Buah jalayan bawa ka daat,
Andang pulasan manis isinya
Hidup kadayan dikandong adat
Andang waisan daie mulanya

Begitulah antara bait-bait pantun mengenai satu kaum yang dikenali dengan nama Kedayan atau kadayan atau kadaian atau kadyan.  Salah satu daripada suku kaum yang mana kawasan penempatannya ada di seluruh Pulau Borneo iaitu baik di Kalimantan, Brunei, Sabah mahupun Sarawak itu sendiri. Namun walau sudah dipisahkan oleh sempadan negara yang berbeza, adat istiadat malah tradisi kedayan tetap tiada beza dari segi zahirnya.

Asal-usul Kedayan sehingga ke hari ini masih lagi diperdebatkan dan tiada yang benar-benar tuntas mengenai keberadaan mereka di bumi nusantara.  Namun yang pasti, mana-mana bangsa kedayan yang ada di Sarawak mahupun Sabah itu adalah datangnya dari Brunei suatu waktu dahulu.

Dan berbicara konteksnya bangsa Kedayan itu sendiri terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu Kedayan Salar, Kedayang Tambing dan Kedayan Melabau. Kedayan Salar adalah orang kedayan yang asli yang mana tidak dipengaruhi oleh mana-mana perkahwinan campur.  Kedayan Tambing pula adalah kedayan peranakan iaitu terbit daripada perkahwinan campur dengan bangsa lain.

Kemudian Kedayan Melabau pula adalah diperkira sebagai kaum kerabat diraja Brunei yang menyamar menjadi Kedayan kerana lari daripada perebutan takhta.  Mereka juga dikenali sebagai Orang Melabau di kalangan Kedayan sendiri. Mereka kebanyakannya akan menggunakan nama Paduka didepan nama bagi menggantikan nama Pengiran dan lain-lain.

Bangsa Kedayan Asal Tanah Jawa?

Ramai yang menyatakan bahawa Kedayan itu adalah asalnya dari Tanah Jawa.  Dan ini adalah berasaskan teori daripada sejarahwan seperti Harrison dan Harrison (1959) yang mengatakan bahawa bangsa Kedayan ini bermula daripada percampuran Orang Jawa dan masyarakat Brunei.

Ini diperjelaskan di dalam cerita mengenai Raden Angsuka Dewa, putera raja Majapahit yang datang ke Brunei ketika pemerintahan Awang Alak Betatar lalu kalah di dalam pertandingan sabung ayam.  Kekalahan itu menyebabkan beliau kehilangan semua panglima dan bahteranya ke atas Kerajaan Brunei.  Diperkira hal ini berlaku sekitar tahun 1360an.

Kemudian, faktor perkahwinan antara Sultan Bolkiah yang memerintah Kesultanan Brunei dari tahun 1473 hingga 1521 pula menceritakan bagaimana kemasukan orang-orang Jawa ke Brunei khususnya di Kota Batu, Brunei. Ianya lebih kepada hubungan dua hala antara dua negara di Nusantara pada masa itu yang menyaksikan Puteri Lela Menchanai turut membawa rombongan mengikutnya tinggal di negara suaminya.  Rombongan ini akhirnya mengasimilasikan diri dengan orang Brunei lalu membentuk masyarakat kedayan sekarang.

Bangsa Kedayan Asal Borneo?

Di dalam satu buku yang ditulis oleh Harold Stephen Morris yang beralaskan sumber lisan masyarakat Melanau pula memetik bahawa penduduk asal Brunei adalah kaum kedayan.  Menurut buku tersebut menyatakan bahawa bandar Brunei telah diasaskan oleh tujuh orang bersaudara yang berasal dari Bukit Seguntan di Jawa.

Yang menariknya melalui sumber lisan ini menyatakan bahawa pada masa itu rumah yang didirikan adalah berbentuk rumah panjang.  Dan berbicara mengenai identiti rumah panjang sudah tentu ianya bukan dari masyarakat Jawa yang kita kenali dan apa yang diperjelaskan oleh Harold Stephen Morris ini mempunyai persamaan dengan apa yang dikaji oleh Hose.

Kajian Hose (1912) menyatakan bahawa Kedayan itu adalah satu rumpun masyarakat dayak asal Borneo.  Ini kerana yang dimaksudkan “Jawa” pada masa itu adalah merujuk kepada wilayah Kalimantan yang menerima pengaruh Kerajaan Majapahit suatu waktu dahulu.  Dan menurut Hose lagi berkemungkinan besar masyarakat Kedayan adalah antara rakyat kepada Kerajaan Kutai kuno.

Ini diperkuatkan lagi dengan bahasa yang digunapakai oleh suku Dayak Kandayatyn yang bertebaran di Kalimantan Timur malah juga di Kabupaten Landak, Bengkayang, Sanggau, Sambas dan Kubu Raya di Kalimantan Barat.  Menurut beliau,  hampir 99% kosa kata bahasa kedayan adalah sama malah cuma bezanya agama mereka tidak Islam malah menganuti agama lain di Borneo seperti kaharingan dan kristian.

Kajian Hose (1912) dan Harold Stephen Morris seia sekata mengatakan bahawa suatu waktu dahulu masyarakat Kedayan bila berperang menjalankan kayau ke atas musuhnya.  Ini juga disebutkan di dalam Syair Awang Semaun yang mana antara bait-baitnya menyatakan pernah berlaku perang besar-besaran antara dua kerajaan kuno di Brunei iaitu Kerajaan Brunei dan Kerajaan Basiung iaitu satu jajahan milik Kerajaan Malano yang berpusat di Igan.

“Rakyat Simaun terlalu garang,
Beribu laksa (sepuluh ribu) dibuat geranjang,
Sekalian murut mana yang bujang,
Mengambil kepala memberi tunang,

 Seribu seorang kepala olehnya
Setengah membakar semua rumah
Ada yang merampas pasu lutunya
Lain merampas tajau buraknya”

Di dalam pada itu, syair Awang Semaun ini juga menyatakan bahawa Raja Awang Alak Betatar tidak mahu menerima penyembahan kepala musuh pada masa itu dan hanya mahu menerima harta-harta rampasan perang sahaja. Diperkira pada waktu itu, Raja Awang Alak Betatar sudahpun memeluk Islam hasil perkahwinannya dengan puteri dari Kerajaan Johor Lama.  Dan tidak dinafikan bahawa kekuatan Kerajaan Brunei suatu waktu dahulu disandarkan kepada kaum pribuminya seperti Murut, Bisaya dan Kedayan.

Penghijrahan Bangsa Kedayan Di Sabah

Oleh kerana dahulunya bahagian selatan negeri Sabah adalah sebahagian daripada pemerintahan Kerajaan Brunei maka diperkira penghijrahan masyarakat Kedayan dari Brunei ke Sabah bermula dari bahagian tersebut. Dek kerana itulah kawasan Sipitang seperti Kampung Malintaman (Merintaman), Kampung Ulu Sepitang, Mesapol, Kampung Banting dan Kampung Luagan sehingga ke hari ini merupakan penempatan Kedayan yang teramai sekali di Sabah.

Walaupun begitu masih ada lagi masyarakat Kedayan mendiami kawasan Beaufort seperti di Mempakul dan Limadan di Kuala Penyu, Kampung Lingkungan, Kampung Inuman dan Kampung Beaufort.  Tidak terkecuali di Papar iaitu di Kampung Kelanahan dan Kampung Kelatuan.

Namun begitu mengikut sumber lisan yang dibuat ke atas warga tua di Kampung Banting, Sipitang menyatakan bahawa bermulanya penghijrahan Kedayan ada di Sabah adalah dari Kampung Banting.  Ini disandarkan cerita nenek moyang yang diperturunkan secara lisan dari satu generasi ke generasi yang lain bagaimana sewaktu kegemilangan Kerajaan Kesultanan Brunei telah diarahkan untuk masyarakat Kedayan Brunei menghuni kawasan tersebut bagi dimajukan.

Orang Kedayan di Sabah tiada bezanya dengan Kedayan di Brunei yang mana mereka beragama Islam dan mempunyai persamaan bahasa mahupun adat dan tradisi serta warisan mereka.

Penghijrahan Bangsa Kedayan di Sarawak    

Di dalam konteks Sarawak pula tidak kurangnya masyarakat Kedayan menghuni negerinya.  Dan jika mengikut sejarah lamanya masyarakat Kedayan itu sudahpun ada di Sarawak semenjak wujudnya satu kerajaan kuno iaitu Kesultanan Sarawak Darulhana dibawah pemerintahan sultan pertama dan terakhirnya iaitu Sultan Ibrahim Ali Omar atau lebih dikenali sebagai Sultan Tengah.

Dikatakan kerajaan kuno ini berpusat di pesisir Sungai Sarawak yang wujud sekitar abad ke 17 masihi.  Di dalam sejarah Brunei menyatakan bagaimana di ketika pemerintahan Sultan Abdul Jalilul Akbar telah berlaku cubaan merebut kuasa yang mana menyaksikan adindanya iaitu Pengiran Muda Tengah juga ingin menjadi pemerintah Brunei.

Dek kerana itulah kebijaksaan baginda telah dititahkan Pengiran Muda Tengah untuk membuka satu kerajaan di wilayah Kesultanan Brunei iaitu dikenali sebagai Sarawak sekarang.  Namun suatu waktu dahulu ianya hanya sebesar Kuching atau lebih mengkhusus yang dinamakan Kampung Sungai Bedil pusat pemerintahannya sekarang. Bagi memperkuatkan pemergian putera Brunei ini, kekandanya telah mengarahkan lebih kurang 1,000 panglima dari kaum Sakai, Kedayan dan Pulau Bunut untuk baginda membina kerajaan tersebut.

Rajah Brooke yang memerintah Sarawak hampir 100 tahun turut mencatatkan bagaimana adanya masyarakat Kedayan yang telah berhijrah ke Kampung Rambongan, Lundu yang diketuai oleh dua bersaudara iaitu Samah dan Radat dari Bukit Sari, Lawas.  Lawas adalah antara daerah di utara Sarawak yang berjiran dengan negara Brunei dan sudah tentu Kedayan ramai menghuninya.

Kemudian seorang juragan terkenal dari masyarakat Kedayan yang juga nakhoda bagi bahtera Brooke yang bernama “Rajah Launch” bersama-sama dengan keluarga dan pengikutnya telah ditempatkan di satu perkampungan bernama Kampung Sungai Lumut di Santubong.  Projek penempatan itu dinamakan Projek Geragas dan Kampung Sungai Lumut itu masih wujud sehingga sekarang.

Tidak terhenti di situ sahaja kerana masyarakat Kedayan yang bertaburan ramai di Kuching iaitu ibunegerinya Sarawak sekarang juga ramai mendiami kawasan-kawasan sekitar Jalan Mendu, Kampung Pulo, Kampung Bintawa, Gedong di Simunjan serta banyak lagi lebih-lebih lagi di Limbang.

Untuk penghijrahan ke Miri atau secara lebih mengkhusus di Sibuti sebenarnya dimulakan oleh Penghulu Haji Abdul Ghafur bin Nayan.  Ianya berlaku sekitar 1800an yang mana pada ketika itu Sibuti adalah wilayah tulin bagi Kesultanan Brunei.  Di dalam mengupas penghijrahan masyarakat Kedayan di Sibuti ini terdapat dua versi penceritaan.

Versi satu mengatakan bahawa Penghulu Haji Abdul Ghafur bin Nayan telah mendatangi Sibuti untuk mencari kawasan subur bagi bercucuk tanam.  Setelah berkenan pada satu kawasan yang dinamakan Tanjung Bungai maka kedatangan keduanya dari Brunei membawa sekali benih tanaman bersama-sama pengikutnya.  Pendapat ini diperkukuhkan lagi dengan penemuan perkuburan kuno masyarakat Kedayan yang berusia hampir 200 tahun di Tanjung Bungai.

Versi kedua pula menyatakan bahawa Penghulu Haji Abdul Ghafur merupakan pembesar kepada Kesultanan Brunei.  Dek kerana Sibuti adalah wilayah sungai tulin maka sudah menjadi lumrah ianya akan dihantar pembesar bagi mengutip segala cukai di kawasan tersebut.

Masyarakat kedayan yang ada di Sarawak mengasimilasikan diri menjadi sebahagian pembentuk kepada Melayu Sarawak dan mereka beragama Islam.

Penghijrahan Bangsa Kedayan di Pulau Pinang

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa orang Kedayan itu sudah membelah lautan pengembaraan mereka iaitu sehingga ke satu pulau nun jauh di bumi Semenanjung Malaysia yang kita kenali sekarang.  Pada awal pembukaan Pulau Pinang dikatakan seorang anak Kedayan sudahpun mula berhijrah iaitu yang dikenali sebagai Haji Brunei atau Muhammad Salleh bin Raturati.

Setelah belayar dari Brunei, beliau yang turut dikhabar sebagai seorang pembesar Kerajaan Brunei telah menjadikan Bayan Lepas sebagai kediaman tetapnya. Beliau merupakan pelopor kepada pembukaan penempatan Kedayan di Permatang Damar Laut yang kemudiannya Kampung Masjid, Bayan Lepas.

Kedayan di Pulau Pinang sudah mengasimilasikan diri menjadi pembentuk kepada masyarakat Melayu Pulau Pinang lebih-lebih lagi Haji Brunei sendiri mengahwini masyarakat Melayu Hadrami malah seluruh keluarganya dan generasinya berbuat sedemikian.  Ini kerana keluarga Haji Brunei telah melahirkan ramai cerdik pandai ilmu agama Islam dan pemimpin masyarakat.

Antaranya adalah yang dikenali dengan nama Haji Muhammad Hashim bin Muhammad Salleh bin Jaafar bin Muhammad Salleh bin Raturati atau Haji Hashim Imam.  Beliau merupakan pemimpin masyarakat dan imam besar Masjid Sungai Pinang.  Bagi mengenang jasanya ke atas syiar Islam di Pulau Pinang sehingga sekarang masih lagi wujud satu jalan di George Town yang dinamakan Jalan Haji Hashim Imam.

Mungkin masyarakat Kedayan sudah tidak berbahasa kedayan lagi malah tradisinya juga sudah tidak dipraktikkan memandangkan mereka telah mengasimilasikan diri mereka sebagai pembentuk masyarakat Melayu Pulau Pinang sekarang.

Uniknya masyarakat Kedayan ini sememangnya sesuatu yang begitu menarik untuk kita ketahui.  Namun sayangnya masih terlalu kurang kajian mengenai mereka dari dahulu sehingga sekarang.  Semoga pencerahan ini boleh memberikan sedikit kefahaman mengenai satu kelompok masyarakat yang menjadi masyarakat di Brunei, Sabah, Sarawak malah juga bumi Semenanjung Malaysia atau lebih mengkhusus Pulau Pinang.

Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah

Kredit foto: Booyahh @ bibehdouma istagram

Rujukan:

  1. Buku: The Oya Melanau – Harold Stephen Morris (1991)
  2. Buku: Early History Of Penang by Universiti Sains Malaysia terbitan 2012
  3. Sepintas Lalu Mengenai Puak Kedayan
  4. http://subuk-saja.blogspot.my/2012/02/sepintas-lalu-mengenai-puak-kedayan.html
  5. Latarbelakang Sejarah Kaum Kedayan di Sabah http://simply-kedayan.weebly.com/editors-choice.html

Kedayan http://kedayanisme.blogspot.my/2013/11/kedayan-di-bahagian-lundu-dan-bahagian.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

2 Comments

  1. Assalamualaikum Haslina,
    Kan batanya aah kita..
    Aku ni sedang buat kajian tentang Kedayan…ada kita menyimpan bahan2 rujukan mengenai kedayan?
    terima kasih.

    • Kesimpulannya secara teori.

      A : Kaum Kedayan penduduk asal Brunei.

      Mungkin mereka Dusunic yang memeluk Islam seawal 1363 Masihi (pentarikhan yang diberi Encik Amdee Sidek penulis buku Mystic of Borneo – Kadayan).

      Sampai sekarang di Sabah kaum Dusun juga memggelar diri mereka Kadayan (non formal). Nama rasmi kaum Dusun di Brunei juga suatu ketika dulu Sang Kadayan sebelum ditukar kepada Sang Jati Dusun.

      Menurut Cox seorang Residen Kingdom of Sarawak yang berkhidmat di Bintulu (Sebelumnya di Trusan) menyatakan yang kaum Kedayan tiada bahasa khusus tetapi menggunakan bahasa ‘low Brunei patois’.

      Charles Hose menulis kaum Kedayan campuran Bisaya dan Jawa. Bisaya Brunei dan Limbang tidak sama dengan Bisaya Sabah. Bahasa mereka lebih mirip Dusun Brunei.

      Spencer St John pula (hasil temuramah dengan seorang tua Kedayan di Brunei akhir abad 19) menulis nenek moyang mereka ialah orang Murut yang en masse memeluk Islam bersama-sama Alak Betatar.

      Beliau turut menulis Kedayan dan Sakai (yang menemukan Brunei) satu keturunan asalnya. Sakai atau Pebalat sekarang dikategorikan sebagai Melayu Brunei.

      R Nicholl mengutip satu cerita lama kaum Kedayan yang menyatakan mereka kaum asal Brunei yang ditawan dan dikalahkan oleh orang Melayu dan diasimilasikan bahasanya kepada bahasa Brunei.

      Haddon dan Hose (atau Haddon sahaja) pada akhir abad 19 pernah menulis kaum Kedayan ada dua iaitu Muslim (persisiran) dan Pagan (pedalaman). Haddon pernah melihat upacara berubat ‘Main Hantu’ Kedayan pagan. Diiringi muzik Kulintangan dan gong. Ada patung kayu kecil diberi nama Anak Jelama (dalam bahasa Kedayan maksudnya Anak Manusia) dan rumah kecil disebut Maligai.

      Haddon atau Hose (maaf terlupa) menyatakan Kedayan Islam dan Pagan – one branch maksudnya satu rumpun.

      Tambahan :-

      Pakaian tradisi kaum Kedayan jika diteliti mirip pakaian orang Dusun. Serba hitam dan dihiasi butang-butang dan keronsang-keronsang Kubamban (loceng tembaga) yang sering digunakan dalam perhiasan kaum Dusun mahupun Bisaya. Melanau menggunakannya sebagai butang lengan baju. Hanya sekarang kaum Kedayan menambah warna merah.

      Perbezaan busana Brunei dan Kedayan (walaupun bahasa dan budaya amat mirip) jelas direkodkan seawal abad 16 dalam peristiwa Orang Kaya Kassim (bapa saudara tiri Sultan Tengah Sarawak?) menghadap Sultan Muhamad Hassan. Direkodkan dia menggunakan pakaian ‘orang asli’ dan ketika hendak masuk dia diteriak Anak Kedayan ingin menghadap. Beliau tersinggung dan menolak gelaran Chetria (Pangeran Anak).

      1841/42 Brooke atau Kapten Mundy menulis (peristiwa perang antara Brooke dan Kedayan yang pro Pangeran Bendahara Yusof) kaum Kedayan ini berpakaian serba merah (mungkin pakaian Panglima Raja, Damong atau Patih) tetapi yang menarik dastar-dastar merah mereka dihiasi bulu burung dan mereka menggunakan gelang tembaga yang besar-besar.

      Damong sekarang ini biasa diguna oleh persatuan Kedayan sebagai gelar tertinggi pemimpin mereka.

      Akhir kata kemungkinan besar kaum Kedayan berasal dari satu kaum purba di Brunei yang akhirnya memeluk Islam seawal 1363 dan berkahwin campur dengan pribumi lokal dan luar. Mengadaptasi bahasa Brunei sebagai lingua franca yang akhirnya jadi bahasa kaum mereka. Penyatuan kaum Bisaya, Murut (Lun Bawang), Dusun dengan pribumi luar – Jawa dan Palembang (catatan Cox) dll yang setia kepada Brunei menghasilkan suatu kaum yang baharu.

      Wallahu’alam.

Leave A Reply