Pak Harto, Suharto atau nama sebenarnya Soeharto, suatu susuk pemimpin berdarah Jawa yang tidak asing dalam sejarah Indonesia. Jika kita merasa tempoh pentadbiran Tun Mahathir sudah lama iaitu 23 tahun, Pak Harto pula memerintah Indonesia selama 31 tahun. Beliau adalah presiden kedua setelah ‘menggulingkan’ bapa kemerdekaan Indonesia, Bung Karno.

Beliau sangat benci kepada komunis dan atas alasan itu beliau yang merupakan komander tentera menggulingkan Bung Karno kerana merasakan Bung Karno agak mesra kepada Parti Komunis Indonesia (PKI) atas sebab sokongan politik.

Beliau juga sangat cintakan bahasa Indonesia. Ketika dijemput ke Whitehouse, Amerika Syarikat. Beliau hanya mahu bercakap bahasa Indonesia, tidak mahu bercakap Inggeris. Ucapannya ditayang dan didengar di Whitehouse dalam bahasa Indonesia lalu diterjemahkan ke bahasa Inggeris.

Dasar Asimilasi Cina – Indonesia

Setiap pemimpin ada dasar dan kebijakan tersendiri. Suharto adalah bapa order baru kepada Indonesia. Perubahan total dibuat secara ketenteraan, paksaan dan kuasa sebagai presiden. Segala order lama tinggalan Bung Karno digantikan. Perkara pertama yang difokuskan belau adalah soal kewujudan etnik Cina-Tionghoa di seluruh Indonesia melalui Dasar Asas Penyelesaian Masalah Cina.

Beliau bertanggungjawab kepada asimilasi total bangsa cina di Indonesia. Suharto tidak mahu ada saki baki bahasa, budaya atau apa upacara berkait cina. Sentimen cina itu komunis kuat dimainkan, dan jika etnik cina mahu jadi orang Indonesia, segala unsur ‘kecinaan’ mesti dibuang.

Pak Harto meluluskan pelbagai peraturan untuk menuju ke arah itu. Pertama, menutup semua sekolah yang berbahasa Tionghoa, melarang menggunakan aksara Tionghoa di tempat umum, seperti nama perniagaan, buku, majalah, atau surat khabar. Selain itu, Pak Suharto hanya membenarkan satu penerbitan berbahasa Cina (Harian Indonesia), itu pun dikawal oleh tentera.

Bukan itu sahaja, semua ungkapan kebudayaan dan agama Cina (termasuk watak-watak Cina) dilarang dari ruang awam. Tidak sempat lega, orang-orang Tionghua diperintah menggantikan nama asal Cina kepada nama menyerupai pribumi Indonesia.

Menurut Pak Harto, penggantian nama merupakan tindakan simbolik untuk menyatakan bahwa orang Tionghua Indonesia setia kepada pemerintah Indonesia. Orang keturunan Tionghoa juga diwajibkan mempunyai surat bukti kewarganegaaan Indonesia (SBKRI).

Tidak semua orang Tionghoa mematuhi dan melaksanakan penggantian nama, namun ada juga yang dapat menerima dan melaksanakan peraturan pemerintah dengan mengganti nama Tionghoa menjadi Indonesia pada nama mereka dan nama perniagaan.

Mereka akhirnya memlih mengganti nama walaupun keberatan pada mulanya. Selain faktor keamanan, asimilasi nama ini memudahkan hidup anak-cucu mereka di masa mendatang. Di dalam buku Tionghoa Dalam Cengkeraman SBKRI (2008) karangan Wahyu Effendi dkk., diceritakan bagaimana Roni, seorang warga Tionghoa, kesulitan mengurus surat pernikahannya karena ibunya pernah mempunyai nama Cina.

Bahasa mudahnya, tidak mahu tukar tidak mengapa, tetapi sukar mendapat hak sebagai warganegara. Banyak hal akan dipersulitkan oleh pemerintah. Beberapa nama yang sering dipilih setelah ganti nama Indonesia adalah Agus, Bambang, Cahaya/Tjahaya, Chandra/Tjandra, Halim, Salim dan Surya.

Semakin hangat apabila pada tahun 1967, Pak Harto melalui Orde Baru menyatakan bahawa segala bentuk kegiatan yang behubungan dengan Tionghoa dilarang untuk dikaji, dipamerkan, dibicarakan, dan dimanfaatkan sehingga wayang Potehi tidak masuk dalam jenis warisan budaya khususnya wayang.

Kemuncaknya adalah soal kebebasan mengamalkan agama. Pada tahun 1967 juga, Pak Harto juga mengeluarkan Instruksi Presiden Nomor 14 tahun 1967 tentang Agama Kepercayaan dan Adat Istiadat Cina. Intinya, kebebasan beragama dan tradisi Cina yang mengakar dari Negeri Tirai Bambu wajib ditinjau, diwaspadai, dan dilakukan secara tertutup.

Tidak cukup asimilasi pada nama dan budaya, etnik cina tionghoa juga wajib mengikuti pembelajaran sejarah perjuangan Memperjuangkan Kemerdekaan dari Ancaman Sekutu dan Belanda dengan tujuan untuk mengetahui perubahan dan perkembangan politik dan perjuangan bangsa Indonesia dalam upaya mempertahankan keutuhan Negara Kesatuan Republik Indonesia.

Ia adalah subjek tambahan dalam pelaksanaan pembelajaran sejarah SMA kelas XI. Pak Suharto tidak mahu mereka hanya menjaid bangsa Indonesia yang berasimilasi tetapi punyai semangat patriotik, nasionalis dan cintakan negara lebih dari segalanya.

Contoh Cina – Indonesia

Di Malaysia, khususnya peminat badminton, kita sering mendengar nama-nama berikut. Sekali dengar, kita menyangka mereka etnik Sunda atau Jawa atau mungkin etnik pribumi lain. Realitinya, mereka adalah Cina-Tionghoa yang lahir hasil order baru Pak Suharto.

Biar kita ambil contoh beberapa nama, Alan Budikusuma, Susi Susanti, Hariyanto Arbi, Eddy Hartono, Candra Wijaya, Tony Gunawan, Christian Hadinata dan Suryatama Dasuki. Taufik Hidayat tidak termasuk kerana beliau orang Sunda asli. Di Kalangan ahli politik pula, Basuki Tjahaja Purnama (Ahok), Acep Purnama dan Dr Jusuf Wanandi (nama asal Liem Bian Kie).

Seperti di Malaysia, ekonomi Indonesia juga banyak di dominasi oleh orang berketurunan cina. Apa yang membezakan, kita dapat kenalpasti dengan mudah orang itu cina, melayu atau bangsanya. Di Seberang agak sukar dikenalpasti kerana nama mereka adalah nama pribumi. Muka pun sudah tak nampak cina kerana generasi baru sudah banyak berlaku kahwin campur dengan etnik pribumi asli Indonesia.

Contoh ahli korporat Indonesia keturunan cina adalah Rusdi Kirana (pemilik Lion Air), Putera Sampoerna (Pemilik syarikat rokok HM Sampoerna) dan Surya Wonowidijoyo (pengasas rokok Gudang Garam yang terkenal). Kita sangka orang Jawa yang ‘tauke’, rupanya orang kelahiran Fujian, China. Nama asal Surya adalah Tjoa Jien Hwie.

Etnik Cina Indonesia Selepas Suharto

Zaman Gus Dur, baru lah dibenarkan perayaan orang-orang Tionghoa dibenarkan. Malah kedudukan etnik mereka diletakkan setara seperti yang nikmati etnik pribumi asal. Bagi Gus Dur, mereka sudah menjadi Indonesia ‘pure’. Oleh kerana itu, antara gelaran Gus Dur adalah Bapa Tionghoa Indonesia.

Zaman setiap presiden berbeza, ketika pasca rusuhan 1998, orang cina Indonesia dituduh sebagai penyebab krisis ekonomi. Jika tidak diurus dengan baik, perang kaum boleh berlaku dan pada masa yang sama Republik Indonesia amat perlukan orang cina untuk pembangunan dan kitaran ekonomi.

Gus Dur menjadi watak pendamai antara orang cina dan bukan cina. Gus Dur yang ketika itu memegang jawatan Ketua Umum PBNU menyeru kepada orang Indonesia keturunan cina yang lari ke luar negeri kerana ketakutan agar segera pulang dan Gus Dur siap menjamin keselamatan mereka. Sewaktu menjadi presiden, beliau mengeluarkan Instruksi Presiden (Inpres) nombor 14 1967 tentang Agama Kepercayaan dan Adat Istiadat Cina yang diluluskan oleh Presiden Suharto.

Presiden selanjutnya, Megawati Sukarno Putri mengisytiharkan hari raya Tahun Baru Cina (Imlek) sebagai hari cuti umum negara. Sejak itu hingga kini, etnik cina boleh merayakan perayaan Imlek tanpa tekanan.

Kesimpulan

Tulisan kali ini tidak berhajat mengulas adakah wajar atau tidak tindakan Pak Suharto. Asimilasi bangsa secara paksaan Undang-Undang bukan hanya berlaku di Indonesia, di kebanyakan negara juga berlaku. Contoh terdekat dengan Malaysia adalah Thailand. Negara gajah putih ini terkenal dasar ‘siamization’ penduduk mereka.

Di Thailand, warga berketurunan cina terutama sebelah Utara melalui disiamkam dengan hanya bercakap siam dan menggunakan nama siam. Bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Sinawatra antara contoh generasi yang lahir hasil ‘siamization’. Beliau sebenarnya cina tetapi sudah hilang kecinaan akibat proses tersebut.

Di Indonesia, ternyata berhasil walaupun risiko kehilangan nama keluarga dan sejarah etnik. Mereka rata-rata tidak pandai langsung berbahasa cina, hanya berbahasa Indonesia meskipun berkumpul sesama mereka. Saya benar-benar menyaksikan hal ini. Dari segenap penjuru Indonesia saya pergi, fenomena itu sama.

Bangsa lain wajar bersyukur kerana lahir dan tinggal di Malaysia. Ini negara yang aneh, sangat meraikan kepelbagaian sehingga kadang-kadang tidak jelas jati diri. Pada 64 tahun kemerdekaan, orang cina yang fasih berbahasa melayu seperti Mekyun dan ada lagi beberapa contoh cepat viral, sebab apa? Sebab orang Cina fasih cakap melayu ini janggal di Malaysia. Lagi pelik, bila gadis-gadis Melayu pintar Bahasa Mandarin, pun cepat tular, seolah-olah kita ini tetamu yang kuasai bahasa tuan rumah.

RUJUKAN:

Kebijaksanaan Pokok Yang Menyangkut Warga Negara Indonesia Keturunan Asing. https://peraturan.bpk.go.id/Home/Details/151589/keppres-no-240-tahun-1967?fbclid=IwAR1P1eKiV4u-FjS8DikxSxg_GOUafwTzuu8ksLCQCaEYzRuZPdFFvprp-vg

INSTRUKSI PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA NOMOR 14 TAHUN 1967 TENTANG AGAMA KEPERCAYAAN DAN ADAT ISTIADAT CINA KAMI, PEJABAT PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA. https://advokasi.elsam.or.id/assets/2015/09/19670000_INPRES-14-1967-agama-kepercayaan-dan-adat-china.pdf?fbclid=IwAR1P1eKiV4u-FjS8DikxSxg_GOUafwTzuu8ksLCQCaEYzRuZPdFFvprp-vg


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.