Empayar Rom yang pernah berdiri menjadi kuasa besar dunia satu ketika dahulu sentiasa menghadapi ancaman-ancaman dari bangsa gasar yang bertebaran di serata benua Eropah ketika itu. Oleh itu, saya berpendapat bahawa ada baiknya kalau saya cerita sedikit perihal setiap bangsa-bangsa gasar tersebut yang menjadi musuh kepada kecemerlangan Empayar Rom ini. Mereka ialah bangsa-bangsa yang dicatatkan sentiasa memberi masalah kepada perkembangan empayar agung zaman purba eropah ini.

1. Gaul

Kalau anda merupakan peminat permainan Travian, nama Gaul pastinya bukan sesuatu yang agak asing di hawa telinga kita. Sebenarnya, puak Gaul memang wujud dalam sejarah dunia.

Untuk pengetahuan para pembaca yang saya kasihi, Gaul ini sebenarnya gelaran yang diberikan oleh orang Rom untuk puak-puak Celtic yang mendiami beberapa bahagian di utara Rom ketika itu seperti di utara Itali, Perancis, Belgium, Switzerland, Belanda, dan Jerman. Senang cerita, Gaul juga merujuk kepada kawasan Eropah Barat.

Orang Gaul yang mendiami kawasan sekitar Eropah Barat ini sebenarnya selalu bermusuh dengan Rom. Dalam sejarah, persengketaan antara dua bangsa ini tidak pernah tamat. Sebagai contoh, antara pertempuran yang diingati melibatkan antara puak Gaul serta tentera Rom ialah ketika zaman pemerintahan Julius Caesar, Maharaja Rom yang agung. Perang Gallic yakni nama perang tersebut masih diingati kerana 120 ribu orang tentera Rom berjaya menundukkan lebih kurang 300 ribu orang askar Puak Gaul.

Pertempuran Alesia juga pasti akan diingati kalau membicarakan tentang perang antara puak-puak Gaul melawan Rom di mana berkat strategi dan taktikal perang yang sangat menakjubkan, Rom berjaya menewaskan Gaul yang berada di bawah pemerintahan Vercingetorix yang pada ketika itu memimpin lebih kurang 180-300 ribu orang tentera gabungan-gabungan Puak Gaul.

2. Teuton

Teuton ialah salah satu daripada puak Jerman yang juga pernah dicatatkan memberikan ancaman kepada Rom. Masih tersemat dalam sejarah di mana ketika lewat abad kedua sebelum Masihi, di mana banyak puak Teutons mula berhijrah dari Selatan Scandinavia di bawah ketua mereka yang bernama Teutobod. Penghijrahan ini turut melibatkan satu lagi puak bernama Cimbri.

Ketika penghijrahan puak Teuton ini bersama ketua mereka, mereka secara tidak langsung bertembung dengan misi perluasan kuasa Republik Rom. Ini telah menimbulkan perang antara Rom dan puak Teuton ini.

Maka ketika berlakunya beberapa pertempuran awal antara Rom dan Teuton, terutamanya ketika dalam Pertempuran Noreia dan Arausio pada 105 SM,puak Teuton telah mencapai kemenangan besar ke atas Rom tidak lama sebelum Rom melawan balik dan menewaskan mereka ketika di Pertempuran Aque Sextiae.

Bercakap tentang tewasnya Teuton di tangan Rom, ada sebuah legenda dicatatkan tentang kaum wanita puak Teuton ini yang digelar sebagai Amukan Teuton. Ketika Teutobod menyerah kalah kepada Rom, terdapat 300 orang wanita Teuton diserahkan oleh Teutobod kepada Rom untuk dijadikan hamba.

Namun kaum wanita ini merayu daripada dijadikan sebagai hamba, maka diberi simpati ke atas mereka agar berkhidmat di kuil dewi Ceres dan Venus namun permintaan mereka ini ditolak oleh Rom. Apabila permintaan mereka ini ditolak, maka kaum wanita puak Teuton ini dicatatkan telah membunuh anak mereka masing-masing sebelum mereka saling membunuh diri dengan mencekik antara satu sama lain.

Mereka dijumpai mati keesokan hari sambil tangan masih berbekas di leher antara satu sama lain. Kaum wanita Teuton ini lebih rela mati daripada hidup sebagai budak hamba. Mereka memilih mati dalam kebebasan daripada hidup dijajah.

3. Goth

Kalau Gaul dan Teuton dicatatkan akhirnya tewas di tangan Rom, namun ada satu puak gasar yang dikenang sebagai antara punca utama kejatuhan Rom. Bangsa Goth ini mempunyai dua kerajaan. Visigoth di Sepanyol manakala Ostrogoth menduduki di utara Itali.

Ketika abad ke-5 Masihi, Bangsa Goth antara bangsa yang berjaya membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan Rom dan berjaya membina sebuah kerajaan merdeka di bawah pemerintahan Theodoric. Namun malangnya selepas kematian Theodoric, maka kerajaan ini tidak dapat bertahan lama apabila diceroboh oleh Empayar Byzantine.

Saudara jauh kepada Ostrogoth, yakni kerajaan Visigoth lebih berjaya daripada Ostrogth. Mereka datang dari rantau Balkan, melintasi Laut Hitam sebelum mendarat ke Sepanyol. Bangsa Goth yang datang dari Balkan ini dicatatkan memang sangat membenci Empayar Rom.

Merekalah antara punca utama kejatuhan Rom. Dicatatkan bahawa mereka telah berjaya mengalahkan Rom dalam beberapa siri pertempuran di bawah Althauf. Selepas berjaya menawan bandaraya Rom, Visigoth telah mara sehingga ke Gaul dan di sana, mereka membina kerajaan Tholouse. Kerajaan ini terletak di wilayah Perancis hari ini.

4. Huns

Mereka ialah puak gasar yang bukan pribumi kepada Eropah yang juga banyak mendatangkan masalah kepada Rom. Mereka datang dari Asia Tengah, membina empayar di bawah pimpinan Atilla The Huns. Mereka datang menyerang wilayah-wilayah Rom di Eropah Timur pada awal abad ke-5. Setiap wilayah yang diserang mereka, pasti akan menjadi binasa seperti serangan belalang kunyit dek kerana sikap bangsa ini sangat ganas dan tidak kenal apa itu erti peradaban dan ketamadunan.

Namun kemaraan bangsa Huns ini terbantut di tangan bangsa Visigoth di Pertempuran Chalons yang bergabung kekuatan dengan Rom yang ketika itu, dibawah pimpinan Flavius Aetius. Bangsa Huns juga cuba memasuki Itali namun Atilia yang merupakan raja bangsa Huns ketika itu membatalkan hasratnya selepas diperdayakan oleh Pope Leo The Great. Atilia akhirnya mati kerana diracun.

5. Vandals

Seperti nama Vandals yang bermaksud kerosakan dan perkataan Vandalism yang kita umum tahu berkaitan dengan kerosakan dan penjahanaman harta benda awam, begitu juga puak Vandals yang telah menyerang beberapa kawasan dalam Empayar Rom dan merosakkan kawasan dengan teruknya. Wilayah Gaul, Sepanyol, Afrika, dan Carthage antara wilayah yang menjadi mangsa kepada kekejaman Vandals. Mereka dicatatkan pernah juga berperang dengan Visigoth dan menguasasi sepanjang Afrika Utara dan Carthage. Namun selepas kemangkatan raja mereka yang bernama Gaiseric, kekuatan mereka mula merosot sebelum dikalahkan oleh Rom Byzantine yang berada dibawah pimpinan Jeneral Belsarius.

6. Anglo-Saxon

Mereka ialah nenek moyang kepada orang Inggeris hari ini. Mereka ialah salah satu daripada Puak Jerman (Germanic) yang dikatakan berhijrah daripada tanah besar benua Eropah ke Britain hari ini melalui laut. Ketika kejatuhan Empayar Rom dan Britain ditinggalkan dalam keadaan kacau bilau, merekalah yang memasuki wilayah itu dan mula menawannya dari orang asal pulau tersebut yang digelar bangsa Britton. Orang asal ini kemudiannya berasimilasi ke dalam bangsa Anglo Saxon sepertimana bangsa Pyu pada zaman dahulu di Myanmar yang berasmiliasi dengan bangsa Bamar (Burma) hingga menjadi pupus. Bahasa pertuturan kaum Anglo-Saxon kemudiannya berevolusi menjadi bangsa Inggeris hari ini dan Bahasa Inggeris hari ini pun berasal daripada bahasa purba Jerman yang pernah dituturkan oleh Puak Anglo-Saxon ini.

7. Franks

Bangsa gasar Franks ialah antara bangsa gasar yang berjaya menyatukan wilayah Jerman semula selepas kejatuhan Empayar Rom secara beransur-ansur. Mereka mewujudkan sebuah empayar yang meliputi kawasan Eropah Barat. Pemerintah bangsa Frank yang berjaya melakukan semua ini tidak lain dan tidak bukan ialah Raja Clovis yang berjaya mengalahkan Alamanni yang merupakan gabenor Rom terakhir untuk wilayah Jerman dan juga mengalahkan puak Visigoth Aquitaine. Lagipun Clovis yang ketika itu beragama Kristian Katolik memang dialu-alukan oleh bishop ketika itu sebab perbezaan mazhab Kristian di mana Visigoth mengganut mazhab Arian. Clovis kemudiannya membina pusat pentadbirannya di sebuah pulau kecil di Sungai Seine, di mana pada hari ini Gereja Besar Notre Dame berdiri megah di atas tapak pusat pentadbiran Clovis tersebut di tengah tengah bandaraya Paris kini. Adalah dikatakan nama negara Perancis (France) adalah bersusur galur daripada perkataan “Francia” dalam bahasa Latin yang membawa maksud tanah orang Franks.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply