Ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Rasa cinta yang mendalam kepada anak-anak membuat kita sanggup melakukan apa sahaja untuk anak-anak yang kita cintai. Segala aspek dari segi pemakanan, keselamatan, pendidikan malahan permainan pun difikirkan secara teliti oleh ibu bapa, demi memberikan yang terbaik untuk anak- anak. Salah satu dari aspek penting yang harus diberikan perhatian oleh ibu bapa adalah pendidikan anak- anak.

Berbicara soal pendidikan, satu isu penting dalam pendidikan anak-anak yang sering terlepas pandang oleh ibu bapa adalah bahasa. Bahasa, dalam konteks perbincangan artikel ini adalah bahasa yang ingin diwariskan kepada anak-anak apabila mereka membesar nanti. Dalam konteks Malaysia, bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu, manakala Bahasa Kedua pula adalah Bahasa Inggeris.

Ramai ibu bapa tidak mengetahui bahawa dengan kaedah, strategi dan persekitaran yang betul, kita dapat mewariskan bahasa yang kita kuasai kepada anak-anak dengan sangat mudah. Sebagai contoh, jika anda seorang berbangsa Melayu dan fasih bertutur Bahasa Melayu, anda akan mendapati sebenarnya anda mewarisi Bahasa Melayu tersebut daripada ibu bapa anda.

Pernahkah ibu bapa anda menghantar anda ke kelas Bahasa Melayu agar anda boleh berkomunikasi dengan mereka? Sudah pasti tidak. Bahasa Melayu itu anda warisi dari mereka secara informal, melalui persekitaran tumbesaran yang ada di rumah. Pergaulan dengan ibu bapa, saudara mara dan adik beradik itulah yang membuat anda fasih bercakap Bahasa Melayu seperti sekarang.

Seiring dengan zaman persekolahan dan pendidikan yang anda perolehi, anda juga kini menguasai bahasa lain. Kebanyakan mereka dari Kelas Menengah (Middle Class) menguasai sekurang-kurangya dua bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Segelintir kita menguasai 3 atau 4 bahasa termasuk Mandarin dan Bahasa Arab. Biar saya tanya anda satu perkara, bagaimana jika saya katakan anda boleh wariskan semua bahasa yang anda kuasai ini kepada anak-anak anda dengan senang?

Ya, ia boleh dilakukan. Ianya akan tampak sedikit mencabar pada permulaan, tapi harus kita ingat, otak anak anak kita sangat cepat belajar berbanding orang dewasa. Dengan strategi keibu-bapaan dan persekitaran tumbesaran yang betul, anak-anak anda tidak perlu lagi melalui proses pembelajaran untuk menguasai bahasa yang sudahpun anda kuasai. Kerana itulah saya kata, bahasa sebenarnya boleh diwariskan kepada anak-anak.

Bagaimana caranya? Terdapat beberapa strategi bahasa atau polisi yang anda dan pasangan boleh pilih untuk anak-anak anda. Baik ayuh saya terangkan polisi-polisi tersebut.

1) Home Language (Bahasa Rumah)

Kaedah yang paling senang untuk dilakukan adalah menggunakan kaedah Home Language. Dalam kaedah Home Language, anda dan pasangan harus menetapkan apakah bahasa yang harus dituturkan di rumah, dan tetap menggunakanya agar anak -anak dapat mempelajari dan mewarisinya dari anda. Bahasa yang dipilih adalah Bahasa Sasaran (Target Language) seperti Bahasa Inggeris, Mandarin dan lain-lain.

Jika anda pilih Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Rumah, anda tidak perlu risau jika anak -anak tidak dapat bertutur bahasa utama di Malaysia, iaitu Bahasa Melayu, kerana anak-anak dapat mempelajarinya di luar rumah, iaitu di sekolah, saudara mara, teman sepermainan dan lain-lain. Bagi ibu bapa Bukan Melayu, ramai di antara mereka memilih Bahasa Inggeris sebagai Home Language.

Jika keluarga itu adalah keluarga Cina, maka mereka tidak perlu risau jika anak-anak mereka tidak boleh berbahasa Mandarin, kerana anak-anak dapat mempelajarinya melalui pergaulan bersama sanak saudara dan di sekolah. Bahasa Melayu juga dapat dikuasai dengan mudah kerana ia memang diajar di sekolah, malah merupakan subjek wajib lulus SPM.

Dengan ini, seorang anak Cina atau India yang dibesarkan dengan kaedah Home Language dapat menguasai Bahasa Inggeris, Mandarin dan Melayu. Beruntung anak ini bukan? Anak-anak sebegini dapat menjadi seorang multilingual tanpa perlu terlalu bersusah payah seperti orang lain.

2.) One Person One Language (Opol)

Kaedah kedua yang boleh anda dan pasangan praktikkan untuk menjadikan anak anda multilingual adalah kaedah One Person One Language (Satu Orang Satu Bahasa), atau lebih dikenali dengan OPOL. Dalam kaedah ini, kedua-dua ibu bapa perlu memilih satu bahasa setiap seorang untuk bertutur dengan anak-anak. Sebagai contoh, ibu memilih Bahasa Melayu, manakala ayah memilih Bahasa Inggeris.

Maka setiap kali si ibu bertutur dengan anak-anak, ibu akan menggunakan Bahasa Melayu sahaja, dan setiap kali ayah berkomunikasi dengan anak-anak, ayah akan menggunakan Bahasa Inggeris sahaja.

Anda tidak perlu risau anak anda akan keliru, kerana jika dimulakan sejak dari kecil, anak-anak akan merasakan ia memang satu fitrah yang semulajadi dalam keluarga mereka, walaupun sebenarnya ia sudah dirancang oleh ibu bapa mereka. Kaedah OPOL ini adalah kaedah yang paling banyak dipraktiskan oleh ibu bapa kerana ia juga mudah dilakukan.

3) Time & Place (T&P)

Kaedah Time & Place (Masa & Tempat), atau T&P ini juga mudah dipraktikkan, dan merupakan kaedah kegemaran saya. Di dalam kaedah ini, anda dan pasangan boleh menetapkan dalam situasi tertentu keluarga anda haruslah menggunakan bahasa tertentu. Bunyinya rumit? Bagi saya tidak.

Ambil satu faktor, contohnya Time (Masa). Keluarga saya menggunakan Bahasa Melayu pada masa waktu siang, dan menggunakan Bahasa Inggeris pada masa waktu malam. Mudah bukan? Itu sahaja. Oh ya, bukan keluarga saya sudah buat, kerana saya belum berkahwin. Tapi apabila berkeluarga, inshaAllah kami akan gunakan kaedah ini.

4) One Term One Language (OTOL)

Kaedah keempat ini biasanya dipraktiskan oleh ibu bapa yang menguasai 3 bahasa dan ke atas. Mereka tidak boleh melakukan kaedah One Parent One Language (OPOL) kerana ibu bapa hanya terdiri dari 2 orang sahaja. Kaedah One Term One Language (Satu Penggal Satu Bahasa) atau lebih dikenali sebagai OTOL ini jika mahu dipraktiskan, haruslah didahului dengan mendefinisikan berapa lamakah satu “term” atau “penggal” itu.

Sebagai contoh, satu pasangan ini menguasai 3 bahasa dan mahu mewariskan ketiga-tiga bahasa ini kepada anak-anak mereka. Maka mereka bersetuju untuk menetapkan satu “term” atau “penggal” selama 10 hari.

Di dalam kaedah ini, satu bahasa digunakan selama satu penggal. Memandangkan keluarga ini menguasai 3 bahasa, maka mereka ada 3 penggal sebulan. 10 hari pertama adalah penggal pertama, 10 hari kedua adalah penggal kedua, dan 10 hari ketiga adalah penggal ketiga. Ia nampak lebih rumit dari dua kaedah terawal, maka anda harus merancang dengan teliti jika anda mahu melakukan kaedah ini di rumah.

Jadi cuba anda tunjukkan artikel ini kepada pasangan dan tanya pendapat beliau? Pilihlah salah satu strategi di atas untuk dipraktikkan demi masa depan anak-anak anda. Anda mungkin tertanya tanya, apakah penting untuk menjadikan anak-anak kita multilingual? Apakah pula kelebihan menjadi seorang multilingual.

Harus kita fahami suatu hakikat. Setiap zaman memiliki bahasa yang menjadi bahasa ilmu. Suatu masa dulu, Bahasa Yunani merupakan bahasa ilmu. Bahasa Greek dipelajari oleh para cendekiawan untuk mengutip mutiara-mutiara ilmu yang kemudiannya banyak diterjemahkan ke bahasa Arab. Semasa Islam mencapai zaman kegemilangannnya, bahasa Arab pula menjadi bahasa ilmu.

Sekarang bahasa ilmu adalah bahasa Inggeris. Dan mungkin juga di tahun-tahun mendatang, bahasa Mandarin akan menjadi pengganti. Kita harus menyediakan anak-anak dan generasi muda untuk menjadi lebih hebat berbanding ibu bapa mereka sendiri. Kalam ulama juga ada menyebut, “Sesiapa yang menguasai bahasa sesuatu kaum, ia akan terlepas dari tipu daya kaum tersebut.”

Semoga dengan pencerahan di atas, anda dapat memahami bagaimana untuk menjadikan anak-anak anda multilingual dengan lebih mudah. Kaedah yang diterangkan di atas tidaklah berbentuk statik, dan boleh diolah mengikut kesesuaian dan kebolehan anda dan pasangan. Asalkan saja ada usaha yang dibuat kena caranya, anda akan dapati ia tidaklah sesukar mana. Jika ibu bapa Bukan Islam sedang galak menjadikan anak-anak mereka menguasai 3 atau 4 bahasa, kenapa kita orang Islam tidak boleh melakukan lebih hebat?

Ataukah kita boleh berasa selesa dengan kedudukan dan pencapaian umat Islam seperti sekarang? Ambillah semangat dari Hang Tuah yang dikatakan menguasai sehingga 12 bahasa. Orang Islam seharusnya lebih hebat berusaha untuk menjaga kedaulatan agama, bangsa dan tanah air. Anak-anak adalah amanah, semoga kita dapat mendidik mereka sebaik mungkin untuk meneruskan perjuangan kita.

Rujukan:

[i.] https://www.ef.com/…/langu…/how-to-raise-bilingual-children/

[ii]. https://www.linguisticsociety.org/…/faq-raising-bilingual-c…

[iii.] https://www.fluentin3months.com/bilingual-baby/

[iv.] https://multilingualparenting.com/…/one-parent-one-languag…/

[v.] https://www.futurelearn.com/…/multilingual-pr…/0/steps/22646

[vii.] http://www.trilingualchildren.com/p/language-strategies.html

[viii.] https://multilingualparenting.com/…/time-and-place-as-a-fa…/

[ix.] https://en.wikipedia.org/wiki/Greek_language

Hussein, S. (2016). Tun M. 1st ed.

Artikel disumbangkan oleh Ezzat Emadi untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.