Institusi perkahwinan merupakan suatu institusi yang telah wujud selama mana manusia itu wujud. Didasari tradisi, budaya, norma masyarakat dan agama, suatu ikatan perkahwinan itu diabsahkan. Sudah tentu, perkahwinan yang menyatukan dua jiwa itu melangkaui keinginan badaniah dan bukan pula tujuannya hanyalah semata-mata untuk melempiaskan hawa nafsu tetapi sebaliknya, ikatan suci ini meletakkan seribu satu tanggungjawab dan amanah yang disaksikan atas nama Tuhan Yang Maha Esa, ke atas bahu pengantin lelaki dan perempuan.

Objektif perkahwinan antara lainnya adalah untuk memenuhi tuntutan fitrah, melahirkan zuriat, menjaga pandangan, akhlak dan kehormatan diri supaya bertambah ketakwaan kepada Allah SWT. Dari segi bahasa, perkahwinan atau nikah boleh diertikan sebagai percampuran, himpunan, percantuman, persetubuhan dan senggama (Roziah Chek, 2010). Secara istilah pula, takrif nikah ialah perjanjian atau akad (Ijab dan Qabul) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan dengan perkataan yang terkandung lafaz nikah.

Pensyariatan nikah dalam Islam dapat ditemukan dalam beberapa ayat Al-Quran. Sebagai contoh dalam Surah An-Nisa, ayat ketiga yang bermaksud, “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja…”.

Selain itu, pensyariatan ini turut juga ditemukan dalam Surah Ar-Rum ayat 21 yang membawa maksud, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan…”.

Perkahwinan bukanlah sekadar hubungan yang menyentuh perasaan kasih sayang dan belas ihsan manusiawi, tetapi juga merupakan ibadah yang mampu mendekatkan diri dengan Allah SWT dan diberikan ganjaran pahala jika dilaksanakan selaras peraturan yang ditetapkan Islam. Bagi mereka yang berkahwinan seperti yang dianjurkan Islam, maka pegangan agamanya semakin kukuh dan lengkap.

Perkara ini dapat dilihat menurut Riwayat al-Baihaqi (5486) dan al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat (7647), yang mana baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.”

Memetik ayat ketiga Surah An-Nisa yang disebut sebelum ini, kita dapat memerhatikan bagaimana Hukum Syarak membenarkan perkahwinan poligami, ataupun lebih tepat lagi, poligini yakni suatu keadaan seorang lelaki itu mempunyai lebih daripada seorang isteri. Dalam poligami ada poligini dan poliandri. Berlawanan dengan poligini, poliandri bermaksud seorang perempuan mempunyai lebih daripada seorang suami. Dalam konteks Surah An-Nisa ini, istilah yang tepat ialah poligini.

Merujuk kepada ayat tersebut, seseorang lelaki itu cuma boleh mempunyai maksimum empat orang isteri, pada satu-satu masa dan adalah dilarang dan berdosa jika melebihi had itu. Hal yang demikian pernah berlaku misalnya apabila seorang pemuda dari Thaqif yang mempunyai 10 orang isteri ketika dia memeluk Islam dan Nabi Muhammad SAW pun menyuruhnya untuk kekalkan 4 isteri sahaja dan ceraikan yang selebihnya (Kitab Al-Muwatta’ Imam Malik). Untuk meneladani dengan lebih lanjut berkenaan ayat ketiga Surah An-Nisa ini, adalah penting untuk melihat kepada Asbabun Nuzul atau sebab-sebab turunnya ayat Al-Quran bagi ayat ini.

Dikatakan bahawa ayat ini turun dan didedahkan selepas tamatnya Perte.mpuran Uhud yang memperlihatkan sebegitu ramai anak-anak kecil yang menjadi yatim piatu dan ramai juga isteri yang menjadi balu. Maka dengan itu, diturunkan ayat ini sebagai alasan keharusan berpoligini, bukanlah suatu kewajipan atau kemestian. Malah Rasulullah junjungan umat Islam juga berpoligini untuk mempergiat dakwah Islamiah dan untuk melindungi beberapa orang perempuan yang telah dijandakan angkara pe.rang.

Hal ini kerana apabila seseorang perempuan itu kematian suaminya dalam pe.rang, dia akan mengalami kehidupan yang melarat yang sangat susah dan ada yang sebatang kara, sebagai seorang yang dikira berada dalam golongan rentan yang sentiasa diancam kaum kafirun. Tanpa seorang lelaki yang memberikan nafkah kepadanya, yang dapat memimpin dan menjaga kebajikannya, amatlah sulit kehidupan balu seperti itu.

Walaupun begitu, poligami (poligini) merupakan suatu tanggungjawab yang teramat besar dalam agama, yang sebenarnya jauh lebih besar bebanannya daripada beristeri satu. Dalam ayat ketiga Surah An-Nisa, Allah SWT turut memberikan peringatan keras terhadap golongan laki-laki supaya tidak berkahwin lebih daripada satu, sekiranya timbul perasaan bahawa diri itu tidak mampu untuk berlaku adil kepada isteri yang sedia ada. Peringatan ini sekali gus menunjukkan betapa pentingnya bersikap adil itu, dalam mana seseorang itu berhasrat untuk berpoligini. Oleh itu, apa yang boleh kita fahamkan dari istilah “adil” ini?

Adakah setakat meliputi tanggungan makan minum, nafkah, pakaian dan tempat tinggal? Tidak kerana adil ini juga mestilah dari segi kasih sayang dan perasaan, tidak bias dan cenderung hanya kepada satu-satu isteri. Ayat 129 Surah An-Nisa yang bermaksud, “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ayat ini memberikan gambaran bahawa seorang lelaki itu hampir mustahil untuk berlaku seimbang dan sama rata dari segi perasaannya kepada kesemua isterinya. Ayat ini juga bolehlah juga dianggap sebagai peringatan kepada mereka yang ingin berpoligami, yang meletakkan syarat yang sangat ketat, bagi menapis dan membezakan, yang mana pemimpin sebenar dan yang mana buaya darat. Jadi bagaimana prosedur untuk berpoligini di Malaysia? Apa yang perlu dilakukan? Sekali pandang, prosedurnya memang panjang dan rumit. Prosedur yang akan dinyatakan ini hanyalah yang tertera di “atas kertas”, realitinya mungkin sedikit berlainan.

Untuk tujuan penyeragaman dan memudahkan pemahaman semua, penulis cuma akan mengguna pakai peruntukan dalam Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 atau UUKIWP. Memandangkan bidangkuasa berkaitan agama Islam diletakkan bawah kuasa negeri-negeri, maka undang-undang keluarga Islamnya berbeza-beza mengikut negeri. Namun, perbezaannya tidaklah ketara di antara satu negeri ke satu negeri yang lain. Undang-undang keluarga Islam ini terpakai secara total ke atas semua Muslim mengikut negeri masing-masing.

Seksyen 23(1) UUKIWP memperuntukkan bahawa seseorang lelaki yang sedang dalam suatu perkahwinan tidak boleh, membuat kontrak perkahwinan yang lain dengan perempuan lain, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah Syariah. Maknanya tidak boleh berpoligami tanpa kebenaran bertulis daripada mahkamah. Poligami tanpa kebenaran mahkamah boleh disabitkan suatu kesalahan dan didenda tidak lebih RM1000 atau dipenjarakan tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya, menurut Seksyen 123 UUKIWP. Sekiranya perkahwinan poligami itu dilakukan juga tanpa kebenaran, tetapi dapat dibuktikan kepada mahkamah bahawa perkahwinan tersebut ada sah di sisi Hukum Syarak, maka mahkamah boleh memerintahkan perkahwinan itu didaftarkan secara normal tetapi tertakluk kepada Seksyen 123 yang disebut ini.

Kemudian, Seksyen 23(3) UUKIWP mengarahkan supaya pemohon poligami itu hendaklah mengemukakan permohonan untuk kebenaran kepada mahkamah, mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah diertakan dengan:

1) Akuan (Ikrar) menyatakan mengapa perkahwinan (poligini) yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu,

2) Pendapatan pemohon pada masa itu,

3) Butiran komitmennya, kewajipan dan tanggungan kewangan termasuklah bilangan orang tanggungan (berserta orang yang akan menjadi tanggungannya berikutan perkahwinan yang dicadangkan itu) dan

4) Sama ada keizinan atau pandangan isteri/isteri-isteri yang sedia ada telah diperolehi.

Seksyen 23(4) menjelaskan bahawa selepas mahkamah menerima permohonan untuk kebenaran itu, suatu sesi pendengaran berekod akan diadakan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan (seperti isteri/isteri-isteri sedia ada, wali bakal isteri, bakal isteri dan sebagainya) untuk mendapatkan informasi lebih lanjut. Dalam sesi ini, pihak mahkamah akan menanyakan pandangan isteri/isteri-isteri sedia ada sama ada mereka bersetuju atau tidak dengan perkahwinan poligami yang dicadangkan itu. Mahkamah hanya akan memberikan kebenaran jika semua syarat yang berikut ini dipenuhi, yakni:

  1. a) Perkahwinan itu patut dan perlu (dengan mengambil kira faktor-faktor seperti kemandulan, keuzuran jasmani, gila di pihak isteri dan sebagainya);
  2. b) Pemohon mempunyai kemampuan untuk menanggung, semua isteri dan orang tanggungannya, termasuklah bakal tanggungan;
  3. c) Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri; dan
  4. d) Perkahwinan yang dicadangkan tidak menyebabkan darar syarie kepada isteri/isteri-isteri sedia ada. (Darar Syarie didefinisikan menurut Seksyen 2 UUKIWP sebagai bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, akhlak atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak).

