan penderitaan. Dalam menghadapi kuasa penjajah, bangsa Melayu tidak diberikan kepercayaan malah dilihat dengan penuh kecurigaan. Dalam perjuangan dengan alam, mereka menghadapi pelbagai wabak, malaria – taun – batuk kering, beri-beri – untut. Kadar keguguran, kadar kematian ibu bersalin dan kadar kematian bayi adalah tinggi. Sudahlah bahan pemakanan kurang seimbang, mereka terpaksa pula menghadapi serangan cacing kerawit, pacat, lintah dan nyamuk, mengakibatkan bukan sahaja berlakunya kerencatan fizikal malah menghalang kecerdasan akal.

12. Mereka lahir, dewasa dan meneruskan hidup dalam persekitaran yang tidak memberikan cukup rangsangan untuk membantu kecerdasan minda. Mereka berada jauh dari sumber perkembangan ilmu. Mereka terasing dari teknologi moden. Ketiadaan bekalan kuasa elektrik di kawasan mereka berkampung, meletakkan teknologi begitu jauh dalam kehidupan harian mereka. Lalu majoriti dari mereka berada dalam keadaan buta huruf dan kabur pengetahuan.

13. Pelbagai pendekatan dilakukan untuk memburuk dan melemahkan bangsa. Watak-watak Melayu dilukiskan dengan kebodohan – dengan kemalasan hingga berjaya meresap dan mempengaruhi pemikiran bangsa. Demikian perancangan halus penuh berbisa yang akhirnya menjadikan bangsa terlalu merendah diri dan hilang keyakinan. Bangsa Melayu dicemuh, disamakan dengan melukut di tepi gantang. Sebahagian Melayu takut mengharungi laut kerana dikatakan kailnya panjang sejengkal. Tekanan yang dihadapi oleh Melayu berbentuk fizikal – berbentuk budaya – berbentuk minda. Begitulah kos tinggi yang ditanggung oleh bangsa Melayu sebagai peribumi yang paling dianaktirikan oleh kuasa penjajah.

MARUAH BANGSA

14. Namun bangsa tetap dapat mempertahankan identiti Melayu, kesucian agamanya tidak ternoda – adat budayanya tidak terhapus. Karakter bangsa teguh kukuh sepanjang masa – cekal bertahan sepanjang zaman. Sistem Melayu berkerajaan bertiangkan agama, bersendikan adat, berpayungkan Raja, kekal terpelihara. Melayu terus berkuasa memegang tampuk pemerintahan. Ikatan agama dan bangsa kukuh tersimpul. Ini adalah satu kekuatan luar biasa yang dimiliki oleh bangsa Melayu Satu kekuatan dalaman yang telah dapat menentukan kelangsungan bangsa hidup bermartabat.

15. Untuk itu Melayu harus dinilai secara adil – secara bijaksana, menggunakan kanta yang menghalusi segala aspek, dari sudut sejarah – dari sudut politik, dari sudut masa – dari sudut budaya, supaya kekuatan yang ada dapat diperkukuhkan dan kelemahan pula diperbaiki. Sebarang kelemahan, jangan terlalu cepat dirumuskan sebagai identiti nasional bangsa Melayu, seolah-olah sifat lemah – sifat bodoh, milik monopoli bangsa Melayu. Kelemahan yang dikenal pasti, perlu dihalusi – diteliti – difahami akan sebab musababnya. Keupayaan bangsa mengenal pasti sebarang kelemahan hendaklah ditafsirkan sebagai satu kekuatan – sebagai satu langkah bersungguh dalam usaha melakukan pembetulan. Bangsa yang dapat mengenal pasti kelemahan dan berjaya mengatasinya, akan dapat membina kekuatan yang lebih teguh.

16. Bangsa perlu berwaspada supaya tidak terlalu cepat terperangkap dan begitu mudah mengulangi ungkapan-ungkapan negatif yang merendahkan martabat. Kanta penilaian yang dipilih akan mempengaruhi nilai yang diberikan kepada bangsa. Bila kekurangan begitu cepat ditafsirkan sebagai kelemahan, maka padi mula dikatakan lalang – beras pula disangka pasir. Sedarlah! apabila sesuatu bangsa memilih untuk merendahkan bangsanya sendiri, akan terbukalah jendela yang memberanikan bangsa lain untuk menghinanya. Lalu bangsa akan dipandang fakir – adat budayanya bakal tersingkir.

17. Bila ada di kalangan segelintir Melayu yang malas, ia tidaklah bermakna budaya Melayu menganjurkan unsur malas hingga diterima sebagai satu karakter nasional milik bangsa kerana pada hakikatnya budaya Melayu menganjur dan menyanjung sifat rajin. Ungkapan ‘malas’, terdapat dalam pelbagai bahasa, dalam pelbagai budaya, di kalangan pelbagai bangsa. Bahawa ungkapan-ungkapan negatif yang terlalu kerap diulang-ulang boleh meracun jalan pemikiran hingga bangsa menjadi keliru.

18. Maruah bangsa wajib dipertahankan dengan menyemai rasa bangga – dengan menanam semangat yakin. Jika sesuatu bangsa mula merasa rendah diri, ragu-ragu akan kelebihannya, bangsa itu akan dihinggapi penyakit lemah semangat, kurang usaha, rendah kedudukannya, hidup dalam suasana melarat, terjajah dan terhina[8]. Oleh itu merendah, memperkecil dan memburukkan bangsa dengan ungkapan-ungkapan negatif, bukan kaedah yang sihat dalam hasrat membangunkan bangsa.

JIWA MERDEKA

19. Keyakinan bangsa harus dibina, dan menjadi begitu mendesak dalam suasana menghadapi persaingan di peringkat global. Medan persaingan di peringkat global memerlukan individu yang berfikiran terbuka serta memiliki minda yang inovatif, minda yang kreatif dan minda yang imaginatif. Minda yang inovatif, kreatif dan imaginatif memerlukan persekitaran pembelajaran yang terbuka; persekitaran pembelajaran yang tidak tertekan rasa bimbang – tidak dihalang rasa takut; persekitaran yang menghargai cetusan idea – persekitaran yang mengizinkan percambahan fikiran – persekitaran yang menghormati orang berilmu betapa sekalipun berbeza pendapat dan berlainan pandangan.

20. Telah tercatat dalam hikayat, betapa Hang Nadim dihukum bunuh kerana kepintaran menyembahkan cadangan untuk menangani masalah serangan ‘todak’ di Singapura. Raja disembahkan nasihat yang salah dari kalangan pembesar istana yang memagari Raja; para pembesar yang memiliki kepentingan, bersifat cemburu dan iri hati; para pembesar yang tidak mempunyai kekuatan lalu gentar kepada insan yang lebih pintar. Kisah Hang Nadim perlu direnung. Bahawa pemikir dan ilmuwan tidak mungkin lahir dan dewasa dalam budaya pemerintahan dan alam kehidupan sedemikian. Mungkin kisah Hang Nadim masih berlaku. Berapa ramai lagi cerdik pandai bangsa yang telah tersingkir kerana kepintaran – kerana kelainan pandangan – kerana perbezaan pendapat – kerana keberanian menzahirkan yang benar, baik di desa dan di kota, di bilik darjah dan di dewan kuliah, di kalangan pengurus – di kalangan pentadbir, di kalangan remaja – di kalangan dewasa, di kalangan lelaki – di kalangan wanita.

21. Bangsa itu perlu dimerdekakan jiwa – di bebaskan mindanya – diperkaya dengan nilai-nilai positif. Kemerdekaan bangsa bukan terletak pada pengisytiharan – tidak juga pada deklarasi. Tanah dan air milik Melayu ini telah dimerdekakan. Tetapi, apalah erti kemerdekaan jika batang tubuh yang menyedut udara di bumi merdeka masih dibentuk berjiwa abdi serta mindanya dicanai bersifat hamba; berwatak gentar – berwajah bimbang, gentar menyuarakan kebenaran – bimbang menegur kesalahan; lalu merelakan jiwa menjadi abdi kerana upah dan imbuhan – membenarkan diri menjadi hamba kepada pangkat dan gelaran. Bangsa tidak akan dapat berkembang luas dalam persekitaran budaya takut dan budaya bimbang.

22. Minda perlu merdeka sifatnya, bebas mendaki puncak pengetahuan – bebas menyelami lautan ilmu. Minda yang merdeka berupaya menjana cahaya kebenaran. Memerdekakan diri dan menegakkan kebenaran adalah antara seruan utama yang dianjurkan oleh Islam. Islam itu adalah agama yang telah memerdekakan umatnya dari segala perhambaan melainkan kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Islam itu juga adalah agama kebenaran dan menyeru kepada kebenaran. Kebenaran adalah asas budaya ilmuwan dan akan dapat ditemui oleh minda yang merdeka. Jiwa saintifik menghargai fakta dan akan terbina di kalangan mereka yang menghargai dan bersedia menegakkan kebenaran. Bahawa pengetahuan dapat berkembang bebas jika kebenaran tidak dipagari dinding kepalsuan dan sungai ilmu akan mengalir luas dari gunung ganang kebenaran hingga dapat menyuburkan minda yang gersang.

23. Agama, Pemimpin, Keluarga, Masyarakat serta ilmu dan pendidikan mempunyai pengaruh kuat dalam budaya masyarakat Melayu. Faktor-faktor tersebut perlu dikendalikan secara bijaksana untuk dijadikan tenaga penggerak dalam usaha membina satu bangsa yang progresif lagi dinamik – gagah lagi perkasa.

AGAMA ISLAM

24. Agama Islam mempunyai pengaruh sangat mendalam dalam kehidupan bangsa Melayu. Islam memiliki kuasa magnetik yang boleh menangkap emosi bangsa. Dalam urusan agama orang Melayu umumnya memperlihatkan sikap yang patuh kepada waktu, begitu menghormati ketepatan waktu imsak, waktu berbuka, waktu azan, hari tasyrik; demikian juga dalam menentukan bulan-bulan Islam.

25. Rukun Haji berpengaruh membina budaya menabung di kalangan bangsa Melayu. Peratusan terbesar jemaah haji di negara ini adalah dari kalangan masyarakat Melayu di bawah kelas menengah. Mereka tekun menabung kerana yakin bahawa hidup hanya sempurna jika Rukun Islam kelima telah ditunaikan. Rukun Haji juga berjaya membina kekuatan mental dan kekuatan dalaman. Mereka sedia bermusafir, meninggalkan anak kecil dan pekerjaan. Yang uzur jalan bertongkat – yang lemah jalan berpapah, cekal dengan niat – gigih dengan azam, menuju ke Mekah – menuju ke Medina.

26. Demikian besarnya pengaruh agama dalam mencanai pemikiran dan membentuk sikap bangsa. Agama sebagai instrumen yang berjaya mendisiplinkan bangsa perlu diterokai sepenuhnya dalam usaha mencanai minda dan membentuk sikap. Pendekatan berlandaskan agama yang memiliki kuasa magnetik perlu diolah dalam dimensi yang lebih luas. Ibadat di dalam Islam begitu luas bidangnya merangkumi aspek-aspek ilmu, kemasyarakatan, kesihatan, kebersihan, kesungguhan, disiplin dan pelbagai lagi. Pendekatan melalui saluran agama perlu dikembangkan, dilaksanakan secara lebih inovatif, lebih kreatif, lebih promotif dan lebih persuasif.

27. Tarikan kuasa magnetik dan kekuatan emotif di dalam Islam itu pada hari ini belum diterokai sepenuhnya. Kuasa magnetik ini lebih dieksploitasi bagi tujuan politik. Malang bagi bangsa apabila agama yang bertujuan untuk menyatukan ummah, kini dipolitikkan dan mula menjadi pencetus kepada perselisihan dan pemisahan ummah. Sayang bagi bangsa kerana komponen penting yang begitu berpengaruh dalam membentuk sikap dan mencanai minda bangsa telah disalah gunakan untuk tujuan yang tidak produktif. Kegagalan membendung keadaan ini amatlah merugikan bangsa Melayu.

28. Agama bukan sahaja memiliki tarikan magnetik malah mempunyai rangkaian prasarana fizikal yang sedia terbangun. Masjid luas tersebar dalam setiap perkampungan dan penempatan umat Islam. Hari ini masjid merupakan bangunan-bangunan berbentuk fizikal yang kurang perisian. Masjid hanya disemarakkan pada pagi Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji dan pada tengah hari Jumaat. Pada waktu-waktu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak, bilangan jemaah di masjid amatlah kecil. Aktiviti di masjid tertumpu sebagai tempat menyediakan kemudahan sembahyang. Program ilmu yang dianjurkan di masjid terbatas kepada pengajaran fardu ain, masalah hukum, keperluan muamalat dan kelas-kelas membaca Al-Quran. Sesi-sesi kuliah tertumpu kepada pengisahan peristiwa-peristiwa hijrah dan israk mikraj yang diulangi dari tahun ke tahun. Penyebaran ilmu yang berlangsung di masjid terbatas kepada bidang ibadah individu.

29. Masjid adalah prasarana fizikal yang di bina dengan belanja yang besar tetapi potensi yang ada tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Masjid wajar diperluaskan penggunaannya sebagai pusat penyebar ilmu, sebagai pusat sumber dan sebagai pusat pembangunan masyarakat. Masjid hendaklah dimakmurkan dengan pelbagai kegiatan untuk semua peringkat usia, dari anak di usia tadika dan di usia persekolahan hingga kepada insan remaja dan insan dewasa. Masjid hendaklah menjadi pusat penyebaran maklumat dan pengembangan pengetahuan yang menyeluruh. Sesi-sesi ilmu di masjid wajib diperluaskan untuk mendidik umat Islam dalam perkara-perkara sains, teknologi, pelaburan, kesihatan, pemakanan, teknologi maklumat, dan pelbagai lagi.

30. Masjid dan surau mempunyai sejarah hubungan dengan kegiatan perkembangan ilmu melalui peranan sekolah pondok. Sekolah pondok di era kebangkitannya memenuhi peranan yang sama dengan sekolah berasrama pada hari ini. Asas hubungan ini perlu diberikan dimensi baru dan disesuaikan dengan pengajaran ilmu-ilmu kontemporari. Kandungan pengajian sekolah pondok memerlukan perekayasaan supaya sekolah-sekolah tersebut dapat menjadi tapak semaian minda membantu menghasilkan golongan profesional, teknokrat dan saintis Melayu. Masjid, surau dan sekolah pondok adalah prasarana fizikal yang memerlukan inovasi pendekatan untuk membantu melangsungkan agenda pendidikan sepanjang hayat. Potensi masjid sebagai tempat untuk mencanai minda dan membentuk sikap hendaklah diterokai melalui satu pendekatan yang radikal dan dinamik. Masjid perlu diberikan wajah baru dan imej baru, peranan baru dan tanggung jawab baru, udara baru dan nafas kepimpinan baru.

31. Masjid sebagai instrumen penyatuan hendaklah dikekalkan. Di bawah naungan bumbung masjid, umat Islam perlu bersatu dalam pegangan akidah yang sama. Masjid bukan tempat untuk mencetuskan perbalahan. Masjid harus kekal berkecuali dari pengaruh mana-mana kumpulan. Institusi masjid harus berada di atas segala pengaruh politik atau kumpulan. Kepimpinan yang bertanggung jawab ke atas masjid perlu menjamin bahawa kesucian dan kemurnian institusi ini terpelihara untuk membolehkan institusi ini dapat berperanan lebih berkesan, lebih bermakna dan lebih dinamik.

32. Masjid dapat memainkan peranan sebagai agen pembawa perubahan jika masjid dilengkapkan dengan program perisian yang mantap. Masjid dapat memenuhi wawasan pembangunan insan jika masjid mempunyai tenaga penggerak yang lengkap dan pelbagai. Istilah ulama perlu diberikan takrif yang lebih menyeluruh merangkumi golongan ilmuwan di pelbagai disiplin dan dijadikan contoh teladan untuk memberikan inspirasi supaya minda Melayu terbuka lebih luas.

PEMIMPIN

33. Pemimpin berperanan penting sebagai pemelihara dan penentu kepada kelangsungan bangsa Melayu. Kuasa yang ada pada pemimpin meletakkan pemimpin berada dalam kedudukan yang boleh mempengaruhi arah pemikiran dan budaya hidup masyarakat. Bahawa Tun Seri Lanang telah mengkalamkan kata-kata berikut dalam ‘Sulalat Al-Salatin:-

Maka sembah Demang Lebar Daun,

“Tuanku, segala anak cucu patik sedia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan. Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan hamba. Syahadan jikalau ia berdosa besar-besar, dosanya sekalipun jangan ia difadhilatkan dan dinista dengan kata yang jahat-jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jikalau patut pada hukum syar’i”.[9]

34. Demikian perjanjian yang dijadikan magna carta bangsa Melayu. Ikatan perakuan hubungan antara Raja dengan rakyat yang wajar dijadikan pedoman akan hubungan pemimpin dengan yang dipimpin di dalam budaya Melayu. Bahawa bangsa itu sama sekali tidak harus dinista – jauh sekali dihina oleh pemimpin. Malah pemimpin bertanggung jawab untuk memperbaiki kesejahteraan hidup yang dipimpin.

35. Dato Onn bin Jaafar (Allahyarham), pernah memperingatkan bahawa yang menghalang kemajuan masyarakat Melayu itu ialah orang-orang yang memegang tampuk pimpinan dalam masyarakat Melayu. Allahyarham tidak sekali-kali memilih untuk merendahkan kebudayaan Melayu ataupun nilai-nilai hidup masyarakat Melayu. Allahyarham juga tidak sekali-kali memilih memperkecilkan rasa bangga masyarakat Melayu.[10] Pandangan Dato’ Onn senada dengan apa yang disuarakan oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi dalam tahun 1849, bahawa punca kemunduran Melayu adalah disebabkan golongan yang berkuasa di dalam masyarakat.

36. Melayu itu sifatnya amat taat kepada pemimpin. Semangat setia pengikut kepada pemimpin berakar kukuh dalam masyarakat Melayu. Tingkat ketaatan digambarkan di dalam hikayat, melalui ikrar setia yang dilafazkan kepada Raja, ‘jika digantung tinggi, direndam basah, dibakar hangus’. Rakyat itu menyerahkan diri untuk dicanai dan dibentuk oleh pemimpin. Menjadi resam dalam milieu bangsa Melayu bahawa satu perempat dari tenaga diperuntukkan untuk berkhidmat kepada Raja atau pembesar[11]. Begitulah tahap kesetiaan – begitulah tingkat ketaatan bangsa kepada pemimpin. Pemimpin itu dijadikan contoh – di jadikan teladan. Pengikut memberikan sokongan, keyakinan dan kesetiaan serta meletakkan harapan tinggi kepada pemimpin. Pengikut berpegang bahawa pemimpin itu lebih bijaksana sifatnya. Seruan pemimpin disahut sebagai suara membawa kebaikan, disambut dengan hati terbuka – diterima dengan dada yang lapang, digemakan di seluruh kota – di laungkan di sekitar desa. Kerana itu, apabila Sultan Melaka memeluk agama Islam, seluruh pembesar dan rakyat jelata mengikut langkah Baginda hingga Islam itu kekal di hari ini menjadi identiti bangsa Melayu.

37. Pemimpin berperanan besar menentukan corak pemikiran dan arah haluan bangsa. Pemimpinlah menentukan tempo dan kandungan agenda bangsa – menentukan wajah dan rupa bangsa. Masyarakat dicorak dan diwarna oleh pemimpin. Masyarakat adalah cerminan kepada sifat dan watak pemimpin. Masyarakat yang bersih dan telus, jujur dan ikhlas tidak akan dapat dibentuk jika pemimpin mengamalkan penyelewengan, penipuan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Pencapaian masyarakat juga merupakan kayu ukuran tentang kejayaan atau kegagalan dasar dan rancangan yang di bawa oleh pemimpin. Pencapaian sosioekonomi, tahap kekayaan dan kemiskinan rakyat adalah cerminan kepada kejayaan dasar dan rancangan yang diperkenalkan oleh pemimpin melalui institusi politik, institusi ekonomi dan institusi sosial.

38. Oleh itu pemimpin wajib menjiwai denyut nadi dan menghayati denyut jantung bangsa – memahami sedalam-dalamnya akan kekuatan, akan potensi dan akan harapan bangsa. Bangsa hendaklah dibangunkan dengan rangka kerja yang memberikan kelebihan kepada mereka. Hasrat pemimpin untuk membangunkan bangsa akan menjadi lebih berkesan jika pemimpin bersedia membuka jendela, melihat alam yang lebih luas – mendengar bunyi yang pelbagai nada. Bahawa setiap jendela yang ditutup mungkin akan melindungi kesilapan dan selagi jendela kesilapan ditutup selagi itu pula pintu kebenaran sukar ditemui.

39. Sesuatu pendekatan untuk membangunkan bangsa adalah agenda bangsa secara menyeluruh. Ia harus dicapai melalui perundingan – melalui persetujuan – melalui kata muafakat, supaya bangsa dapat memahami dan menghayati serta menerimanya sebagai keputusan bersama, lalu sedia memikul tanggung jawab dalam semangat bukit sama didaki – berat sama dipikul. Agenda yang melibatkan bangsa haruslah difahami oleh bangsa dan tidaklah adil untuk mana-mana pemimpin secara individu meletakkan nilai peribadi lalu merumuskan keputusan untuk di mamah oleh bangsa. Program-program yang menyentuh pembangunan bangsa terutama dalam merencana program pendidikan hendaklah dihalusi sedalam-dalamnya supaya bangsa tidak menjadi korban kerana sifat impulsif pemimpin. Kesan pemimpin terhadap rakyat amatlah besar – sekali pemimpin bersin seluruh negara mendapat selesema.

40. Pola ekonomi dunia telah berubah dari ekonomi perancangan kepada ekonomi pasaran dan kini berada dalam ekonomi global. Pemimpin Melayu hendaklah bijaksana sifatnya dan meneliti semula kaedah membangunkan bangsa. Tanggung jawab mengendalikan institusi untuk membangunkan bangsa hendaklah diuruskan oleh individu yang benar-benar ahli dalam bidangnya, jujur dan amanah sifatnya, bersungguh dan komited jiwanya. Jika institusi yang diamanahkan untuk membangunkan bangsa, dikendalikan oleh individu yang pecah amanah, tidak jujur dan rasuah, akan berlakulah ketirisan sumber – akan meranalah bangsa.

41. Pemimpin Melayu itu adalah pelindung kepada bangsanya. Ianya harus memiliki keberanian – memiliki kekuatan untuk melindungi bangsanya, memiliki wawasan untuk memajukan bangsanya. Ia harus arif mencipta ramuan yang dapat memberi kemenangan kepada bangsanya. Ia harus bijak mengenal pasti bidang-bidang yang dapat memberi kelebihan kepada bangsanya. Ianya harus memperlihatkan ketegasan dalam menghadapi tekanan yang mahu menggugat ketuanan bangsanya. Dan pemimpin yang memperlihatkan keberanian, kekuatan dan ketegasan akan dapat membina bangsa yang memiliki sifat-sifat yang unggul.

KELUARGA

42. Keluarga berpengaruh besar terhadap tahap pencapaian pendidikan dan ekonomi bangsa Melayu. Status sosioekonomi keluarga menjadi penentu kepada modal budaya yang dimiliki oleh sesebuah keluarga[12]. Status sosioekonomi akan menentukan kualiti bahan bacaan, persekitaran intelek, penguasaan bahasa di dalam keluarga yang akan mempengaruhi minda dan sikap anak-anak.[13] Tahap pendidikan ibu bapa turut mempengaruhi tahap penglibatan dan kecenderungan mereka dalam kegiatan pembelajaran dan pendidikan anak-anak.[14] Oleh itu anak-anak dari kalangan keluarga terpelajar berbekalkan modal budaya yang tinggi, berada pada platform lebih baik dalam menghadapi cabaran persekolahan dan cabaran pembelajaran.

43. Majoriti keluarga Melayu kurang menguasai modal budaya. Keluarga Melayu yang sedemikian amat memerlukan bantuan. Anak-anak dari keluarga demikian perlu di bawa ke tapak semaian yang dapat meningkatkan modal budaya. Program sekolah berasrama penuh dan pembinaan asrama pelajar di kota-kota adalah satu pendekatan bijak. Amatlah perlu dipastikan bahawa kemudahan ini dapat memberikan manfaat yang optimum kepada masyarakat Melayu yang miskin, masyarakat di desa dan kalangan anggota masyarakat yang tidak memiliki modal budaya. Tetapi jika anak-anak dari kalangan masyarakat yang kurang modal budaya perlu bersaing dengan mereka yang telah memiliki modal budaya, maka berlakulah kegelinciran kepada hasrat asal penubuhan kemudahan tersebut. Anak-anak yang datang dari keluarga yang memiliki modal budaya yang lebih tinggi tentulah berada dalam kedudukan yang memberikan mereka kelebihan. Demikian juga dari segi lokasi, kemudahan-kemudahan tersebut hendaklah dibangunkan dalam persekitaran yang dapat menambah modal budaya bangsa.

44. Langkah jangka panjang yang lebih besar adalah untuk melahirkan lebih ramai keluarga menengah Melayu dan usaha-usaha ke arah menyediakan persekitaran yang membolehkan masyarakat Melayu meningkatkan modal budaya. Kawasan-kawasan perkampungan dan penempatan Melayu perlu diperkaya dengan kegiatan yang dapat membina modal budaya yang lebih tinggi. Orang Melayu telah membuktikan sanggup berhijrah ke kawasan pembangunan baru dan sedia berkorban meninggalkan kampung halaman dan kaum keluarga tersayang. Generasi pertama FELDA adalah barisan petani Melayu yang memperlihatkan semangat berani berhijrah. Kesanggupan melakukan penghijrahan geografi hendaklah diperlengkap dengan program yang turut menyediakan opsyen bagi membolehkan berlakunya penghijrahan menguasai kemahiran baru dan penghijrahan yang dapat menjanakan kekayaan modal budaya. Aspek membangunkan modal budaya perlu diberikan perhatian, dirancang secara rapi – secara bijak, dilaksanakan secara bersungguh lagi tersusun.

45. Keluarga dan individu yang berada dalam keadaan miskin tidak berupaya membina modal budaya. Fikiran dan tenaga keluarga miskin senantiasa terperangkap dalam putaran ganas harian untuk memenuhi keperluan asas walaupun mereka sedari bahawa pendidikan berperanan penting untuk mengubah status kehidupan. Usaha membawa bangsa keluar dari belenggu kemiskinan akan membantu keupayaan bangsa memanjat strata sosioekonomi masyarakat dan memberikan kemewahan kepada bangsa itu membina sikap dan minda yang lebih merdeka.

MASYARAKAT

46. Karakter bangsa yang menghargai perdamaian, bersifat harmonis dan tinggi pekerti membina jiwa Melayu yang sangat mengutamakan hidup bermasyarakat. Karakter semula jadi tersebut amat selari dengan nilai-nilai kemasyarakatan yang dianjurkan dalam agama Islam. Fardu kifayah yang menuntut ummah dalam sesuatu mukim mengerjakan sembahyang secara berjemaah dan mendirikan Solat Jumaat dengan bilangan minimum 40 orang jemaah, adalah manifestasi kepada pentingnya individu menjalin hubungan sesama anggota masyarakat hingga menjadi satu himpunan dan kesatuan ummah. Pada umumnya hasrat yang tersurat telah tercapai.

47. Ikatan kemasyarakatan yang terjalin, membantu kejayaan bangsa Melayu memiliki organisasi politik yang terbesar di negara ini. Namun dalam jangka panjang, kekuatan bangsa tidak boleh bergantung semata-mata kepada kekuatan politik. Bangsa itu akan lebih kuat dan politik bangsa bertambah teguh jika rangkaian hubungan masyarakat Melayu turut dilebarkan merangkum bidang-bidang lain.

48. Pencapaian hasrat tersurat hendaklah diterokai ke peringkat mencapai matlamat tersirat. Permuafakatan yang terbina hendaklah dilebarkan untuk tujuan mewujudkan rangkaian kerjasama yang lebih luas; rangkaian kerjasama dalam bidang-bidang perkongsian maklumat, perkongsian kemahiran, perkongsian sumber, perkongsian perkhidmatan untuk meningkatkan tahap pencapaian sosial, pendidikan, perdagangan, kewangan dan ekonomi bangsa.

ILMU

49. Pada hakikatnya bangsa Melayu menghargai ilmu dan memberikan penilaian tinggi kepada ilmu. Kerana bangsa Melayu itu pada awalnya tidak mempunyai tulisan, ilmu diperturunkan secara lisan. Kedatangan Islam telah memperkenalkan Melayu kepada budaya tulisan dan bacaan. Bahan bacaan dalam tulisan jawi kebanyakannya berbentuk kitab-kitab agama dan sedikit sebanyak tentang hikayat pemerintahan raja-raja. Untuk itu di peringkat awal pendedahan ilmu berbentuk penulisan dan bacaan di kalangan masyarakat Melayu berkisar kepada ilmu agama dan ilmu pemerintahan.

50. Ini mungkin faktor yang begitu mempengaruhi minda Melayu lebih tertumpu dan tertarik kepada urusan agama dan urusan pemerintahan. Minda Melayu lalu menjadi lebih cenderung dalam bidang agama dan politik hinggakan agama dan politik begitu bertaut dalam gagasan membina fahaman politik dan dalam usaha mendapat sokongan politik. Ini disusul dengan status sosial yang diberikan kepada tokoh agama dan penjawat jawatan dalam pemerintahan.

51. Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan dalam tahun1970. Dasar tersebut bukan sekadar berjaya merencanakan profesion pekerjaan baru kepada bangsa tetapi turut membawa nilai-nilai baru kepada bangsa. Istilah-istilah saham, tabung amanah, ekuiti, audit, margin dan sebagainya merupakan istilah-istilah baru kepada bangsa yang sebelum itu lebih selesa dengan istilah-istilah pahala, dosa, wajib,sunat, haram, rezeki. Identiti penghormatan individu seperti D.O, S.O.,S.C., Sarjan, Cik Gu, Bidan, Dukun, Uztaz, Mufti, Kadhi dan Imambertukar kepada CEO, COO, Manager, Akauntan, Arkitek, Doktor, Dentist, Pharmacist.

52. 30 tahun adalah tempoh yang terlalu singkat untuk melihat satu perubahan menyeluruh dapat berlaku. Namun dalam tempoh tersebut, Melayu menunjukkan daya pecut (accelaration) yang sungguh menggalakkan. Dalam tahun 1999, Bumiputera menguasai 19.1% modal saham dalam Syarikat Berhad berbanding 2.4% dalam tahun 1970, mencatatkan kadar pertumbuhan purata 12.3% setahun di antara tahun 1991 – 1999.[15] Dalam tahun 1980, terdapat 341 doktor Melayu (10%), meningkat kepada 4969 (39%) dalam tahun 2002. Dalam tempoh yang sama, arkitek Melayu bertambah dari 57 orang (11%) kepada 1337 orang (43%), akauntan dari 120 orang (8%) kepada 3093 orang (18%), jurutera dari 1533 orang (19%) kepada 16,773 orang (44%), peguam dari 173 orang (15%) kepada 3442 orang (34%), Juru Nilai dari 130 orang (32%) kepada 1,164 orang (50%).[16]

53. Beta sedia faham akan keresahan bangsa Melayu terhadap angka-angka pencapaian ini bila dianalisis secara perbandingan dengan pencapaian kaum-kaum lain. Bangsa tidak harus terlalu cepat merasa cemas. Penilaian secara rasional – secara objektif akan memberi manfaat yang lebih besar. Perlu disedari bahawa kaum-kaum lain telah bermula jauh lebih awal dan telah mempunyai tapak lebih luas untuk melonjak secara geometrik. Angka-angka pencapaian bangsa Melayu hendaklah dijadikan satu harapan untuk mencipta kejayaan bangsa yang lebih besar. Prestasi pencapaian Melayu membuktikan bahawa jika dasar digubal secara bijak dan dilaksanakan dengan bijaksana, Melayu itu berupaya mencipta kejayaan. Pencapaian yang telah dicipta hendaklah dijadikan pendorong untuk melipat gandakan usaha ke arah mencipta kejayaan yang lebih gemilang.

54. Selaras dengan nilai yang diunjurkan oleh Islam melalui kalimah Iqra’, pendidikan adalah instrumen penting yang dapat meningkatkan martabat bangsa. Bangsa hendaklah dibekalkan dengan ilmu yang dapat memberikan nilai ditambah. Tidak harus terdapat jurang antara apa yang diajar dengan apa yang patut dipelajari. Institusi pengajian tidak harus berbangga dengan angka graduan yang diijazahkan sekiranya mereka tidak mendapat tempat dalam pasaran guna tenaga. Institusi pengajian bukanlah kilang untuk melahirkan produk yang tidak berjenama.

55. Institusi Pengajian adalah tempat untuk mengasuh pemikiran menjadi kritis dan kreatif, membina daya fikir yang asli – membina minda yang analitis. Universiti adalah tempat ilmu yang sejagat nilainya disampaikan dan dipelajari. Konsep universiti berasal dari konsep ilmu yang kuliyyat sifatnya. Universiti adalah tempat percambahan fikiran, perubahan minda, tempat percubaan demi percubaan dilakukan untuk mencari dan membukti kebenaran. Puncak pendidikan itu tidak sekadar memberikan maklumat kepada manusia, tetapi berdaya mencipta satu harmoni yang sungguh memuaskan dalam penghidupan manusia.

56. Golongan pendidik hendaklah diberikan kepercayaan dan terlibat dalam menggariskan kandungan pengajian dan kaedah pengajaran. Amalan pemusatan kuasa yang berlebihan tidak akan dapat mewujudkan sistem pendidikan yang dinamik, progresif dan relevan. Urusan mengajar adalah tanggung jawab tenaga pengajar yang memiliki pengalaman dan kepakaran. Jika yang bukan ahli terlalu banyak melibatkan diri, akan berlaku kepincangan di peringkat perlaksanaan.

57. Kaedah penyampaian ilmu yang dapat meningkatkan kefahaman amat penting untuk memastikan anak-anak pelajar dapat menghayati ilmu yang disampaikan. Institusi pengajian adalah tempat membina pemikiran kritis dan pemikiran kreatif – tapak mendidik minda berfikiran objektif dan menghargai fakta. Jangan sekali dibatasi penerokaan minda anak-anak mengembara ke alam yang lebih luas dari pengembaraan yang telah pernah kita lalui kerana anak-anak dilahirkan dalam era yang berbeza. Pendidikan yang berkesan laksana lampu penyuluh yang menjadi petunjuk kepada pengembara di malam gelap. Lampu itu akan didampingi kerana mencernakan sinar cahaya menerangi kegelapan.

58. Sistem Pendidikan Nasional hendaklah membantu perkembangan kreativiti, menghargai hikmah kebebasan, mencipta keriangan serta dapat menghargai warisan negaranya. Sistem itu harus berupaya membantu kemajuan individu memenuhi puncak pencapaian.

PENUTUP

59. Kejayaan itu tidakkan pipis datang melayang – tidakkan bulat datang menggolek. Kejayaan itu adalah anugerah kepada usaha – kepada ketekunan. Ianya memerlukan kesungguhan, pengorbanan, disiplin dan tumpuan. Ianya dicapai dengan kesediaan mental dan jasad menempuhi ujian, cabaran dan dugaan. Lautan tidak akan dapat direnangi dengan sekadar berdiri di persisiran untuk mengira ombak menghempas pantai. Pengorbanan dan kegigihan para Rasul dan Nabi menempuh pelbagai ujian besar adalah contoh-contoh yang dijadikan oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk dijadikan pengajaran dan diambil iktibar.

60. Keluarga berperanan utama dalam mencanai minda dan membentuk sikap. Pengalaman hidup yang Beta lalui adalah satu laluan yang telah banyak memberikan pengajaran. Paduka Seri Ayahanda Beta, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah, adalah putera kelima di dalam keluarga. Paduka Nenda Beta, Sultan Yussuf Izzuddin Shah dikurniakan empat putera dan seorang puteri. Mengikut hukum adat, ditambah pula dengan tangga-tangga yang perlu dilalui sebelum sampai ke takhta Kerajaan Perak, Raja Azlan Shah berada di tangga susunan paling bawah sebagai pewaris takhta.

61. Menyedari kedudukan di dalam strata susunan keluarga, Baginda dengan penuh disiplin memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan di bidang akademik. Baginda lulus dalam pengajian undang-undang dan menyertai perkhidmatan kerajaan bermula sebagai pentadbir dan kemudiannya menyertai perkhidmatan undang-undang dan kehakiman selama lebih 30 tahun. Baginda berhijrah dari tempat ke tempat membawa keluarga. Semasa anak kecil, Beta memerhatikan ketekunan Baginda setiap malam meneliti kerja-kerja yang harus diselesaikan. Pada usia 37 tahun, Baginda mencatatkan rekod sebagai Hakim termuda di antara hakim-hakim Mahkamah Tinggi di negara Komanwel. Baginda terus tekun bekerja sehingga sampai ke puncak perkhidmatan kehakiman apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Selainnya menjadi satu sejarah keluarga dan sejarah negeri apabila Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Perak yang ke 34 dan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong kesembilan. Paduka bonda Beta, Tuanku Bainun adalah seorang pendidik. Baginda turut berpindah dari bandar ke bandar dalam memenuhi tanggung jawab sebagai isteri – sebagai ibu.

62. Darah dan keturunan tidak membezakan proses yang perlu Beta lalui dalam meraut usia kehidupan, sebagai seorang putera sulung kepada lima beradik. Beta melalui alam persekolahan di bawah didikan dan pengawasan guru di sekolah, dan di rumah perlu mematuhi disiplin yang ketat di bawah kombinasi pengawasan seorang hakim dan seorang guru. Ayahanda dan bonda Beta menekankan aspek berjimat kerana mengutamakan keperluan pendidikan. Alhamdulillah kesemua putera dan puteri Baginda sampai ke peringkat pengajian tinggi.

63. Beta akui dan bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga yang memiliki modal budaya yang tinggi. Beta lebih bersyukur kerana ayahanda dan bonda Beta tidak memberikan sebarang keistimewaan atau manja yang berlebihan, yang boleh menjadikan Beta alpa kepada tanggung jawab terhadap pelajaran. Nilai yang disemai ke dalam jiwa dan minda Beta, menjadikan Beta seorang hamba yang amat berminat kepada ilmu dan kepada pengetahuan.

64. Memenuhi tanggung jawab sebagai Raja Muda menuntut kepada disiplin dan pengorbanan. Kebebasan diri amat terbatas. Pengharapan rakyat begitu tinggi. Dalam kesunyian bersemayam di istana, bukulah yang menjadi sahabat dan rakan yang paling rapat. Bagaimana buku dan tabiat membaca berjaya membina satu kekayaan minda – memberikan satu keharmonian dalaman yang sungguh istimewa. Segalanya berdasarkan contoh teladan, bimbingan secara lisan, teladan secara amalan yang dipamerkan oleh ayahanda dan bonda Beta. Sehingga ke hari ini, Paduka Ayahanda dan Paduka Bonda Beta masih mengumpul dan membaca buku. Sifat hakim dan sifat guru tetap tidak terpisah. Pada usia begini pun, sekali sekala diruang istana, terasa diri Beta bagai dibicarakan di hadapan hakim, sekali sekala terasa bagaikan Beta berhadapan seorang guru di bilik darjah.

65. Beta membawa kisah keluarga ini dengan hasrat untuk mengajak setiap keluarga memberikan perhatian berat, bertindak sebagai pendorong kepada anak-anak yang diamanahkan oleh Tuhan. Limpahkan rasa kasih, tumpahkan rasa sayang tetapi pada masa yang sama disemaikan disiplin di dalam hidup. Tanggung jawab kerajaan adalah untuk menyediakan prasarana fizikal. Guru adalah fasilitator kepada perkembangan anak-anak. Guru bukanlah gantian yang boleh mengambil sepenuhnya tempat dan tanggung jawab ibu bapa. Ustaz boleh mengajar anak-anak membaca Al-Quran – memperkenalkan anak-anak kepada hukum-hukum fikah, namun ibu bapa bertanggung jawab di peringkat membimbing amalan.

66. Terlalu banyak kejadian membimbangkan berlaku di kalangan remaja Melayu, dadah, ponteng sekolah, gengster, jenayah, bohsia dan pelbagai lagi Tanggung jawab membina warga dan bangsa memerlukan peranan utama keluarga.

67. Wujudkan persekitaran keluarga yang dapat membina kebahagiaan, yang dapat memberikan keriangan dan keselesaan kepada anak-anak. Jadikanlah diri ibu bapa sebaik-baik rakan untuk memimpin kejayaan anak-anak.

68. Semoga usaha Jawatankuasa Kongres Pendidikan Melayu ini dapat menghasilkan kebaikan kepada bangsa Melayu. Semoga bangsa Melayu kekal selamanya sebagai bangsa yang bermartabat dan senantiasa mendapat perlindungan ILAHI. Semoga negara terus aman, makmur dan sejahtera.

Wabillahi taufik, walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sultan Nazrin Shah 
Kongres Pendidikan Melayu Kedua

***************

  1. Shome, Anthony S.K., ‘Malay Political Leadership’ Routledge Curzon, London, 2002 ms. 4 
  2. Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan. 
  3. Abdul Rahman Embong, , ‘Faktor Ideologi Politik dan Budaya Dalam Penutupan Minda Melayu (menghuraikan penulisan Pramoedya Ananta Toer dalam ‘Arus Balik’)’ diterbitkan dalam ‘Kumpulan Kertas Kerja-Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam’, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2002. ms 61. 
  4. Ibid, ms 62. 
  5. Tom Pires, ‘The Summa Oriental of Tom Pires’, Kraus Reprint Limited, 1967, petikan dari Asrul Zamani, ‘The Malay Ideals’, Golden Book Centre, Kuala Lumpur, 2002, ms161. 
  6. Asrul Zamani, ‘The Malay Ideals’, Golden Book Centre, Kuala Lumpur, 2002, ms 159. 
  7. Siddiq Fadil, ‘Minda Melayu Baru’, Institusi Kajian Dasar, Kuala Lumpur 1992, ms vi 
  8. Sayid Jamaluddin al-Afghani, ‘Al-Radd ala al-Dahriyyin, di Hyderabad, Deccan, 1881. 
  9. Tun Seri Lanang, ‘Sulalat Al-Salatin’, dikaji dan diperkenalkan oleh Muhammad Haji Salleh, Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1979. ms 23. 
  10. Syed Hussein Alatas, ‘Siapa Yang Salah’, Pustaka Nasional Singapura, 1972, ms2. 
  11. Tham Seong Chee, ‘Malays and Modernization: A Sociological Interpretation’, Singapore University Press, Singapore, 1983, ms 7. 
  12. Lily Zubaidah Rahim, ‘The Singapore Dilemma: The Political and Educational Marginality of the Malay Community’, New York: Oxford University Press, 1998, ms 141. 
  13. Ibid 
  14. Ibid 
  15. Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga Malaysia. 
  16. Omar Hashim, ‘Nilai-Nilai Melayu Dalam Pendidikan’, Kertas Kerja dalam Seminar Za’aba Mengenai Alam Melayu I’, Anjuran Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2003, Jadual 1, ms 12. 

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.