Internet kini sudah menjadi sebahagian daripada fabrik kehidupan hari ini. Tetapi tidak ramai tahu, perjalanan untuk menjadikannya sebagai alat yang boleh diakses semua orang bukan sesuatu yang mudah.
Sebelum terciptanya internet, apa saja perkara yang kita mahu lakukan termasuk mencari maklumat atau mengirim surat perlu dilakukan secara manual. Mungkin bagi orang biasa, perkara sebegini merupakan lumrah. Tetapi bagi yang berkhidmat dalam pasukan keselamatan atau perisikan, kelewatan tindakan berikutan keperluan ini boleh saja menentukan sesebuah operasi itu berjaya atau sebaliknya.
Justeru, tidak hairanlah ramai pencipta dan pemikir berpandangan tidak mustahil internet akan wujud dan menjadi penghubung kepada manusiawi di seluruh dunia. Idea ini pertama sekali dibangkitkan oleh Nikola Tesla pada awal abad ke-20 menerusi idea sistem tanpa wayar global. Manakala Paul Otlet dan Vannevar Bush pula mencetuskan idea sistem penyimpanan carian mekanikal untuk buku dan media pada tahun 30-an dan 40-an.
Pada tahun 60-an, baru kelihatan idea skematik internet. Idea ini dipopularkan oleh J.C.R. Licklider dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) yang mempopularkan idea Rangkaian Antara Galaksi Komputer. Ini disusuli oleh konsep pensuisan paket, satu kaedah yang dibangunkan saintis komputer yang menyiarkan data elektronik dengan lebih berkesan.
Orang-orang yang mencipta internet datang dari seluruh dunia seperti rangkaian komputer tajaan kerajaan Perancis, Cyclades, Makmal Fizikal Kebangsaan (England), Xerox, Universiti Hawaii dan Agensi Penyelidikan Projek Lanjutan (ARPA) (Amerika Syarikat). Tetapi ARPA atau nama terkininya Agensi Pertahanan Penyelidikan Projek Lanjutan (DARPA) yang memainkan peranan utama.
ARPA mempunyai sebab terlibat dalam projek internet iaitu membawa teknologi perkomputeran ke barisan hadapan. Bagi menjayakan matlamat mereka, rangkaian komputer Arpanet dibangunkan pada 1969 dan menjadi penghubung universiti-universiti, agensi-agensi kerajaan dan kontraktor-kontraktor pertahanan di seluruh negara.
Menjelang pertengahan tahun 70-an, Arpanet sudah mempunyai 60 nod pada rangkaiannya. Tetapi rangkaian ini berdepan satu masalah besar iaitu saiz komputer untuk Arpanet terlalu besar. Bagi penyelidik dan saintis, mereka boleh saja menggunakan akses terminal yang disediakan. Tetapi di barisan hadapan, ia dianggap satu mimpi nge-ri dari segi logistik dan boleh saja jatuh ke tangan pihak musuh.
Begitupun, untuk menjayakan usaha ini bukan sesuatu yang mudah. Pertama, mereka perlu membina rangkaian tanpa wayar yang boleh menghantar paket data ke mana-mana jentera pertahanan AS melalui radio atau satelit. Kedua, memikirkan cara bagaimana mahu menghubungkan rangkaian tanpa wayar dengan rangkaian Arpanet agar ia dapat dimanfaatkan petugas yang beroperasi di barisan hadapan.
Dan ini membawa kepada terma antara rangkaian (internetworking) atau internet yang kita kenali hari ini. Malangnya, pada ketika itu, usaha berkomunikasi antara sebuah komputer dengan sebuah komputer yang lain sudah sukar. Inikan pula menghubungkan sebuah rangkaian komputer dengan sebuah rangkaian komputer yang lain. Usaha ini ibarat bagai getah dibawa ke semak.
Bagi memastikan rangkaian-rangkaian komputer ini bercakap menggunakan bahasa yang sama, penyelidik-penyelidik dari Arpa menghasilkan Esperanto versi komputer. Pada 1974, Robert Kahn dan Vint Cerf menghasilkan pelan biru terawal protokol mudah tetapi anjal untuk internet.
Protokolnya mudah, ia mempunyai protokol ketat bagi menjamin penghantaran data yang boleh diharapkan kepada penerima. Tetapi pada masa sama, wujud kelonggaran yang membenarkan semua data dapat dihantar dengan pelbagai kaedah berbeza. Dan mereka harus memastikan protokol ini sentiasa beradaptasi dengan perubahan semasa agar ia memenuhi keperluan setiap zaman.
Hasilnya, idea yang dianggap mengarut ini akhirnya menjadi kenyataan pada 27 Ogos 1976. Pada hari itu, sekumpulan individu menghantar paket data dari sebuah bar bernama Rossotti’s ke satu lokasi di Menlo Park, California. Bagi memastikan penghantaran paket data berjalan lancar, isyarat penghantaran diperkuatkan menerusi pengulang yang dipasang di kawasan gunung berhampiran.
Dari situ, isyarat yang diperkuatkan dipancarkan semula akan diterima antena yang dipasang di sebuah bangunan pejabat di Menlo Park. Dan hasilnya amat luar biasa. Paket data yang hanya wujud dalam bentuk isyarat radio dalam rangkaian tanpa wayar sebelum ini kini bertukar menjadi isyarat elektrik dalam rangkaian Arpanet.
Dan kisah hari itu tidak berakhir di situ saja. Mereka kemudian cuba menghantar paket data yang sama ke sebuah rangkaian komputer di Boston. Dan hasilnya tetap sama apabila mesej yang dihantar dari Rossotti’s merupakan mesej sama yang diterima para saintis di Boston. Semua ini tidak akan berlaku tanpa protokol yang disediakan Kahn dan Cerf.
Hari ini, semua orang berpeluang menggunakan internet untuk apa saja cara daripada penyiaran hinggalah perdagangan dan pendidikan. Tetapi bagi para pencipta internet terutama dari ARPA, mereka tahu ia juga boleh digunakan untuk tujuan keten-teraan. Dan mereka sedar semua ini tidak akan terjadi tanpa dana besar yang disalurkan oleh Jabatan Pertahanan AS.
Mereka memerlukan internet berada di semua tempat kerana terdapat banyak elemen ten-tera AS di seluruh dunia. Ketika ini, Washington mempunyai 800 pangkalan ten-tera di 70 buah negara termasuk Qatar, Korea Selatan dan Jerman. Selain itu, AS juga mempunyai aset keten-teraan mereka termasuk kapal pengangkut, pesawat dan kereta perisai.
Dari satu segi, ia sememangnya bermanfaat kepada AS tetapi tidak dalam cara yang dibayangkan para penciptanya. Internet hanya mula popular apabila ia digunakan secara meluas oleh orang awam dan dikomersialkan – satu fenomena yang tidak disangka oleh penyelidik-penyelidik ARPA. Satu perkara yang paling mengejutkan mereka ialah semua orang mahu berada di internet dan sedia berbelanja besar untuk merealisasikannya.
RUJUKAN:
Tarnoff, B. (2016). How the internet was invented. The Guardian.
Andrews, E. (2013). Who Invented the Internet?. History.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih