Pengubahan wang haram merupakan suatu perkara yang kerapkali berulang tetapi boleh meninggalkan kesan besar terhadap dunia. Setiap negara perlu dilengkapkan dengan akta-akta tertentu bagi menangani aktiviti ini.
Wang haram merupakan antara isu penting yang dibincangkan di peringkat Kumpulan Tujuh (tujuh negara paling maju dunia). Jadi ini bukan aktiviti biasa-biasa untuk diperlekehkan.
Sejak tahun 2018, rakyat Malaysia tanpa henti mendengar gejala pengubahan wang haram.
Sekarang ini pun sudah ada penularan berita pengubahan wang haram berhubungan penipuan Macau. Kemahiran diplomasi penipu Macau jangan sesekali dipandang enteng, kerana pengurus bank pun boleh rugi RM1.97 juta (Bernama, 2020).
Jadi soalan yang harus ditanya: bagaimana penerima (sang penipu) boleh menggunakan RM1.97 juta ini?
Penipuan RM100,000 mungkin boleh dikaburi, bagaikan senaskhah buku A Game of Thrones sahaja. Tetapi RM1.97 juta terlalu banyak. Dan kebiasaannya, penipu Macau takkan berhenti dengan seorang sahaja. RM1.97 juta boleh menjadi RM19.7 juta.
Jadi tentu sekali penipu mencari cara untuk membuktikan amaun diperolehi itu adalah daripada jalan yang sah.
Namun tentu sekali bukan semua orang faham definisi atau pengertian aktiviti ini, apatah lagi prosesnya. Ia bukan sekadar mencuci duit bagaikan merendamkan wang kotor dalam air sabun.
Prosesnya sangat rumit daripada jalan pemerolehan lagi. Asasnya penipu menggunakan cara sedemikian:
- Penempatan (Placement)
Dalam proses ini, banyak pihak berkuasa boleh diperkudakan untuk memutihkan wang.
Pihak bank pun boleh terlibat sekali, terutamanya jika dipegang dan dikuasai individu-individu tidak bermoral yang bersekongkol dengan pihak kongsi gelap.
Kebebasan sektor kewangan tanpa saringan selalunya membenarkan kerja kotor ini.
Broker kewangan pun mampu menyimpan wang tunai dengan banyak tanpa mengisytiharkan sumber asal dana ini.
Dengan cara ini institusi kewangan menjadi jendela pengubahan, kerana wang haram dicampur dengan wang halal. Selalunya pemain wang haram mempunyai syarikat sah berakaun sempurna yang menepati segala perincian undang-undang.
- Pelapisan (Layering)
Selepas berjaya menempatkan wang, penipu akan mencari jalan untuk menukarkannya pula. Penempatan membolehkan mereka membeli aset tertentu untuk dijual semula.
Dengan cara ini, mustahil sesiapa pun boleh mencari kepincangan. Kalau rumah contohnya, penipu tidak begitu menghiraukan pun jika membeli dengan RM1 juta wang haram tetapi menjual dengan RM800,000 yang sah di sisi undang-undang.
Selain daripada cara pembelian aset, penipu juga boleh menukarkan wang tunai ini menjadi draf bank atau pesanan wang (money order).
- Gabungan (Integration)
Proses ini mengembalikan wang ke dalam sebuah ekonomi melalui sistem perbankan. Berbeza dengan pelapisan, wang haram sekarang ini dijadikan wang halal seolah-olah pendapatan sah perniagaan. Urusan hartanah pun selalu digunakan dalam usaha penggabungan.
Pendigitalisasi Wang Haram
Kemajuan teknologi tidak bermakna pengubahan wang haram semakin sukar. Malah dengan adanya teknologi, aktiviti pengubahan wang haram kian rancak terutamanya dengan wang elektronik matawang kripto.
Permainan video sebagai contohnya memberi laluan mudah kepada aktiviti wang haram. Second Life dan World of Warcraft membolehkan pengguna tukar duit (haram) untuk membeli barangan maya yang boleh dijual semula (Solon, 2013).
Jadi senang kata, aktiviti pengubahan wang haram tanpa henti berlaku dengan kecilikan dan kemahiran dalam mencari kelompangan institusi kewangan. Apabila dibantu orang dalam sendiri, apa-apa perkara pun dimudahkan.
Pada tahun 1996 sahaja, Tabung Kewangan Antarabangsa menganggarkan yang lima peratus daripada ekonomi dunia terlibat dalam gejala pengubahan wang haram.
Jika masih berterusan, bermakna hari ini aktiviti ini sedang memproses sebanyak AS$4 trilion.
RUJUKAN:
Bernama. (2020, Oktober 10). Bank manager loses RM1.97 mil in Macau scam. The Edge Markets.
Solon, O. (2013, Oktober 21). Cybercriminals launder money using in-game currencies. Wired.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih