Pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana hidupan diklasifikasikan? Apakah kepentingannya? Anda pasti perasan dengan hierarki hidupan yang selalu muncul dalam filem sains mahupun buku cerita. Apa maksud Homo sapien?
Dalam sistem pengkelasan taksonomi, perkara pertama sekali yang dilihat ialah domain. Dalam hipotesis kejadian sel, pada asalnya sel purba adalah sama, namun berubah menjadi 3 jenis domain setelah beberapa juta tahun. Domain ialah pengkelasan bagi 3 jenis hidupan ini yang berbeza rRNA. Perbezaan ini sekaligus menyebabkan berlakunya kelainan struktur hidupan berkenaan.
BAKTERIA
Bakteria merupakan hidupan paling tua yang wujud di bumi. Mereka mampu membiak secara aseksual dan konjugasi. Diet mereka adalah besar, daripada bahan organik seperti bangkai dan minyak petroleum hinggalah yang bukan organik seperti nitrogen dan besi.
ARKEA
Arkea dalam kebanyakan kes sama seperti bakteria, cuma mereka mampu hidup di kawasan ekstrem. Dalam kebanyakan kes, mereka tak boleh membiak mahupun hidup di tempat yang tak ekstrem. Sebagai contoh, mereka tak mampu untuk membiak dalam badan kita kerana terlampau sejuk (atau terlampau panas, bergantung kepada spesis). Sebagai contoh bagi arkea termofil (pencinta panas) hanya mampu hidup pada suhu 120C, dan bawah takat beku 0C bagi psikrofil (pencinta sejuk). Sistem organel dan membran sel yang lebih lasak dan efisien membolehkan mereka untuk hidup di kawasan ekstrem.
EUKARYA
Menurut teori endosimbion, ada sesetengah bakteria akan memakan bakteria lain, namun bakteria yang dimakan itu mampu memberikan manfaat yang lebih baik. Maka mereka hidup secara simbiosis dan bekerjasama. Hasil daripada ini, lahirlah domain eukarya di mana mereka menjadi domain yang kompleks, lalu melahirkan pelbagai lagi pecahan kingdom atau alam dalam biologi yakni:
- Protista: Sel eukaryot seperti protozoa dan plankton
- Kulat: Keluarga cendawan seperti yis dan kulat
- Plantae: Keluarga tumbuh-tumbuhan speerti pokok epal
- Animalia: Keluarga haiwan
Kalau anda perasan, virus tak termasuk dalam sistem taksonomi kerana mereka tak dikira sebagai hidupan. Mereka tak hidup. Kalau sesuatu benda itu nak dikira sebagai hidupan, mereka perlulah mampu untuk bernafas, membiak, makan dan berkumuh. Virus cuma mampu membiak sahaja.
Disebabkan saya malas nak tulis terlampau panjang, saya akan mara ke kingdom animalia terus. Elok-elok saya tulis ringkas, nanti jadi buku teks.
KINGDOM ANIMALIA
Jadi, apa ciri-ciri alam ni? Pertamanya, mereka ialah organisme yang mempunyai banyak sel. Kita sendiri sudah mempunyai lebih jutaan sel. Sel alam ini tak mempunyai dinding sel (cell wall), membezakan kita daripada tumbuh-tumbuhan. Yang paling penting sekali ialah mereka mempunyai body plan. Badan mereka ada organisasi masing-masing dalam melakukan kerja (organ, tisu, sel khusus). Alam ini dipecahkan lagi menjadi beberapa filum berdasarkan sifat mereka.
Sebelum saya injak jauh lagi, saya ingin tekankan satu konsep bernama Dichotomous Key. Konsep ini digunakan untuk menyenaraikan dan membandingkan dua jenis hidupan yang lebih kurang sama. Perbezaan di antara mereka akan menentukan mereka ni jenis apa. Data inilah yang membentuk taksonomi. Saya akan tunjukkan penggunaan konsep ni dalam pengkelasan filum.
FILUM PORIFERA
Sekiranya hidupan tu ada banyak sel, tapi tak khusus, semua lebih kurang sama je, hidupan tersebut sebenarnya apa? Hidupan itu termasuk dalam filum porifera. Antara contoh hidupan berkenaan ialah span laut. Mereka tak mempunyai organ dan tisu langsung. Semua lebih kurang sama sahaja.
FILUM CNIDARIA
Kalau ada banyak sel dan ada sel khusus, tu nak letak mana? Kita letakkannya dalam filum cnidaria. Antara contoh hidupan ini ialah obor-obor. Mereka mempunyai sel khusus yang membentuk ‘organ’ seperti saluran penghadaman. Masalah mereka ni ialah mereka cuma mempunyai bentuk simetri secara radial.
FILUM PLATYHELMINTHES
Kalau ada bentuk simetri bilateral, nak campak mana? Mereka jadi platyhelminthes. Mereka ni ialah cacing pipih macam cacing pita dan planaria. Mereka ni nipis sebab tak mempunyai badan kaviti yang menyimpan organ-organ. Oleh itu, mereka digolongkan sebagai acoelomates (tak mempunyai badan kaviti).
FILUM NEMATODA
Kalau ada badan kaviti, kita nak letak man….eh jap. Laa, badan kaviti palsu rupanya! Yang ni kita namakan pseudocoelomate. Nampak macam ada badan kaviti, badan besar semacam, tapi Cuma untuk mewujudkan tulang hidrostatik. Mereka ni tergolong dalam filum nematoda dan contoh ialah cacing gelang.
FILUM MOLLUSCA
Yang ni baru ada badan kaviti. Ada coelomate. Jadi, kita gelarkan mereka mollusca, atau moluska dalam bahasa Melayu. Mereka mempunyai cengkerang keras yang mengelilingi mereka seperti kerang dan siput.
FILUM ANNELIDA
Kalau takde kerang jadi apa? Annelida lah namanya! Dalam bahasa Jawanya, mereka ni filum cacing yang anda selalu jumpa, cacing bersegmen macam cacing tanah dan lintah.
FILUM ARTHROPODA
Macam mana kalau ada coelomate, tapi takde cengkerang dan dia bukan cacing, tapi badan keras? Yang ni jatuh hukum arthropoda. Mereka mempunyai eksoskeleton yang keras sebagai kulit. Serangga dan keluarga ketam, belangkas tergolong dalam filum ini.
FILUM ECHINODERMATA
Kalau takde tulang luar, tapi tulang dalam endoskeleton? Mereka termasuk dalam filum echinodermata. Contoh hidupan ialah tapak sulaiman.
FILUM CHORDATA
Oleh sebab desakan evolusi yang sangat kuat, haiwan ni berevolusi lagi menjadi lebih efisien, mewujudkan filum chordata (kordata). Mereka mempunyai pelbagai adaptasi yang sama dan efisien:
- Mempunyai notokod bagi memberi sokongan struktur dalaman
- Mempunyai ruang berongga kord saraf
- Mempunyai insang pharyngeal
- Mempunyai otot
- Mempunyai ekor
Kordata yang pertama ialah lancelet. Mereka mempunyai kesemua ciri-ciri di atas. Selepas itu, hidupan berevolusi lagi menjadi lebih efisien, mewujudkan tulang belakang dan juga tulang badan yang keras. Perkara ini akan diinjak bagi ke class (kelas) di bawah kordata seperti mamalia, amfibia dan oseichthyes (ikan).
Anda mungkin akan tertanya-tanya, manusia tak mempunyai ciri-ciri yang diceritakan di atas, macam mana boleh jadi filum kordata? Insang, ekor notokod semua tu mana ada. Sebenarnya, semua sifat tu ada pada kita semasa tahap embrio. Ya, kita mempunyai ekor dan insang pada waktu itu.
Dichotomous Key akan terus digunakan untuk menentukan sifat haiwan yang lebih spesisfik. Sebagai contoh, ikan siakap:
Kelas ActinopterygiiàOrder PerciformesàFamily LatidaeàGenus LatesàSpesis L. calcarifer.
Itulah nama taksonomi bagi ikan siakap. Lates calcarifer. Sekian, itulah serba sedikit tentang taksonomi hidupan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih