Berbanding dahulu, bidang arkeologi masa kini lebih dilengkapi teknologi moden. Ini sekali gus menggiatkan lagi penemuan baru, termasuklah penemuan mumia. Hinggakan di Mesir Purba sahaja, bilangan mumia haiwan dianggarkan mencecah 70 juta. Itu baru mumia haiwan, belum lagi mumia manusia.
Kewujudan mumia pula diketahui bukan setakat ada di Mesir Purba. Tetapi juga di Mesoamerika, China, dan bahkan suku asli Toraja di Indonesia pun ada mumia tersendiri. Siap hidup bersama-sama lagi.
Rata-rata mumia memiliki signifikasi dan keanehan tersendiri. Misalnya ada mumia yang dilabel sebagai ‘mumia paling tua’, ‘mumia berjanin’, dan ‘mumia berlidah emas’. Dalam artikel ini, mumia yang ingin diceritakan adalah milik seorang sami. Usianya sekitar 1,000 tahun dan ia berasal dari bumi China.
Penemuan ini ikutkan berlaku secara tidak sengaja pada tahun 2014. Masa itu, sepasukan penyelidik dari Meander Medical Center, Amersfoort (di Belanda) menerima sebuah patung Buddha milikan peribadi untuk dibaiki (nama pemiliknya tidak didedahkan).
Ia dibeli sekitar waktu China sedang mengharungi Revolusi Budaya. Masa itu, memang banyak artifak dimusnahkan oleh rejim Mao Zedong. Ada yang dibawa lari dan ada juga yang dijual-beli. Patung Buddha ini adalah salah satu yang dijual-beli. Tetapi tidak pasti secara sah atau tidak, sebab ada ura-ura kata ia ‘khazanah China yang dicuri’.
Apapun ketika dihantar ke MMC, patung itu baru saja dipinjamkan ke Muzium Drents sebagai bahan pameran. Sehabis tempoh pameran, pemilik meminta muzium agar membaiki patungnya sebelum dipulangkan.
Jadi, Vincent van Vilsteren sebagai kurator muzium pun menghantarnya ke MMC. Di MMC, imbasan CT (computerized tomography) dibuat sebagai penelitian awal. Hasil imbasan lantas menemui sesuatu yang mengejutkan; betapa, patung Buddha ini ternyata ‘berisi’. Iya, di dalamnya ada mumia.
Apa yang menggamit, mumia ini bukan saja berpostur sama seperti patung – yakni bersimpuh dalam posisi teratai. Tetapi rupa bentuk kedua-duanya mirip benar. Seakan-akan, mumia tadi diseduhi emas lalu mengeras sampai jadi patung.
Kalau betul prosesnya begitu (barangkali saja), memang menarik habis. Sebab selama ini, paling-paling pun mumia akan dibalut dengan kain barulah dimasukkan ke dalam keranda patung emas yang memang direka khas (disebut sarkofagus) seperti dibuat pada mumia firaun. Bukan disaduh terus macam mumia sami ini.
Apapun, mumia ini adalah kes pertama yang dijumpai dalam patung Buddha. Identitinya juga bukan biasa-biasa. Menerusi gulungan kertas yang ditemui dalam tubuhnya, pasukan penyelidik atas bantuan pakar agama Buddha dari Muzium Dunia Rotterdam mengenal pasti mumia itu sebagai Sami Liuquan.
Kalau imbau sejarah, Liuquan memang masyhur sekitar kurun ke-10. Beliau terkenal kuat mengembara ke India bagi mendalami ajaran Buddha dan mendakwahkannya kepada ramai. Salah satu medan utama Liuquan adalah Kerajaan Khitan (di Asia Tengah). Di sana, beliau diiktiraf sebagai ketua agama – baik dalam kalangan warga istana mahupun rakyat jelata.
Pengiktirafan tersebut kemudian bertukar menjadi pemujaan. Ini lantaran Liuquan berhasil memumiakan diri sendiri menerusi amalan sokushinbutsu. Amalan ini sememangnya dilazimi oleh ramai sami Buddha di serata Asia – baik di Jepun, China, Korea, Laos, mahupun Kemboja.
Ia bertujuan mencapai moksha dan bersatu menjadi Buddha. Kaedahnya adalah dengan berpuasa selama beberapa tahun sampai badan bukan setakat mengurus, tetapi kering tanpa air dan lemak. Kemudian, sejumlah herba, akar kayu, damar pokok diambil sebagai pengawet.
Selepas semua persiapan ini selesai, si sami akan dikebumi hidup-hidup dalam posisi teratai sambil bernafas hanya melalui tiub buluh yang disalurkan dari luar. Setiap hari, si sami akan membunyikan loceng sebagai petanda dirinya masih hidup.
Namun sebaik loceng tidak lagi berbunyi, makam akan ditutup rapat selama tiga tahun. Habis tiga tahun, penggalian semula dibuat untuk melihat sama ada proses mumifikasi tadi berhasil atau tidak. Andai berjaya, mumia si sami akan dibawa ke kuil lalu dipuja. Andai tidak, upacara ‘doa selamat’ akan dibuat lalu si sami tadi akan dikebumikan semula seperti biasa.
Sepanjang sejarah, tidak ramai sebenarnya yang mencapai kondisi mumifikasi yang diingini. Liuquan merupakan antara yang bertuah. Sebab itu, mumianya dipuja sehabis mulia. Sampaikan, ia disemadi dalam patung emas lalu dipamerkan di serata dunia – bermula dari Muzium Drents di Netherland, kemudian Muzium Sejarah Alam Hungary, hinggalah ke muzium di Luxembourg.
RUJUKAN
Ghose, Tia. (2015, 24 February). Mummy Found Hiding Inside Ancient Buddha Statue. Live Science.
Klein, Christopher. (2018, 30 August). CT Scan Reveals Mummified Monk Inside Ancient Buddha Statue. History.
Ng, Naomi. (2015, 3 March). Scan reveals 1,000-years-old mummified monk hidden in statue. CNN.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih