Kucing dan manusia telah berhubung bermula dari 7,500 SM dan tamadun Mesir Kuno ialah tamadun yang pertama menjinakkan haiwan pemburu kecil ini. Hubungan ini mewujudkan budaya baru yang berkaitan dengan kucing seperti kelahiran dewa Bastet yang mampu menjelma sebagai kucing dan disembah oleh komuniti Mesir Kuno.

Hubungan kucing dengan Eropah semasa Fasa Pertengahan agak ekstrim kerana kucing hitam dianggap sebagai jelmaan ahli sihir. Namun begitu, hubungan kucing dengan komuniti yang menetap Asia Jauh unik berbanding tamadun lain, iaitu kewujudan sebagai makhluk ghaib atau yokai. Ini yang saya bakal bincangkan dalam artikel ini.

BAKENEKO DAN NEKOMATA

Bakeneko ialah ‘Kucing Raksasa’ atau ‘Kucing Hantu’ seiring dengan maksud nama ini. Bakeneko adalah yokai yang berasal dari kucing domestik. Yokai ini biasanya berubah bentuk apabila mencapai usia tua. Prosesnya bermula dari berjalan menggunakan kedua-dua belah belakang kaki dan membesar sehingga sama saiz dengan manusia. Bakeneko juga mampu bertutur dengan bahasa yang manusia fahami.

Ilustrasi Bakeneko menari dan menutup kepala dengan lap kain.

Apabila Bakeneko mencapai fasa berubah bentuk, mereka bergembira dengan menari dan menutup muka dengan lap kain. Bentuk yang biasa Bakeneko menjelma ialah tuan yang menjaganya dan manusia lain. Bakeneko juga mempunyai kuasa mistik seperti mampu membentuk bola api, jadikan ekornya sebagai obor, mengawal mayat, dan menyumpah atau membunuh tuannya jika perlu.

Nekomata pula berbeza dengan Bakeneko walaupun berasal dari kucing domestik dan mampu berdiri seperti manusia. Nekomata ialah yokai tertua dan lebih besar dengan ekor lebih panjang dari Bakeneko. Dikatakan mereka berdua mempunyai ekor yang sama yang mampu memberi masalah kepada manusia.

Ilustrasi Nekomata menyeksa manusia dan memulakan kebakaran. (1847)

Nekomata juga lebih mahir bertutur bahasa manusia berbanding Bakeneko dan perbuatannya mengkucar-kacirkan kehidupan manusia lebih agresif. Ertinya Nekomata lebih jahat dari Bakeneko. Nekomata dikatakan puas apabila menimbulkan kekacauan dan betanggungjawab terhadap kebakaran, memeras ugut, dan menghambakan manusia.

Tempat tinggal Nekomata ialah di kawasan pergunungan dan selalu menjelma dalam bentuk kucing liar yang besar dan tinggal dalam kolompok kecil mereka. Jika manusia bertembung dengan Nekomata, berkemungkinan besar dia dibunuh kerana menceroboh habitat yokai ini.

ASAL-USUL KUCING JEPUN NAKAL

Sesetengah cendekiawan berpendapat bahawa mitos kucing ini lahir dari perbuatan kucing terhadap lampu minyak. Lampu minyak Jepun diisi dengan minyak ikan sebagai sumber api, kemudian kucing tertarik akan bau minyak itu dan mula mencapai dengan kedua-dua belah kaki belakangnya. Keadaan kucing ini dengan matanya bersinar pada waktu malam mengejutkan tuan kucing dan tidak lama kemudian kisah ini tersebar dalam bentuk mitos.

Ilustrasi Bakeneko memakan lauk ikan dan pelanggan yang terbangun dan melihat kelakuan Bakeneko. (1775)

Kucing tiba di Jepun pada tahun 538, kemudian tersebar pada zaman pemerintahan maharaja Ichigo iaitu sekitar tahun 986-1011. Jadi, mitos Bakeneko dan Nekomata boleh dikatakan baru dan tidak berapa terkenal pada waktu itu sehinggalah rakyat Jepun sendiri bertembung dengan kucing.

Walaupun rakyat Jepun percaya mitos itu, namun kebanyakan mereka bersetuju bahawa mustahil kucing yang gemuk dan tua ini mampu menjelmakan diri. Tetapi mereka mengamalkan budaya memendekkan ekor kucing sebagai langkah berjaga-jaga. Maka, lahir generasi kucing berekor pendek (bobtail) di Jepun. Kucing juga tidak boleh dibunuh kerana rakyat percaya roh kucing akan menghantui keluarga yang membunuhnya selama 7 generasi.

KISAH PELACURAN BAKENEKO

Kisah ini adalah antara kisah lagenda yang popular dalam kalangan rakyat Jepun pada fasa Edo. Banyak versi dalam kisah ini tetapi konsepnya hampir sama. Pelanggan yang tidur itu terbangun dan melihat pelacur yang dia langgan memakan tulang ikan dan lauk hidupan laut lain. Kepalanya pula berupa kucing atau mempunyai bayang-bayang kucing. Versi lain juga menceritakan pelacur itu sengaja menjadikan bayang-bayangnya berbentuk kucing sebelum mendekati lelaki di tepi jalan.

Pelanggan yang melihat pelacur berubah menjadi Bakeneko ketakutan dan kemudian melarikan diri. Jika tidak bernasib baik, Bakeneko mendapatkan lelaki itu kemudian membunuhnya.

Misteri pelacur Bakeneko ini kemudian menjadi bualan mulut masyarakat pada akhir tahun 1700-an. Kepercayaan pelacur Bakeneko lahir akibat dari tebiat pelacur memakan makanan di depan pelanggan yang tidur akibat mabuk. Jika pelacur berbuat demikian, pelanggan yang bangun dari tidur akan melihat bayangan pelacur bermuka kucing. Maka, tebiat ini menjadi larangan bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku.

Dari mitos pelacur Bakeneko ini, karakter wanita kucing menjadi popular dalam industri animasi Jepun seperti manga, anime, dan video games.

KISAH-KISAH BAKENEKO YANG BAIK

Walaupun Bakeneko dilihat sebagai yokai yang menakutkan, namun terdapat cerita-cerita pendek melibatkan Bakeneko membantu manusia. Biasanya kisah ini mempunyai watak utama yang baik dengan kucing dan satu lagi watak yang bersifat dominan dan kejam.

Terdapat juga kisah di mana kucing menjadi Bakeneko dan bertemu dengan seseorang yang telah banyak membantunya untuk membalas budi. Si polan yang membantu kucing itu biasanya mencari perlindungan seperti rumah di gunung atau pulau, kemudian mereka berdua hidup bersama-sama.

Apabila Bakaneko bertemu dengan tuan lamanya, dia akan memberi amaran supaya tuannya lari dari kawasan ‘kucing berkumpul’ yang tuannya tidak sengaja masuk, kemudian membantunya melarikan diri dari kawasan yang bakal meragut nyawa.

Jika Bakeneko terlihat seseorang menyeksa kucing di hadapannya, penyeksa itu akan dibunuh Bakeneko untuk membalas dendam terhadap golongannya. Kisah ini menunjukkan bahawa kita perlu menjaga kucing sebaiknya.

KUCING DAN BUDAYA JEPUN

Patung Maneki Neko di Hokkaido, Jepun.

Kini, kucing tidak lagi dibenci oleh warga Jepun walaupun mitos Bakeneko masih hidup. Haiwan comel ini membawa peranan penting dalam membentuk budaya Jepun pada abad moden ini. Contohnya ialah patung Maneki Neko, patung kucing yang melambai kaki depannya sebagai tanda menjemput tetamu. Biasanya patung ini ditemui di depan pintu kedai sebagai simbol nasib baik dan kebahagiaan. Penggunaan patung ini meleluasa sejak fasa Edo lagi.

Satu lagi simbol kucing yang menjadi fenomena ialah karakter Hello Kitty yang direka untuk melariskan jualan hadiah Jepun. Karakter ini menjadi kesukaan remaja wanita serta menjadi simbol kecomelan Jepun.

Biara kucing di Pulau Tashirojima.

Jepun juga mempunyai ‘Pulau Kucing’ yang banyak. Salah satunya ialah Pulau Tashirojima yang berada di timur kota Sendai. Terdapat biara kucing (Neko-jinja) untuk kucing-kucing yang bertebaran di pulau tersebut.

Pulau Aoshima di kawasan Shikoku juga mempunyai lambakan kucing sehingga pulau itu dinamakan dengan nama ‘syurga kucing’. Pulau Aoshima hanya mempunyai penduduk seramai 15 orang dan 100 ekor kucing. Kucing-kucing ini menjadi penarik kepada para pelancong untuk melawati pulau tersebut.

Lambakan kucing berkeliaran di Pulau Aoshima.

Tuntasnya, kucing telah banyak membentuk budaya Jepun dari fasa Edo sehingga era moden, bermula dari yokai bernama Bakeneko sehingga ke karakter wanita kucing kesukaan para otaku anime.

RUJUKAN:

McDermott, A. (11 August 2021). Beware of the Cat: Tales of the Wicked Japanese Bakeneko and Nekomata – Part 1 & 2. Ancient Origins.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.