Bayt al-Hikmah ditubuhkan oleh Khalifah Harun ar-Rashid (memerintah 786-809M) di Baghdad sekitar kurun ke-8 Masehi, iaitu pada Era Kegemilangan Islam. Pusat keilmuan ini terus mengalami masa-masa perdananya di bawah pemerintahan al-Ma’mun yang kadangkala dikreditkan sebagai pengasas sebenar Bayt al-Hikmah.

Percanggahan tentang siapa sebenarnya yang menubuhkan Bayt al-Hikmah ini mungkin dapat dileraikan dengan mengimbau kembali peristiwa-peristiwa seputar institusi keilmuan ulung itu mengikut kronologi.

Khalifah Harun al-Rashid dicatatkan banyak mengumpulkan manuskrip dan barangan lama milik ayahanda dan datuknya. Kian lama, koleksi berkenaan kian bertimbun sehingga puteranya, al-Ma’mun memutuskan untuk membina sebuah bangunan tambahan yang bercantum dengan bangunan asal yang menyimpan segala koleksi nadir itu, sekaligus ia secara tidak langsung berubah menjadi sebuah akademi yang kemudiannya dikenali sebagai Bayt al-Hikmah.

Kedua-dua Harun al-Rashid dan al-Ma’mun sememangnya mempunyai minat yang mendalam terhadap karya-karya saintifik, justeru tidak hairan jika mereka menterjemahkan minat tersebut ke dalam bentuk penubuhan Bayt al-Hikmah. Tahun demi tahun, institusi ini berkembang menjadi salah sebuah pusat keilmuan terulung pada zaman pertengahan dan ia banyak menyumbang kepada perkembangan saintifik yang telah dimulakan sejak kurun-kurun sebelumnya.

Pada mulanya, Bayt al-Hikmah ditubuhkan untuk menaungi para penterjemah dan memelihara karya-karya mereka. Namun kemudian, institusi ini menceburi aktiviti-aktiviti penyelidikan secara serius khususnya dalam lapangan perubatan, sains, dan astronomi. Perpustakaan Bayt al-Hikmah mempunyai susunan yang sangat rapi dan dilengkapi dengan ruangan-ruangan khusus untuk pustakawan, tukang jilid, tukang salin, dan pencerap astronomi.


Al-Ma’mun bertukar-tukar perutusan dengan Theophilos, maharaja Byzantine

BAGHDAD SEBAGAI PUSAT KEILMUAN

Jika dibandingkan dengan wilayah-wilayah lain di sekelilingnya, Baghdad boleh dianggap sebagai pusat penyebaran ilmu yang signifikan terutama dalam bidang kesenian, sains, dan falsafah. Tidak hanya mengungguli lapangan keilmuan, Baghdad turut menikmati kekayaan material. Tambahan pula, agama Islam sendiri amat menggalakkan amalan wakaf dan sedekah sekaligus ia banyak menyumbang kepada pembangunan sosial dan infrastruktur ibu kota Abbasiyah itu, khususnya Bayt al-Hikmah.

Kemakmuran dan kekayaan Baghdad membolehkan al-Ma’mun membelanjakan perbendaharaan negara untuk menghasilkan karya-karya keilmuan yang baru dan juga membawa masuk manuskrip dari tamadun-tamadun luar. Menukil Subhi al-Azzawi, “Selepas mendengar khabar tentang kemegahan Perpustakaan Sicily, al-Ma’mun segera mengutus surat kepada Raja Sicily dan memintanya untuk menyerahkan seluruh koleksi perpustakaannya (yang kaya dengan karya-karya sains dan falsafah Yunani).

Atas nasihat paderi-paderinya yang menganggap segala manuskrip tersebut tidak membawa kemanfaatan buat mereka, Raja Sicily pun memberikan segala koleksi Perpustakaan Sicily untuk dimuatkan ke dalam Bayt al-Hikmah.”

Bayt al-Hikmah juga menerima khidmat dari pakar-pakar pelbagai bidang dan merangkumi bermacam-macam profesion seperti penterjemah, jurutulis (penyalin manuskrip), penulis, dan penyelidik. Banyak manuskrip falsafah dan saintifik diterjemahkan oleh institusi berkenaan. Pintu Bayt al-Hikmah dibuka luas kepada cendekia dari segenap pelosok dunia tanpa mengira bangsa, agama mahupun jantina.

Ilmuwan-ilmuan Rom dari Empayar Byzantine yang kehilangan pekerjaan merupakan antara golongan yang dialu-alukan untuk menyertai Bayt al-Hikmah. Sebagai sebuah institusi keilmuan, Bayt al-Hikmah menyaksikan penuturan pelbagai bahasa seperti Arab, Parsi, Aram, Ibrani, Suryani, Yunani, dan Latin. Di sini jugalah berlaku banyak perkembangan budaya dan idea.

Salinan terjemahan Materia Medica ke dalam bahasa Arab (kurun ke-13)


NAUNGAN KHALIFAH BUAT PARA CENDEKIA DI BAYT AL-HIKMAH

Menukil Isabella Bengoechea, “Khalifah al-Ma’mun sendiri seorang yang mahir dalam cabang-cabang ilmu yang diajarkan di Bayt al-Hikmah, antaranya seperti bidang perubatan, falsafah dan astrologi. Beliau seringkali berdampingan dengan golongan ilmuwan dan mendengar sendiri perbincangan serta penyelidikan mereka.

Pada masa itu, bidang astrologi menjadi antara bidang utama yang diceburi oleh cendekia Arab. Menurut mereka, kebanyakan peristiwa yang terjadi di muka bumi mempunyai hubung-kait dengan peredaran jasad-jasad samawi seperti bintang dan planet, justeru bidang astrologi dicermati dengan penuh teliti.”

Ahli-ahli falsafah Yunani seperti Plato dan Aristotle sangat dihormati dalam kalangan dunia Islam zaman pertengahan

Al-Ma’mun juga sering memberi tugasan kepada cendekia-cendekia terpilih untuk melakukan kerja-kerja penterjemahan khusus. Misalnya, Abu Yousuf Ya’qoub al-Kindi yang mempunyai masyhur sebagai seorang ahli perubatan, ahli falsafah, ahli matematik, ahli geografi, ahli logika dan ahli astronomi dipertanggungjawabkan oleh khalifah untuk menterjemahkan karya-karya Aristotle.

Demi menggalakkan penghasilan karya, baik karya asli mahupun karya terjemahan, dalam kepustakawanan Bayt al-Hikmah, al-Ma’mun mengganjari setiap karya tersebut dengan bayaran emas setimpal dengan berat buku tersebut. Tanpa dapat dinafikan, banyak keilmuan silam mungkin akan hilang dimamah zaman andai bukan kerana kerja-kerja penterjemahan secara berterusan yang dijalankan oleh institusi Bayt al-Hikmah.

KEHANCURAN PUSAT KEILMUAN ISLAM

Walau bagaimanapun, takdir malang datang tanpa berbau. Riwayat Bayt al-Hikmah berakhir secara tragis di tangan Monggol yang meruntuhkannya pada tahun 1258 Masehi. Mereka dengan kejam memangsakan pegawai-pegawai istana dan hampir seluruh ahli keluarga Khalifah. Khalifah sendiri dibiarkan hidup untuk menyaksikan segala kemusnahan yang dilakukan ke atas kota Baghdad dan kesemua warganya.

Bijak-bijak pandai dibantai dan karya-karya mereka dibuang ke Sungai Tigris, sehingga warna sungai itu berubah menjadi hitam dan merah dek banyaknya dakwat dan darah yang ditumpahkan dalam peristiwa hitam yang menimpa umat Islam itu.

Pengepungan Baghdad oleh Hulagu Khan (1258)

TERJEMAHAN:

Marina Sohma. (1 Januari 2017). The House of Wisdom: One of the Greatest Libraries in History. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/house-wisdom-one-greatest-libraries-history-007292


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.