Bangsa Mesir Purba menggunakan sebuah tongkang untuk mengangkut barangan ke hulu dan hilir Sungai Nil.
Tongkang ini digambarkan Herodotus sebagai kapal berkayu akasia dengan layar papirus tetapi hanya satu kemudi (Geggel, 2019).
Dan Herodotus melihat kapal-kapal ini menyusuri perairan di sekitar sebuah bandar yang sebelum ini dianggap lagenda. Lidah Mesir Purba menggelar bandar ini Thonis.
Manakala bangsa Yunani menyebutnya dengan nama Heracleion. Kedua-dua nama mempunyai satu persamaan jelas: dewa Khonsu.
Dalam bahasa Yunani Kuno pula, dewa ini bernama Herakles (diterjemah sebagai Hercules dalam bahasa Rom).
Persamaan ini mengikatkan dua budaya besar di laut tersebut. Thonis-Heracleion menjadi destinasi utama untuk sektor perdagangan dan pelancongan.
Raja Menelaus pernah mengunjungi bandar ini dengan Ratu Helen. Terkemudian, Helen kembali ke Thonis-Heracleion untuk bersembunyi selepas melarikan diri dengan Putera Paris dari Troy (Shenker, 2016).
Pengkaji arkeologi dan sejarah aktif mencari Thonis-Heracleion yang tanpa henti disebut lagenda dua budaya ini.
Zaman kegemilangan Thonis-Heracleion hanya berlaku antara 600 hingga 400 S.M.
Pada ambang kejatuhan sistem kefiraunan, Thonis-Heracleion pun mula hilang pengaruh.
Tambah pula kota Alexandria sudah menjadi pelabuhan utama bagi rantau Mesir. Kenaikan aras laut dan pencecairan tanah kemudian menenggelamkan kota Thonis-Heracleion buat selamanya.
Hari ini kota ini masih wujud… cuma di dasar laut, yang menyembunyikan banyak khazanah Mesir Purba. Di sinilah pakar arkeologi menemui kapal akasia yang disebut Herodotus.
Tugu batu yang dibina bagi memperingati dewa Hapy dilitupi lumut dan moluska – dulu mengawasi dari darat, kini dilupakan dalam air. Pakar-pakar arkeologi menemui sisa-sisa sebuah kuil.
Di sini terdapat banyak tembikar yang mengandungi barang kemas, duit syiling, minyak lampu antaranya.
Ia tidak melihat kebangkitan dan kejatuhan Empayar Rom. Berita kemµsnahan Konstantinopel pada April 1204 tidak menyinggah pelabuhan ini dengan cerita bagaimana wanita termasuk rahib diro.gol anggota ten.tera.
Semua kisah dalam selok-belok geopolitik global hingga hari ini tidak diketahui Thonis-Heracleion, terpelihara dalam kesunyian laut dengan bunyi hiruk-pikuk ikan tidak mungkin didengari may.at.
Penemuan semula Thonis-Heracleion boleh memisahkan antara fakta dan lagenda. Sains sekarang ini boleh mengalir dengan licin, mengenal pasti persuratan sejarah di sebalik mitos tersirat.
Pakar arkeologi dasar laut bernama Franck Goddio telah menjejaki Thonis-Heracleion yang diberikan pelbagai gambaran oleh Herodotus dan kemudian Strabo.
Kota ini terletak di Teluk Aboukir, dibayar kerajaan Mesir ketika itu dibawah kepimpinan Hosni Mubarak.
Secara berperingkat, mereka menemui kota-kota tenggelam yang lain seperti Canopus misalnya. Thonis-Heracleion hanya ditemui pada tahun 2000, dibawah lapisan pasir daripada Sungai Nil.
Mereka menyelam bersebelahan dengan tugu Cleopatra II atau Cleopatra III yang berpakaian seperti dewi Isis.
Disinilah para kelasi menyerahkan hadiah kepada dewa-dewi supaya perjalanan diberkati.
Dan di sini juga terdapat kuil penting yang perlu dikunjungi firaun sebaik sahaja menaiki takhta. Tanpa upacara di kuil ini, seorang firaun takkan menerima pengiktirafan sebagai penguasa agung.
Dulu para ham.ba menyapu habuk daripada lantai kuil. Pasukan Goddio pula membersihkan lapisan pasir dan lumpur di kuil yang sama.
Kuil Amun-Gerb ini terletak di kawasan 64 buah kapal yang sudah lama karam.
Batu bersurat daripada Firaun Nectanebo I (378-362 S.M.) masih mengandungi perkataan yang jelas untuk dibaca.
Sebagai sebuah kota perdagangan, Thonis-Heracleion mempunyai kelebihan dari segi budaya. Saintis mungkin tidak perlu bergerak terlalu jauh di sekitar Mesir Purba untuk belajar sesuatu yang baharu.
Kerana barangkali Thonis-Heracleion sudah mengumpulkan segalanya. Malah saintis bidang cuaca juga boleh mempelajari tentang perubahan iklim untuk memahami impak perubahan iklim pada zaman ini.
Sebab itulah Thonis-Heracleion menjadi kiblat sains.
RUJUKAN:
Geggel, L. (2019, Mac 19). 2,500 Years Ago, Herodotus Described a Weird Ship. Now Archaeologists Have Found It. Live Science.
Shenker, J. (2016, Ogos 15). Lost cities #6: how Thonis-Heracleion resurfaced after 1,000 years under water. The Guardian.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih