Sambutan Krismas pada 25 Disember 1888 di 8 Brougham Terrace, Liverpool, England kelihatan seperti sambutan Krismas tipikal. Tetapi persiapan perayaan ini dibuat oleh komuniti Islam pertama Britain dengan lokasi yang dinyatakan merupakan masjid pertama di Britain. Dan ia diatur oleh tokoh Muslim terkenal pada ketika itu, Sheikh William Henry “Abdullah” Quilliam.
Menjelang 8.00 pagi, selepas selesai menunaikan solat Subuh berjemaah, barulah pintu masjid dibuka kepada orang ramai. Masjid yang dikenali sebagai Institut Muslim Liverpool diasaskan oleh Abdullah selepas memeluk Islam pada 1887 semasa berusia 31 tahun. Bagi penduduk tempatan, mereka menggelarnya sebagai gereja Islam.
Pada pagi tersebut, lebih 100 orang penduduk miskin dijemput untuk menghadiri jamuan sarapan kebajikan yang disediakan komuniti Muslim. Antara hidangan yang disediakan ialah sandwich, roti dan daging, roti dan mentega, teh dan kopi. Para hadirin kemudiannya dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu memuji kelahiran Nabi Isa a.s/Jesus.
Apabila penduduk tempatan mengetahui apa yang berlaku, lebih ramai bertandang ke Institut Muslim Liverpool pada waktu petang. Para hadirin yang hadir ketika itu bukan saja dihiburkan dengan persembahan alat muzik mengasyikkan oleh dua ahli muzik Muslim tetapi turut dijamu dengan teh dan kudapan. Pada akhir sambutan, para hadirin dipertontonkan persembahan ‘tanglung ajaib’ dan siri gambar jelajah Abdullah di beberapa buah negara Islam termasuk Parsi dan Afghanistan.
Keterangan sambutan Krismas oleh komuniti Muslim era Victoria ini diambil daripada akhbar The Crescent, akhbar Muslim pertama di Britain. The Crescent diterbitkan dari 1893 hingga 1907 oleh Institut Muslim Liverpool di mana penyuntingnya ialah Abdullah. Ia kini boleh diakses secara dalam talian oleh Persatuan Abdullah Quilliam dengan kerjasama British Library.
Sesetengah yang membaca keterangan sambutan Krismas ini merasakan ia sesuatu yang janggal. Tetapi bagi Dekan Kolej Muslim Cambridge, Sheikh Timothy Winter, ia sebenarnya teknik dakwah halus yang banyak dilakukan generasi pendakwah sejak sekian lama. Usaha dakwah mereka lebih kepada mencari titik persamaan yang ada pada Islam daripada mencari perkara yang mencetuskan perdebatan.
Sheikh Winter atau nama Islamnya Abdal Hakim Murad melihat dengan menggunakan tradisi penduduk tempatan, maka mudah bagi komuniti Muslim Liverpool menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai. Ini kerana mereka bersikap terbuka dan ramah serta lebih menekankan aspek ketuhanan dan kebenaran dalam setiap mesej mereka. Pendekatan Quilliam dilihat serupa dengan pendekatan Wali Songo semasa menyebarkan ajaran Islam di Pulau Jawa beberapa ratus tahun sebelumnya.
Pandangan Sheikh Winter turut disokong oleh penulis buku The Infidel Within: Muslims in Britain since 1800, Profesor Humayun Ansari. Prof Ansari berpandangan sambutan Krismas yang dianjurkan merupakan salah satu contoh dibawa Abdullah bahawa ia bukan agama asing seperti didakwa sesetengah pihak tetapi sebahagian daripada tradisi agama Ibrahim.
Bagi menampakkan lagi aspek ini, elemen kebudayaan British yang baik tetap diamalkan selagi mana ia tidak bertentangan dengan prinsip syarak. Dengan berbuat demikian, komuniti Muslim Liverpool ketika itu dapat menangkis dakwaan Islam menghakis budaya masyarakat tempatan. Ia turut membuka jalan sebagai pelan biru ciri yang membentuk identiti Muslim British yang patut diketahui hari ini.
Buktinya, lihat sendiri kurikulum sekolah yang diasaskan oleh Institut Muslim Liverpool. Pelajar yang hadir masih mengikuti kurikulum pembelajaran yang diintegrasikan dengan nilai keislaman termasuk kelas-kelas muzik. Mereka juga mengambil bahagian dalam acara-acara kesusasteraan dan debat seperti A night with Charles Dickens, Oliver Cromwell and Ancient Britons. Di taman permainan, sukan pilihan ialah bola sepak dan kriket.
Ini jelas menunjukkan pendekatan dakwah yang dibawa Abdullah bersifat malar hijau dan mampu menawan hati sesiapa. Disebabkan jasanya yang besar terhadap penyebaran Islam di Britain, beliau diberi gelaran Sheikhul Islam oleh Sultan Abdul Hamid II dari Empayar Turki Uthmaniyyah. Abdullah kembali ke rahmatullah pada 23 April 1932 di Bloomsbury, London.
Ia juga satu ingatan kepada ummah hari ini bahawasanya ummah merupakan cerminan agama. Maka, menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk terus mengangkat martabat agama walau di mana saja mereka berada. Siapa tahu, kerana imej baik yang ditonjolkan, ia membuka hati insan-insan yang mencari kebenaran hakiki untuk memeluk agama paling mulia di muka bumi iaitu Islam…
RUJUKAN
Hussain, T. (2017, 15 Disember). How did Victorian Muslims celebrate Christmas?. Al-Jazeera.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih