Selepas kehilangan 20 juta tentera dan rakyat semasa Perang Dunia Kedua (WWII), Kesatuan Soviet atau pewarisnya hari ini, Rusia tidak mempunyai sebab untuk mengucapkan terima kasih kepada Nazi Jerman dan Adolf Hitler. Tetapi pada tarikh keramat 22 Jun 1941, siapa sangka permulaan Operasi Barbarossa ini sebenarnya membuka peluang kepada pengukuhan kedudukan mereka sebagai kuasa besar dunia pasca-WWII. Nazi Jerman menyangka operasi tersebut membuka ruang kepada Lebensraum atau ruang kehidupan bagi warga Jerman di mana rakyat Rusia menjadi hamba kepada mereka. Namun, perkara sebaliknya berlaku dengan tarikh tersebut memberi kesan kepada perkembangan dunia hari ini.

Untuk mengatakan bahawa Moscow bukan kuasa besar sebelum kebangkitan Hitler ialah satu kenyataan yang mengarut. Hakikatnya, Rusia sudah bergelar kuasa besar sekurang-kurangnya sejak abad ke-18 Masihi lagi. Kaya dengan sumber asli, mempunyai penduduk yang ramai dan memiliki kawasan tanah yang luas, Rusia mempunyai semua resipi yang diperlukan sebagai kuasa yang patut dihormati dan digeruni, satu perkara yang gagal disedari Napoleon Bonaparte. Napoleon menyangka bala tenteranya boleh menundukkan Rusia tetapi selepas Berezina, ternyata sangkaan Maharaja Perancis itu meleset sama sekali.

Namun jika kita lihat situasi pada awal abad ke-20 terutama pada dekad 30-an, Amerika Syarikat mempunyai tentera yang sedikit jika dibandingkan dengan Romania. Britain pada ketika itu menguasai suku kawasan dunia termasuk India dan Singapura dan dikatakan mempunyai angkatan tentera laut terkuat di dunia. Sementara Perancis pula mempunyai bilangan tentera yang teramai di Eropah Barat. Jerman pula sentiasa menjadi duri dalam daging kepada jiran-jirannya sejak tahun 1870-an. Bagi Rusia pula terutama ketika ia diperintah oleh Joseph Stalin, ia dilihat dalam keadaan lemah terutama selepas era ‘The Great Purge’ sehingga hampir-hampir gagal menundukkan Finland pada tahun 1939-1940. Jika anda sangka sentimen Rusia lemah hanya dikongsi oleh kepimpinan tertinggi Jerman, salah. Sentimen tersebut turut dikongsi oleh pentadbiran Amerika Syarikat dan Britain di mana-mana masing-masing diketuai oleh Franklin Delano Roosevelt dan Winston Churchill. Semua menyangka Moscow akan tumbang dan tidak akan mampu mengekang kemaraan tentera Wehrmacht, sekaligus akan menyertai senarai bandar yang menjadi mangsa taktik perang kilat Berlin termasuk Paris dan Luxembourg.

Namun siapa sangka pada akhir perang, hanya Rusia saja yang keluar dalam keadaan masih utuh. Sementara kuasa-kuasa besar lain dalam keadaan tidak terurus. Britain dibebani dengan hutang-piutang walaupun menang dalam WWII sementara Perancis melihat kebanyakan bandarnya musnah angkara peperangan dan taktik bumi hangus yang direncanakan Nazi Jerman. Sementara Jerman pula menyaksikan kemaraan pantas Tentera Merah ke Berlin sambil membawa angin kemusnahan dan dendam pada musuh ketat mereka itu.

Mari kita pertimbangkan senario ini. Sekiranya Hitler tidak gatal untuk mencetuskan api peperangan di Eropah dan mencabuli Perjanjian Molotov-Ribbontrop, empayar Eropah mereka pasti masih selamat. Dan Britain dan Perancis tidak akan teragak-agak menyerang telaga-telaga minyak Soviet pada tahun 40-an berikutan pendirian mereka yang menolak komunisme dan menyokong penentangan Finland terhadap pendudukan Soviet di negara tersebut selepas Perjanjian Molotov-Ribbontrop dimeterai. Paris dan London pasti tidak akan berdiam diri apabila Rusia meneruskan kemaraan mereka ke Berlin. Ia sebenarnya tidak mustahil berlaku sekiranya Rusia menewaskan Poland dalam Perang Rusia-Poland 1920.

Dan jika tidak kerana penglibatan Nazi Jerman melalui Operasi Barbarossa, sudah pasti negara-negara yang membentuk Pakatan Warsaw juga tidak akan wujud. Ini kerana semasa operasi tersebut berlaku, sekutu-sekutu Hitler yang menyertai termasuk Itali, Romania, Hungary, Finland dan Bulgaria atas nama memerangi komunisme. Apabila semua negara ini jatuh ke tangan Soviet pada akhir perang, mereka memang bebas iaitu bebas dari kekejaman Nazi Jerman. Tetapi pada masa sama, mereka membuka ruang kepada kebangkitan rejim komunis di negara-negara tersebut. Begitu juga dengan sempadan yang ada hari ini pasti akan berbeza. Selepas melancarkan serangan ke atas Poland, Hitler dan Stalin membahagikan Poland kepada dua bahagian pada tahun 1939. Selepas WWII tamat, wilayah yang dirampas dari Poland pada tahun 1939 terus kekal di bawah kawalan Moscow dengan Warsaw diberi saguhati menguasai kawasan Jerman. Begitu juga dengan wilayah Prussia Timur akan terus kekal dengan Jerman, bukan dengan Rusia hari ini.

Memang benar Operasi Barbarossa menjahanamkan infrastruktur dan ekonomi Rusia dan Ukraine tetapi semua itu dapat ditebus semula melalui pampasan dan penjarahan yang dilakukan Moscow ke atas Berlin pasca-perang. Melalui desakan Stalin yang mahu Rusia muncul sebagai kuasa industri yang digeruni, mengubah keadaan ekonomi Moscow dan merealisasikan hasrat beliau sehingga berupaya menghasilkan kenderaan dan senjata yang banyak bagi menewaskan ketumbukan perang Nazi Jerman. Sekiranya perang tidak meletus, pasti keadaan ekonomi Soviet jauh berbeza berbanding apa yang kita ketahui hari ini.

Namun paling penting, kegilaan Hitler itu sebenarnya membantu Rusia menghapuskan mana-mana negara yang berpotensi mencabar hegemoni Rusia sebagai kuasa besar dunia. Pada dekad 30-an, dunia menyaksikan multipolar di mana beberapa negara berebut untuk menunjukkan kehebatan mereka pada negara-negara lain. Selepas tahun 1945, tatkala bekas-bekas kuasa besar seperti Britain dan Perancis terpaksa menelan ego dan menerima realiti, hanya Amerika Syarikat dan Rusia saja yang terselamat dan menjadi kuasa besar dunia untuk beberapa dekad berikutnya.

Selepas Tirai Besi runtuh dan menyaksikan Rusia bangkit dari masa silamnya, sekalipun ia tidak lagi mempunyai pengaruh seperti Kesatuan Soviet terdahulu, ia masih lagi berupaya menunjukkan kekuatan tentera dan ekonomi di negara-negara pilihannya. Kalau tidak, mengapa Rusia masih mampu mengekalkan bantuan ketenteraan yang diperlukan Syria selama berbulan-bulan sehingga ke hari ini. Sementara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pula bergelut dalam kempen ketenteraan mereka seperti ke atas rejim Muammar Gaddafi pada tahun 2011.

SUMBER

Peck, Michael. (2017). National Interest. FACT: Nazi Germany Made Rusia A Superpower. http://nationalinterest.org/blog/the-buzz/fact-nazi-germany-made-russia-superpower-23711?page=show

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.