Tidak lama lagi, penyakit demam campak (chickenpox) bakal menyertai senarai penyakit yang dah pupus akibat kemunculan vaksin. Tetapi bagaimana ia boleh terjadi?
Vaksin demam campak hanya dibangunkan pada akhir abad ke-20. Tetapi sebelum ia dihasilkan, ia merupakan penyakit yang biasa dialami oleh kanak-kanak atau individu yang tidak pernah mengalaminya semasa usia kanak-kanak. Di Amerika Syarikat sahaja, empat juta orang dijangkiti setiap tahun, 100,000 daripadanya dimasukkan ke hospital dengan 100 orang lagi kembali ke negeri cacing.
Tetapi apabila vaksin demam campak berjaya dihasilkan, angka jangkitan, kes kemasukan ke hospital dan kematian berjaya dikurangkan dalam jumlah yang banyak. Berdasarkan angka terkini yang dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), 350,000 orang dijangkiti setiap tahun dengan 1,700 kes kemasukan ke hospital dan 20 kes kematian dilaporkan.
Demam campak dikatakan sudah wujud sejak era antikuiti lagi tetapi ia hanya dikenali dengan nama sedemikian pada akhir abad ke-17. Ramai pengkaji sejarah percaya penyakit ini dibawa ke benua Amerika oleh penjelajah dan peneroka Eropah pada abad ke-15. Ia kemudiannya tersebar dalam kalangan populasi orang asli Amerika yang tidak pernah terdedah kepada penyakit berkenaan.
Pada ketika itu, apa saja penyakit yang mengakibatkan kulit meletup dikelaskan sebagai cacar. Tetapi semua itu berubah pada 1767 apabila seorang pakar perubatan Inggeris bernama William Heberden mendapati wujud perbezaan antara cacar dengan demam campak. Tambahnya lagi, orang yang pernah dijangkiti demam campak tidak akan mengalami penyakit itu lagi.
Antara akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, doktor pediatrik Hungary James von Bokay mencadangkan penyakit demam campak ada kaitan dengan kayap. Ini berdasarkan pemerhatiannya terhadap beberapa kes di mana beberapa pesakitnya dijangkiti demam campak selepas terdedah kepada seseorang yang mengalami kayap. Teori ini disahkan oleh para saintis di mana virus varicella-zoster akan terus kekal dalam badan dan mencetuskan kayap bertahun-tahun kemudian.
Menjelang tahun 50-an, saintis berjaya mengasingkan varicella-zoster sekaligus membuka jalan kepada penghasilan vaksin kayap dan demam campak. Bagaimanapun, ia masih mengambil masa beberapa dekad sebelum ia diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah AS (FDA). Kelulusan vaksin demam campak diraih pada 1996 dengan vaksin kayap berjaya diraih pada 2006.
Usah pandang enteng vaksin demam campak. Menurut CDC, pesakit yang dijangkiti boleh menjadi ejen penyebar kepada 90% individu yang tidak pernah mengalaminya atau belum menerima vaksin. Selain itu, tempoh penularan demam campak boleh berlarutan selama beberapa hari. Kebiasaannya, pesakit terpaksa berehat antara empat hingga tujuh hari sebelum kembali pulih.
Ketiadaan vaksin membolehkan demam campak mudah berjangkit dalam isi rumah dan bilik darjah serta lebih merbahaya kepada orang dewasa yang belum pernah mengalaminya. Antara simptom biasa yang dihadapi pesakit kanak-kanak dan dewasa ialah demam, sakit badan dan keletihan. Tetapi dalam sesetengah kes pesakit dewasa, ia boleh menjadi lebih teruk dengan 25% pesakit kategori ini berpotensi mati akibat demam campak berbanding kanak-kanak.
Walaupun vaksin membantu memperlahankan pertumbuhan kes, masih wujud kes demam campak dilaporkan di sesetengah tempat di AS. Keadaan ini berlaku akibat sikap kepala batu sesetengah ibu bapa yang enggan memberi vaksin kepada anak-anak mereka. Keadaan ini sama seperti demam campak yang berjaya dikekang sebelum ini pada abad ke-20 tetapi kembali mencetuskan kebimbangan di sekolah-sekolah pada abad ke-21.
Bagaimanapun, dengan pengambilan vaksin demam campak di seluruh dunia, ia kini menyertai polio dan demam campak sebagai calon penyakit yang akan dihapuskan. Satu-satunya penyakit yang berjaya dihapuskan di peringkat global ialah cacar. Tetapi komuniti perubatan dan kesihatan berharap mereka dapat menambah lebih banyak penyakit yang tersenarai dalam kategori berkenaan.
Jadi, bagi yang masih berkira-kira hendak mengambil vaksin terutama vaksin Covid-19, ambillah demi orang tersayang. Vaksin bukan sekadar melindungi anda tetapi juga orang di sekeliling.
RUJUKAN:
Little, Becky. (2021). How a Vaccine Slowed the Spread of Chickenpox. History.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih