Selepas sebulan berpuasa, umat Islam di seluruh dunia menyambut kedatangan Aidilfitri. Mungkin dalam masa dua tahun ini, sambutan hari raya tidak meriah. Memang benar, COVID-19 telah membenamkan semangat hari raya.

Namun rezeki ukhwah selama ini tidak boleh dilupakan. Aidilfitri melambangkan suatu kemenangan. Mana mungkin kemenangan disambut dengan suram. Agama Islam tidak membenarkan sesiapa berpuasa pada hari pertama (Rafiudin, 2019).

Itu sudah cukup menjadi bukti yang ia mesti meriah (dengan cara tersendiri).

Rusia menyambut Aidilfitri dengan keunikan budaya. Islam merupakan agama persekutuan di Rusia. Sehingga tahun 2018, negara ini dikurniakan 25 juta umat Islam yang banyak menetap di Moscow, Kaukasia dan Rusia Tengah.

Sebahagian daripada jumlah ini pula adalah golongan imigran yang bukan warganegara. Dan semestinya semua menyambut Aidilfitri… meskipun ada yang tidak berpuasa langsung (akan dijelaskan kenapa).

Kalau di Rusia, Hari Raya Aidilfitri dipanggil Uraza Bayram yang diiktiraf sebagai cuti rasmi dalam 19 republik (TASS, 2019). Kalau di Moscow atau Saint Petersburg misalnya, sudah menjadi kebiasaan yang umat Islam akan mengambil cuti pada hari pertama dan kedua.

Pihak syarikat dan sekolah mengambil cakna tentang Aidilfitri, kerana Vladimir Putin sendiri akan membuat ucapan sebagai lafaz tahniah:

Berakhirnya bulan Ramadan yang suci. Sambutan berbuka puasa (hari ini) membawa makna kerohanian yang istimewa. Penyucian moral dan penyempurnaan diri memberi (umat Islam) kebahagiaan kerana pengalaman yang tidak ternilai. Berzaman-zaman, (hari ini) bukan sahaja perlu disambut dengan amal ibadat, tetapi juga dengan mengambil perhatian tentang semua orang yang memerlukan pertolongan.” – Putin, 2020.

Makanan Aidilfitri Rusia

Jumlah 25 juta umat Islam tidak memberi gambaran meluas tentang amalan Aidilfitri di Rusia. Ia hanya sebuah angka tanpa makna. Rusia mempunyai kepelbagaian bangsa, meskipun satu agama.

Islam misalnya dianuti etnik Adyghe, Balkar, Bashkir, Chechnya, Cherkess, Dagestani, Ingush, Karachay, Karbadin dan Tatar… tidak lupa juga Crimea. Pengaruh Rusia daripada zaman imperialisme dan komunisme turut membawa budaya luar (dulu satu negara), iaitu Karakalpak, Kazakh, Kyrgyz, Tajik, Uzbek dan sebagainya.

Terlalu banyak etnik mewarnai satu identiti kebangsaan, iaitu Rusia. Malah etnik Rusia sendiri ramai saja beragama Islam.

Semua etnik ini beriman pada kewajiban halal dalam bab makanan. Maka menjelang saja Aidilfitri, macam-macam makanan akan dihidangkan di atas meja mereka. Kambing akan diborong habis. Siapa yang lambat memang meloponglah.

Sebelum Ramadan lagi, mereka akan menyimpan duit sebagai persediaan kenaikan harga. Pengusaha ternakan pun akan berhempas-pulas untuk memastikan semua permintaan dibekalkan. Cuma tidak pasti jika ada kes kambing hidup disumbat dalam kereta Volga, macam kes lembu demikian hari.

Meanwhile in Soviet Russia

Kalau di Tatarstan, umat Islam akan membuat lempeng khas sebelum bersolat Aidilfitri. Sejadah setia menutup badan mereka, kerana pihak masjid takkan mungkin ada sejadah yang cukup.

Selepas menunaikan Solat Sunat Aidilfitri, umat Islam akan mengunjungi ahli keluarga yang lebih tua. Tetapi ramai yang sudah balik kampung.

Jadi mereka akan meluangkan masa dengan jiran tetangga terlebih dahulu, kalau tidak keluar kawasan untuk menziarahi keluarga jauh. Waktu inilah budak-budak paling suka.

Ramai dalam kalangan anak kecil akan pergi rumah ke rumah… tetapi bukan untuk kutip duit raya.

Sebaliknya, mereka mengIslamkan budaya Krismas. Anak-anak Kristian akan menyanyikan lagu Krismas di depan pintu. Anak-anak Islam pula akan membaca surah-surah pendek. Tuan rumah perlu memberi mereka gula-gula atau apa-apa manisan (jangan buat macam Mr Bean).

Kredit: Catherine Vinokurova

Kalau di Dagestan, Aidilfitri dan Aidiladha selalunya akan ada telur yang dicat macam-macam warna. Ini mungkin daripada budaya Easter. Tetapi bak kata umat Islam sana, “tetapi Tuhan macam biasa satu dan tunggal.”

Sama macam Malaysia, umat Islam Rusia akan mengenakan pakaian baru. Wanita biasanya akan pakai warna cerah dan bersulam dengan manik seolah-olah berkahwin semula (Russia Islamic World, 2019).

Apa yang jelas di sini ialah ukhwah. Inilah kekayaan sebenar dalam Aidilfitri Rusia. Cuba bayangkan kalau satu lorong rumah didiami 10 etnik berbeza. Dan setiap keluarga berkongsi juadah antara satu sama lain.

Orang yang terlepas puasa (ada yang sengaja) pun takkan mungkin dapat ganti pada bulan Syawal kalau pertukaran juadah dibuat secara berterusan. Bercakap pasal tidak berpuasa, semua kena tahu yang waktu solat Rusia kadang sangat eks.trim.

Kalau di Moscow, azan Subuh berkumandang pada pukul 2:23 pagi, menandakan waktu puasa bermula sampailah 8:26 malam (waktu Maghrib).

Mereka akan ganti ketika musim salji, kerana subuh pukul 6:40 pagi. Maghrib pula 4:02 petang. Bagi umat Islam Malaysia, ini mungkin pelik… tetapi sudah biasa di sana. Entahnya orang Malaysia pun ikut cara ini kalau duduk sana.

RUJUKAN

Rafiudin, M.Y. (2019, Jun 9). Aidilfitri syukuri kemenangan, erat silaturahim. Berita Harian.

Russia Islamic World. (2019, Jun 5). Eid al-Fitr in Russia: how it was celebrated.

TASS. (2019, Jun 4). Russian Muslims celebrate Eid al-Fitr marking the end of Ramadan.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.