Dia ahli silap mata hebat yang mampu melepaskan diri daripada belenggu mahu pun ketika ditanam hidup-hidup. Namun, satu kejadian kecil yang dianggap remeh akhirnya telah menamatkan riwayat hidupnya!
Ini kisah tentang ahli silap mata tersohor yang selalu memukau penonton dengan aksi beraninya. Dia mampu terjun dari jambatan dengan tangan bergari dan dirantai pada kaki.
Malah, boleh bertahan tenggelam dalam air sambil digantung secara terbalik. Dan tiada sesiapa pun boleh menandingi kehebatannya ini.
Tapi, apa perkara yang membawa maut kepadanya?
Beberapa minggu awal sebelum dia meninggal dunia pada 31 Oktober 1926, ketika membuat persembahan di Albany, New York, ahli silap mata itu mengalami kecederaan pada kakinya akibat peralatan yang rosak.
Dia terkial-kial sepanjang persembahan itu tetapi kemudiannya didapati mengalami patah pergelangan kaki kiri. Melawan arahan doktor, Houdini meneruskan lawatannya dan mengembara ke Montreal, di mana dia memberi syarahan di Universiti McGill.
Pada 22 Oktober, dia menjemput beberapa pelajar McGill untuk melawatnya di bilik persalinan di Teater Puteri. Pergelangan kaki ahli silap mata itu masih sakit, jadi dia merebahkan diri di atas sofa sambil berbual dengan para pelajar itu.
Di sinilah segalanya bermula. Seorang pelajar bernama J. Gordon Whitehead tiba dan bertanya kepada Houdini sama ada benar dia boleh menahan tumbukan keras pada perutnya, iaitu dakwaan yang kononnya dibuat oleh ahli silap mata itu di khalayak ramai.
Apabila Houdini berkata khabar angin itu benar, Whitehead secara tiba-tiba memberikan beberapa tumbukan pada bahagian perutnya dalam keadaan Houdini yang tidak bersedia menghadapinya. Dia mengalami kesakitan yang amat sangat.
Selepas insiden itu, Houdini mengalami sakit perut teruk, berpeluh sejuk dan keletihan, dan suhunya meningkat. Seorang doktor mengesyaki apendisitis dan mengarahkan Houdini untuk pergi ke hospital, tetapi dia berkeras untuk naik ke pentas untuk pertunjukan malam pembukaannya.
Selepas rebah pada akhir pertunjukannya, dia dibawa ke hospital dan menjalani pembedahan. Apendiksnya yang pecah telah meracuni bahagian dalamannya lalu menyebabkan kematiannya.
Apa yang kita boleh belajar di sini? Tumbukan pelajar itu mungkin nampak kecil, namun dalam keadaan yang tak bersedia ia telah menjadi risiko paling besar. Kerana, apa yang anda tidak nampak sentiasa menjadi risiko paling besar.




No comments yet