Jadi apakah reaksi Mahkamah Syariah dalam mendepani kes-kes berkaitan poligami? Dalam Aishah Binti Rauf lwn Wan Mohd Yusof bin Wan Othman [1990], suami memohon perkahwinan poligami kepada mahkamah kerana dikhuatiri dirinya boleh terlibat dengan zina jika tidak dibenarkan berkahwin lebih. Mahkamah pada mulanya membenarkan permohonan itu kerana pemohon mempunyai kemampuan untuk menanggung lebih daripada seorang isteri. Tetapi rayuan berikut oleh isterinya telah dibenarkan oleh Lembaga Rayuan, sekali gus menolak permohonan si pemohon. Lembaga berpendapat bahawa keempat-empat syarat di bawah Seksyen 23(4) UUKIWP mestilah dipenuhi dan setiap daripada peruntukan-peruntukan tersebut mempunyai nilai kepentingan yang sama.

Hakim perbicaraan bagaimanapun hanya mempertimbangkan perenggan (b) dan meninggalkan tiga syarat yang lain. Hakim perbicaraan juga gagal menentukan sama ada perkahwinan yang dicadangkan itu adil dan perlu kerana suami gagal memberikan sebarang bukti sokongan. Tidak cukup bukti juga untuk membayangkan bahawa suami boleh memberikan layanan yang sama rata kepada semua isteri dan tidak menyebabkan darar syarie kepada isteri sedia ada. Selain itu, Lembaga Rayuan juga menegaskan bahawa empat syarat itu juga tidak bertentangan dengan al-Quran, ayat 3 Surah An-Nisa kerana syarat-syarat itu diwujudkan untuk memastikan berlakunya keadilan antara isteri.

Daripada keputusan ini, kita dapat melihat bagaimana konsep keadilan yang perlu dipenuhi untuk perkahwinan poligami yang sah dan sempurna di negara ini, secara langsungnya bergantung kepada pemenuhan kesemua 4 syarat di bawah Seksyen 23(4) UUKIWP kerana kesemua syarat tersebut adalah prasyarat paling penting dalam mengabsahkan suatu perkahwinan poligini, untuk mengelakkan ketidakadilan terhadap wanita. Walaupun syarat-syaratnya mungkin sedikit ketat, namun ini menunjukkan kepada bagaimana Islam meletakkan tanggungjawab besar terhadap pemohon poligami supaya pemohon itu mestilah terdiri daripada golongan yang sangat menjaga amanah dan berkemampuan dalam segala aspek berkaitan.

Jika tidak mampu, boleh saja berkahwin dengan seorang isteri. Berdasarkan prinsip dalam Re Amirudin bin Abd Rashid [2008], mahkamah menambah satu lagi syarat, lalu menjadikan 5 syarat yang perlu dipenuhi secara keseluruhan iaitu poligini yang dicadangkan tidak akan mengurangkan taraf hidup yang telah dinikmati oleh isteri/isteri sedia ada dan tanggungan, secara langsung atau tidak. Ini menunjukkan betapa konsep keadilan yang mesti dipenuhi dalam berpoligini turut berkembang ke dalam aspek taraf hidup. Hal ini kerana penurunan taraf hanya akan menyusahkan isteri/isteri-isteri sedia ada serta tanggungan dan mereka terpaksa mengorbankan keselesaan mereka hanya kerana si suami ingin berkahwin lain. Yang demikian ini berisiko untuk menyebabkan perbalahan dan ketidakharmonian dalam perkahwinan.

Sama seperti dalam kes Rajamah bt Mohamed lwn Abdul Wahab bin Long dan Re Ruzaini Bin Hassan (2002), Mahkamah Syariah mengambil pendekatan yang konsisten dalam menolak permohonan si pemohon sekiranya si pemohon gagal membuktikan bahawa dia memang benar-benar mempunyai kemampuan untuk menanggung lebih daripada seorang isteri.

Seperti dalam kes Re Ruzaini, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan gaji kasar dan gaji selepas dipotong komitmen bulanan. Walaupun dalam kes Re Ruzaini ini, isteri pertamanya bersetuju dengan perkahwinan poligini tersebut namun, ini tidak bermakna Mahkamah Syariah akan meluluskan permohonan si suami. Hal ini menunjukkan kepada kita bagaimana konsep keadilan yang disyaratkan dalam Surah An-Nisa itu dilayan dengan sangat teliti dan terangkum oleh mahkamah agar keputusan kes tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

Keadilan boleh dianggap tidak boleh tercapai sekiranya seperti dalam kes Zamri bin Idrus lwn Zaiti Akhtar bt Omar [2017], apabila perkahwinan poligini yang dicadangkan itu bukan sahaja boleh mendatangkan kemudaratan mental kepada isteri sedia ada tetapi juga kepada anak-anak dan pihak ketiga yang berkaitan. Dan dalam mencapai keadilan ini, ‘patut (just)’ sahaja tidak mencukupi perkahwinan poligami yang dicadangkan itu juga mestilah ‘perlu’ atau necessary seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 23(4), perenggan a).

Dapat kita perhatikan dalam Ainisram bin Ramli lwn Norliah bt Misnan (2017), si isteri didakwa tidak dapat memenuhi keperluan fizikal si pemohon. Mahkamah menolak permohonan itu kerana pemohon gagal memberikan alasan munasabah serta bukti yang mencukup dan gagal memenuhi syarat “patut dan perlu”. Komitmen si pemohon juga melebihi pendapatan bersih. Jikalau mahkamah mendapati kesemua syarat dipenuhi, dan ada justfikasi yang munasabah yang membolehkan poligini, maka mahkamah akan membenarkan permohonan tersebut.

Sebagai contoh, dalam kes Sharif bin Jamaludin v Kuning bt Kassim (2002), isteri pertama tidak bersetuju untuk hidup bermadu dan mengugut untuk meminta cerai sekiranya si suami terus berdegil untuk memohon poligini. Si suami tidak mahu menceraikan isterinya itu kerana masih sayang terhadapnya. Si suami dikatakan mempunyai pendapatan bulanan sekitar RM2000. Bukti dan keterangan yang dibawakan ke hadapan hakim Syarie mendapati bahawa si isteri telah sakit selama lebih kurang 17 tahun. Sepanjang tempoh itu, dia dan suami tidak mempunyai hubungan intim. Maka, Mahkamah Syariah memutuskan untuk membenarkan permohonan si suami dan memerintahkannya untuk membayar RM1500 sebagai nafkah bulanan kepada isteri dan anak-anak.

Kesimpulannya, poligami itu bukanlah suatu mainan dalam Islam. Konsep adil amat dititikberatkan Hukum Syarak dan Mahkamah Syariah dalam mengabsahkan sesuatu perkahwinan poligini itu. Namun, tidak kurang pentingnya juga adalah faktor-faktor lain seperti keperluan dan kepatutan berpoligini, layanan sama rata kepada seua pasangan, kemampuan untuk menanggung terutamanya dari segi kewangan, tiada ruang untuk menyebabkan darar syarie atau kemudaratan kepada isteri sedia ada serta poligini itu tidak menurunkan taraf kehidupan.

Jika dapat dipenuhi semua syarat ini, barulah poligami itu dibenarkan dalam konteks tempatan, tidak lain tidak bukan tujuannya adalah untuk mengelak daripada membuat kezaliman, sedangkan kezaliman itu tidak perlu pun untuk berlaku.

RUJUKAN

Al Kafi li al-Fatawi. (2019). AL-KAFI #1064: TANGGUNGJAWAB SEBUAH PERKAHWINAN. Retrieved from https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3049-al-kafi-1064-tanggungjawab-sebuah-perkahwinan

Roziah Chek. (2010). Konsep Perkahwinan dalam Islam dan Kristian: Kajian Perbandingan. Retrieved from http://studentsrepo.um.edu.my/5182/

Warkum Sumitro, Moh. Anas Kholish, & In’amul Mushoffa. (2014). Konfigurasi Fiqih Poligini Kontemporer: Kritik Terhadap Paham Ortodoksi Perkawinan Poligini di Indonesia. Universitas Brawijaya Press.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Fariz Fujiwara merupakan seorang Feudalis Nasionalis Konservatif yang menggemari perihal tawarikh, bahasa dan politik. Penulisannya acap kali tertumpu kepada sejarah Jepun khususnya zaman keagungan feudalisme. Hobinya seperti menonton anime, menelaah manga, manhua serta novel fantasi wuxia China banyak mempengaruhi hasil tulisannya. Kini merupakan mahasiswa UiTM yang sedang menyambung pelajaran dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Comments are closed.