Rasulullah s.a.w. pernah memberi amaran: “Tidak selayaknya seorang mukmin dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Apakah Perang yang paling membinasakan selepas Perang Dunia Kedua dan Perang Dunia Pertama dalam sejarah umat manusia? Jawapannya ialah Perang Iran-Iraq 1980-1988 di Teluk. Hampir 30 tahun kemudian, skrip yang hampir sama kini berulang, dengan watak yang sedikit berbeza.

Lawatan Presiden Amerika Donald Trump ke Arab Saudi bersempena Sidang Kemuncak Riyadh 2017 telah membuka kemungkinan sebuah lagi krisis besar di Rantau Teluk itu. Apa yang telah beliau lakukan? Trump telah menyokong usaha mewujudkan pakatan ketenteraan negara-negara Arab di mana Arab Saudi, Mesir, UAE, dan Jordan dikatakan bakal membentuk ‘NATO Arab’. Mengapa NATO Arab ini diwujudkan? Jawapanya ialah sistem pakatan baharu ini bertujuan untuk mengkoordinasi usaha ‘melawan keganasan dan memerangi pengaruh Iran di rantau Asia Barat’. Bagaimana ia mampu membawa kepada ledakan krisis berskala besar persis Perang Iran-Iraq hampir 30 tahun lalu?

Perhatikan lima aspek utama berikut: Pertama, NATO Arab ini meningkatkan kelancaran buat tentera Amerika untuk beroperasi di rantau berkenaan. Kedua, pemerkasaan angkatan tentera laut Arab Saudi hasil bantuan Amerika adalah bertujuan untuk membendung kekuatan angkatan laut Iran di Teluk Parsi. Hal ini berkait dengan pengalaman lalu apabila Tentera Laut Iran berupaya memusnahkan tentera laut Iraq dalam Operasi Morvarid. Ketiga dari aspek teknologi perisikan dan pertukaran maklumat antara negara-negara Teluk menerusi penubuhan Pusat Pencegahan Ekstremisme Global di Arab Saudi. Keempat ialah pemerkasaan sistem pertahanan udara Arab Saudi menerusi THAAD sepertimana yang diberikan Amerika kepada Korea Selatan. Kelima pula ialah merapatkan kelancaran operasi ketenteraan bersama Arab Saudi dengan para sekutu NATO Arabnya sepertimana latihan ketenteraan ‘North Thunder’ yang menyaksikan penyertaan sekitar 20 buah negara Islam, termasuklah ketiga-tiga negara Arab yang bakal membentuk NATO Arab iaitu Mesir, UAE, dan Jordan.

Hakikatnya skrip terkini ini mengulangi sejarah perit permulaan peperangan yang membinasakan. Lebih 30 tahun lalu Revolusi Iran juga pernah menghadirkan dilema keselamatan dalam kalangan negara-negara Arab. Maka apabila Iraq ketika itu dipimpin Saddam Hussein mengambil langkah menyerang Iran, ia telah memperoleh sokongan negara-negara Arab dan juga Amerika. Ibarat habis madu sepah dibuang, Saddam pula kemudiannya telah dua kali diserang oleh Amerika pada 1991 dan 2003. Namun faktor Iran bukan satu-satunya penyumbang kepada kebimbangan berulangnya skrip bencana ini, sebaliknya ditambah dengan dua faktor lain iaitu personaliti Menteri Pertahanan Arab Saudi iaitu Putera Mohammed bin Salman (digelar MBS di Amerika) dan juga faktor kepentingan para kontraktor ketenteraan Amerika (dikenali sebagai ‘military-industrial complex’ MIC).

Putera Mohammed bin Salman pernah mengejutkan dunia apabila menyatakan bahawa “peperangan harus dimulakan di bumi Iran”. Kenyataan beliau telah mengundang jawapan balas yang keras daripada Menteri Pertahanan Iran, Hossein Dehghan yang memberi amaran bahawa hanya Mekah dan Madinah sahaja yang akan terselamat jika Arab Saudi bertindak memulakan peperangan ke atas Iran. Sosok Putera Mohammed Bin Salman ini diketahui cukup agresif dalam menghubungkan Amerika dengan Saudi dalam membangunkan profil beliau selaku Timbalan Putera Mahkota Saudi yang bakal mewarisi takhta kelak.

Tidak hairanlah, nasib Arab Saudi berkemungkinan ‘lebih baik’ berbanding nasib rejim Saddam di Iraq dahulu. Hal ini demikian kerana kebanyakan kontrak pembangunan industri ketenteraan Arab Saudi kini adalah dikurniakan kepada kontraktor Amerika, selain kesetiaan berterusan Saudi dengan mata wang Dollar. Kurniaan kontrak-kontrak ketenteraan sebegini seterusnya bakal memenuhi manifesto Trump bagi mewujudkan faedah besar kepada pihak berkepentingan Amerika, sekali gus mengurangkan beban pembiayaan ketenteraan Amerika di Asia Barat. Maka kedua-dua Putera Mohammed Bin Salman dan Donald Trump bakal meraih keuntungan politik di negara masing-masing menerusi kerjasama sebegini. Namun pembentukan NATO Arab ini tetap menyumbang kepada ketidakstabilan rantau berkenaan di mana risikonya terletak pada ‘doktrin keselamatan kolektif’. Maka jika salah satu negara berkenaan mendakwa bahawa ia diserang Iran, maka keseluruhan negara NATO Arab lain perlu mengerahkan serangan ketenteraan ke atas Iran.

Berdasarkan sejarah kebinasaan Perang Iran-Iraq dahulu, ditambah dengan realiti perang tidak berkesudahan di Syria, Iraq, dan Yaman, serta dalam keadaan Palestin yang masih terjajah, wajarkah keutamaan diberi kepada persediaan memerangi Iran pada hari ini?

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

1 Comment

Leave A Reply